37
“MAMA nak Yaya belajar rajin-rajin dan
berikan tumpuan pada apa yang cikgu-cikgu ajar di sekolah tu nanti tau. Jangan
berangan atau main-main pulak semasa cikgu tengah mengajar. Ilmu sangat penting
nilainya di zaman yang serba mencabar ni. Ada mata pandang, ada telinga
dengar... ada mulut diam.” Sofea sempat memberikan nasihat ringkas pada Aleya
yang duduk di sebelahnya.
“Ada mulut
diam? Habis tu kalau tak faham apa yang diajar, nak diam jugak ke?”
“Eh, kalau
tak faham tanyalah pada cikgu yang mengajar tu. Jangan semasa cikgu tengah
mengajar kat depan, Yaya asyik bercakap pulak kat belakang. Kalau boleh berikan
tumpuan penuh semasa cikgu mengajar di sekolah.”
“Okeylah,
ma. Yaya cuba.”
“Jangan
cuba aje, mesti buat!”
Bibir
Aleya mengukir senyum. “Okey, insya-ALLAH.”
“Hmm...
macam tulah anak mama.” Sofea melontarkan pujiannya. “Yaya, ni mama ada hal nak
tanya sikit...”
“Kenapa,
ma?”
“Kak Anne
dan Kak Deela ada cerita apa-apa pada Yaya tak?” Sofea cuba mengorek rahsia
tentang pasangan kembar itu daripada Aleya.
“Cerita
apa, ma?”
“Hal-hal
yang secret... yang mereka sengaja nak rahsiakan daripada pengetahuan mama?”
“Tak
adalah, ma. Kak Anne dan Kak Deela jarang nak bercerita rahsia masing-masing
pada Yaya. Kalau ada rahsia apa-apa, mereka lebih suka bercerita sesama sendiri
aje. Mereka angggap Yaya ni budak-budak lagi dan tak layak berkongsi rahsia
mereka. Kan best kalau Yaya pun ada kembar ye, ma? Bolehlah Yaya kongsi rahsia
dengan kembar Yaya pulak.”
Sofea
ketawa mendengar ungkapan yang lebih berupa sebuah keluhan itu.
“Tu rezeki
yang TUHAN nak bagi pada mama. Bukannya mama sengaja minta nak lahirkan anak
kembar.”
“Macam
mana mereka boleh dilahirkan kembar ye, ma, sedangkan Yaya tak?”
“Cubalah
Yaya tanya pada cikgu Sains Yaya bagaimana pasangan kembar boleh dilahirkan ke
dunia ni. Tentu cikgu Sains Yaya tu boleh beri penerangan yang lebih jitu.”
“Nanti
cikgu cakap bab tu belum termasuk dalam syllabus mata pelajaran yang nak
diajar.”
“Kalau
ditanya, cikgu jawab macam tu ke?” soal Sofea, kemudian dia ketawa kecil.”Okeylah,
bila mama lapang sikit nanti mama akan ceritakan pada Yaya bagaimana pasangan
kembar boleh terjadi. Tapi bukan sekarang ye. Kita pun dah nak sampai ke
sekolah Yaya ni. Hmm... Kak Anne berkawan lagi ke dengan Tengku Najib tu?” soal
Sofea lagi sambil menoleh ke arah Aleya di sisinya. Tatkala dilihatnya Aleya
sekadar mengangkat bahu, tahulah dia bahawa tiada jawapan yang akan
diperolehnya untuk soalan yang baru dilontarkannya seketika tadi.
Dia malas
hendak mendesak anak itu. Lagipun mereka sudah sampai di hadapan sekolah Aleya.
“Yaya
pergi dulu, ma. Assalamualaikum.” Ucap Aleya selepas menyalami dan mencium pipi
mamanya.
“Waalaikumussalam.
Belajar rajin-rajin, jangan lupa pesan mama tadi.”
“Ye, ada
mata pandang, ada telinga dengar... ada mulut diam.” Getus Aleya sambil
melangkah turun dari kereta mamanya lalu melangkah ke sekolah, jihad pertamanya
untuk pagi itu.
Sofea
tersenyum mengulum. Selepas Aleya selamat berada di dalam pagar sekolah, dia
meneruskan pemanduannya menuju ke pejabat.
ALAMAK, terlupa pulak nak tanya along tentang banglo milik Tengku
Amirul di Kuala Selangor tu, bisik hatinya. Dia hanya teringat tentang hal
banglo itu setelah kereta yang dipandunya telah berada di jalanraya. Dalam
keadaan itu tidak ada gunanya dia berpatah balik semata-mata untuk bertanyakan
hal tersebut. Dia bercadang untuk meneruskan pemanduannya menuju ke destinasi.
Lagipun dia mengejar masa untuk bertemu dengan anak saudaranya.
Apabila
pulang ke rumah nanti dia bertekad untuk mengorek rahsia tentang banglo itu
daripada Tengku Sarah. Dia ingin mengetahui keadaan banglo itu, apakah ada
orang yang ditugaskan untuk menguruskannya sementara ketiadaan tuannya? Dan dia
juga mahu tahu apakah Tengku Amirul telah meletakkan pewaris kepada harta-harta
yang ditinggalkannya di luar ini sementara dia menjalani hukumannya di penjara.
Abangnya yang
kini bergelar banduan itu tidak pernah berkahwin walaupun diketahui mempunyai
teman wanita keliling pinggang. Oleh itu tidak timbul persoalan tentang hak
isteri yang ditinggalkan ataupun hak anak-anak. Jadi, siapakah pewaris kepada
kesemua harta yang ditinggalkan Tengku Amirul sekiranya dia meninggal dunia di
dalam penjara kelak? Entah-entah kesemua hartanya diwariskan kepada along sebab
dia memang rapat dengan along. Kalau macam tu, kayalah along, hatinya bersoal
jawab sendiri.
Sayang
kalau banglo putih yang tersergam di hadapan sebuah tasik itu dibiarkan usang
begitu sahaja. Agaknya kalau aku pujuk-pujuk along untuk sewakan banglo tu
ataupun dijadikan homestay, along setuju tak? Kalau tak pun aku boleh cuba
pujuk along untuk jualkan saja banglo tu. Hmm... hatinya ligat merencana.
Sedang
mindanya sarat memikirkan tentang hal banglo yang ditinggalkan oleh tuannya
yang kini sedang menjalani hukuman penjara itu, kereta yang dipandunya sudah
memasuki kawasan Shah Alam. Kalau di Kuala Lumpur, hujan telah berhenti, di
Shah Alam pula gerimis baru saja hendak menyimbah bumi. Angin bertiup agak
kencang, seolah-olah tidak sudi pada gerimis yang mula turun.
Dia
memberi signal ke kiri, memperlahankan kenderaannya lalu berhenti di bahu
jalan. Dia telah berjanji dengan Tengku Najib untuk mengambil anak saudaranya
itu di rumah sewa kawannya.
ANNESSA memperlahankan skuternya lalu berhenti di bahu jalan.
Dia mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluar jeansnya lalu melekapkannya ke
telinga.
“Jenna,
kau kat rumah lagi ke?” soalnya kepada Zainah, salah seorang teman baiknya.
Jenna adalah panggilan mesra yang diberikan untuk temannya itu.
“Aku dah
berada kat dewan kuliah ni. Kelas Doktor Azidi ditangguhkan ke pukul 9.30
nanti. Kita orang nak ke kafe ni, nak isi perut dulu,” Zainah yang menjawab
panggilannya memberitahu maklumat terkini.
“Iye ke?
Okeylah kalau macam tu kita jumpa kat kafe aje nanti. Aku ada bawa cup cake ni,
adik aku yang buat. Kau nak rasa tak? Sedap tau!” Dia sempat melobi kek cawan
Adeela kepada Zainah.
“Eh,
tentulah nak! Rezeki jangan ditolak. Nampaknya selamatlah duit belanja aku pagi
ni. Lalalalalala...” Zainah kedengaran menyanyi di hujung talian.
Annessa
ketawa kecil. “Okey, kau tunggu aku sampai, ye.”
“Hey,
Anne, bawa skuter tu hati-hati tau. Langit dah mendung ni.”
“Terima
kasih, sayang jugak kau pada aku ye.”
“Eh, kau
ni, Anne! Sebenarnya memang ramai yang sayangkan kau tau, bukan hanya Tengku
Najib aje.”
“Dahlah
kau!”
Zainah
ketawa mengekek. “Hati-hati tau.”
“Yelah...
insya-ALLAH.” Telefon bimbitnya disumbat semula ke dalam saku seluar, injin
skuter dihidupkan dan seketika kemudian dia berada di jalan raya tatkala
gerimis mula menyirami bumi.