Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 32

32

BERAPA Yaya nak guna duit?”

Annessa terdengar mamanya bertanyakan soalan itu ke arah Aleya ketika dia menghantar dulang berisi seteko teh O nipis dan empat biji gelas ke ruang tamu. Diletakkannya dulang itu dengan berhati-hati di atas meja kopi.

“RM60.00 aje, ma.” Aleya yang sudahpun menghabiskan sebiji kek cawan, menyahut.

Sofea mengangguk. “Jangan risau, esok pagi mama bagi duit tu. Homework semuanya dah siap?”

“Beres!”

“Macam tulah, bagus anak mama.”

Annessa mengambil tempat di sisi mamanya. Dicapainya kek cawan yang ada sebiji ceri merah di atasnya. Digigitnya dahulu ceri itu untuk merasai nikmat kemanisannya. Dia sebenarnya sedang mencari-cari ruang untuk meluahkan isi hatinya kepada Sofea.

“Boleh tahan jugak kek cawan yang Deela buat ni,” puji Sofea setelah segigit kek itu masuk ke mulutnya. “Mana dia dapat resipi?”

“Daripada majalah yang mama selalu bawa balik tulah.” Annessa segera menjawab.

Sofea mengangguk. Dia mengakui bakat semulajadi anak gadisnya yang seorang itu. Sebagai seorang ibu, dia tidak kisah apapun bidang yang hendak diceburi oleh anak-anaknya kelak. Dia akan tetap memberikan galakan kepada mereka.

Kalau Annessa meminati bidang Kewartawanan seterusnya mahu menjadi sebagai seorang wartawan ataupun editor sepertinya, dia akan memberikan galakan dan sokongannya. Begitu juga dengan Adeela. Kalau kembar Annessa itu mahu mendalami bidang pembuatan kek dan pastry, dia tidak akan menghalang. Malah dia akan memberikan sokongan seratus peratus kerana bidang itu juga menjaminkan pendapatan yang lumayan jika diusahakan bersungguh-sungguh. Dia sanggup mencari tapak perniagaan kalau benar-benar Adeela mahu melibatkan diri dalam bidang pembuatan kek dan pastry secara serius kelak.

“Deela suruh Anne bawa cup cake yang dia buat ni ke kampus esok, untuk kawan-kawan rasa. Anne cadang nak bawak ekstra, nak bagi taukeh kafe di kampus Anne tu rasa. Manalah tau dapat tolong Deela menjana pendapatan sampingan sebagai pembekal cup cake di kampus tu nanti.” Annessa menceritakan perancangannya kepada Sofea.

“Wah, berfikir lagak seorang business woman, nampak?” Itulah komen spontan Sofea.

Annessa terbatuk-batuk walaupun tekaknya tidak gatal, sekadar batuk yang dibuat-buat. Kemudian dia melambakkan tawanya.

“Apa salahnya kalau dapat membantu adik sendiri.” Sahutnya setelah tawanya terhenti.

Sofea mengangguk. “Ye, betul tu!”

“Kat pejabat mama pun ada kafe jugakkan? Apa kata kalau esok mama pun bawak kek promosi ke pejabat?” Pantas sahaja Annessa melontar cadangan membuatkan mamanya terkaku seketika.

Sofea letak jari telunjuknya yang seruncing serai itu ke dagu, kemudian dia mengangguk.

“Hmm... good idea. Kita anak beranak cuba sedaya upaya mempromosikan kek cawan Adeela ni. Mana tau kan akibat promosi kecil-kecilan yang kita buat ni nanti, akhirnya perniagaan cup cakeni akan bertambah maju.”

“Hmm...betul tu, ma. Kalau dah bertambah maju nanti, kita bolehlah buka outlet kecil-kecilan untuk jual cup cake dan juga kek-kek lain. Lagipun apa yang disusahkan, kita tinggal di bandar... pasaran kek dan pastry di bandar ni luas. Kalau bukak outlet jual kek kat kampung, mungkin perniagaan ni susah nak berkembang sebab orang kampung lebih suka bakar kek sendiri,” Annessa berhujah panjang sambil turut meletakkan jari telunjuknya ke dagu, meniru perlakuan mamanya.

“Lepas tu, kalau dah makin maju... kita buka kedai kek yang di dalamnya tersedia meja dan kerusi in case ada pelanggan nak menikmati kek sambil minum-minum di kedai kita tu. Lepas tu...”

“Dah... dah! Cukup-cukuplah berangan tu. Jangan nanti jadi macam Mat Jenin pulak, akhirnya jatuh pokok kelapa sebab terlebih berangan!” tegur Sofea sambil menghamburkan gelaknya.

Annessa terkerisin. Ye, jauh sudah dia berangan. Tetapi siapa tahu kalau suatu hari nanti angan-angan bakal menjadi kenyataan? Tiba-tiba dia teringatkan petikan daripada buku Membina Imaginasi Cemerlang, karya Dr. HM Tuah Iskandar yang membezakan di antara angan-angan dengan imaginasi. Menurut beliau, berimaginasi ialah mereka satu matlamat dalam minda sedangkan berkhayal ialah membiarkan angan-angan bebas bermain tanpa titik(matlamat).

Menurut pakar motivasi itu lagi, orang yang kuat berangan-angan memang susah maju, berbeza dengan orang yang kuat berimaginasi pasti menghasilkan sesuatu.

Mereka terdiam seketika. Sofea menuang teh O ke dalam gelas lalu meneguknya perlahan-lahan.

“Ma, esok jangan lupa sediakan duit tu, ye.” Suara Aleya kedengaran. Dia bangkit lalu mencium pipi mamanya.

“Okey, jangan risau. Dah nak masuk beradu ke ni, princess?

“Hmm... ngantuklah. Semalam malam ma, Kak Anne...”

“Eh, jangan lupa gosok gigi tu dulu. Kan baru aje lepas makan cup cake?” Sofea mengingatkannya.

“Okey.” Getus Aleya manja sambil melangkah meninggalkan mereka berdua.

Nilah masanya yang sesuai untuk aku beritahu mama, getus hati Annessa. Adeela masih sibuk di dapur dan Aleya sudahpun menuju ke bilik air untuk menggosok gigi sebelum terus ke biliknya, tidur.

“Ma, Anne ada hal nak cakap dengan mama ni,” Annessa membuka bicara. Matanya membelingas ke arah dapur. Adeela mungkin sudah selesai memasukkan adunan terakhirnya ke dalam oven. Sebelum Adeela menyertai mereka di ruang tamu, baik dia memberitahu hal penting itu kepada mamanya dengan kadar segera.

“Cakap ajelah.”

“Mama izin ke kalau Deela bermalam di kampung keluarga angkatnya?”

Mata Sofea menghunjam renungan ke arah Annessa. Wajahnya nampak serius.

“Kenapa? Deela nak jenguk Mak Miah kat kampungnya ke?”

“Tadi kan ma, anak lelaki Mak Miah tu telefon Deela. Ala... Idris tu...”

“Aha!”

“Petang Jumaat ni dia nak datang ke Shah Alam. Katanya nak melawat Deela. Lepas tu Idris nak bawak Deela pulang beberapa hari ke kampungnya sebab Mak Miah tu konon-kononnya dah rindu sangat nak jumpa Deela. Apa pendapat mama? Mama nak izinkan ke?”

“Deela pulak macam mana? Dia nak ke ikut Idris pulang ke kampungnya?”

“Dah tentulah dia nak, ma. Malah pasal hal ni, kami dah bertegang leher tadi. Anne tak sukalah Deela rapat dengan keluarga angkatnya tu, ma! Mama ingat lagi tak macam mana kita bersusah payah mencari Deela dulu, sedangkan Deela berada di rumah mereka?” Annessa berterus terang.

“Mama faham tu! Tapi kita juga kena fikirkan perasaan Deela. Kalau Deela dah rindukan keluarga angkatnya dan teringin nak jumpa mereka...” Kata-kata Sofea terhenti seketika, seolah-olah sedang berfikir jauh. “Ha, apa kata kalau kita sekeluarga yang pergi melawat mereka? Kita pun dah lama tak balik ke kampung kan?”

“Eerkk...” Terkeluar sendawa dari mulut Annessa yang terkejut mendengar kata-kata mamanya seketika tadi. Mereka – dia, mamanya, Aleya dan Adeela akan berkampung di rumah Mak Miah?

Oh TUHAN, tidak!!!

“Apa kata kalau kita bertolak ke kampung mereka pagi Sabtu tu? Tak kisahlah kalau anak Mak Miah nak datang jenguk Deela hari Jumaat tu. Kalau dia tak ada tempat tinggal, kita tumpangkan ajelah dia semalam di rumah kita ni. Lagipun dia yang menyelamatkan Deela di tepi sungai dulu. Budak tu baik jugak orangnya... handsome... ada iras-iras pelakon...”

“Eh, mama, are you out of your mind? Dia tu lelaki bukan muhrim, ma, dan mama nak bawa dia masuk ke rumah kita? Kalau papa tahu, tentu papa marah nanti. Di rumah ni hanya ada orang perempuan aje ma!” Annessa membantah. Dia tidak dapat membayangkan Idris menapak masuk ke rumah mereka.

“Apa nak takut, Anne? Kita bagi dia tumpang semalam aje. Esok pagi-pagi tu kita sekeluarga akan berangkat ke kampungnya pulak. Petang Jumaat tu mama janji akan balik awal ke rumah. Dan, lagi satu Anne, kau jangan sebut tentang papa... apa yang papa suka ataupun tak depan mama ye. Kalau kau nak tau sejak papa tinggalkan kita dulu, segala urusan di rumah ni dah jatuh ke bahu mama. Kau tak perlu mengadu apa-apapun dengan papa tentang hal. Lagipun hal ni kecil aje, kenapa nak perbesarkan? Deela pun nampaknya macam suka aje dengan Idris tu...”

Annessa terdiam, sekadar memendam dalam hati. Pada mulanya tadi dia berharap agar mamanya bersekongkol dengannya untuk membantah Adeela mengikut Idris pulang ke kampungnya, tetapi yang sebaliknya pula berlaku.

Bunyi langkah kaki yang kedengaran sedang menghampiri, membuatkan perbualan kedua beranak itu terhenti. Beberapa ketika kemudian, Adeela sudahpun berdiri di depan mereka.

“Macam mana cup cake tu, ma?” soal Adeela dengan wajah yang bercahaya.

“Sedap!” puji Sofea.

“Thank you.” Seulas senyuman tersungging di bibirnya. “Ma, Deela ada hal nak beritahu mama ni...”

“Hmm... apa halnya tu?”

“Ehem, ma... Deela, Anne minta diri dulu ye. Ada assignment nak siapkan,” ujar Annessa, memberikan asalan untuk meninggalkan ruang tamu itu.

“Okay, good night, Anne,” kata Sofea. Matanya dipakukan pula ke arah Adeela yang kini duduk di sisinya. “Apa hal yang Deela nak cakap dengan mama?”

 

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.