33
DI BILIKNYA, Annessa yang terpukul kerana
telah ditegur oleh mamanya seketika tadi bergelut di dadanya dengan segumpal
rasa tidak puas hati. Jiwanya membentak. Dia tertanya-tanya kenapakah mamanya
tega membenarkan Adeela mengikut Idris pulang ke kampungnya? Malah sanggup juga
menumpangkan jejaka yang tidak ada ikatan persaudaraan dengan mereka itu
bermalam di rumah mereka?
Kalau papa
ada di rumah ni, belum tentu lagi papa akan benarkan Idris bermalam di sini,
bisik hatinya. Inikan pula setelah tiada seorang lelaki pun di rumah ini.
Kenapa mama cepat sangat percayakan orang? Macam dulu tu, mama percaya sangat
pada Tengku Amirul, dan akibatnya...? Sekarang mama seolah-olah menaruh
kepercayaan pula pada keluarga angkat Adeela.
Dia cuba
menumpukan perhatiannya kepada assignment
yang sedang diusahakannya, namun gagal. Matanya beberapa kali berkalih daripada
draf yang telah disediakannya kepada permukaan laptop yang masih kosong. Tajuk assignment yang diberikan kepadanya
bukanlah susah sangat, mudah sahaja. Tetapi ketika fikiran sedang bercelaru
begini, benda yang senang pun menjadi sukar untuk diusahakan.
Benar
sangatlah kata-kata Dr. HM Tuah Iskandar di dalam buku Membina Imaginasi Cemerlang,tenaga untuk belajar terpancar melalui
ketenangan. Sebelum belajar, letakkan minda dalam wadah bersedia dan mood yang
positif. Sedangkan mood aku sekarang ni, negatif. Jadi macam manalah aku nak
fokus?
Minda,
tolonglah fokus, fokus... fokus! Hmm... hampeh!
Argh!!!
Dia terasa seolah-olah mahu menjerit, meraung di bilik itu. Akhirnya, dia
menarik nafas panjang dan dalam lalu setelah secebis ketenagan hinggap ke jiwa,
dia menutup laptopnya lalu mencapai telefon bimbitnya.
JAM di lengan kanan sudah menuding ke angka 10.00 malam. Pun
begitu suasana di gerai makan yang berderetan itu masih lagi meriah dengan
pengunjung yang rata-ratanya terdiri daripada siswa-siswi UiTM.
Dia mahu
menuju ke sebuah gerai yang meriah dengan lampu-lampu beraneka warna, tetapi
langkah terhenti apabila pandangannya terarah ke arah seorang gadis tinggi
lampai yang kelihatan sedang menjamu selera dengan kawan-kawannya. Oh no,
Natasya! Dia segera menarik tangan Johari dan menuding jari telunjuknya ke arah
gerai yang lain.
“Kenapa?”
Johari yang pelik melihat tingkahlakunya, bertanya.
“Ah, gerai
tu tak bestlah. Kita makan kat gerai lainlah.” Getusnya.
Johari
semakin pelik. Selalunya itulah gerai yang yang diusahakan oleh seorang ibu
tunggal muda itu akan menjadi tumpuan mereka kalau terlanjur sampai di Seksyen
2. Gerainya bersih, dan makanannya juga sedap. Rakan-rakan baik mereka yang
lain juga selalu melepak di situ. Tapi hari ini, malam ini... terluah perkataan
‘gerai tu tak best’ dari mulut Tengku Najib membuatkan Johari menoleh sekali lagi
ke arah gerai tersebut.
Laaa...
rupa-rupanya Natasya, bekas kekasih Jib ada kat gerai tu! Hai kesian kau gerai,
tak pasal-pasal aje kau dilabel ‘gerai tak best’, gerutu Johari dalam hati.
“Sejak
bila pulak gerai Kak Mala Janda jadi tak best ni, Jib? Sejak Tasya duduk makan
kat situ ke? Apa kau nak takutkan dengan dia, Jib? Dulu kau kata berpisah
dengan dia secara baik?” soal Johari ke arahnya.
Tengku
Najib mendiamkan diri, namun langkah terus diatur ke sebuah gerai yang terletak
agak jauh dari gerai pertama tadi. Setelah melabuhkan punggungnya di kerusi,
dia menarik nafas lega dan berharap agar Natasya tidak perasankan dirinya. Dia
ternampak kelibat seorang lelaki kacak di samping Natasya dan hatinya
tertanya-tanya apakah gadis itu sudah menemui pengganti dirinya. Dia berharap
agar Natasya bahagia bersama lelaki yang menemaninya makan tadi.
“Lol, memanglah teorinya aku break off dengan Tasya secara baik. Dia
pun pernah cakap yang dia tak ambil hati dengan aku sebab break off dengan dia, tapi siapa tahu? So aku rasa lebih baik aku berusaha untuk jauhkan diri darinya.”
Johari
termenung, dalam hatinya mencemburui Tengku Najib. Aku ni seorang awek pun
belum pernah sangkut lagi, tapi kau, Jib, Tasya yang tinggi lampai, anggun
persis seorang model di pentas catwalk tu pun sanggup kau kecewakan. Hai,
apalah nasib badan...
“Hey,
kenapa kau menung pulak ni?” soal Tengku Najib sambil memetik jari ke wajahnya.
“Kau nak makan apa? Order aje, malam ni aku belanja.” Dia memberikan lampu
hijaunya.
“Alhamdulillah,
Ya ALLAH ya TUHANku, kau murahkan rezeki temanku yang bernama Tengku Najib anak
lelaki kepada Tengku Mohit dan Tengku Sarah ni, ya ALLAH!” Johari mengangkat
tangannya tinggi-tinggi seolah-olah seorang yang sedang berdoa.
Lagaknya
itu membuatkan Tengku Najib ketawa besar.
“Dahlah
kau! Tak payah nak bodek-bodek aku. Hah, kau nak makan apa?”
“Cukup
dengan nasi dan tomyam campur.”
“Minum?”
“Fresh
orange.”
“Okey, aku
nak pergi order ni.” Tengku Najib bingkas bangun lalu menuju ke arah kaunter
untuk membuat pesanan.
“Eh, hai,
Jib!”
Langkahnya
terhenti apabila satu suara kedengaran menegurnya dari arah belakang. Dadanya
berdebar. Dia menoleh juga, dan Natasya tersenyum manis ke arahnya.
“Err...
yup! I baru aje nak order makanan.” Dia menjawab, terasa canggung.
“Kenapa you makan kat gerai ni? Selalunya you
lepak kat gerai Kak Mala?” soal gadis itu, “...ke you tak singgah ke gerai Kak
Mala sebab nampak I sedang makan kat situ tadi?” Natasya menduga.
“Eh, you
ada kat situ ke tadi? Kalau I tahu you ada kat situ, pasti I singgah.” Dia
mencipta temberang.
Natasya
mengekel. “Setiap malam I singgah makan kat gerai Kak Mala sebab I tahu itu
gerai kegemaran you.”
“Iye ke?”
Terkejut.
“I saja
tunggu you dengan harapan you muncul. Tak sangka pulak you dah pindah ke gerai
lain?” Ada nada sinis terselit dalam kata-kata Natasya itu, Tengku Najib dapat
merasakannya.
Apakah
Natasya masih belum melupakannya? Dia menjadi tidak sedap hati dan serba salah.
“Errr...
sebenarnya I ikut Johari.” Dia melencong fakta. “Tu... Jo ada kat meja tu.”
Ujarnya sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah Johari.
Natasya
gigit bibir. “Emm... okeylah, Jib, kawan-kawan I dah tunggu kat kereta tu. Kita
orang dah nak balik ni.”
“You
sihat, Tasya?”
“I macam
biasa aje, sihat. Cuma kadang-kadang I masih ingatkan you.” Tingkah Natasya,
agak berterus-terang. “Tapi nak buat macam mana kan, you mungkin sedang bahagia
dengan si dia.”
“Tasya...”
“Okeylah,
Jib. Nanti senang-senang kita berbual panjang. Walaupun kita dah break off tapi
kita masih lagi berkawan kan?” Mata Natasya dipakukan ke wajahnya.
Dia
mengangguk, membiarkan Natasya melenggang pergi.