23
USAI meletakkan penanda buku pada bahagian yang sedang
dibacanya, Idris menutup naskhah tafsir yang sedang ditelaah lalu diletakkan di
atas meja cengal. “Kata orang dah dekat nak masuk waktu Maghrib macam ni tak
elok membaca. Nanti mata cepat rabun.” Dia teringat lagi pesanan ibunya, Mak
Miah. Walaupun kata-kata Mak Miah itu tidak dapat dibuktikan kebenarannya
secara saintifik, tetapi Idris sebagai anak berasa wajar untuk mengikut apa
yang dinasihati ibunya selagi tidak melanggar hukum syarak.
Walaupun
petang semakin menuju ke senja, tetapi suasana masih terang. Dia melangkah
keluar ke beranda. Meja kecil empat tempat duduk dituju.
“Kau
termenung ke, Tompok? Kau pun macam aku jugak, rindukan dia ke?” Dia menegur
seekor kucing berbulu tiga warna – kuning, putih dan hitam, yang kebetulan
sedang bersantai di atas salah sebuah kerusi di situ. Cara Idris menegur
seolah-olah kucing itu faham setiap apa yang dituturkannya.
Tompok
mengangkat kepalanya seketika. Memandangnya lurus sebelum berteleku semula
kepada kedudukan asalnya tadi.
“Kau
mengingatkan aku pada dia, Tompok.” Getusnya perlahan tatkala dejavu itu
membadai sekepal hatinya.
“DERIS, aku dan Fahmi nak memancing kat
sungai di hujung kampung kita ni. Kau nak ikut tak?” soal Nazri, salah seorang
kawan karibnya di kampung itu.
Dia, Fahmi
dan Nazri sudah berkawan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Persahabatan itu
tetap tidak terputus walaupun kini mereka telah membawa haluan hidup
masing-masing. Idris sedang melanjutkan pengajiannya ke bidang Syariah, di
universiti al-Azhar di Mesir. Fahmi pula menuntut di Universiti Pendidikan
Sultan Idris dan tidak lama lagi akan keluar sebagai guru berijazah. Sementara
itu, Nazri sudah bekerja di sebuah kilang elektronik di Petaling Jaya sebagai
juru elektrik.
Walaupun
Idris dan Fahmi dikira lebih bernasib baik dan berjaya dalam bidang pelajaran,
tetapi mereka tidak pernah memandang rendah kepada Nazri. Hubungan mereka tetap
akrab seperti sebelum ini.
Setiap
kali kalau dia berkesempatan pulang bercuti ke kampung halamannya, dia pasti
akan mencari Fahmi ataupun Nazri. Kali ini dia bernasib baik kerana Fahmi juga
sedang bercuti selama seminggu. Atas dasar persahabatan dan setiakawan, Nazri
pula sanggup mengambil cuti sehari dari tempat kerjanya semata-mata untuk
meluangkan masa yang amat berharga, yang jarang-jarang sekali muncul seperti
dahulu.
“Kau dan
Fahmi nak pergi ke sungai tu naik apa?” soalnya.
“Naik
motor akulah.”
“Habis tu,
aku macam mana? Motor tak ada. Ayah dan emak aku baru aje kejap tadi keluar ke
kampung sebelah, jenguk mak lang aku yang tak berapa sihat.”
“Kau
pinjam ajelah kereta ayah kau tu.” Pantas sahaja Nazri mencadangkan.
“Emmm...
okeylah. Ikan apa yang masih ada di sungai tu agaknya ye?”
“Sungai
kat hujung kampung kita ni boleh dikategorikan masih bersih dan belum tercemar
lagi. Kalau ada rezeki kita, mungkin ikan tengas, sebarau, lampam atau anak
seluang tersangkut di mata pancing kita nanti. Ah, kau jangan risaulah. Setiap
kali aku turun memancing di sana, belum pernah sekalipun aku pulang dengan
tangan kosong.”
“Umpannya?”
“Tu kau
jangan risau. Nanti kita korek cacing di kawasan sungai tu.”
“Tak boleh
bawa cacing yang dikorek dari belakang rumah kita ke?”
Nazri
ketawa. “Banyak ke cacing kat belakang rumah kau?”
“Adalah
jugak!” kata Idris sambil terbayangkan cacing tanah yang menggeliang-geliut
keluar dari sarangnya ketika dia mencangkul membersihkan kebun sayur sekangkang
kera di belakang rumahnya, petang semalam.
“Ah, tak
payahlah susah-susah. Kita korek cacing di tepi sungai tu ajelah nanti.
Biasanya ikan lebih tertarik pada umpan yang didapati berhampiran dengan
habitatnya.”
Idris
mengangguk. Dia mengakui kepakaran Nazri dalam bab memancing. Pemuda itu pernah
menerangkan kepadanya bahawa umpan yang disediakan haruslah sesuai dengan ikan
apa yang hendak dipancing. Contohnya kalau hendak memancing ikan patin,
umpannya adalah buah ara atau berembang yang terdapat di tepi-tepi sungai.
Tetapi
menurut Nazri, sekarang ini ramai pemancing menggunakan dedak yang dicampur
dengan perisa ros atau pandan untuk memancing patin. “Ikan pun dah kena
temberang dengan manusia,” kata Nazri sambil tergelak besar kemudiannya.
Dia turut
berdekah mendengar kata-kata Nazri. “Memang patut pun kena temberang sebab ikan
tak pergi sekolah macam kita,” komennya.
“Hmmm...
eloklah tu. Kalau ikan pun sibuk-sibuk nak pergi universiti macam kau dan
Fahmi, nampaknya tak makan ikanlah kita!”
Mereka
berdekah lagi.
Nazri
memandang jam yang tersangkut di lengan kanannya. “Eh, aku pergi jemput si
Fahmi kat rumah dia dululah. Kau bersiaplah ye. Nanti lama pulak Fahmi tunggu.
Kau dah siap nanti, terus datang ke rumah Fahmi ye. Kami tunggu kau kat sana
ajelah.”
“Okey, kau
bagi aku masa sepuluh minit.” Sahutnya lalu terus masuk ke rumahnya.
LIMA belas minit kemudian, mereka bertiga bergerak menuju ke
sebatang sungai yang terletak di hujung kampung. Nazri dan Fahmi bermotosikal,
sementara Idris pula memandu kereta Proton Saga putih milik ayahnya.
Untuk ke
sungai itu, mereka terpaksa menyusuri denai sempit yang laluannya hanya boleh
dilalui oleh motosikal sahaja. Kerana tidak sampai hati membiarkan Idris
berjalan kaki seorang diri, Nazri mengambil keputusan untuk turut meninggalkan
motosikalnya di jalan masuk ke denai itu.
Sehati
sejiwa. Susah senang bersama, itulah prinsip yang mereka bertiga pegang
sehingga kini.
“Mak lang
kau tu sakit teruk ke, Deris?” soal Fahmi ketika mereka berjalan menyusuri
denai.
“Demam
biasa aje. Emak aku tolong masakkan nasi dan lauk untuk kakak kesayangan dia.”
Idris memberitahu.
“Bagus
emak kau tu. Sanggup masakkan nasi dan lauk untuk kakaknya. Anak-anak mak lang
kau tu semuanya kerja jauh-jauh kan?”
“Hmm...
apa nak buat. Ada anak, tapi semuanya kerja jauh-jauh. Nak salahkan mereka
seratus peratus sebab tak dapat jaga ibu yang sakit pun, tak patut jugak. Almaklumlah,
masing-masing ada tanggungjawab yang hendak dipikul. Kalau tak silap aku,
seorang kerja sebagai pegawai kerajaan di Putrajaya, seorang di Johor Bharu dan
seorang lagi mengajar di Seremban. Anak bongsu mak lang pulak ikut suaminya yang
bekerja sebagai pegawai polis tinggal di Perlis.” Keluh Idris.
“Kau nanti
macam tulah jugak agaknya. Kau tu anak tunggal. Dah tu, belajar jauh-jauh sampai
ke Mesir. Macamlah kat Malaysia ni tak ada universiti.” Nazri sempat menyembur.
“Hey,
engkau ni, Naz! Sedap aje mulut kau bercakap. Kita hanya akan jadi generasi
yang maju dan berjaya kalau sanggup berkorban. Nabi sendiri pernah bersabda,
tuntutlah ilmu walau sampai ke Negara China. Junjungan Nabi kita sendiri pun dah
menyeru umatnya sampai begitu sekali. Kau pulak lebih rela lihat kawan kita si
Deris ni, terperuk aje kat rumah?” Fahmi membidas pantas kata-kata Nazri.
“Uhuk... uhuk....”
Nazri terbatuk-batuk disergah Fahmi. “Iyelah, Cikgu Fahmi. Saya faham apa yang
cikgu nak terangkan pada saya tentang kepentingan ilmu tu.”
“Hesy, aku
belum jadi cikgu lagilah!” getus Fahmi.
“Tak lama
lagi jadilah kau cikgu. Apa salahnya kalau aku panggil kau ‘cikgu’ mulai
sekarang?” Nazri berkeras. “Berbalik pada perbahasan kita sebentar tadi, bila
masing-masing dah ada kerjaya sendiri, sibuk dengan tugas segala bagai jadi macam
mana nasib seorang ibu tua yang ditinggalkan di kampung? Siapakah yang nak jaga
ibu tua ini kalau dia sakit? Siapakah yang nak masakkan nasi dia kalau dia dah
tak larat nak masak?”
“Ambil
contoh yang paling mudah ajelah, ni... kawan kita si Deris ni. Dahlah anak
tunggal, belajar pulak nun di Mesir sana. Kalau ditakdirkan dia bertemu jodoh
dengan perempuan Mesir dan dapat pulak kerja di Mesir nanti macam mana agaknya
ibu dan ayahnya yang tinggal di kampung ni? Kalau mereka sakit, siapa yang nak
tolong jaga?”
“Kaulah
yang tolong tengok-tengokkan emak dan ayah dia. Apa susah! Betul tak, Deris?”
hempuk Fahmi.
“Eh,
cantiknya muka engkau! Emak bapak orang takkan aku nak jaga pulak? Anak dia
sendirilah yang kena jaga.” Nazri mendengus.
“Engkau
yang sentiasa ada kat kampung ni. Engkaulah yang kena berkorban jagakan emak
ayah si Deris. Nanti kau tolong tengok-tengokkan emak dan ayah aku sekali ye!”
Bersahaja Fahmi bersuara.
“Weh, kau
orang berdua punya orang tua takkan aku yang kena tengok-tengokkan?”
“Kenapa?
Emak ayah kau sendiri pun kau tak mampu nak jaga, kan?” Fahmi tidak mahu kalah.
“Hey,
korang berdua ni! Cukup-cukuplah tu. Bertekak aje tak habis-habis dari tadi.
Kalau setakat bertekak dan masing-masing nak menegakkan pendapat sendiri, apa
kesudahannya? Aleh-aleh nanti bertumbuk pulak kat tengah-tengah semak ni.
Korang dah lupa ke tujuan kita kemari tadi? Kalau korang dah lupa mari sini aku
nak ingatkan balik, tujuan kita ke sini ialah untuk memancing kat sungai tu.
Kalau bernasib baik nanti boleh dapat banyak ikan sebarau atau anak seluang.
Esok bolehlah suruh emak aku buat gulai lemak cili padi campur terung telunjuk
dan kita bertiga dapat makan bersama-sama.” Idris yang hendak meleraikan
pertikaman lidah di antara Nazri dan Fahmi itu segera menyampuk.
“Kalau
korang masih jugak nak bertekak sesama sendiri, baik aku balik ajelah!” Sempat
lagi dia mengugut Fahmi dan juga Nazri. Untuk menunjukkan yang dirinya serius
dan bukan sekadar berpura-pura, dia berpaling seolah-olah hendak meninggalkan
kedua-dua orang teman yang mula menjengkelkan hatinya itu.
Mujurlah
Fahmi dan Nazri menghalang aku daripada berpatah balik, getus hatinya. Kalau
mereka membiarkan sahaja aku pulang, pasti aku tidak diketemukan dengan gadis
itu...
“HAI, Deris! Termenung aje mak tengok?”
“Eh, mak!
Err... tak adalah...”
Mak Miah
menggeleng-gelengkan kepalanya. “Jangan nak berbohong dengan maklah, Deris.
Dari tadi lagi mak dah perhatikan kau. Termenung sana, termenung sini. Kau
teringatkan dia ke?”
“Eh, mak
ni! Teringatkan siapa pulak ni, mak?”
“Bukan kau
seorang aje yang teringatkan dia, Deris. Mak pun lebih kurang macam kau jugak.
Kadang-kadang tu macam terpandang-pandang aje dia kat rumah rumah ni. Tapi dah
sampai masanya kita pulangkan dia ke pangkuan keluarganya. Mereka lebih berhak
terhadap dia. Tu pun nasib baik keluarga dia faham kedudukan kita dan ambil
keputusan untuk tak dakwa kita atas tuduhan menculik.”
“Takkan
mereka tergamak nak tuduh kita macam tu, mak. Lagipun kita yang selamatkan dia
dan beri perlindungan padanya.” Idris bersuara. Wajah manis gadis itu menyerbu
ke jiwanya lantas menyentap rindu ke jiwa.
LEBIH kurang sepuluh minit berjalan kaki menyusuri denai itu,
sampailah mereka bertiga ke destinasi yang dituju. Deruan air sungai yang
melompati batu-batu licin bagaikan irama merdu menusuk ke telinga. Syahdu! Muzik
semulajadi itu semakin diindahkan dek kicauan pelbagai jenis unggas serta bunyi
cengkerik. Kawasan sungai yang dikelilingi hutan kecil itu bagaikan secebis
syurga yang masih wujud untuk makhluk-makhluk kecil ini bergembira. Sedangkan
kawasan di sekelilingnya sudah pesat menerima pembangunan. Mujurlah air sungai
di hujung kampung itu masih juga sejernih dahulu. Masih lagi belum menerima
tempias pencemaran. Tetapi entah sampai bila sungai itu mampu bertahan angkara
kerosakan yang telah dilakukan oleh manusia di kawasan sekitarnya.
Nazri
segera menggali tanah di tepi sungai itu untuk mencari cacing yang akan
digunakan sebagai umpan memancing. Dia tidak perlu menggali terlalu dalam
kerana seketika kemudian kelihatan kelibat cacing merah menggeliang-geliut
keluar dari tempat persembunyiannya. Tanpa rasa jijik dengan haiwan yang licin,
berlendir serta berbau hamis itu, Nazri mencekus cacing-cacing itu dengan
tangan kosong lalu dilemparkan ke dalam baldi kecil yang tersedia.
Selepas
menyangkutkan umpan cacing ke mata kail, mereka masing-masing menuju ke tempat
yang dirasakan strategik menurut penilaian masing-masing. Idris bergerak agak
jauh meninggalkan rakan-rakannya. Dia menuju ke sebuah batu besar berhampiran
dengan banir sebatang pokok besar yang tidak diketahui jenisnya.
Tiba-tiba
jantungnya berdegup kencang apabila terlihat sepasang kaki terjulur keluar dari
arah banir dan batu besar itu. Langkahnya terhenti, tergamam. Matanya dipakukan
ke arah sepasang kaki itu. Daripada bentuknya, dia pasti yang ianya milik
seorang perempuan.
Aku sedang
berdepan dengan apa ni, Ya ALLAH? Ada orang mati dibunuh dan mayatnya dibuang
ke tebing sungai inikah? Atau, orang ni mati lemas dan mayatnya terdampar di
sini?
Dia masih
berdiri kaku. Tidak pasti apa yang harus dilakukannya tatkala berdepan dengan
situasi yang pertama kali menyinggah dalam hidupnya itu. Bermacam-macam
bayangan hinggap di fikirannya. Bagaimanakah agaknya wajah mayat yang terdampar
di depannya itu, apakah mengerikan?
Tiba-tiba
dia terdengar bunyi erangan. Wah, perempuan ni masih hidup, bisik hatinya
sambil menerpa ke arah sesusuk tubuh yang terlentang di hadapannya kini.
“Tolong ...
tolong saya...” rayu gadis yang tubuhnya hanya disaluti pakaian tidur daripada
kain satin berwarna biru, tatkala mata mereka bertentangan.
“Nazri!
Fahmi!!!” Idris melaung kuat untuk memancing perhatian kawan-kawannya.
“Kenapa,
Deris?”
“Sini!
Mari sini! Ada orang cedera!” Dia menjerit lagi.
“Eh, siapa
perempuan ni? Macam mana dia boleh berada kat tebing sungai ni?” Itulah soalan
yang terlontar dari mulut Fahmi sebaik sahaja sampai di tempat Idris.
Idris
tidak menjawab. Dia sendiri tidak tahu siapakah perempuan itu dan bagaimanakah
dia boleh berada di tebing sungai itu. Tubuh langsing yang agak lemah serta ada
kesan cedera di bahagian kepalanya itu segera dicempung. Walaupun tubuh itu terasa berat dalam
tatangannya, namun dia menggagahkan juga dirinya untuk sampai ke keretanya yang
terletak di pintu masuk denai. Kedua-dua orang teman rapatnya mengekori dari
belakang dengan minda yang penuh persoalan.
“Siapa
nama kau?”
“Anne...
Annessa.”
“Anne!
Cantik nama tu. Aku suka.”
Itulah sejarah
pertemuannya dengan Annessa. Menurut Annessa, dia lari daripada keluarganya
kerana tidak setuju dengan jodoh yang diaturkan terhadap dirinya. Mungkin disebabkan
rasa kasihan atau dia sendiri sudah tertarik hati dengan kecantikan Annessa,
maka dia meminta keluarganya untuk memberikan perlindungan kepada gadis malang
itu. Annessa diterima masuk ke dalam keluarga kecilnya dengan tangan yang
terbuka.
Sehinggalah
suatu hari, dia yang ketika itu sudah habis cutinya dan berada di Mesir,
menerima panggilan daripada keluarga yang menyampaikan berita bahawa Annessa
atau lebih tepat lagi, Adeela, sudah dipulangkan semula ke pangkuan
keluarganya.
Selepas
itu barulah dia mengetahui cerita yang sebenarnya...
Gadis yang
mendakwa dirinya Annessa itu sebenarnya bernama Adeela. Annessa pula adalah
kakak kembar kepada Adeela. Adeela adalah mangsa culik. Dia dilarikan daripada
keluarganya dan dikurung oleh penculiknya. Suatu malam, dia telah berjaya
meloloskan dirinya lalu terdampar di tebing sungai itu. Kepalanya yang
terhantuk pada banir pokok besar sewaktu dia susup-sasap melarikan diri membuatkan
dia hilang ingatan untuk seketika, amnesia. Sampai suatu tahap dia sendiri
mempercayai bahawa dirinya adalah Annessa dan bukannya Adeela.
Ah, tak
kiralah semua tu! Yang penting, hatinya kini sudah menjadi tawanan gadis yang
ditemuinya di tebing sungai di hujung kampungnya.
“Telefonlah
dia, Deris. Mak pun nak jugak dengar suara dia.” Pinta Mak Miah. Ada nada rindu
terselit di hujung permintaan itu.
Aku juga
rindukan dia sama seperti mak rindukan dia, hati Idris berbisik. Dia mengangguk
akhirnya.
“Nanti mak
cakap dulu dengan Anne... eh, silap pulak... Deela. Emak jangan pulak cakap
panjang-panjang, ye. Bagilah Deris peluang berbual dengan dia.” Katanya sambil
menuju ke arah telefon talian tetap yang terletak di ruang tamu.
“Yelah!”
Mak Miah yang mengekorinya dari belakang, menjawab.