Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 13

13

TENGKU NAJIB begitu gentleman sekali. Di sebalik hanya menunggu dalam kereta, dia dengan beraninya mengetuk daun pintu, memperkenalkan dirinya pada Sofea dan Aleya sebelum meminta keizinan untuk membawa Annessa keluar.

Sofea menyambutnya dengan baik. Dia menyenangi sikap gentleman yang ditonjolkan anak muda itu.

“Duduklah dulu, ya, Jib. Anne masih kat biliknya. Nanti aunty panggilkan dia.” Sofea meminta diri lalu menuju ke bilik anak gadisnya.

ANNESSA memandang replika dirinya yang terpantul di cermin. Kalau Adeela ada, sudah tentu beginilah rupa Adeela. Hatinya bermonolog.

Dia berpusing beberapa kali, memeriksa potongan tubuhnya. Dalam usia 20 tahun, kecantikannya benar-benar terserlah. Pasti Adeela juga secantik ini, desis hatinya.

Imbasan memorinya bersama Adeela muncul lagi. Walaupun mereka mengongsi minat, kecenderungan dan emosi yang hampir serupa; tapi masih wujud juga sedikit perbezaan di antara keduanya. Contohnya dalam bab memilih pakaian. Adeela lebih feminin dalam memilih pakaian yang akan disarungkan ke tubuhnya, sementara dia pula lebih gemar menggayakan pakaian yang ringkas seperti berseluar jean dipadankan dengan t-shirt dan kemeja.

Dia mempunyai himpunan seluar jean dengan pelbagai cutting, kemeja serta t-shirt yang pelbagai warna di dalam almarinya. Sebaliknya, dia mengeluarkan sehelai blaus kuning berbunga merah dan skirt labuh berwarna kuning berbintik-bintik biru milik Adeela.

“Anne!” Suara Sofea kedengaran memanggilnya. Ketika Annessa berpaling, dilihatnya Sofea merenungnya dari hujung rambut ke hujung kaki dengan mata tidak berkelip. “Kau ni dah tak cukup baju ke Anne, sampaikan baju Deela pun kau nak rembat?”

“Anne pinjam aje baju ni, ma. Jangan risau, nanti Anne pulangkan balik. Deela pasti tak marah kalau Anne yang pinjam baju ni.”

Sofea terdiam beberapa ketika. “Najib dah sampai. Dia ada kat luar. Handsomeorangnya. Kau serius ke dengan dia?” Entah mengapa pagi itu suara Sofea tiba-tiba saja kedengaran agak lunak.

Annessa senyum. “Kami kawan aje, ma. Jangan risau.”

Sofea ketawa kecil. “Mama tak kisah kalau nak bercinta pun. Tapi, make sure jangan abaikan pelajaran.”

Annessa ketawa. “Yelah... sebab mama dulu pun pernah bercinta jugak semasa sedang belajar, kan? Yelah... mama cantik, ramai yang minat.” Dia mengusik.

“Pandailah kau ni, Anne!” Sofea sudah boleh mengelekek di depan Annessa. “Jaga diri semasa keluar dengan si Najib tu.”

“Iyelah, ma.”

Tiba-tiba Sofea mendepangkan tangannya. Annessa meluru ke dalam pelukan mamanya sebelum kedua beranak itu melangkah ke ruang tamu di mana Tengku Najib sedang menunggu dengan penuh sabar.

YOU perempuan pertama yang I bawa kemari untuk diperkenalkan dengan Uncle Amir. Walaupun I kenal Tasya lebih lama daripada I kenal dengan you, tapi dia pun tak pernah I bawa kemari apatah lagi untuk diperkenalkan dengan uncle I.” Luah Tengku Najib ketika kereta yang dipandu anak muda itu melintasi tembok tinggi yang memisahkan ladang persendirian milik Tengku Amirul dengan dunia luar. Ianya tidak ubah seperti sebuah penjara yang sengaja dibina Tengku Amirul untuk tujuan tertentu.

Annessa tidak menghiraukan luahan perasaan anak muda di sisinya kerana jiwanya sendiri sedang bergelut. Hebat! Sebaik saja memasuki kawasan ladang itu, dia terasa seolah-olah dirinya semakin dekat dengan Adeela.

Apakah kau pernah berada di sini, Deela? Apakah kau di penjara di sini? Hati Annessa tertanya-tanya. Dalam sibuk melayan keliru di hatinya, tanpa disedari kereta Tengku Najib sudah pun berhenti betul-betul di depan banglo yang tersergam itu.

Anak muda itu sungguh gembira dengan kesudian Annessa menemaninya ke banglo bapa saudaranya. Anne tentu sukakan aku. Kalau tak suka, masakan dia sanggup mengekori aku sampai kemari, desis hatinya. Dia melompat keluar dari perut kereta lalu dengan senang hati membuka pintu untuk Annessa.

“Hari ni I kenalkan you dengan uncle I. Bila papa dan mama I balik dari Kanada nanti, I kenalkan you dengan mereka pulak,” getusnya sambil menghulur tangan kanannya ke arah Annessa yang masih termangu-mangu di tempat duduknya. “Anne, tak nak keluar ke?”

“Err...” Setelah ditegur, barulah Annessa kembali ke alam realiti.

Dia langsung tidak menyambut tangan Tengku Najib yang terjulur, sebaliknya terus melangkah keluar dari kereta. Tengku Najib agak kecewa dengan sikap jual mahal yang ditonjolkan gadis itu, tapi masih cuba berlagak selamba.

Seorang lelaki berbadan tegap dalam lingkungan usia 50-an, kelihatan menghampiri mereka berdua. Annessa dapat rasakan renungan tajam yang dilemparkan lelaki itu ke arahnya.

“Pak Sudin, uncle mana?”

“Err... Tengku keluar kejap, ke pekan rasanya.” Lelaki yang dipanggil Sudin itu melirikkan matanya sekali lagi ke arah Annessa. “Tengku ada kata yang Jib nak datang. Tapi dia tak cakap pun yang Jib datang bawa kawan.” Ada nada kurang senang.

“Jib sengaja nak surprisekan uncle.” Tengku Najib ketawa kecil. “Mesti uncle terkejut besar bila tengok kawan Jib ni kan, Pak Sudin?”

“Mesti Tengku terkejut besar punyalah. He... he... he...” Pak Sudin cuba melambakkan tawanya tapi kelihatan begitu janggal sekali. Annessa hanya berdiam diri. Dalam diam, dia menilai dengan teliti sikap Pak Sudin terhadap dirinya.

“Pak Sudin, ni kawan Jib, Anne.” Tengku Najib memperkenalkannya dengan lelaki itu. “Anne, Pak Sudin ni bekerja di ladang uncle I. Dah lama jugak Pak Sudin bekerja di sini.”

Dan, mata Annessa berlaga lagi dengan mata Pak Sudin.

“Anne, you tentu penat, kan? Jom masuk,” pelawa Tengku Najib. Annessa angguk. Dia mengekori langkah Tengku Najib masuk ke banglo yang tersergam itu.

ENTAH kenapa dia rasa semakin gementar ketika melangkah masuk ke ruang banglo yang dihias mengikut citarasa mewah itu. Terasa setiap pergerakannya sedang diperhatikan. Situasi itu membuatkan bulu romanya tegak berdiri.

Dan, bau yang tiba-tiba menyapa hidungnya itu membuatkan dia terkenangkan Adeela. Adik kembarnya memang meminati haruman bebunga jasmine. Deela, apakah kau berada di sini? Di manakah kau, Deela. Tolonglah, kalau kau berada di sini... berikanlah aku petunjuk.

“Anne, I nak ke dapur kejap. Dah lama kita sampai tapi segelas air pun tak dihidangkan lagi. You jangan ke mana-mana tau. Banglo ni luas, you sesat nanti.” Tengku Najib sempat mengingatkannya sebelum melangkah mencari pembantu rumah yang mungkin berada di dapur.

MAK Tijah!”

“Oit!” Pembantu rumah bernama Khatijah yang lebih mesra dengan panggilan Mak Tijah itu melangkah keluar dari tempat persembunyiannya ketika dipanggil Tengku Najib.

“Apa Mak Tijah buat kat belakang peti sejuk tu?” Tengku Najib menyoal, pelik.

Mak Tijah terkosek-kosek. “Err... tadi Mak Tijah ingatkan ternampak hantu.”

“Mana ada hantu?” Tengku Najib jengkel. “Mak Tijah, kalau pun ada hantu dia akan keluar pada waktu malam, bukannya siang-siang macam ni.”

“Tu... kat ruang tamu tu, ada hantu betina!”

“Dahlah, Mak Tijah. Kat ruang tamu tu hanya ada Anne, bakal isteri Jib, tau. Mak Tijah jangan sesekali cakap macam ni depan dia, faham!” Suara Tengku Najib semakin kasar. Sanggup Mak Tijah memanggil pujaan hatinya, hantu betina!

“Tapi rupa dia sama dengan...”

“Rupa Anne sama dengan siapa, Mak Tijah?”

Wajah perempuan itu semakin pucat. “Err... tak ada siapa-siapalah. Agaknya Mak Tijah yang silap pandang. Mak Tijah dah siapkan air. Jib sendiri bawa keluar ya. Mak Tijah nak siapkan hidangan tengah hari.” Dia mencipta alasan untuk tidak ke ruang tamu.

Tengku Najib menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia mengangkat dulang berisi minuman sejuk dan sepinggan kuih-muih lalu dibawanya ke ruang tamu. Tapi, dia terkejut apabila melihat Annessa telah tiada di situ.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.