4
“SORRY, sup sayur tu termasin sikit. Ayam
masak merah tu pun macam tu jugak.” Kata-kata Nani hinggap ke gegendang telinga
ketika Annessa sedang memanaskan periuk berisi sup petola.
Annessa
hanya menyengih. Kalau perut sudah berkeriuk dek lapar, dia tidak berkira
sangat. Ketika di Shah Alam dulu pun dia dan adik-adiknya selalu makan nasi
bungkus sahaja.
Setelah sup
petola mendidih, dia segera menutup api. Kemudian dia menyenduk sup ke dalam
mangkuk. Nani pula mengeluarkan ayam masak merah dari gerobok lauk lalu meletakkannya
ke atas meja.
“Mak cik tak
makan sama?” soal Annessa ke arah Nani yang nampak gelisah sahaja. Nani hanya
menggeleng. “Kenapa? Tunggu papa ke?”
Nani hanya
tersenyum nipis. Soalan Annessa dibiarkan berlalu tanpa jawapan.
“Anne rasa mak
cik tak payahlah tunggu papa. Sekarang ni dah pukul 9.00 malam. Kalau papa
balik pun, papa tentu dah makan.”
“Anne makan
ajelah. Tak payah risau pasal mak cik.” Nani menjawab sambil membawa dirinya ke
depan televisyen.
Annessa
tidak mengendahkannya. Dia mula menyuap nasi. Ketika dia selesai makan lebih
kurang 15 minit kemudian, Nani masih lagi mengadap kaca tv.
SOFEA
memecut keretanya. Dia hendak segera sampai ke rumah untuk bertemu dengan
anak-anaknya. Jam di dashboard
memberitahunya tentang waktu yang telah mencecah ke angka 10.30 malam. Aleya
mungkin sudah masuk ke bilik tidurnya.
Adeela! Ya,
dia mahu pulang dan bertemu dengan Adeela. Dia mahu berbincang dari hati ke
hati dengan anak gadisnya itu. Dia mahu menyelami isi hati Adeela yang mungkin
lebih merana dan sengsara akibat perceraian ini.
Selama ini
dia terlalu menurut kata hatinya. Perkahwinannya dengan Zikri sudah lama
hambar. Dia tidak tahu kehambaran itu berpunca daripada siapa. Zikri sering
menuduhnya terlalu obsesi pada kerja. Dia menafikannya dan menganggap Zikri
cuba menyekat peluangnya untuk berjaya dalam kerjayanya.
Ketika Zikri
mempersoalkan tentang kesibukannya, dia pula menuduh lelaki itu sengaja mencari-cari
kesalahannya. Dia menuduh Zikri sengaja mahu menutup peluangnya untuk berjaya
dalam kerjaya.
“I ni suami
you, Fea. I perlukan you. Begitu juga dengan anak-anak. Mereka perlukan you!”
Begitulah luahan Zikri kepadanya.
“Apa yang
you harapkan daripada I, Zik? I orang suratkhabar. You pun tau, I kerja tak
tentu masa. Kerja I tak sama macam orang yang kerja pejabat, keluar rumah pukul
7.00 pagi dan balik semula jam 5.00 petang. Sejak bila you tak faham tentang
kerja I, ni?” Dia membentak.
“I
dah lama bersabar dengan you dan jugak kerjaya you, ni. Payah-payah sangat you
berhenti kerja ajelah. I mampu sara you dan anak-anak.”
Matanya
membuntang merenung wajah suaminya. Dia tidak menyangka yang kata-kata sebegitu
akan muncul daripada mulut Zikri.
“Apa, Zik?
You suruh I berhenti kerja?”
Zikri
angguk. “Ya! Dulu memang I tak berani suarakan hal ni. Masa tu kita
masing-masing sibuk kumpul duit untuk hari depan kita sekeluarga. Tapi sekarang
ni, kerjaya dan income I pun dah
stabil. I rasa tak jadi masalah besar kalau you letak jawatan dan kerja sepenuh
masa untuk I pulak.”
“Melampau
betul you ni, Zik!” sergahnya. Ketika suaranya sudah mula meninggi, Zikri lebih
senang mendiamkan diri.
Dia
mempersoalkan kenapa Zikri sanggup menyuruhnya agar berhenti kerja. Sedangkan
suatu ketika dahulu mereka pernah belajar di menara gading yang sama. Mereka
hanya dipisahkan oleh jurusan yang berbeza. Sebelum menjadi isterinya dahulu, Zikri
mengaku akan memahami kerjayanya kelak.
Tetapi
setelah berbelas-belas tahun hidup bersama, Zikri dengan begitu lancang
menyuruhnya berhenti kerja. Baginya semua ini amat tidak adil. Lebih-lebih lagi
setelah Encik Ismail menyakinkan yang dia akan dinaikkan pangkat sebagai editor
kanan tidak lama lagi.
Dia berdegil
tidak mahu berhenti kerja hanya kerana alasan Zikri sunyi dan anak-anak
perlukan lebih perhatian daripadanya. Dia merasakan Zikri sengaja
mengada-adakan alasan untuk menegakkan keegoannya sebagai seorang suami. Selama
ini dia sentiasa sibuk. Tidak pernahnya dia tidak sibuk. Namun anak-anak
bagaikan tidak kisah dengan kesibukannya. Mereka telah belajar untuk menjadi
individu yang berdikari.
Entah kenapa
Zikri masih terus-terusan mendesak agar dia segera meletakkan jawatannya.
Lelaki yang dahulunya amat memahami tiba-tiba sahaja berubah sikap. Situasi itu
membuatkan hubungan mereka menjadi tegang.
Ketika
itulah Tengku Amirul muncul semula dalam hidupnya...
“LAMBAT
balik, bang?” Nani menyapa di muka pintu.
Zikri tidak
segera menjawab. Dia melangkah masuk lalu menghempaskan punggung ke kusyen.
Bagaikan letih benar.
“Awak dah
makan?” Zikri menyoal.
“Belum. Saya
tunggu abang balik.”
“Lain kali
kalau saya balik lambat, awak tak payahlah tunggu. Makan dulu. Nanti babydalam kandungan tu kelaparan
pulak.” Zikri menyentuh lembut perut Nani yang sudah jelas kelihatan. “Anne
mana?”
“Dalam bilik
dialah. Dah tidur agaknya.”
“Sebenarnya
tadi saya makan malam dengan Fea. Dia telefon saya tengah hari tadi dan
beria-ia nak jumpa. Kami bincang hal anak-anak terutamanya tentang Anne dan
Deela.”
“Kenapa
abang beritahu saya semua ni?” terjah Nani tiba-tiba. Zikri agak terkejut
kerana disergah begitu. Mungkin dia tidak menjangka yang Nani berani
meninggikan suara di depannya.
“Awak isteri
saya. Apa salahnya kalau saya berterus-terang dengan awak? Nani, walaupun saya
dan Fea dah bercerai tapi masih ada penghubung di antara kami berdua iaitu
anak-anak.” Jelas Zikri.
“Suka hati
abanglah!”
“Awak lapar?
Jom, saya temankan awak makan.”
“Tak payah!
Tiba-tiba aje saya kenyang.” Nani merajuk dan terus meninggalkan Zikri di ruang
tamu.
Tanpa
disedari baik oleh Zikri mahupun Nani, Annessa sedang menelinga perbualan di
antara mereka berdua di sebalik celahan pintu biliknya yang sengaja tidak
ditutup rapat.
ADEELA
termenung sendirian di ruang tamu. Perutnya pula rasa kurang selesa, menyenak
saja sejak awal malam tadi. Mungkin disebabkan oleh hidangan keli berlada yang
menjadi santapannya tadi. Ikan keli yang digoreng dengan cili padi itu memang
menyengat pedasnya. Tetapi, dia dan Aleya tidak punya banyak pilihan. Walaupun
pedas dan sambalnya terasa agak kurang masak, terpaksa ditelan juga. Hari sudah
merangkak senja dan dia pula malas hendak ke gerai Pak Tam sekali lagi.
Aleya sudah
lama masuk ke bilik tidurnya. Mungkin adiknya itu sudah pun terlena dibuai
mimpi nan indah. Aleya makan sikit saja malam tadi kerana tidak tahan dengan
sambal yang agak pedas itu.
Siaran tv
langsung tidak menarik perhatiannya. Dia membayangkan wajah kakak kembarnya,
Annessa. Apakah yang dibuat oleh Annessa sekarang? Sudah tidurkah dia?
Dia benci
dengan perpisahan itu. Begitu juga dengan Annessa. Namun, mereka berdua
langsung tidak diberikan sebarang pilihan. Baginya, Zikri dan Sofea terlalu
kejam kerana tega mengheret anak-anak dalam kancah permasalahan mereka.
“Deela tak
nak Anne pergi. Papa dan mama tak adil pada kami. Kalau papa dan mama nak bercerai,
cerai ajelah... tapi jangan pisahkan kami!” Dia membentak. Perpisahan itu
sungguh tidak adil kepada dia dan Annessa yang telah berkongsi segala-galanya
selama ini. Mereka mengongsi rahim yang sama. Malah, mereka juga mengongsi
wajah yang sama.
“Deela, papa
dah capai persetujuan dengan mama. Papa mahu salah seorang anak papa berada di
samping papa. Anne pun tak membantah.” Zikri bersuara.
Adeela
menyeka air mata yang menubir dengan tangan kanannya. Dia menoleh ke arah
Annessa yang hanya mendiamkan diri. Kenapa Annessa tidak bersuara walau sepatah
pun?
Kenapa?
“Kita semua
menderita kerana perpisahan ni. Tapi semua orang harus terima hakikat.
Lama-lama nanti semuanya akan okey semula.”
“Kenapa papa
dan mama perlu bercerai? Kenapa tak berusaha sungguh-sungguh untuk selamatkan
perkahwinan, ni?” Adeela terus menjawab. Dia tidak mahu mengaku kalah.
“Deela,
jangan sulitkan keadaan boleh tak?” Mamanya yang hanya mendiamkan diri sejak
tadi, mula menyampuk. “Kau ni tak faham ke? Papa dan mama dah bercerai. Kami
tak boleh tinggal sebumbung lagi. Papa nakkan salah seorang anaknya tinggal
dengan dia. Anne dah setuju untuk ikut papa. Kenapa? Deela bantah ke? Atau,
Deela nak tawar diri untuk gantikan tempat Anne?”
Dia amat
terkejut dan sedih kerana Sofea tidak pernah meninggikan suara kepadanya selama
ini. Sergahan mamanya tidak dijawab. Dia hanya melayan kepedihan yang bersarang
di hatinya.
“Kalau Deela
nak gantikan tempat Anne, cakap cepat. Jangan peningkan kepala mama lagi!”
suara Sofea semakin tinggi. Suasana di ruang tamu ketika itu sungguh tegang.
“Aku dah
buat keputusan untuk tinggal dengan papa, Deela. Kau janganlah sulitkan lagi
keadaan. Mama dan Yaya perlukan kau kat sini.” Annessa akhirnya bersuara.
Dia menoleh
ke arah Annessa. Seperti juga dia, air mata Annessa berjurai jatuh bagaikan
titisan hujan setelah awan terbelah.
Telefon
bimbit yang tergeletak di atas meja kopi tiba-tiba sahaja berbunyi menandakan
dia menerima satu pesanan ringkas. Dia segera bangkit untuk melihat siapakah
yang menghantar mesej kepadanya. Rupa-rupanya mesej itu daripada Annessa.
‘Mama dah balik ke? Rupa-rupanya mama dan papa makan
malam bersama.”
Mama dan
papa makan malam bersama? Ini petanda baik. Mungkinkah mereka akan berbaik-baik
semula? Dia segera menekan punat-punat di dada telefon bimbitnya untuk membalas
mesej Annessa.
‘Berita baik ni. Mana kau tau?’
Dia segera
menekan butang send untuk menghantar
mesej tersebut. Dia tidak perlu menunggu lama kerana seketika kemudian jawapan
daripada Annessa diterimanya.
‘Aku dengar dari mulut papa sendiri. Dia beritahu mak
tiri kita. He... he... nampaknya mak tiri tu jealous gak. Kau tak tidur lagi ke?’
Adeela masih
belum pernah bersua dengan Nani, jadi dia tidak tahu wajah Nani yang
sebenarnya. Dia bencikan perempuan yang telah merosakkan rumah tangga papa dan
mamanya. Dia segera membalas mesej daripada Annessa.
‘Padan muka! Sapa suruh ganggu rumah tangga orang. Aku
tak dapat tidur ni. Sakit perut. Salah makan agaknya. Aku terserempak dengan Wan
kat stesen komuter Shah Alam tadi. Dia tanyakan kau. Agaknya dia rindukan kau kut,
Anne?’
Dia menunggu
beberapa ketika kalau-kalau Annessa akan membalas mesejnya. Namun Annessa
senyap saja selepas itu. Mungkin Anne dah tidur, bisik hati Adeela. Ketika
itulah dia terlihat cahaya lampu kereta Sofea memasuki perkarangan rumah.