Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 21

21

JOHARI letak pinggan mi goreng cincai-bocai yang dibuatnya sendiri di atas meja kaca berhampiran dengan kusyen tempat temannya, Tengku Najib sedang terlentang. Gaya Tengku Najib yang tidak ubah seperti apek kalah judi itu membuatkan Johari hanya memandangnya dengan kepala yang tergeleng-geleng.

“Rasalah mi tu sementara masih panas,” pelawanya. Sekadar berbasa-basi.

Tengku Najib menoleh sekilas ke arah sepinggan mi goreng yang agak berlendir kerana terlebih minyak itu. Dia hanya nampak sehelai daun sawi serta taugeh yang tidak dibuang ekor di dalam mi goreng tersebut. Dia cuba mencari kelibat daging atau cebisan ayam, namun tidak kelihatan. Panorama yang terhidang di depan matanya itu langsung tidak menerbitkan seleranya. Pun begitu, hendak juih bibir takut temannya terasa.

Kemudian, matanya menjalar pula ke arah temannya yang laju sahaja menyudu mi goreng berlendir ke mulut. Agaknya si Jo ni dah kelaparan tahap gaban, tulah sebabnya laju saja mulutnya menyuap mi goreng yang langsung tak sedap tu. Uwek! Dia bermonolog lalu segera melemparkan renungannya ke dada televisyen yang sedang terpasang. Kelihatan Tiz Zaqyah sedang berlakon entah dalam drama apa.

Spontan dia mengurut dadanya. Tengok muka Tiz Zaqyah yang putih melepak ni lagi selera daripada tengok mi goreng berlendir hasil karya Johari bin Johar, hatinya berkata-kata lagi. Mengutuk temannya itu dalam diam.

Tiba-tiba dia teringatkan si buah hati pengarang jantung yang enggan bertemu muka dengannya. Walau puas dipujuk dan dirayu, Annessa tetap tidak mahu berjumpa barang seketika. Susah juga berkawan dengan anak dara yang dipingit ni, getus hatinya. Spontan dia meletakkan belakang tangannya ke dahi. Gayanya ketika itu persis seorang pemikir hebat yang sedang ligat menggali otak kecilnya untuk mengeluarkan idea-idea baru yang bisa menggoncang dunia.

“Ayah aku kata tak elok buat cenggitu.” Komen Johari, anak bongsu kelahiran keluarga Felda Bukit Senggeh itu. Cerita Johari, sewaktu ayah dan ibunya mula-mula menjadi peneroka Felda dahulu hidup mereka sekeluarga amat susah. Mereka anak-beranak terpaksa tinggal di rumah kecil yang disediakan oleh pihak Felda. Tetapi kini, kehidupan peneroka Felda telah berubah sama sekali. Rumah yang dahulunya kecil serta sempit kini sudah digantikan dengan rumah batu yang besar lagi indah.

“Buat apa?” soal Tengku Najib. Tidak mengerti.

“Tu!” Johari meniru perlakuan Tengku Najib yang meletakkan belakang tangan ke dahinya. “Ayah aku kata tak elok.”

“Macam-macam petualah ayah kau tu!” Tengku Najib merengus. “Semuanya tak boleh. Ada dia bagi reason kenapa tak boleh buat macam ni?”

“Tak ada pulak.”

“Kau tak tanya?”

Johari menggeleng-gelengkan kepalanya. “Tak teringat pulak nak tanya kenapa tak boleh buat macam tu.”

“Laa... apasal kau tak tanya dia? Jadi kau ikut ajelah apa yang ayah kau cakap?”

Johari mengangguk. “Aku ikut ajelah. Kalau dia kata tak boleh, adalah sebabnya tu. Lagipun dia kan ayah aku. Dia lebih dulu makan garam dari aku. Kalau aku soal banyak-banyak nanti, silap hari bulan pelempang pulak naik ke muka aku. Nanti tak pasal-pasal muka aku jadi lebam macam muka kau tu!”

Diam tak diam, Johari sempat menyindirnya. Sindiran spontan yang melompat keluar dari mulut temannya itu membuatkan Tengku Najib terkenang kembali insiden di tengah-tengah padang petang tadi, yang menyaksikan dia terkedang di rumah sewa Johari kerana takut hendak menapak pulang ke rumah keluarganya di Pandan Jaya. Dia pasti mamanya akan menyoalnya macam-macam kalau dia pulang dengan muka yang lebam-lebam begitu. Daripada dia terpaksa menjawab bermacam-macam soalan, lebih baik dia menumpang seketika di rumah Johari. Sekurang-kurangnya dengan Johari dia tidak perlu menipu.

“Aku betul-betul tak puas hati dengan Hisyam tu. Dia ingat sebagai ketua pasukan, dia ada tiket untuk hina orang sewenang-wenangnya?” Tengku Najib mengepal buku limanya seolah-olah seterunya itu berada di depan matanya.

“Dia pun masak kau kerjakan,” tingkah Johari. “Training petang esok macam mana? Pergi ke tak?”

“Ah, kalau ikutkan hati malas aku nak mengadap muka dia lagi. Tapi tengoklah macam mana,” getusnya perlahan lalu teringatkan tuala Good Morning miliknya yang kini berada di tangan Annessa. Dia cukup pasti petang esok tuala itu akan dipulangkan semula kepadanya dalam keadaan yang bersih serta wangi.

“Tapi Jib, kau kena ingat... kau tu ayam tambatan team kita. Ah, lupakanlah hal si Hisyam tu dulu. Eh, makanlah mi tu.” Johari menggesa tatkala dilihatnya isi pinggan yang masih tidak diusik.

“Tak ada seleralah.”

“Kalau Anne temankan, baru kau ada selera ye?”

Tengku Najib menyengih. “Tu dah semestinya.” Sahutnya pantas.

“Dasar mangkuk ayun!” kutuk Johari.

Tengku Najib tidak memberikan sebarang reaksi. Matanya menyorot kembali ke arah Tiz Zaqyah yang sedang tersenyum di kaca televisyen. Dia teringatkan senyuman Annessa. Senyuman gadis itu dirasakan lebih manis dan menawan daripada senyuman pelakon Tiz Zaqyah.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.