36
PAGI yang sejuk ditambah lagi dengan hujan rahmat yang telah
turun menyimbah bumi sejak pukul 6.00 pagi tadi membuatkan dia terasa
seolah-olah ingin menyambung tidur sahaja. Kelat di mata juga masih belum
hilang. Malam tadi dia pulang lewat ke rumah setelah keluar berpeleseran dengan
beberapa orang teman rapat.
Pun begitu
setelah dia teringatkan janjinya dengan Tengku Sarah untuk menjenguk anak
saudaranya di Shah Alam pagi itu, dia terpaksa juga menolak gebar ke hujung
kakinya. Sementara dia berada di Malaysia dan menumpang pula di rumah kakaknya,
hendak tak hendak terpaksalah cuba
mengambil hati Tengku Sarah. Jangan nanti kehadirannya di rumah itu
menjadi bahan umpatan dan ungkitan tuan rumah sahaja.
Dia menuju
ke jendela lalu menarik langsir tebal, menoleh keluar. Hujan yang tadinya
lebat, kini telah mula reda. Matanya menyorot pula ke arah jalan susur yang
menghala ke jalanraya yang telah mula sibuk dengan kenderaan.
Jendela
dikuaknya sedikit. Bunyi kenderaan yang lalu-lalang di jalan yang basah hinggap
ke deria pendengarannya. Sesekali kelihatan air terpercik apabila tayar kereta
melanggar lopak-lopak air. Bunyi kenderaan adalah irama yang tidak dapat
dielakkan manusia yang menghuni bumi Kuala Lumpur.
Tetapi
bagaimana agaknya keadaan di banglo terpencil yang dahulu pernah dihuni oleh
Tengku Amirul? Disebabkan hubungannya yang tidak begitu rapat dengan Tengku
Amirul maka tidak pernah sekalipun dia dijemput ke banglo itu. Dia hanya
melihat kewujudan banglo itu melalui fotonya sahaja.
Kata
orang, rumah atau kediaman tidak boleh ditinggalkan lama-lama. Kelak ada
‘benda’ lain yang menghuninya. Dia tidak pasti akan kebenaran kata-kata
tersebut dan juga malas hendak memikirkannya.
Kini,
setelah tuan punya banglo itu merengkok dalam tempoh yang agak lama di penjara,
bagaimanakah agaknya keadaan banglo tersebut? Terbiar sepikah atau ada orang
yang menguruskannya? Dia bercadang untuk bertanya tentang itu kepada Tengku
Sarah seketika nanti.
Setelah
hampir sepuluh minit melangut di depan jendela, dia bergerak ke arah katilnya,
mencapai tuala biru lalu bersegera menuju ke bilik air.
“PUKUL berapa adik you balik malam
tadi?” Tengku Mohit yang sudah sedia hendak ke pejabat menyoal isterinya.
“Entahlah,
I tak sedar pun.” Ringkas Tengku Sarah menjawab.
“You tak
risau ke kalau dia gunakan kereta you untuk berlumba dengan kawan-kawan dia?”
soal Tengku Mohit yang masih skeptikal terhadap adik iparnya. Dia cukup jelas
dengan perangai adik iparnya itu ketika zaman remajanya dulu. Tengku Reza
sering menimbulkan masalah dalam keluarga, anak yang liar serta nakal.
“Dulu
memang Reza tu nakal, remaja bermasalah. Tapi dalam umur dia sekarang takkan
dia tergamak nak ulang perangai lamanya tu.”
“I hanya
mengingatkan you aje. Jangan nanti bila kereta you dah ditahan polis baru
menyesal.” Tengku Mohit mengingatkannya.
Tengku
Sarah senyum nipis.
“Yelah, terima kasih kerana sudi mengingatkan
I tentang Reza tu. I tengok you concern
tentang adik ipar you, anak you sendiri macam mana?”
“Kenapa
pulak dengan Jib? Ada masalah yang I tak tahu ke?”
Tengku
Sarah menggetap bibirnya. “Anak you tu tak balik ke rumah pun semalam, you tak
risau ke?”
“Dia ada
kelas tambahan agaknya. Takpun ada discussion
dengan kawan-kawan. You ada telefon dia tak?”
“Sejak dia
berkawan dengan budak perempuan tu, I risau setiap kali Jib tak balik ke rumah,
tau tak! Entah-entah dia berdating dengan budak tu.” Tengku Sarah melepaskan
emosinya di depan suami.
“Kan Jib
pernah cakap yang dia dah tak berkawan lagi dengan Annessa tu.”
“You
percaya ke apa yang dia cakap tu? Entah-entah dia menipu kita. Di belakang
kita, dia bercinta dengan budak tu. I tak sukalah, benci!”
“Habis tu,
kita nak buat macam mana? Takkan kita nak pindahkan tempat belajar Jib tu
pulak? Dia dah elok aje study kat
situ, keputusan peperiksaannya bagus dan aktif pulak dalam persatuan... kita
janganlah macam-macam dengan dia. Dahlah tu, you janganlah asyik fikir yang
bukan-bukan. Okeylah, I nak pergi kerja ni.” Tengku Mohit segera mencari jalan
keluar daripada terus membicarakan isu itu. Isu yang entah apa kesudahannya,
fikirnya.
“You ni
kan... setiap kali I bring up this issue
you mesti nak mengelak!” Tengku Sarah membidas. Sakit hatinya melihat si
suami bangkit dari kerusi dan mencapai briefcasenya,
sudah bersedia hendak meninggalkannya.
“Malaslah
I nak fikir hal-hal yang semuanya hanya andaian ni, Sarah. Lagi satu, kalau dah
termaktub sejak azali lagi jodoh Jib dengan budak tu, kita nak buat macam
mana?”
“Aaa...
apa you cakap?” suara Tengku Sarah melengking. Matanya membuntang merenung
suaminya.
“Err...
ah, lupakan ajelah. I pergi dulu ye.” Tengku Mohit bergegas ke muka pintu
meninggalkan isterinya yang masih menyinga di meja makan.
Tengku
Sarah menarik nafas panjang-panjang. Dia tidak menghantar suaminya ke kereta
seperti biasa.
“Kenapa
tadi tu, along?”
Pandangan
Tengku Sarah beralih pula ke arah suara yang baru menegurnya. Tengku Reza yang
bergaya kasual dengan baju T lengan panjang warna merah tuadan jeans hitam, nampak segar dan segak; dalam hati dia memuji
penampilan adik bongsunya itu. Untuk seketika terimbas di ruang fikirannya
bagaimana penampilan adiknya itu ketika remajanya dahulu; yang seolah-olah
teraba-raba mencari identiti diri sendiri. Kadangkala Tengku Reza akan bergaya
hippi, menyimpan rambut panjang melepasi bahu. Kadangkala pula adiknya akan
mewarnakan rambutnya dan bergaya punk, tanpa mempedulikan kutukan dan cacian
yang dilemparkan ke arahnya. Tengku Reza akan berbuat apa sahaja yang terlintas
di fikirannya.
Walaupun
dahulu, dia tidak pernah suka ataupun menyayangi adiknya yang seorang itu
tetapi kini setelah masa berlalu dan Tengku Amirul pula telah merengkok di
dalam penjara, dia mula menerima kehadiran Tengku Reza dalam hidupnya.
“Duduklah
Reza, sarapan dulu.” Dia merendahkan suaranya.
“Pagi-pagi
dah bertekak dengan TM?” sindir Tengku Reza. TM adalah singkatan nama yang
mereka berikan untuk Tengku Mohit.
“Malaslah
nak story tentang tu.” Tengku Sarah
malas hendak bercerita tentang pertelingkahannya dengan suami seketika tadi.
Dia segera menuang kopi ke cawan lalu dihulurkan ke arah adiknya.
Setelah
mengucapkan terima kasih, Tengku Reza menyisip perlahan-lahan kopi pekat itu. Rasa
kantuk di mata telah tiada. Badan rasa segar setelah selesai mandi dan kini
mengadap pula secawan kopi pekat bersama kakaknya.
“Minum
aje? Bihun goreng ni tak nak ke?”
“Kalau
along yang goreng, Reza takkan menolak.”
Tengku
Sarah ketawa. “Hai, engkau ni Reza, buat lawak pulak pepagi ni!”
“Reza nak
bersarapan dengan Jib.”
“Kau dah
telefon dia bagitau nak ke Shah Alam ke?”
“Reza SMS
aje dia tadi. Dia kata hari ni kelas dia pukul 10.00, jadi sempatlah kalau nak
belanja dia sarapan pagi. Okey ye, along, Reza pergi dulu. Nanti tak sempat
pulak bersarapan dengan Jib.” Tengku Reza segera menghabiskan kopinya lalu
bergegas ke muka pintu. “Pinjam kereta ye, along.”
“Hah,
jangan kau pecut laju-laju pulak kereta aku tu. Jalan licin tu, baru lepas
hujan!” Tengku Sarah menjerit, mengingatkannya.
“Yelah...
yelah, Reza tahu.”
“Suruh Jib
balik ke rumah petang ni. Katakan ada hal mustahak along nak bincang dengan
dia.” Tengku Sarah sempat berpesan.
“Okey
along, babai.”
Tengku
Sarah menarik nafas panjang-panjang, mencari secebis ketenangan. Dia menambah
Milo ke mugnya lalu menyisipnya
perlahan-lahan.