Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 17

17

ANNESSA terduduk di birai katil dengan tubuh yang menggigil. Air matanya menitis. Dia seolah-olah turut mengalami setiap kejadian yang menimpa diri adik kembarnya. Setiap petunjuk juga pelakunya tergambar dengan jelas di ruang mata.

Pun begitu, dia gagal menemui Adeela di bilik bawah tanah itu. Mungkin Mak Tijah tahu apakah yang terjadi kepada Adeela, bisik hatinya. Aku harus tinggalkan tempat ni segera sebelum Tengku Amirul berjaya menjejaki diriku di sini. Dia bermonolog.

Dia mengatur langkah untuk meninggalkan bilik itu. Ketika dia menadah kegelapan malam, hujan yang lebat tadi telah digantikan dengan gerimis. Dia melangkah perlahan-lahan dengan berpandukan kepada limpahan cahaya neon dari arah banglo. Satu sahaja yang menerpa ke mindanya ketika itu; dia harus segera meninggalkan ladang itu kalau ingin selamat.

Tapi aku harus berjumpa dengan Mak Tijah. Mungkin orang gaji tu tahu apa yang telah berlaku kepada adikku, hatinya berbisik. Dia berbelah bahagi sama ada hendak menemui Mak Tijah ataupun melarikan dirinya dari ladang itu.

“Ke mana aje kau ni, Anne?”

Jantung Annessa bagai hendak gugur apabila disergah begitu. Dia menoleh ke belakang dan melihat Tengku Amirul sedang merenungnya tajam.

“Kau ke mana, hah?” Tengku Amirul menyoal. Bengis.

“Err...”

“Kenapa kau merayau-rayau pada waktu begini? Apa sebenarnya yang kau cari?”

“Tengku rasa apa yang sedang saya cari? Cubalah teka.” Annessa membalas. Sengit.

Dia sudah tertangkap. Dia sedar, dia tidak akan berjaya kalaupun dia cuba melarikan dirinya dari situ. Kerana tidak jauh dari tempat mereka berdiri, kelihatan Pak Sudin sedang mengawasinya.

Ketika melihat lelaki di depannya hanya diam tidak menjawab, Annessa menyambung, “Tengku tahu apa yang saya sedang cari kan? Di manakah dia, Tengku? Mana adik saya, Adeela?”

“Kenapa kau ingat dia ada di sini? Macam yang aku pernah bagitau polis dulu, aku tak tahu apa-apa tentang kehilangan dia. Kenapa kau ingat dia ada di sini?”

“Deela yang bagitau aku segala-galanya. Kau langar dia dengan kereta mini kau dan kau heret dia ke mari kan? Kau kurung dia dalam bilik tu, kan?” Annessa menuding jarinya ke arah bilik yang baru saja ditinggalkannya.

“Apa buktinya? Kau nampak dia di situ? Jasadnya... mayatnya?”

Annessa semakin tertekan. Badannya menggigil antara takut dengan marah. “Di mana kau sembunyikan adik aku hah, binatang?”

“Sudin!” Tengku Amirul memanggil. Annessa sudah bersedia hendak melarikan diri apabila melihat Pak Sudin bergerak ke arahnya. “Jangan biarkan dia terlepas, Sudin!” Tengku Amirul melaung ke arah Pak Sudin yang sedang memburu Annessa.

ANNESSA lari susup sasap dalam suasana yang agak samar-samar. Dalam keadaan dirinya yang diselubungi ketakutan itu, dia tidak dapat berfikir dengan tenang. Dia tahu Pak Sudin sedang memburunya kerana sesekali dia nampak kelibat lampu suluh di belakangnya.

Ya ALLAH, selamatkanlah aku... desis hatinya.

“Jangan takut, Anne. Tuju ke arah kanan. Di situ ada sebuah lorong yang menghala ke pinggir hutan. Aku akan tunggu kau di situ!”

Annessa seolah-olah terdengar satu suara yang sedang membimbingnya. Dia berlari, semakin laju dan semakin pantas meninggalkan Pak Sudin jauh di belakangnya.

“Ya, Anne! Teruskan... teruskan! Larikan diri kau jauh-jauh dari banglo tu!” Suara itu terus bergema seolah-olah sedang meniup semangat ke telinganya.

Dia menyelinap melepasi pagar yang bocor lalu menghala ke pinggir hutan. Dia memperlahankan langkahnya dan mencari tempat untuk bersembunyi. Keletihan menusuk tulang-belulangnya. Hujan lebat yang turun seketika tadi membuatkan suasana di pinggir hutan itu amat tidak selesa. Dia tidak menghiraukan gigitan nyamuk dan serangan pacat di lantai hutan itu, sebaliknya lebih tertumpu kepada keselamatan nyawanya.

“Jangan risau, Anne. Aku akan jaga kau.” Suara itu bergema lagi ketika dia terduduk melepas lelah di atas banir sebuah pokok besar. Dihambat keletihan, dia tersengguk-sengguk dan akhirnya tertidur.

ANNE... Annessa!”

Laungan namanya itu membuatkan dia terjaga. Sejalur cahaya matahari bagaikan seorang gadis pemalu, sedang menyuluh wajahnya. Dia merapatkan tubuhnya ke banir pokok, seolah-olah mahu melindungi dirinya daripada dilihat orang.

“Anne! Anne!”

Dia mengamati suara itu, dan berjaya mengecamnya. Itu adalah suara Tengku Najib. Dia hendak keluar dari tempat persembunyiannya. Tapi, bagaimana kalau Tengku Najib datang mencarinya bersama-sama dengan Tengku Amirul dan Pak Sudin? Kemudian, dia nampak kelibat beberapa orang tidak jauh dari tempat persembunyiannya.

Polis, bisik hatinya.

“Tolong... tolong!” Dia menjerit sekuat-kuat hatinya.

ANNESSA telah dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan sebagai pesakit luar akibat keletihan dan calar-balar di tubuhnya. Pegawai penyiasat, Inspektor Hisyam, baru saja keluar dari wad itu setelah mendapatkan keterangan dari pihaknya. Dia mengambil kesempatan itu untuk berehat-rehat di katil dengan ditemani mama dan juga adiknya, Aleya.

“Mujur Mak Tijah kejutkan Jib dari tidur setelah lihat Anne tak ada di bilik. Ketika keluar mencari Anne di belakang banglo itulah dia terdengar perbualan antara Anne dengan Tengku Amirul dan bagaimana lelaki tu mengarahkan Pak Sudin menangkap Anne. Jib terus menghubungi pihak polis.” Sofea bercerita.

“Mujur Jib cepat bertindak dengan menghubungi pihak polis. Kalau tak... entahlah! Habis tu, apa yang dah terjadi pada Tengku Amirul dan Pak Sudin?”

“Mereka dah ditangkap polis dan dibawa ke balai untuk disoal siasat. Mereka takkan terlepas daripada perbuatan mereka kali ni.”

“Dan, Deela?”

“Deela berjaya melarikan diri dari banglo tu dengan bantuan Mak Tijah. Tapi semasa melarikan diri tu, Deela terjatuh dan kepalanya terhentak pada banir pokok betul-betul di tempat Anne bersembunyi malam tadi.” Wajah Sofea beralih mendung. “Akibat daripada hentakan kuat di kepalanya, Deela mengalami gegaran otak yang membuatkan dia hilang ingatan sementara.”

“Ya ALLAH, kesiannya Deela. Mama, Anne nak jumpa Deela!” Annessa bingkas bangun dari katilnya.

“Boleh, tapi biarlah kita keluar dari hospital ni dulu. Kejap lagi papa akan datang jemput kita. Lepas tu kita akan terus pergi ke rumah keluarga yang dah menyelamatkan Deela. Deela berlindung di situ selama ni,” jawab Sofea.

AKU kenal kau!” getus gadis cantik itu sambil merenungnya tepat ke mata. “Kau Deela, kan?”

Annessa senyum. Dia menggeleng. “Bukan, Deela tu adik aku. Nama aku Anne.”

“Kau tipu! Kau Deela... Deela!”

Annessa menelan air liurnya. Pedih hatinya melihat keadaan adik kembarnya yang sudah hilang ingatan itu; walaupun menurut doktor ianya hanya bersifat sementara.

“Kalau kau nak panggil aku Deela pun tak mengapa. Kerana aku dan Deela mempunyai wajah yang sama.”

Gadis manis itu tersenyum lebar. “Memang pun! Aku nak panggil kau, Deela.”

“Habis tu, aku nak panggil kau apa?”

“Anne... Annessa. Aku suka nama tu.”

Annessa ketawa. “Ikut suka kaulah. Kau sihat, Anne?”

“Aku sihat. Aku nak pulang ke rumah. Aku nak minta maaf pada mama kerana merajuk dan tinggalkan rumah malam tu. Kalau aku tak tinggalkan rumah, tentu aku tak jadi macam ni. Deela, bawalah aku balik.”

Annessa bagai hendak menitiskan air matanya di depan Adeela. Namun, ditahankan sahaja. Dia harus kuat untuk membakar semula semangat adik kembarnya. Dia menoleh ke arah papa dan mamanya. Mereka hanya mengangguk-anggukkan kepala. Menurut doktor yang menemani mereka melawat Adeela di rumah keluarga angkat yang menjaganya itu, ingatan Adeela beransur-ansur pulih.

Dia harus dibawa pulang ke rumah keluarganya dan mengimbas kembali tentang memori silamnya. Menurut doktor, proses itu akan mempercepatkan proses pemulihannya.

“Jangan risau, Anne. Aku akan bawa kau balik.” Dia menghampiri Adeela lalu memeluknya erat.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.