Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 46

46

SETELAH kata sepakat dicapai, pasangan kembar itu bersetuju untuk menaiki teksi menuju ke tempat pertemuan yang telah dijanjikan dengan Idris. Ketika keluar bersama begitu, tidak banyak sedikit pasti kehadiran mereka akan mendapat perhatian daripada orang ramai. Hakikatnya, bukan semua orang bernasib baik untuk dilahirkan sebagai anak kembar. Malah pak cik teksi yang ramah juga sibuk bertanyakan berbagai-bagai soalan kepada mereka berdua.

Sebaik sampai ke destinasi, Annessa dan Adeela melangkah keluar dari perut teksi sambil mengekel-ngekel ketawa. Dua tiga orang pemuda yang segak berbaju Melayu dan mungkin baru sahaja balik dari menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran, tertoleh-toleh ke arah mereka berdua. Namun, renungan mereka tidak diendahkan oleh pasangan kembar itu.

“Ramah betul pak cik teksi tu,” komen Annessa.

“Hmm... betul tu! Sebijik macam wartawan pencen,” balas Adeela. Kemudian dia memekup mulutnya setelah melihat jelingan maut yang dilemparkan kakak kembarnya. “Kenapa kau pandang aku macam tu? Aku bukan perli kau. Aku kata pak cik teksi tu yang macam wartawan pencen. Kau kalau dah pencen dari jadi wartawan nanti bukan macam tu agaknya.”

“Apa-apa ajelah.” Annessa malas hendak memanjangkan isu itu. Lagipun fikirannya kini sudah tidak tertumpu lagi kepada pak cik teksi yang terlebih ramah itu sebaliknya sudah mula memikirkan tentang pertemuan pertamanya dengan jejaka bernama Idris.

“Anne, aku nak minta tolong sikit dengan kau boleh tak?” getus Adeela tiba-tiba.

“Tolong apa pulak ni?”

“Dengan Abang Id nanti kau tak payahlah tanya lebih-lebih, ye. Bukan apa... aku takut dia tak selesa aje.”

Aku taulah, Deela. Tak payahlah kau nak ajar aku cara untuk berkomunikasi dengan abang angkat kau tu!

“Baiklah, Cik Deela.” Annessa menyengih. “Emm... ni aku nak tanya sikit, kenapa kau tak pakai tudung yang kau beli semalam?”

“Perlukah aku jawab soalan kau tu?”

“Kalau dah namanya soalan, mestilah perlukan jawapan.”

Adeela jungkit bahu. “Sebenarnya aku beli tudung tu sebab nak hadiahkan pada emak.” Kemudian dia ketawa kecil apabila melihat mulut kakak kembarnya yang terlopong. “Tutup mulut kau tu, Anne. Lalat masuk nanti.” Dia mengingatkan.

“Mati-mati aku ingat engkau yang nak pakai tudung tu sebab nak laram depan Abang Id!” Kata-kata Annessa sarat dengan sindiran, tetapi hanya disambut oleh gelak tawa Adeela.

“Suatu hari nanti aku akan bertudung, tapi bukan sekarang,” sahut Adeela setelah tawanya reda.

Mereka menuju ke sebuah restoran yang menyediakan aneka hidangan tempatan. Sementara menunggu kemunculan Idris, pasangan kembar itu mengambil keputusan untuk memesan minuman terlebih dahulu. Annessa memilih air tembikai yang merah menyelerakan, sementara Adeela pula lebih senang dengan fresh orange.

“Kita orang kat dapur semuanya ingatkan kau orang berdua nak pesan air yang sama tadi.” Luahan pelayan lelaki yang menghantar minuman itu ke meja mereka membuatkan dua pasang mata segera menikam ke wajahnya.

“Kenapa pulak kau orang fikir kita orang ni nak buat macam tu?” soal Annessa.

“Yelah, kau orang kan adik-beradik kembar!”

“Tolong sikit eh, walaupun kita orang ni adik-beradik kembar, tapi selera kita orang tak semestinya sama tau. Awak tengok baju yang kita orang pakai ni, ada sama ke? Kita orang ni bukan boria tau!” hentak Annessa, sementara Adeela yang sudah menyedut fresh orangenya hanya menyengih.

“Ala, janganlah marah, sis. Kita orang borak-borak kosong aje. Eh, minum aje ke, tak nak order makanan?” Pelayan itu bijak mengalih topik perbualan mereka.

Annessa senyum. “Kita orang ni memang nak makan, tapi tunggu kejap lagilah. Okeylah, sampaikan salam kita orang pada dia orang yang asyik berborak kosong kat dapur tu.”

Pelayan itu ketawa kecil sebelum berlalu meninggalkan meja mereka.

“Macam tak ada kerja lain, asyik nak menyibuk hal orang lain aje mereka ni,” gerutu Annessa. Straw berbelang merah putih dicapai lalu disuakan ke mulut bersalut gincu yang senada warnanya dengan air tembikai di gelas.

“Apa nak dihairankan? Kita ni kan special.” Adeela menyahut sambil melirik jam yang tersangkut di lengan kanannya.

Annessa memerhatikan sahaja gelagat adik kembarnya itu. Dah tak sabar nak jumpa Abang Id ke, Deela, soalnya dalam hati.

“Kejap lagi sampailah tu.”

Adeela mengangkat wajahnya dan tatkala pandangan mereka bertaut, senyum yang dilemparkan Annessa dibalasnya.

“Eh Anne, aku keluar kejap ye.” Tiba-tiba Adeela bingkas.

“Deela, kau nak ke mana tu?”

“Aku nak jumpa kawan kejap. Kau tunggu sini ye.”

“Hey, Deela... Deela!” Annessa cuba memprotes, tetapi Adeela sudahpun melangkah laju keluar dari ruang restoran itu, susup-sasap di celah-celah orang yang lalu lalang dan beberapa ketika kemudian hilang terus dari pandangan matanya.

Dia mengeluh perlahan. Sekarang aku yang kena duduk sorang-sorang kat sini menunggu ketibaan Idris. Hai, Deela... Deela, gerutu hatinya.

“Assalamualaikum.” Sesusuk tubuh lelaki berdiri di tepi mejanya sambil menghulurkan salam.

Dia mengangkat wajahnya, dan dua pasang mata bertaut. Pemuda itu memakukan pandangan ke arahnya dengan agak lama, menggumam rasa kagum.

“Saya Idris.” Setelah cukup pasti yang di depannya bukanlah gadis yang dicarinya, barulah terluah kata-kata itu dari mulut Idris.

Annessa tersenyum.

“Waalaikumussalam. Saya Anne, kakak Deela.” Annessa memperkenalkan dirinya. “Duduklah dulu. Deela ada... err... dia jumpa kawan kejap.”

“Terima kasih.” Idris mengambil tempat di sebelah kerusi yang telah dikosongkan Adeela.

Mereka berpandangan lagi. Kemudian berbalas senyum. Kaku, kedua-duanya tidak tahu apa topik yang harus diperbualkan.

“Minum?” soal Annessa cuba mencantas kekakuan yang bermaharajalela.

Idris menggelengkan kepalanya. “Kejap lagilah. Awak dah makan ke belum?”

“Kejap lagilah.”

Idris menganggukkan kepalanya.

“Emmm... si Tompok tak ikut sama ke?” tanya Annessa tiba-tiba.

“Tompok?”

“Emm... Tompok! Dalam telefon hari tu kan awak yang cakap si Tompok pun dah rindukan Deela. Awak tak bawa dia sama ke?”

Idris mengulum ketawa. Dia melirik sekilas ke arah gadis di depannya, cukup sedar yang dirinya sedang disindir Annessa.

“Awak perli saya, eh?” Lunak mata Idris memandang Annessa. Gadis itu sekadar jungkit bahu, sebelum melambakkan tawa kecil.

“Saya nak tanya awak satu soalan ni. Saya harap awak dapat jawab dengan ikhlas.”

“Soalan cepumas ke?”

“Tak kiralah, cepumas ke... cepuperak ke, tapi siswa Universiti al-Azhar mesti jawab dengan ikhlas.”

Idris ketawa. Jelas kelihatan dia semakin menyenangi gadis di depannya.

“Baiklah, siswi UiTM!” balas Idris. Tekak Annessa tiba-tiba sahaja terasa gatal lalu terbatuk-batuk beberapa kali. “Relakslah, sedut dulu air tembikai awak tu.”

“Awak ingat ni siput sedut ke?”

“Takpe... kalau teringin nak makan siput sedut, kejap lagi kita order.

“Cukup-cukuplah mengarut tu!” Annessa menghentak suara. “Ni saya nak tanya, sejauh mana seriusnya hubungan awak dengan adik saya?”

Idris menopang dagunya, mengambil masa beberapa ketika untuk menjawab soalan itu.

“Hmm... jauh jugaklah, sejauh Shah Alam dengan Kuala Selangor. Bila cuti saya habis nanti, nampaknya bertambah jauhlah... sejauh Shah Alam dengan Mesir. Tapi walaupun jauh, dalam hati sentiasa dekat.”

Annessa mengulum senyum. Boleh tahan jugak ustaz ni, getus hatinya.

“Saya tak halang kalau awak nak rapat dengan Deela, tapi pastikan yang awak takkan kecewakan dia. Saya sangat sayangkan Deela. Setelah apa yang dialaminya selama ni, saya tak nak lihat dia menangis lagi. Awak faham tak?” Serius.

Idris mengangguk. “Anne, kalau awak nak tahu, saya pun sayangkan dia. Saya pun tak berniat nak lukakan hati dia ataupun buat dia menangis. Tapi, kita manusia hanya mampu merancang, TUHAN yang menentukan segalanya termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan jodoh pertemuan ni.”

“Ye, saya faham tu. Mulai hari ni awak dan Deela dah dapat restu saya. Mulai hari ni jugak, saya akan berdoa semoga awak dan Deela akan mengecapi kebahagiaan suatu hari nanti.”

“Awalnya?”

“Tak salah berdoa kan?”

Idris mengangguk. “Ye, berdoa perkara yang baik-baik memang tak salah, malah digalakkan. Terima kasih, Anne.”

Mereka berbalas senyum.

“MEI!” panggil Adeela, bahu gadis berblaus lengan panjang rona putih dan berskirt pendek hitam itu dicuit dari belakang.

Langkah gadis itu terhenti lalu berpaling ke belakang.

“Kau dah lupakan aku ke, Mei? Aku Deela. Kita pernah jadi rakan sekelas semasa di Tingkatan Enam Atas dulu. Ingat tak?”

Wajah yang tadi sarat dengan riak terkejut, segera berubah.

“Deela!”

Kedua-duanya berpelukan erat tanpa menghiraukan pandangan orang ramai. Setelah beberapa ketika, barulah pelukan dirungkaikan. Adeela ternampak air mata Mei Ling yang menubir.

“Syukurlah, akhirnya mereka berjaya jugak cari kau, Deela. Masa kau dilaporkan hilang dulu, aku sangat risaukan keselamatan kau sampai kadang-kadang aku tak boleh tidur waktu malam. Apa yang terjadi pada kau mungkin jugak boleh terjadi pada aku ataupun orang lain.” Mei Ling meluahkan perasaannya.

Isy, kalau boleh luahan sebeginilah yang enggan didengarnya. Dia mahu melupakan memori hitam yang pernah hadir dalam hidupnya itu. Dia tidak perlu diingat-ingatkan semula tentang semua itu.

“Mei, please... aku tak nak dengar hal yang lepas-lepas tu. Aku harap kau faham.”

“Ops sorry, Deela. Jangan marah ye,” Mei Ling kelihatan serba-salah.

Adeela ketawa kecil. “Tak apa, aku tak marah. Aku cuma tak nak kenang hal tu lagi, nanti aku tension. Faham-faham ajelah.”

Mei Ling mengangguk laju. “Okey, aku janji... aku takkan sebut hal tu lagi. Kau tau tak Deela, aku gembira jumpa kau balik ni. Kau buat apa sekarang?”

“Aku jadi pembantu rumah aje. Membasuh, memasak, mengemas rumah... tulah kerja aku sekarang.”

Mei Ling mengangkat keningnya, mungkin terkejut mendengar Adeela hanya bekerja sebagai pembantu rumah. Adeela ketawa kecil.

“Tu sekadar kerja sementara aje, Mei. Kau pulak macam mana?”

“Aku kerja dekat aje, di Quality Hotel. Tempat kerja aku sekarang pun nak pakai staf. Kalau kau berminat nak bekerja dalam bidang perhotelan, aku boleh tolong.” Mei Ling menawarkan jasa baiknya untuk membantu.

“Aku ingatkan kau tolong papa kau kendalikan kedai gambar tu?”

Mei Ling menggeleng-gelengkan kepalanya. “Andy yang ambil alih pengurusan kedai gambar tu sekarang. Biarlah, papa aku lebih percayakan anak lelaki untuk gantikan tempatnya. Siapalah aku ni... sekadar anak perempuan aje. Daripada aku sekadar melukut di tepi gantang dengan keluarga sendiri, lebih baik aku belajar berdikari. Lagipun aku seronok dengan kerja aku sekarang.”

“Oh ye, Deela, ni kad nama aku. Kalau ada apa-apa kau call ajelah, ye. Gembira jumpa kau semula, Deela.”

Mereka berpelukan sekali lagi sebelum berpisah. Adeela menoleh jam di lengannya. Mungkin Abang Id dah sampai, bisik hatinya sambil menghayun langkah menuju ke restoran tempat Annessa dan Idris berada.


Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.