Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 18

18

BACK to normal. Begitulah erti kehidupan bagi Annessa. Walaupun erti ‘normal’ itu telah berubah dalam pelbagai segi, tetapi yang penting Adeela telah kembali semula ke pangkuannya dan ke pangkuan keluarga. Pemulihan Adeela menunjukkan perkembangan yang positif. Dia sudah mula mengingati kesemua ahli keluarganya. Dia juga sudah dapat mengimbas kembali peristiwa yang dialaminya di malam jahanam itu, yang menyaksikan Tengku Amirul dan Pak Sudin takkan terlepas daripada perbuatan mereka.

“Anne, you dah berubah sekarang ye!” Kasar bunyinya.

Annessa mengangkat wajah. Matanya bertembung dengan sepasang mata helang milik Tengku Najib.

“Apanya yang berubah? I tetap Anne yang sama. Kalau berubah pun hanyalah lokasi jerawat yang menempel kat pipi I ni.” Dia menjawab pantas sambil menyeringaikan sebaris gigi seputih mutiaranya ke arah jejaka itu. Nakal!

Kenakalannya membuatkan Tengku Najib jadi geram. Serasa mahu sahaja dia mencubit-cubit pipi gebu gadis yang semakin rapat di hatinya itu.

“You semakin jarang bersama I sekarang. You asyik temankan dia aje.” Ada nada rajuk dalam kata-katanya.

Annessa senyum.

“Cemburu? Kenapa you perlu cemburu, Jib? Deela tu hanyalah adik I. Kalau I luangkan masa dengan Dali, you bolehlah cemburu. Tapi dia hanyalah Deela!”

Tengku Najib terkedu.

“You tak perlu cemburukan Deela, Jib. I luangkan masa dengan dia untuk mengisi semula saat-saat yang lompong dek perpisahan kami dulu. Bayangkan kalau you berada di tempat I, you tentu akan buat perkara yang sama kan?”

Tengku Najib menundukkan wajahnya. “I minta maaf.”

“You tak perlu minta maaf. Kalau tak kerana you, mungkin sampai sekarang I masih belum dapat berjumpa dengan Deela. Hmm Jib... apa kata kalau hujung minggu ni kita keluar tengok wayang?”

Just the two of us? You and I?” Wajah Tengku Najib bercahaya. “Boleh, apa salahnya. Bukan sekadar tengok wayang, ke hujung dunia pun I sanggup kalau dengan you, Anne.”

Annessa ketawa. “Terharunya I. I memang nak luangkan masa dengan you, tapi dengan satu syarat...”

“Ah, you ni, Anne!”

“Kita bawa Deela sekali.”

“Hemmph, I dah agak dah! Eh, tak payahlah bawa Deela.”

“Kalau tak bawa dia, plan tengok wayang dibatalkan.”

“Maksud I... tak payah bawa Deela seorang, tapi bawalah Yaya jugak. Takkan nak tinggalkan dia pulak.”

Annessa ketawa. “Okey, kita akan bawa Deela dan jugak Yaya tengok wayang bersama-sama kita hujung minggu ni.”

“Ikut suka youlah, sayang.” Tengku Najib bersuara dengan senyuman di bibir.

“Terima kasih, sayang, kerana memahami.” Annessa menjawab, juga dengan senyuman tersungging di bibirnya.

Setelah sekian lama mencari Adeela, akhirnya pencarian itu membuahkan kejayaan. Kondisi emosi dan ingatan Adeela sudah semakin baik. Dan, ketenangan juga bagaikan sudah menjelma semula ke dalam diari hidup Annessa. Dia sudah dapat melelapkan matanya dengan lena. Tidurnya tidak lagi diganggu mimpi-mimpi ngeri. Hari-hari yang dilaluinya kini tidak lagi diiringi dengan keluh kesah dan resah gelisah.

Dapat berjumpa semula dengan adik kembarnya seumpama mereka diberikan peluang kedua. Tekadnya, kali ini... walau apapun berlaku tiada siapa dan tiada apa yang dapat memisahkannya dengan Adeela lagi. Hanya TUHAN sahaja yang berhak memisahkan mereka.

WOI, Jib! Berapa lama kau nak take five kat tepi padang tu?”

Teguran teman sepasukannya itu membuatkan Tengku Najib menyeringai. Dia segera meneguk minuman tenaganya, mengelap peluh yang bermanik-manik di dahi dengan tuala lalu secara bersahaja melemparkan tuala Good Morning yang sudah basah dengan peluhnya itu ke pangkuan Annessa yang duduk di tepi padang.

“Eei... apa ni!” Annessa terjerit. Dia mengepit tuala yang sudah masam dengan bau peluh itu dengan menggunakan hujung jarinya lalu mencampakkannya ke atas rumput.

Tindakannya itu membuatkan Tengku Najib menjegilkan matanya.

“Sampai hati you campak tuala kesayangan I tu!”

“Masam!”

“Yelah, sekarang masam... nanti-nanti wangilah tu!”

Annessa memuncungkan mulutnya.

Tengku Najib ketawa kecil. Ingin sahaja pemuda itu berkata begini, “...buatlah mulut macam tu, nanti I cium baru padan dengan muka you, sayang!” tapi kata-kata itu hanya berlegar-legar di dalam hatinya sahaja. Tidak berani diluahkannya kepada Annessa. Masanya masih belum sampai.

Annessa menoleh jam yang melekap di lengan kanannya.

“Uih, dah jam 5.00? I kena balik dulu ni, Jib. Mama I mungkin balik lewat ke rumah, so I kena ambil alih tugas jadi tukang masak malam ni.”

“Ala Anne... janganlah balik dulu. Tunggulah sampai sesi latihan I ni tamat. Dah tak lama, dalam 20 minit aje lagi. I rasa tak bersemangatlah kalau you tak ada kat tepi padang ni.”

Nada merayu dalam tutur kata jejaka itu membuatkan Annessa tersenyum mengulum. Dia mengerling sekilas ke arah seorang gadis cantik yang duduk tidak berapa jauh darinya. Dia nampak gadis itu juga turut menguntum senyum di bibirnya. Mungkin nada rayu yang terkeluar dari mulut Tengku Najib seketika tadi turut sama menyinggah ke gegendang telinganya, lantas itulah yang membuatkan dia tersenyum sama.

“Lagipun kenapa harus you yang jadi tukang masak? Deela kan ada.” Tengku Najib berkeras tidak mahu melepaskan Annessa melangkah pulang.

“I tak nak susahkan Deela dengan urusan masak-memasak ni. Kalau boleh I nak dia rehat aje kat rumah tu.”

“Macam puteri?”

Annessa ketawa. “Ye, biarlah dia jadi puteri.”

“You pulak sanggup jadi dayang dia?” Tengku Najib juih bibir.

“I tak kisah kalaupun I terpaksa jadi dayang ataupun babu dia. I sanggup buat apa aje demi adik I. I harap you faham.” Annessa menjawab tegas.

Dan, itulah yang sedaya upaya dilakukannya sekarang. Dia mahu berbakti kepada Adeela yang pada pendapatnya sudah terlalu banyak menderita. Adeela terpaksa menderita dalam usia yang masih terlalu muda. Dia sedar walau sebanyak manapun dia berbakti kepada pasangan kembarnya itu, dia tidak mampu mengembalikan keceriaan ke dalam diri Adeela. Walaupun Adeela cuba ketawa di hadapan mereka semua, tetapi jauh di sudut hatinya Annessa tahu yang Adeela sebenarnya sedang menangisi nasibnya yang malang.

“Yo, Jib!” suara Hisyam kedengaran lagi.

“You teruskanlah latihan you. Nanti Abang Hisyam mengamuk, you jugak yang susah. I have to go now. Bye Jib!” Annessa bingkas bangun. Namun, sebelum sempat dia menghayun langkah, tangan sasa Tengku Najib sempat menyambar pergelangan tangan kanannya.

“Okey, kalau you nak balik jugak dan teruskan duty you jadi dayang pada tuan puteri tu, I tak boleh halang. Tapi, tu... kutip tuala tu dan tolong basuh bersih-bersih ye. Letak pewangi sekali.” Tengku Najib menyeringaikan mulutnya.

“You ingat I ni apa? Babu you?”

“Apa salahnya kalau you berkhidmat untuk tuan putera you yang handsome ni, sayang?” Dia menjawab. Mata helangnya merenung tepat ke mata Annessa. Kemudian berlegar-legar pula di wajahnya, seolah-olah ingin merakamkan seraut wajah itu di sudut hatinya untuk kemudian diadunkan ke dalam mimpinya malam nanti.

“Malam ni I will call you, okay.” Selepas mengucapkan kata-kata yang bagaikan sebuah perjanjian bagi orang yang sedang diamuk badai percintaan itu, Tengku Najib terus berlari pantas ke tengah padang untuk bersama-sama dengan rakan sepasukannya yang lain.

Annessa mengusap pergelangan tangan kanannya yang masih terasa perit cengkaman Tengku Najib seketika tadi. Dia memandang sekilas ke arah tuala masam yang terkapar di atas rumput. Dia boleh sahaja mengabaikan permintaan Tengku Najib itu, tetapi dia tidak melakukannya. Selepas mengutip tuala itu, dia bergegas pantas menuju ke arah skuternya.

JIB, engkau ni nak berdrama ke... nak berlatih? Esok aku tak nak tengok budak perempuan tu berada kat tepi padang ni lagi. Kau faham tak?” Tempelak Hisyam menyambut ketibaannya di tengah padang.

“Apa ni, bro? Relakslah! Bukannya lama pun aku berborak dengan dia.” Tengku Najib menjawab.

“Aku tak kisah kalau kau atau sesiapa pun di sini nak ada awek atau nak bercinta separuh mati. Asalkan kau orang semua fokus dengan latihan ni, aku tak kisah apa pun. Kau orang semua kena ingat tiga minggu aje lagi pasukan kita akan masuk bertanding. Tapi sikap kau kat tepi padang tadi Jib, buat aku menyampah. Jijik! Kau sedap-sedap bercinta, sedangkan kita orang ni menunggu kau macam orang dungu. Keputusan aku final, esok aku tak nak tengok muka budak perempuan tu kat tepi padang ni lagi. Ada reti!”

Petang yang terik itu semakin diterikkan lagi oleh pertengkaran di antara Tengku Najib dan ketua pasukan ragbi bernama Hisyam. Rakan sepasukan lain yang melihat pertikaman lidah itu mula mengelilingi mereka berdua. Memerhati perkembangan selanjutnya dengan riak wajah yang waspada.

“Okey, aku tak kisah. Kalau kau tak nak tengok muka Anne kat tepi padang ni lagi, aku pun tak nak tengok muka Delaila kat sini. Baru adil! Ada reti?” Tengku Najib bersuara. Lantang!

“Wei, apa pulak kaitannya dengan Delaila? Kita orang berdua tak macam kau dengan awek kau tu. Sebijik macam belangkas, macam laki bini. Budak perempuan tu bini kau ke?” Cemuh Hisyam tanpa memikirkan perasaan Tengku Najib.

Cemuhan yang keterlaluan itu membuatkan Tengku Najib tidak dapat menahan sabar. Dia menghambur ke depan lalu menalakan tumbukan padunya ke muka Hisyam. Hisyam yang tidak menjangka akan diserang, hampir-hampir sahaja jatuh terlentang di atas padang beralaskan rumput yang menghijau. Tumbukan padu yang dilepaskan oleh Tengku Najib ke mukanya itu bukan sahaja menerbitkan rasa sakit, tetapi turut menggugat ego Hisyam sebagai seorang lelaki. Sebagai ketua pasukan, dia tidak dapat menerima hakikat ditumbuk oleh Tengku Najib lebih-lebih lagi di depan buah hatinya, Intan Delaila. Tanpa mempedulikan apa-apa lagi, mereka kemudiannya bergumpal sekuat tenaga di tengah-tengah padang, di tengah-tengah terik matahari.

Suasana petang yang tadinya aman tiba-tiba sahaja menjadi kucar-kacir.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.