Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 45

45

PETANG. Kalau boleh dia tidak mahu keluar dari biliknya sekadar untuk mencipta sengketa dengan mamanya. Tetapi dia terpaksa juga turun ke bawah setelah didesak-desak oleh bapa saudaranya.

“Sampai bila kau nak berkurung dalam bilik ni, Jib?” tegur Tengku Reza tatkala menjenguknya di bilik petang itu. “Jomlah turun!” gesanya.

“Malaslah nak dengar mama membebel.”

Tengku Reza menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Sebagai anak jantan dalam keluarga ni kau harus berani berdepan dengan masalah. Kita jangan sekali-kali lari dari masalah, kelak masalah yang akan mengejar kita.” Eh, sejak bila pulak aku pandai memberikan motivasi pada orang ni, getus hati Tengku Reza setelah mengucapkan kata-kata itu kepada Tengku Najib. “Jomlah turun!”

“Yelah...”

“Macam tulah anak jantan.” Getus Tengku Reza sambil tersenyum sumbing memandang wajah anak saudaranya yang bagaikan apek kalah judi itu.

Pisang goreng Markonah sudah menanti mereka di meja makan. Panas-panas lagi. Begitu juga dengan seteko Nescafe pekat.

“Mama mana bik?” soal Tengku Najib ke arah Markonah yang sedang menabur kerak pisang goreng ke dalam pinggan. Setelah tiga tahun bekerja sebagai pembantu rumah dengan keluarga itu, dia tahu kerak atau lebihan adunan tepung yang digoreng rangup itu adalah kegemaran anak manja majikannya.

“Aih, jangan ditanya... makan aje deh. Nanti kalau ibu ada di sini, pasti bertengkar.”

“Eh, bibik ni!”

“Ibu sudah keluar. Dia yang suruh bibik goreng pisang ni untuk Najib. Tapi sebelum keluar tadi, ibu sempat pesan supaya Najib jangan sekali-kali lari dari rumah.” Pembantu rumah berusia 40-an itu menyambung.

Tengku Najib mengalihkan pandangannya ke arah Tengku Reza. Dilihatnya lelaki itu hanya menyengih sahaja.

“Mama mana yang tak sayangkan anaknya, Jib.” Getus Tengku Reza sambil mencapai sekeping lagi pisang goreng.

“Betul tu, uncle. Tapi saya tak boleh terimalah bila mama asyik hina Anne dan keluarganya semata-mata tak puas hati sebab Uncle Amir masuk penjara. Bukan mereka yang menyebabkan Uncle Amir masuk penjara, tapi undang-undang yang dah menetapkan begitu.” Tengku Najib membidas.

Tengku Reza mengangguk. Dia tidak berminat untuk mengetahui keadaan abangnya yang kini sedang merengkok di penjara akibat perbuatannya sendiri. Sengaja cari penyakit, terimalah padahnya, bisik hatinya. Tetapi dia lebih tertarik untuk mengetahui kesemua cerita tentang Annessa.

“Kalau boleh saya tak nak jumpa awak lagi, tau tak!” kata-kata gadis itu menghentak semula ke ruang ingatannya membuatkan dia tersenyum sendiri. Sombongnya kau duhai gadis.

Kau cakaplah apapun, duhai gadis. Tapi setelah aku mengetahui yang kau adalah Annessa, entah mengapa hatiku bagaikan ditarik-tarik untuk mengenali kau dengan lebih rapat lagi.

“Jib, err... aku ni bukan nak menyibuk hal kau, tapi boleh aku tahu sejauh mana hubungan kau dengan Anne?”

“Kami boleh dikatakan agak rapat jugaklah.”

Agak rapat jugaklah, jawapan yang kedengaran agak longgar pada pendengaran Tengku Reza. Pun begitu, dia tersenyum cuma.

“Sepanjang perkenalan kau dengan dia ni, pernah tak kau terfikir kalau-kalau dia sengaja nak ambil kesempatan terhadap kau setelah dia dapat tahu yang kau ni sebenarnya anak saudara Amir, lelaki yang dia syak sebagai orang yang menculik adiknya?” Apa yang sedang aku lakukan ini? Kenapa aku perlu memercikkan rasa curiga di hati Najib terhadap gadis itu?

Dia ingin sekali menarik kembali ‘racun’ yang sedang cuba disiramkan di sudut hati anak saudaranya terhadap seorang gadis bernama Annessa, tetapi ‘racun’ yang sudah disembur itu mustahil disedut kembali ke dalam tongnya.

“Apa yang uncle cuba sampaikan pada saya ni?” soal Tengku Najib sambil merenungnya tajam.

“Err... maafkan aku. Aku tak berniat pun nak memburuk-burukkan kawan kau tu. Maaf!” Tengku Reza tergesa-gesa menghabiskan Nescafenya lalu segera meninggalkan Tengku Najib setelah memberikan alasan hendak mandi.

KUNYAHAN yang tadinya laju tiba-tiba sahaja menjadi semakin perlahan dan kemudiannya terus terhenti. Kata-kata yang terlepas dari mulut Tengku Reza seketika tadi telah berjaya mengganggu ketenangannya. Bukan tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa Annessa ada agenda yang tersendiri sewaktu mula-mula berkawan dengannya dahulu.

Dia juga bukanlah seorang yang mudah percaya kepada apa yang dipanggil sebuah kebetulan. Masih segar dalam ingatannya saat pertama kali bertentang mata dengan Annessa. Pagi itu dia mencari Zakuan di kafe, kebetulan pula Annessa sedang bersarapan dengan Zakuan. Mata bertentangan, dan entah mengapa kecantikan gadis itu terus terpahat di hatinya.

Kebetulan pula bapa saudaranya, Tengku Amirul, adalah bekas kekasih mama Annessa yang yang sudah bercerai dengan suaminya. Kesempatan itu digunakan oleh Tengku Amirul untuk masuk semula ke dalam hidup Sofea. Pun begitu, Sofea bukanlah buruannya. Sebaliknya dia lebih berminat kepada Adeela, adik kembar Annessa. Sehingga sampai suatu saat, Tengku Amirul dirasuk syaitan hingga tergamak menculik Adeela. Suatu hari dia membawa Annessa untuk diperkenalkan dengan bapa saudaranya, dan akhirnya semua rahsia yang disimpan Tengku Amirul terbongkar – end of story. Apakah semuanya semudah itu?

Pernah sekali dia meminta Annessa menerangkan kepadanya bagaimana dia boleh begitu yakin bahawa Tengku Amirul adalah dalang di sebalik penculikan Adeela. Dan beginilah jawapan yang diberikan Annessa kepadanya: “Nak mulakan cerita macam mana ye? Entahlah, I sendiri pun tak pasti. I bertindak mengikut gerak hati I aje. Kadang-kadang I dapat mimpi seolah-olah I yang sedang berada di tempat Deela. Kadang-kadang pulak, I mimpi Deela minta tolong dengan I. Tapi sebaik aje I tengok gambar you dengan uncle you di depan banglo tu, gerak hati I kuat menyatakan yang Deela dikurung di situ. Inikah yang dipanggil orang dejavu, Jib? Kalaulah benar apa yang I alami selama ni adalah dejavu, I bersyukur sangat-sangat kerana ianya dah banyak bantu I mencari Deela.”

Kemudian Natasya yang tidak puas hati kerana telah ditinggalkan pula tampil di depannya dengan wajah yang lencun dengan air mata sambil menghulurkan sekeping gambar.

Begini kata Natasya: “Kenapa you nak tinggalkan I demi budak perempuan tu, Jib? Apa kurangnya I? Selama ni I ikhlas berkawan dengan you. Ni I nak tanya, budak tu ikhlas ke rapat dengan you? Atau dia rapat dengan you sebab nak jerat lelaki yang berada di sebelah you dalam gambar ni?”

Argh! Pening kepala kalau terlalu memikirkannya.

“Mama tak suka tengok Jib rapat dengan orang yang dah cuba menghancurkan keluarga kita. Kalau Jib sayangkan mama, putuskan hubungan Jib dengan dia. Tak ada perempuan lain ke di dunia ni, Jib? Apa kurangnya Tasya tu? Dia lebih cantik daripada budak yang Jib tergila-gilakan tu!” Begitulah hentakan kebencian yang terlontar dari mulut mamanya terhadap Annessa.

“Kalau sampai hubungan kau dengan mama kau sendiri retak, berbaloi ke kau terus berkawan dengan Anne tu, Jib?” Persoalan yang dilemparkan oleh Tengku Reza pula menghentak ruang fikirannya.

Dia membayangkan wajah Annessa. Tidak dinafikan rindu yang mengalir di sudut hatinya terhadap temannya itu. Aku ikhlas menyukaimu, Anne. Apakah kau juga seikhlas diriku? Atau benar kata-kata Uncle Reza tadi yang kau sengaja mahu ambil kesempatan terhadap diriku?

PETANG yang sama. Annessa berdiri di tepi padang sambil mengharapkan jejaka yang dicarinya akan muncul. Setelah cukup pasti yang Tengku Najib tidak akan beraksi dalam sesi latihan bersama teman-temannya yang lain di padang petang itu barulah dia menuju ke arah skuternya lalu meninggalkan kompleks sukan itu.


Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.