35
SETEKO milo dan lima keping kek cawan yang bersusun kemas di
atas pinggan rona putih berjalur-jalur biru sudah tersedia di atas meja makan.
Menunggu insan-insan di dalam rumah itu untuk menghabiskannya.
Sofea,
Annessa dan Aleya masih di bilik masing-masing, menyiapkan diri untuk kemudian
menuju ke destinasi mereka. Sofea bakal ke tempat kerjanya. Annessa ke mana
lagi kalau tidak ke dewan kuliahnya. Sementara Aleya sudah tentulah ke
sekolahnya. Hanya Adeela yang akan menunggu rumah seperti biasa.
Sementara
menunggu mama, kakak kembar dan adiknya bersiap, Adeela menyibukkan dirinya
dengan menyusun 30 keping kek cawan yang dibuatnya semalam ke dalam dua buah
bekas kedap udara. Kemudian bekas yang sudah dimuatkan dengan kek cawan itu
disumbatkan pula ke dalam beg tahan lasak yang selalu digunakan mama sewaktu
keluar membeli-belah. Elok aje muatnya, desis hatinya.
“Tu bekal
untuk mama ke, Deela?” soal Sofea yang kebetulan meninjaunya di dapur.
“Bukan,
yang ni untuk Anne. Mama dan Yaya punya Deela belum isi lagi. Kejap ye, ma.”
“Hmm...
okeylah. Marilah sarapan dulu. Anne dan Yaya dah siap mengadap ni. Bekal mama
tu nanti biar mama isi sendiri,” Panggil Sofea.
Adeela
tidak membantah. Dia menuju ke meja makan dengan menjinjing shopping bag berisi kek cawan lalu
diletakkannya di sisi Annessa.
“Berapa
keping ni?”
“30
keping.”
“Wah, banyaknya!
Yaya punya pulak berapa keping?” soal Aleya.
“Yaya nak
berapa keping?” Adeela menyoal.
“Berkeping-keping.”
Mereka
ketawa. Lawak pagi hari.
“Nanti
Yaya isilah sendiri, ye.” Adeela mencadangkan.
“Yaya,
cepatlah habiskan Milo tu. Biar mama aje yang isikan cup cake untuk Yaya. Yaya nak bawa berapa keping ke sekolah?”
“Lima
keping cukuplah, ma.”
“Okey.”
Getus Sofea sambil segera menuju ke dapur. Dua buah bekas kedap udara sudahpun
siap dikeluarkan oleh Adeela dari dalam rak dan Sofea hanya perlu mengisi kek
cawan tersebut ke dalamnya sahaja.
“Ai, cukup
ke lima keping tu? Kata secret admire
aje dah ada empat orang? Cikgu kesayangan lagi, kawan baik lagi...” Di meja
makan, Annessa sempat mengusik, menyakat Aleya.
“Isy,
mana ada! Pandai-pandai aje reka
cerita,” getus Aleya sambil membuntangkan mata ke arah kakaknya.
“Betul ke
Yaya ada secret admire? Alahai, budak
sekolah rendah pun dah pandai cintan-cintun ni?” Adeela pula menyampuk,
menyemarakkan suasana.
“Tak
adalah! Kak Deela percayalah cakap Kak Anne tu. Dia saja aje reka-reka cerita.”
Suara Aleya meninggi.
“Eleh,
Deela, zaman sekarang ni dah tak ada apa yang nak dipelikkan lagi. Kisah
budak-budak sekolah rendah bercinta tu dah biasa orang dengar. Kau tengok
ajelah siaran kartun di tv yang disogokkan pada budak-budak sekarang ni
terutamanya siaran kartun yang diimport dari Jepun tu, aku tengok ada yang
berpakaian seksi. Tema cintan-cintun turut dimasukkan dalam rancangan kartun tu
dengan tujuan untuk menarik bukan saja kanak-kanak tapi orang dewasa
menontonnya.” Annessa berhujah panjang melalui pemerhatiannya.
“Tapi Yaya
tak termasuk dalam senarai ye! Belum lagi, buat masa sekarang.”
“So, cerita tentang secret admire tu tak benarlah ye?”
“Kak Anne
ni, mana ada! Dari mana Kak Anne dengar cerita yang Yaya ada secret admire ni?” Aleya membentak,
marah.
“Okey...
okey, sorry. Kak Anne gurau-gurau
aje.” Getus Annessa sambil cuba menahan dirinya daripada ketawa.
Sebentar
kemudian, Sofea melangkah keluar dari dapur lalu perbalahan mereka terus
terhenti. Dia menggesa Aleya segera menghabiskan minumannya kerana jarum jam
sudah menuding ke angka 7.15 pagi.
“Mama nak
pergi kerja ni. Jaga diri baik-baik ye, Deela. Duduk rumah jangan lupa kunci
pintu. Anne, bawa skuter tu hati-hati ye. Langit nampak mendung ni, macam nak
hujan gayanya,” pesan Sofea dalam suara yang separuh menjerit kerana dia ketika
itu sudahpun berada di muka pintu, terkial-kial menyarung sepatu tumit
tingginya ke kaki.
Dia harus
bergegas untuk menghantar Aleya ke sekolahnya. Mujurlah sekolah si cilik comel
itu tidak jauh dari kediaman mereka dan untuk sampai ke sana mereka tidak perlu
merempuh kesesakan jalan raya.
“Mendung
tak semestinya hujan, ma.” Annessa gatal mulut menjawab.
“Yelah tu,
mendung tak semestinya hujan. Tapi selalunya mendung membawa hujan. Jadi,
hati-hati di jalanraya. Kalau sampai corner,
perlahankan sikit skuter tu... jangan buat corner
baring pulak gara-gara minat sangat dengan cerita Adnan Sempit! Mama sekadar
nak ingatkan aje, kalau nak dengar... dengarlah. Kalau tak nak dengar pun tak
apa.” Pantas sahaja Sofea menyembur.
Wah,
pagi-pagi dah terkena sembur dengan mama, gerutu hati Annessa sambil tersenyum
nipis.
“Okey, bye semua. Assalamualaikum.” Sofea yang
sudah berada di dalam perut kereta, menjerit ke arahnya dan Adeela. Seketika
kemudian kereta yang dipandu oleh mamanya dengan ditumpangi oleh Aleya meluncur
perlahan-lahan keluar dari kawasan rumah menuju ke jalan raya. Setelah kereta
itu menjauh barulah pasangan kembar itu masuk semula ke dalam rumah lalu
mengunci pintu.
Walaupun kawasan
kejiranan itu boleh dianggap selamat, namun mereka harus sentiasa berhati-hati,
tidak boleh sesekali alpa dan lalai. Lebih-lebih lagi setelah semua tahu bahawa
rumah itu hanya dihuni oleh kaum Hawa sahaja.
“Macam
mana assignment kau, Anne. Siap tak?”
soal Adeela yang sedang mengunyah keknya perlahan-lahan. Sekali kunyah, sekali
Milo disisip. Selepas selesai minum, dia bercadang untuk berehat di depan peti
tv pula.
Kondisinya
tidak seperti mamanya yang sibuk memanjang. Walaupun pejabatnya hanya akan
dibuka pada pukul 9.00 pagi, tetapi dek terpaksa menghantar Aleya ke sekolah,
Sofea tergolong dalam kategori staf yang sentiasa sampai awal ke pejabat.
Annessa juga tidak kurang sibuknya. Sekejap lagi dia perlu keluar untuk ke
dewan kuliah.
“Belum
siap lagi. Kenapa? Kau nak tolong buatkan ke?”
“Boleh!
Kalau macam tu kita tukar identitilah, nak tak? Aku menyamar jadi kau, dan kau
jadi aku? Aku takut kau boring aje terpaksa tinggal di rumah sepanjang hari.”
Adeela menjawab, berani.
“Nanti aku
siapkanlah assignment tu. Masih ada
masa lagi. Lepas ni kau nak buat apa?”
“Aku nak
tengok tv kejap, lepas tu nak cuci pakaian dan mop dapur. Dah melekit lantai
dapur tu.”
Rutin yang
membosankan, bisik hati Annessa. Tetapi sudah tentu dia tidak tergamak untuk
meluahkannya kepada Adeela.
“Okey,
hati-hati semasa mop lantai tu. Nanti jatuh pulak.”
“Aku tahu
tu. Aku bukannya budak-budak kecil lagi.”
“Tapi aku
kena juga ingatkan kau sebab kau tu adik aku dan aku sayangkan kau.”
“Thanks.”
“Kalau kau nampak tuala Good Morning warna putih...”
“Ye, aku
tahu tu tuala Jib. Aku akan simpankan.” Sahut Adeela pantas sebelum sempat Annessa
menghabiskan ayatnya.
“Thanks.”
“Anne, nanti
bagilah Jib rasa kek cawan tu sekali, eh.”
“Tengoklah
kalau aku jumpa dia nanti.”
“Kau kan
buah hati dia, mestilah dia akan cari kau.”
“Masalahnya
kawan-kawan aku semuanya pirana. Aku takut kek kau ni habis sebelum Jib sempat
jumpa aku aje,” tingkah Annessa. “Deela, ni aku nak betulkan sikit ayat kau
tadi, aku dengan Jib hanya kawan baik ye. Dia bukan buah hati aku.”
“Tak nak
mengaku?” duga Adeela.
Mereka
sama-sama ketawa.
Adeela
melihat kakaknya sudah bersiap-siap hendak keluar. Annessa yang ringkas memakai
jeans rona biru tua dipadankan dengan blaus lengan panjang rona biru cair
berbintik-bintik putih, kelihatan mencapai bag-packnya lalu digalas kemas ke
belakangnya. Selepas itu, topi keledar pula disarung ke kepala dan dikemaskan
ikatannya. Dia mengekori Annnessa menuju ke arah skuternya sambil menjinjing
beg yang berisi kek cawan.
“Hati-hati
bawa skuter, Anne. Langit dah gelap tu, harap-harap kau sempat sampai ke kampus
sebelum hujan turun.” Adeela mengingatkannya ketika meletakkan beg berisi kek
cawan itu ke tempat meletak kaki skuter Annesssa kerana skuter itu tidak
mempunyai bakul.
Inilah
masalahnya kalau hujan turun pada waktu pagi ketika warga alam semuanya sedang
bergegas menuju ke destinasi masing-masing. Annessa turut mendongak memandang
ke arah langit yang sarat dengan awan nimbus yang menghitam. Angin yang agak
kencang juga sudah mula mendesah tiba.
“Insya-ALLAH,
aku bawa perlahan aje nanti. Okey, Deela, jangan lupa kunci pintu ye. Bye.” Ucap Annessa sejurus sebelum
skuter yang ditunggangnya bergerak keluar dari kawasan rumah, menuju ke
jalanraya.