40
DI LUAR, hujan semakin melebat, memutih turunnya lalu turut
membataskan jarak pandangan. Sesekali alam akan dihiasi oleh pancaran kilat
beserta dengan bunyinya yang membingitkan telinga. Jalanraya licin dan becak
menyebabkan pemandu harus lebih berhati-hati ketika menyusurinya. Longkang dan
saliran dipenuhi air membuatkan ada penduduk menjadi gelisah kalau-kalau
longkang yang melimpah akan menyebabkan kediaman mereka ditimpa banjir kilat.
Mereka harus bersedia kerana bencana boleh berlaku bila-bila masa sahaja.
Walaupun
hujan yang turun di waktu pagi kadangkala terasa menyeksakan terutamanya kepada
mereka yang harus berkejar ke tempat kerja, pun begitu hujan bukanlah tiket
untuk mereka menghentikan masa. Di bumi yang sentiasa berdenyut itu, masa harus
terus berjalan, sama sekali tidak boleh dihentikan. Itulah yang memaknakan masa
kepada penghuninya.
Selagi
hujan tidak berubah menjadi bah yang menenggelamkan rumah dan bangunan, ribut
belum bertukar menjadi puting beliung yang menerbangkan premis-premis pejabat
serta gedung perniagaan, maka mereka harus sampai ke destinasi mengikut masa
yang ditetapkan. Tiada pengecualian; kecuali mungkin kepada Tengku Najib yang
kini sedang bersantai menikmati roti telur dan teh tariknya di sebuah restoran
mamak bersama-sama dengan Tengku Reza.
Dia tidak
pernah rapat dengan bapa saudara bongsunya itu sepertimana hubungannya yang
terlalu rapat dengan Tengku Amirul. Malah, dek kerana terlalu rapat dan
sayangkan lelaki itu maka dia pernah menganggap bahawa Uncle Amir adalah idolanya.
Dia tidak
tahu kenapa selama ini dia membeza-bezakan agihan kasihnya di antara Tengku
Amirul dan juga Tengku Reza sedangkan kedua-dua lelaki itu bukanlah sesiapa
lagi dengannya, bapa saudaranya juga. Mungkinkah sebab terikut-ikut dengan mama
dan papanya yang selama ini tidak pernah mahu rapat dengan Tengku Reza?
Dia tidak
pernah diberitahu kenapa seluruh keluarganya menumpahkan kasih kepada Tengku
Amirul dan meminggirkan Tengku Reza, tetapi dia pasti setiap yang berlaku ada
penyebabnya. Cuma dia malas hendak mengorek rahsia itu daripada mamanya.
Malu
hendak mengakuinya, tetapi inilah kali pertama dia menikmati sarapan pagi bersama-sama
dengan Uncle Rezanya. Okey jugaklelaki ni, bisik hatinya sambil
sesekali menilai keperibadian Tengku Reza. Dia tidak canggung barang sedikitpun
dengan lelaki itu. Pada pendapatnya, Tengku Reza adalah seorang lelaki biasa
yang hangat, peramah dan mudah mesra.
“Kenapa
kau pandang aku macam tu, Jib? Kau pelik tengok kulit aku yang hitam ni ke?”
tegur Tengku Reza ketika menyedari mata anak saudaranya seolah-olah sedang
mengawasinya.
“Err... uncle ni, tak adalah!”
“Aku
taulah kulit aku ni gelap sikit, tak sama warna dengan kau tu... ataupun kulit uncle kesayangan kau tu.” Agak kasar,
berjauh hati bunyinya.
“Ah,
peduli apa dengan warna kulit, Uncle
Reza? Yang penting hati ni aje, putih ataupun hitam.”
Tengku
Reza ketawa kecil. Dia tidak pasti apakah anak saudaranya sekadar hendak
mengambil hatinya, tetapi dia peduli apa. Dia pun menjenguk Tengku Najib sekadar
untuk mengambil hati kakaknya, Tengku Sarah.
“Eh, kau
masih belum cerita lagi dengan aku, siapa yang pukul kau sampai macam ni
sekali?” Sekali lagi Tengku Reza cuba mengorek rahsianya.
Tengku
Najib menggeleng-gelengkan kepalanya. “Lupakan ajelah pasal ni, uncle. Saya malas nak panjang-panjangkan
cerita.”
“Kalau kau
nak, aku boleh tolong...” Tengku Reza melontar pandangannya yang dalam dan
bermakna ke arah Tengku Najib. “Aku serius ni, Jib. Aku boleh buat sampai budak
yang pukul kau, melutut minta maaf pada kau. Walaupun sekarang ni aku tinggal
kat UK tapi jangan lupa kawan-kawan aku masih ramai lagi di sini.”
Tengku
Najib menelan air liurnya. Dia terbayangkan wajah Uncle Amirulnya yang kini sedang merengkok di penjara akibat kesalahan
yang tidak pernah terfikir di benaknya lelaki itu sanggup lakukan. Kini, Uncle Rezanya bercakap gaya seorang
samseng. Keturunan samsengkah keluarga aku ni, hatinya mula bersoal jawab.
Melihatkan
Tengku Najib terkebil-kebil memandangnya, dia segera melambakkan tawa.
“Aku tak paksa.
Kalau kau tak nak, tak apa. Aku cuma tak mahu orang perkotakkatikkan anak
saudara aku, tu aje.” Tengku Reza segera menjernihkan suasana. Dia mencapai
gelas berpeluh di depannya lalu menyedut teh aisnya perlahan-lahan.
“Ala...
hal kecil aje, uncle. Dah selesai
pun.”
“Baguslah kalau macam tu. Aku pun malas nak
kotorkan tangan aku ni!” Tengku Reza kemudian ketawa kecil. “Eh, boleh aku tahu
kenapa kau bertumbuk dengan budak tu? Pasal perempuan?”
“Err...
tak adalah!” Takkan dia hendak mengaku dengan bapa saudaranya.
Tengku
Reza tergelak besar melihatkan dia serba-salah hendak menjawab.
“Aku
tengokkan engkau ni dengan Amir ada persamaan. Sanggup berbuat apa aje demi
seorang perempuan. Cantik sangat ke perempuan tu sampai kau sanggup lebam-lebam
muka macam ni? Berbaloi ke?” Kata-kata yang meluncur keluar kadangkala langsung
tidak mempedulikan perasaan orang yang mendengarnya.
Tengku
Najib menggetap bibir serta menggenggam buku limanya.
“Maaflah,
aku tak bermaksud nak sakitkan hati kau. Jauh sekali nak cari gaduh dengan kau.
Aku datang ni sebab mama kau risaukan kau. Dia pesan, petang ni kau kena balik
ke rumah.” Tengku Reza segera mengalih topik perbualan mereka setelah melihat
perubahan ketara pada wajah anak saudaranya.
“Tengoklah
nanti.”
“Baliklah
petang ni. Jangan buat mama kau risau.” Tengku Reza sempat menasihatinya.
Tengku
Najib tersenyum cuma. Mereka terdiam seketika, menghabiskan makanan yang
terhidang di pinggan masing-masing. Di luar, hujan masih melebat. Belum ada
tanda-tanda hendak berhenti.
“Mama kau
pernah cerita dengan aku yang kau sekarang ni dah ada girlfriend. Siapa nama dia? Kau tak nak kenalkan dengan aku ke?”
Sekali
lagi dia terkejut. Itu pun mama ceritakan pada Uncle Reza?
“Girlfriend saya ramai, uncle. Mama ada sebut tak yang mana
satu?”
“Kau pun
Romeo jugak ke? Aku ingatkan Amir seorang aje Romeo dalam keluarga kita,
rupa-rupanya kau pun ikut jejak dia.” Tengku Reza ketawa besar. “Cuma satu aje
aku nak ingatkan kau, Jib, jangan sampai menculik anak dara orang dahlah.”
“Saya
bukan orang macam tu!”
“Hmm...
bagus.”
“Uncle pulak macam mana? Bila nak
kahwin?”
Sekali
lagi terhambur ketawa dari mulut Tengku Reza.
“Hmm...
nantilah, bila dah jumpa gadis yang sesuai dengan jiwa aku nanti, aku
kahwinlah,” jawabnya setelah tawanya terhenti.
Sebelum
sempat Tengku Najib menyambung bual, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi.
Segera dicapainya lalu direnungnya skrin. Nama ‘Tasya’ terpapar. Segera
dipekapkan telefon kecil itu ke telinga.
“Ye,
Tasya?”
“Jib, you
kat mana ni?”
“Err... I tengah
minum kat restoran. Kenapa?”
“Boleh
tolong hantar I ke kampus tak? I tak ada transportlah,
hujan lebat pulak ni.” Nada merayu.
“Kenapa
you tak panggil teksi?”
“Ai,
sombongnya! Tak nak tolong, tak apalah.” Merajuk.
“Err... sorrylah, Tasya. Sebenarnya I tengah
minum dengan pak sedara I ni. I pun tuang kelas hari ni. Okey ye, Tasya, bye.” Dia segera menamatkan perbualannya
dengan Natasya lalu memandang lurus ke wajah Tengku Reza.
“Kenapa?”
soal lelaki itu.
Dia tidak
menjawab, sekadar senyum. Malas hendak memanjangkan cerita tentang gadis
bernama Natasya pula. Lagipun gadis itu sudah tidak penting lagi dalam kamus
hidupnya.
DI RUMAH, Adeela bersendirian dan
terkurung di dalam hujan. Rasa bosan mula menyelubungi dirinya. Bosan duduk di
ruang tamu, dia membawa diri ke bilik yang dikonginya dengan Annessa.
Dia
melabuhkan punggung di birai katil. Tatkala diri dihurung kebosanan begitu,
kenangan lama sering mengusik ruang ingatannya. Perceraian di antara papa
dengan mamanya telah menyaksikan dia dipisahkan dengan Annessa. Entah apa
sebabnya maka Zikri mendesak agar Annessa tinggal dengannya, sementara dia dan
Aleya pula tinggal dengan Sofea.
Begitulah
kejamnya sebuah perceraian yang menyaksikan pasangan kembar itu dipisahkan oleh
papa dan mama mereka sendiri semata-mata untuk memuaskan ego masing-masing.
Tetapi
kenapa papa pilih Anne tinggal dengannya? Sedangkan kalau diikutkan aku lebih
rapat dengan papa daripada Anne? Kalaulah papa pilih aku tinggal dengannya
pasti kini aku yang berada di menara gading sana dan bukannya Anne!
Kalaulah
papa pilih aku, pasti aku tidak terseksa begini. Kenapa? Kenapa bukan aku yang
terpilih untuk tinggal di samping papa? Kenapa aku yang perlu menanggung semua
seksa ini? Kenapa nasib malang ini harus membelit diriku dan bukannya Anne?
Kenapa?
Kenapa???
Air
matanya mengalir lebat menuruni pipi, selebat hujan yang mencurah-curah di luar
rumah. Jari-jemarinya mencengkam tilam. Tiba-tiba dia bingkas bangun lalu
menuju ke kepala katil. Sehelai tuala kecil berwarna putih ditariknya keluar
dari bawah bantal. Tuala itulah yang dicari-cari Annessa, tuala milik Tengku
Najib.
Dia tidak
pasti kenapa dia harus mencuri tuala itu daripada Annessa dan menyembunyikannya
pula di bawah bantal itu. Kemudian buat-buat tidak tahu pula ketika Annessa
sibuk mencari tuala itu semalam. Yang dirasainya cuma rasa sakit hati melihat
hubungan Annessa yang semakin rapat dengan anak saudara kepada lelaki yang
pernah menabur jelaga ke dalam hidupnya.
Dia
membawa tuala itu ke dapur lalu disumbatkannya ke dalam plastik sampah. Setelah
hujan reda nanti plastik sampah itu akan dipindahkan pula ke dalam tong sampah
yang terletak di luar rumah untuk diangkut pergi oleh lori pemungut sampah.
Dia
menarik nafas dalam-dalam, membasuh mukanya di sinki lalu menuju semula ke
ruang tamu.