34
ANNESSA
menunggu beberapa ketika. Tidak lama kemudian, kedengaran seorang perempuan
memberi salam, suara Nani, ibu tirinya.
“Waalaikumussalam.
Mak Nani apa khabar?” soalnya ke arah ibu tirinya. Setelah dia mula menerima
perempuan itu dalam hidupnya, dia mengubah panggilan ‘mak cik’ yang
diucapkannya sebelum ini, kepada Mak Nani. Papanya yang mencadangkan panggilan
itu.
“Mak Nani
sihat. Anne?”
“Anne pun
sihat jugak.”
“Bila Anne
nak balik ke Pengkalan Balak? Semua orang kat sini dah rindukan Anne. Hujung
Minggu ni Anne boleh balik tak? Chalet busy sikit masa tu. Kita menerima
tempahan daripada satu grup bikers dari Penang. Mereka dijangka check in pada
petang Jumaat tu nanti. Kalau Anne ada, bolehlah tolong Mak Nani apa-apa yang
patut.” Pinta Nani yang kini mengusahakan chalet warisan keluarganya yang terletak
di pantai Pengkalan Balak, Melaka.
Dia jarang
menghampakan permintaan ibu tirinya itu, tetapi kini dia harus menolak.
“Hujung
Minggu ni Anne ada hal sikitlah, Mak Nani. Kami dah merancang nak pergi ke
kampung keluarga angkat Deela.”
“Oh, iye
ke? Buat apa kat sana?”
“Deela dah
rindukan mereka, jadi nak tak nak kami kena temankan dia menemui keluarga
angkatnya.”
“Hmm...
tak apalah, Mak Nani faham kalau Anne ada hal lain. Tapi kalau boleh, cuti
semester nanti Anne baliklah ye. Boboy pun asyik tanyakan Anne aje.” Nani
memberitahu. Boboy adalah panggilan manja kepada Muhammad Faizal, anak hasil
perkahwinannya dengan Zikri.
“Boboy ada
ke tu, boleh Anne cakap dengan dia kejap?”
“Dia dah
tidur.”
“Eh, awal
pulak Boboy masuk tidur? Selalunya pukul 11.00 malam masih berjaga lagi?”
“Dua tiga
hari ni, Boboy tak sihat. Demam. Biasalah budak-budak, demam nak membesar, kata
orang tua-tua dulu.” Nani memberitahu.
“Papa ada
ke, Mak Nani?
“Papa Anne
baru aje keluar beli sate kat depan tu.”
“Eh, dah
pukul berapa ni papa baru nak makan sate? Cakap dengan papa tu supaya jaga
makan, Mak Nani. Jangan asyik nak makan makanan yang berkelosterol tinggi
lebih-lebih lagi bila dah dekat time tidur.”
Ibu
tirinya kedengaran ketawa. “Entah kenapa agaknya papa Anne tu mengidam nak
makan sate pulak malam ni. Okeylah, nanti Mak Nani sampaikan pesan Anne tu pada
dia. Kalau Anne nak bercakap dengan dia, calllah
telefon bimbitnya... rasa-rasanya dia bawa telefon sebelum keluar dari rumah
tadi.”
“Terima
kasih, Mak Nani. Insya-ALLAH, minggu depan kalau tak ada apa-apa halangan, Anne
balik jenguk keluarga di Pengkalan Balak ye.”
“Baliklah!
Anne tahukan kami di sini sentiasa ternanti-nanti kepulangan Anne, lebih-lebih
lagi Boboy tu. Kakaknya kan hanya Anne?”
“Err...”
Annessa terbayangkan wajah Adeela dan Aleya. Walaupun mereka juga adalah kakak Muhammad
Faizal, walau setakat kakak tiri, tetapi hanya dia sahaja yang rapat dengan
adik tirinya itu.
Adeela dan
Aleya tidak pernah sekalipun mengunjungi kediaman papa mereka sejak papa
ditakdirkan putus jodoh dengan mama dan kini menetap dengan isteri barunya di
Pengkalan Balak. Malah, adik-adiknya itu
juga tidak pernah sekalipun bersua muka dengan ibu tiri mereka.
“Insya-ALLAH,
Anne tak boleh berjanji tapi kalau tak ada apa-apa hal di sini, Anne akan
pulang jenguk keluarga di sana,” ucap Annessa, tidak berani mengota sebuah janji
yang belum tentu dapat ditepati.
Begitulah
beratnya tanggung jawab sebagai anak sulung dalam keluarga. Walaupun dia tidak
pernah diminta untuk menggandar tanggung jawab itu, tetapi dia menggalasnya
juga dengan rela hati. Di sini, mamanya sendirian menguruskan keluarga. Sofea
juga seorang wanita berkerjaya yang amat sibuk, kerjanya tidak menentu masa.
Secara
tidak langsung, Annessa rasa bahawa dia perlu berada di sisi Sofea untuk
membantu meringankan bebannya. Masih lagi trauma setelah insiden Adeela diculik,
dia yakin bahawa dirinya lebih diperlukan oleh keluarganya yang berada di Shah
Alam daripada keluarganya yang berada di Pengkalan Balak.
“Boboy pun
asyik tanyakan Anne aje.” Kata-kata Nani seketika tadi menghentak ruang fikir.
Dia
kesiankan Muhammad Faizal. Pasti adiknya itu kesunyian. Dia berharap agar ibu
tirinya akan segera memberikan adik untuk menemani Muhammad Faizal kelak. Dia dapat
rasa betapa sunyinya kalau dilahirkan sebagai anak tunggal dalam keluarga,
tidak ada adik, kakak atau abang untuk diajak bermain, bergurau senda serta
bergaduh.
Entah
mengapa tiba-tiba sahaja ingatannya mengimbau ke arah anak tunggal yang seorang
itu – Tengku Najib. Dia membayangkan kehidupan anak muda itu yang siang harinya
sentiasa terkejar-kejar ke dewan kuliah. Di waktu petang pula, Tengku Najib
akan bermandi peluh di padang untuk berlatih ragbi dengan teman-teman
sepasukannya.
Pernahkah
agaknya anak muda itu berasa kesunyian?
Sepanjang
persahabatannya dengan jejaka itu, dia tidak pernah menyelongkar isi hati
Tengku Najib. Apa yang dia tahu ialah dia mempergunakan pemuda itu untuk
menjejaki adik kembarnya yang hilang sehinggalah tertangkapkan dalang di sebalik
kejadian itu iaitu Tengku Amirul, bapa saudara Tengku Najib sendiri.
Kemudian,
mereka sibuk pula turun naik mahkamah dalam usaha untuk menyumbatkan Tengku
Amirul ke dalam penjara akibat perbuatannya.
Setakat
ini, Annessa rasakan hubungan mereka sentiasa terisi oleh pelbagai konflik,
amat berliku-liku. Walaupun dalam hati, dia tidak menafikan bahawa dia
menyenangi anak muda itu tetapi sampai kini mereka belum pernah menyelami
masalah, berkongsi impian masa depan apatah lagi menyelongkar isi hati
masing-masing.
Argh! Que sera sera... what ever will be, will
be... bisik hatinya tanpa menyedari bahawa Adeela sedang ralit merenungnya.
“KAU
bercakap dengan siapa tu?”
Annessa
terkejut apabila terdengar suara Adeela bertanya. Dia segera menoleh ke arah
Adeela yang berdiri di muka pintu.
“Err...”
“Bukan
main mesra lagi dengan emak tiri?”
Entah
mengapa dia rasakan kata-kata yang baru sahaja terluah dari mulut adik
kembarnya tadi, sarat dengan nada sindir. Ibu tiri atau emak tiri seringkali
disogokkan ke minda kita dengan imej seorang perempuan garang, jahat dan tidak
berhati perut terutama terhadap anak-anak tirinya. Baik di dalam filem-filem
Melayu, seperti dalam cerita Bawang Putih Bawang Merah, mahupun cerita-cerita
lagenda dari Barat, contohnya Cinderella, itulah yang sering diserapkan ke
minda kita sejak dari kecil lagi. Ibu tiri seharusnya garang, kejam, jahat. Ibu
tiri suka mencubit, memukul, melempang dan mendera anak-anak tirinya semasa
ketiadaan si ayah di rumah.
Ibu tiri
seharusnya ditakuti, bukannya disayangi. Dan, disebabkan momokan itulah maka
semua ibu tiri di dunia ini dilabel sebagai makhluk yang jahat serta kejam.
Hakikatnya, bukan begitu. Malah, ramai yang sanggup menjaga dan membesarkan
anak-anak tiri mereka seperti anak kandung mereka sendiri.
Annessa
tahu, Adeela dan Aleya masih belum mampu menerima kehadiran Nani dalam hidup
mereka. Sewajarnya dia tidak harus memaksa.
“Aku
sebenarnya telefon papa tadi, tapi dah papa tak ada... aku berbuallah kejap
dengan Mak Nani.” Dia menjawab seadanya. “Apa yang mama bualkan dengan kau kat
depan tadi? Dia segera mengalih topik perbualan mereka.
“Ala,
pasal aku nak jumpa Abang Id petang Jumaat nilah. Mama kata, kita boleh
tumpangkan Abang Id bermalam kat rumah kita. Lepas tu hari Sabtu pulak, kita
konvoi ke kampung. Abang Id cakap kat kampung sekarang musim buah durian.”
“Kau
pernah ke kebun durian?”
“Apa pulak
tak pernahnya? Kebun durian milik keluarga Abang Id terletak kat lereng bukit.
Berpeluh jugaklah kalau kita nak panjat bukit tu.”
“Kau pergi
cari durian tu derdua dengan dia aje ke?”
“Taklah!
Emak tak benarkan kalau kami berdua aje pergi. Selalunya emak ataupun ayah akan
ikut sama.” Wajah Adeela nampak berseri-seri ketika bercerita pengalamannya
memanjat lereng bukit untuk mencari buah durian serta menyusuri petak-petah
sawah yang luas terbentang.
Deela,
kalau kau dapat menerima Mak Miah dan Encik Ilmin itu sebagai ibu dan ayah
angkat kau, kenapa agaknya begitu sukar untuk kau menerima kehadiran Mak Nani
sebagai ibu tiri kau? Mungkinkah sebab kau masih belum mengenalinya secara
peribadi?
Annessa
turut tersenyum dan ketawa ketika mendengar pengalaman Adeela semasa menumpang
di rumah keluarga angkatnya dahulu. Dalam pada itu, dia berharap agar
adik-adiknya dapat menerima juga kehadiran seorang ibu tiri dalam hidup mereka
kelak, kerana hakikat itu telah tertulis dalam takdir mereka.