Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 39

39

“EEEII... kenapa mamat kereta hitam ni ikut aku pulak ni?” gerutu Annessa ketika menyedari yang dirinya diekori. Ketika dia membelokkan skuternya ke arah pintu masuk ke kampusnya barulah kereta itu berpusing ke arah lain.

Dia menarik nafas lega. Simpanlah duit kau tu Mamat Kereta Hitam, aku dah halalkan. Kalau boleh aku tak nak tengok muka kau lagi. Dia bermonolog. Dia mencari tempat yang strategik untuk meletakkan skuternya. Tempat yang dipilihnya haruslah selamat serta terlindung daripada hujan.

Beberapa orang siswa yang turut meletakkan motosikal mereka di situ merenung ke arahnya. Dia tidak menghiraukan renungan mereka. Sebaliknya, dia menyelongkar beg sandangnya lalu mengeluarkan beberapa helai tisu, mengelap darah yang terbit dari kesan-kesan lecet akibat kemalangan tadi. Pedih!

Dia mengatur langkah menuju ke kafe tempat Zainah dan kawan-kawannya yang lain sedang menunggu. Pasti mereka semua akan terkejut ketika melihat keadaannya nanti. Keinginan untuk menghubungi Tengku Najib memaklumkan tentang keadaan dirinya yang baru sahaja ditimpa kemalangan terasa begitu menebal, tetapi ditahankan sahaja. Takut dirinya kelihatan mengada-ngada pula.

Dia melangkah masuk ke kafe yang agak padat daripada biasa. Dari jauh dia sudah nampak Zainah melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Dia melangkah pantas mendapatkan temannya itu. Sebaik sahaja sampai ke meja, dia terus menghempaskan punggungnya ke kerusi dengan wajah yang masam mencuka. Beg kertas yang berisi kek cawan pula diletakkan di tengah-tengah meja.

“Ya ALLAH, kenapa dengan kau ni, Anne?” soal Zainah. Beberapa orang teman juga sudah mula berkerumun mengelilinginya.

“Aku accident, terlanggar buntut kereta orang.” Dia memberitahu.

“Pagi-pagi dah buat hallah kau ni!” Zainah mula menceceh sambil segera bangkit dari kerusinya untuk memeriksa siku dan lengan kanan Annessa yang melecet serta calar-balar.

“Eh, kau ni! Bukan aku yang salah, tapi mamat tu!”

“Yelah... yelah! Engkau mana nak mengaku salahkan? Hmm... handsome tak mamat tu? Ada ambil nombor telefon dia tak?”

Annessa menjegilkan matanya ke arah Zainah. Ke lain pulak melencongnya fikiran Jenna ni, gerutu hatinya.

“Kau ni kan, Jenna, aku ni tengah sakit tau. Kau jangan nak sakitkan hati aku pulak.”

“Eleh, tanya macam tu pun marah?”

“Mestilah marah! Aku tengah sakit ni!”

“Ala... melecet sikit aje. Zie, kau ada bawa minyak gamat tak?” soal Zainah ke arah Norzie.

“Alamak... hari ni aku tak bawalah.”

“Kau ni, Zie, selalu tu kau bawa minyak gamat. Time orang nak pakai, kau tak bawa pulak.” Keluh Zainah.

“Manalah aku tau Anne nak accident pagi ni. Kalau aku tau mesti aku bawa.” Selamba Norzie menjawab.

Zainah menggeleng-gelengkan kepalanya. “Engkau ni, Zie, apa punya statementlah! Takpe... takpe... kejap ye, Anne, aku try tanya kat Pak Lah. Mungkin dia ada bawa minyak atau krim untuk disapukan pada luka kau tu.” Zainah menawarkan jasa baiknya. Pak Lah adalah panggilan mesra yang mereka semua berikan untuk pengurus kafe tersebut.

Sementara Zainah pergi menemui Pak Lah, Annessa membuka bekas yang berisi kek cawan Adeela lalu diagihkan kepada kawan-kawannya yang lain.

“Wah, boleh tahanlah cup cake ni, Anne. Pandai adik kau buat.” Begitulah pujian yang hinggap di telinganya.

Dia tersenyum bangga. “Kalau aku letak cup cake yang adik aku buat kat kafe ni, kau orang rasa laku tak?”

“Eh, apa pulak tak lakunya? Kau letak ajelah. Berapa kau nak letak harga untuk sekeping cup cake ni, Anne?”

“Pasal harga tu aku kenalah tanya pada adik aku dulu. Takkan aku pulak yang memandai-mandai nak letak harga. Dia yang tukang buat, jadi aku kenalah hormati dia, betul tak?”

Norzie dan kawan-kawannya yang turut berada di meja itu mengangguk.

“Ye, betul sangat tu Anne!” sahut Norzie.

“Lajunya kau orang makan, tinggalkanlah sikit untuk orang belakang,” tegur Zainah yang menghampiri mereka tidak lama kemudian. Dia membawa sebotol minyak gamat dan tisu gulung lalu dihulurkannya ke arah Annessa. “Anne, tadi aku sempat tanya Pak Lah tentang hajat kau nak letak cup cake adik kau kat kafe ni. Pak Lah kata, boleh. Nanti kau bincanglah lagi dengan dia ye.”

“Hai, terima kasihlah kawan sebab tolong tanyakan bagi pihak aku.” Ucap Annessa. Dia segera mengelap darah yang terbit pada lengan dan sikunya yang melecet lalu menyapu minyak gamat pada luka tersebut.

“JIB, mana pak saudara kau ni, tak sampai-sampai lagi? Sesat jalan kot? Tadi kan dia telefon kau, apa dia kata?” soal Johari yang sudah bersiap-siap hendak ke kelas.

“Tadi dia cakap dalam 10 minit lagi sampailah dia kemari, tapi sekarang ni...” Tengku Najib menoleh ke arah jam yang tersangkut di lengan kirinya lalu kerut kening.

Johari ketawa kecil. “Agaknya pak saudara kau terserempak dengan bidadari jatuh dari kayangan kot, tu sebab lambat sampainya?”

“Mengarutlah kau ni!” Tengku Najib turut berdekah.

“Jangan lupa kunci pintu kalau kau nak keluar nanti ye,” kata Johari sambil melangkah keluar. Ketika itulah dia terlihat sebuah kereta berwarna hitam berhenti betul-betul di depan pintu pagar rumah sewanya. “Jib, pak saudara kau dah sampai agaknya ni.” Dia memaklumkan ketibaan Tengku Reza.

“Assalamualaikum, Najib ada?” sapa Tengku Reza ke arah Johari yang sedang menolak keluar motosikalnya.

“Ada, bang, ha... tu pun dia. Lama dia tunggu abang tadi.”

“Ada hal sikit tadi, tu yang lambat.”

“Bidadari turun dari langit ye, bang?” Johari sempat mengusik.

Tengku Reza ketawa kecil. Untuk seketika dia terbayangkan wajah gadis yang segarang singa betina itu.

“Okey kepala otak awak!” suara gadis yang masih belum diketahui namanya itu bagai terngiang-ngiang di telinganya. Seumur hidupnya belum pernah sekalipun dirinya disembur sebegitu oleh seorang perempuan. Tak padan dengan kecik, tapi mak oi... garangnya!

“Kalau boleh saya tak nak jumpa awak lagi, tau tak!” hentakan suara gadis itu menerpa lagi ke ruang ingatannya. Sombong betul kau ye, gerutu hatinya. Tetapi entah mengapa, dia merasakan yang dirinya akan lebih kerap melawat anak saudaranya yang menuntut di institusi pengajian tinggi itu selepas ini.

“Dah nak pergi kelas ke, bro?” soalnya ke arah Johari.

“Ye, kemana lagi nak dituju pagi-pagi ni. Okeylah ye, bang, saya pergi dulu,” tingkah Johari sambil memecut motosikalnya meninggalkan tempat itu.

“Uncle Reza, kenapa lambat sampai? Sesat ke?” Tengku Najib yang menghampirinya, menyoal.

“Ada hal sikit kat tengah jalan tadi. Eh, kenapa dengan muka kau ni Jib?” soal Tengku Reza yang terkejut melihat kesan-kesan lebam pada wajah anak saudaranya.

“Argh! Lupakan ajelah.”

“Kau bertumbuk ke? Samseng mana yang dah kerjakan kau ni?”

“Ah, lupakan ajelah uncle, malaslah nak cerita. Sebab nilah saya tak balik rumah semalam. Saya takut mama bising.”

“Tuang kelaslah nampaknya hari ni?”

“Apa salahnya sesekali mengadap lecturer dengan muka macam ni? Mungkin ramai gadis akan tangkap syok tengok muka lebam ni nanti.” Selepas menuturkan kata-kata itu Tengku Najib tergelak kecil. Begitu juga dengan Tengku Reza, turut tergelak bersama.

“Nak raih simpati dia orang ke? Apa-apa ajelah, Jib. Janji kau bahagia. Jom masuk kereta. Kita pergi sarapan dulu.” Gesa Tengku Reza ketika mendapati rintik-rintik hujan yang semakin kasar turunnya.

Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.