Home Cerpen Keluarga CERPEN: CINTA SEPOTONG KEK
CERPEN: CINTA SEPOTONG KEK
SITI ROZILAH
12/4/2013 11:31:00
5,877
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

CERPEN: CINTA SEPOTONG KEK

Oleh

SITI ROZILAH

CINTA bagiku umpama mengunyah sepotong kek. Enak dan manis sekali. Tapi manisnya tak lama. Setelah kek habis ditelan segala manisnya akan terus hilang.” Begitulah kata-kata yang pernah diucapkan oleh perempuan muda itu padaku suatu masa dahulu; yang waktunya entah bila – aku lupa sebenarnya – dan tempatnya di sebuah restoran kopitiam yang terletak betul-betul di pusat nadi Kuala Lumpur.

Perempuan muda yang kulihat ketika itu wajahnya bersih, berhidung mancung, berkulit cerah tanpa jerawat mahupun jeragat yang mengotorkan pipinya; ya... dia boleh dikategorikan sebagai cantik. Rambutnya cukup separas bahu. Bentuk badannya solid tanpa selulit yang mencacatkan penampilannya.

Betul, dia memang jambu orangnya. Dan, dek ‘jambunya dia’ aku langsung terpikat lalu jatuh cinta pandang pertama dengannya.

Kini setelah sepuluh tahun berlalu aku ditakdirkan TUHAN untuk bertemu sekali lagi dengannya. Ya, sudah tentulah dengan sebuah pertemuan yang tidak diduga mahupun dirancang. Dia persis dulu-dulu juga. Persis yang pernah kutatap sepuluh tahun lalu!

“Assalamualaikum, kalau tak silap saya... ni Hatta kan?”

Cuba kamu teka apakah perasaanku tatkala disapa oleh satu suara yang pernah menjentik naluri kelelakianku suatu ketika dahulu? Ya, sudah tentulah aku dikejutkan dengan kejutan yang teramat. Dan, tatkala mata kami bertembung, aku yang ingin membencinya dengan kebencian yang teramat kerana dia pernah membiarkan hatiku berkelana selama beberapa lama; tiba-tiba sahaja tidak jadi membencinya.

Aneh sungguh hati seorang lelaki apabila ditakdirkan berdepan dengan seorang perempuan; apatah lagi perempuan itu pernah memanah tepat ke sudut hatinya dengan busur asmara!

“Kau? Sofea Ilhami?”

Dia meleretkan senyumannya. Senyuman yang pernah menitipkan ilham padaku suatu waktu dahulu; suatu waktu yang kini sudahpun bergelar sejarah... namun sejarah itu hakikatnya tidak pernah mati malah tetap hidup dan bernafas di hatiku.

“Siapa lagi... Sofea yang itulah!” tuturnya sambil ketawa kecil. “Atau, kau sudah ada ‘Sofea’ yang lain?” Dia menerbak.

Sofea yang lain?

“Tak ada!”

Dia merenungku dari atas ke bawah; seolah-olah ingin menilai seluruh kejujuranku. Kemudian, dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Mustahil kau tidak ada ‘Sofea’ yang lain. Aku tak percaya,” getusnya semakin galak.

“Aku tak minta kau mempercayai aku. Memang betul apa yang aku katakan tadi, tidak ada Sofea yang lain. Sofea yang pernah aku kenal hanyalah kau saja. Terpulanglah pada kau sama ada nak percaya ataupun tak.”

Aku seolah-olah tidak percaya mendengar apa yang terpantul keluar dari mulutku sendiri. Namun, kata-kata yang telah terlepas itu masakan mungkin kutarik kembali. Kulihat matanya berkaca-kaca.

“Kenapa kau tak boleh melupakan dia, Hatta? Sofea yang kau kenal itu sudah mati sepuluh tahun lalu tatkala dia mengambil keputusan untuk melangkah keluar dari hatimu.”

“Semudah itu? Sedangkan aku sering tertanya-tanya apakah salah aku hingga Sofea yang kukenali itu sanggup melangkah keluar secara tiba-tiba dari hatiku. Dan, jawapannya masih tak kutemui sampai kini. Sekarang setelah aku bertemu semula dengannya, sila persembahkan aku dengan sebuah jawapan.”

“Kau mendesak aku untuk sebuah jawapan?” Bibirnya kelihatan terketar-ketar. Gelisah mula bertapak pada seraut wajahnya.

“Setiap persoalan perlu pada jawapannya, Fea.” Nada yang terlontar dari halkumku ternyata keras lagi tegas. Aku nekad kali ini... aku tidak akan mempersia-siakan pertemuan yang tidak kami rancang ini.

Aku harus tahu kenapa hatiku pernah dibiarkannya berkelana suatu ketika dahulu. Egoku sebagai seorang lelaki tercalar. Maruahku sebagai seorang kekasih seolah-olah tertampar.

Apakah hanya kerana aku sebagai insan seni yang tidak punya apa-apa ketika itu, maka dia berhak mencacai hatiku sewenang-wenangnya?

“Kau dah berjaya sekarang, Hatta. Aku tidak pernah ketinggalan membaca karya-karyamu. Rinduku padamu seolah-olah terubat setiap kali aku menatap karya-karyamu yang berderetan dalam almari kaca di rumahku.”

Begitu mudah dia mengubat rindunya? Sedangkan luka yang pernah diciptanya di sudut hatiku suatu ketika dahulu, masih terasa nyerinya... masih jelas denyutnya.

“Terima kasih kerana sudi membaca karya-karyaku. Tapi kenapa kau masih enggan menjawab pertanyaanku tadi, Fea?”

“Penting sangatkah aku di hatimu, Hatta?”

Aku termangu seketika. Namun kemudian aku segera mengangguk-anggukkan kepala.

“Kenapa pula tidak penting? Sudah tentulah orang yang pernah melakar sejarah di hatiku itu cukup penting padaku.”

Dia mendengus. Kemudian mencebik bibirnya. Menyindir aku dalam sinis cebikannya.

“Kenapa kau terus-terusan berpegang pada sejarah yang dah lapuk tu, Hatta? Kan baik kalau kau lupakannya dan teruskan hidupmu seperti tiada apa-apa yang berlaku. Bukankah kau sekarang sudah muncul sebagai seorang yang terkenal dan berjaya dalam bidang yang kau cintai?”

Aku menyambut sinis cebikannya dengan senyuman.

“Memang betul Fea, aku kini sudah terkenal dan berjaya dalam bidang yang aku cintai. Tapi kau salah apabila menyarankan aku supaya melupakan sejarah yang kau kata sudah lapuk itu. Tidakkah kau sedar, Fea, tanpa sejarah takkan muncul sebuah peradaban?”

Dalam keserbasalahan, aku melihat dia tetap cuba mengukir segarit senyum di bibirnya yang kusam tanpa gincu.

“Maafkan aku, Hatta. Tapi masa seolah-olah mencemburui kita. Izinkan aku pergi,” katanya ketika melihat sebuah kereta mewah menjalar lalu berhenti tidak jauh dari tempat kami berdiri.

“Tunggu dulu, Fea!” Dalam keadaan terdesak, aku cuba mencapai tangannya. Aku tidak boleh membiarkan dia berlalu begitu sahaja tanpa mempersembahkan kepadaku sebuah jawapan yang kutunggu-tunggu sekian lama.

Dan, dalam keadaan terdesak pula dia segera melarikan kulit lengannya daripada dijilat sentuhanku.

“AKU cuma perlukan sebaris ayat dari mulutmu, Fea. Kenapa kau tinggalkan aku dulu? Apakah ketika itu aku manusia yang tidak punya apa-apa yang boleh dibanggakan? Aku miskin harta? Aku tak ada wang berkepuk di bank?”

Dia merenungku agak lama dengan sebuah renungan yang tidak mungkin aku lupakan sampai bila-bila.

“Maafkan aku, Hatta. Tapi perlukah aku menyakitkan hati kau sekali lagi kalau kau mendengar jawapanku kelak? Tidak, Hatta... aku enggan untuk menyakiti hatimu sekali lagi. Apa yang penting sekarang ialah kau sudah berjaya menjadi seorang penulis yang terkenal dan dihormati ramai. Sepuluh tahun lepas ketika kita masih bersama, kau tidak punya apa-apakan? Jadi kau anggap sajalah sejarah silam kita tu sebagai sejarah yang tidak punya makna apa-apa pada dirimu. Selamat tinggal!”

Kali ini aku tidak berjaya menghalangnya daripada pergi meninggalkanku sebagaimana aku gagal menghalangnya pergi sepuluh tahun lalu. Walaupun hatiku diterbak rasa tidak puas, namun mana mungkin aku memaksanya juga.

Dengan hati yang walang, aku melangkah mendapatkan isteri dan anak-anakku yang sedang menunggu di lobi hotel itu. Wajah manis isteriku dan keletah anak-anakku terasa tidak menghiburkan lagi. Seluruh mindaku bergelut dengan persoalan yang masih belum ditemukan jawapannya.

“Siapa perempuan tu tadi, bang?” getusnya ketika kami berada dalam kereta untuk pulang ke rumah.

“Perempuan mana?”

“Yang berborak dengan abang kat luar lobi hotel tadi?”

“Oh! Tu kawan lama abang.”

“Kawan lama?”

Aku angguk. Dalam hati aku kurang menyenangi soalan-soalan yang dilontarkan isteriku.

“Iza kenal ke dengan perempuan tu?”

“Iza tak perasan ke siapa perempuan tu?” Soalannya kubalas dengan soalan juga.

“Tak! Abang ada kawan ke yang berjubah labuh macam tu?”

Tekakku terasa berpasir. “Sofea yang kau kenal itu sudah mati sepuluh tahun lalu...” Kata-kata itu berdengung semula di kotak fikirku.

Wajahnya bertamu semula di ruang ingatan. Pada manis senyumnya. Pada mesra tutur bicaranya. Pada gemalai gerak lakunya. Pada kesemua ciri-ciri yang wujud dalam dirinya yang pernah aku igaukan suatu ketika dahulu.

Kemudian, terlintas di hatiku kata-kata yang pernah diucapkannya di sebuah restoran kopitiam beberapa hari sebelum dia melangkah pergi. Senario itu ternyata masih basah di jiwaku, sebasah petang itu sendiri.

Dia duduk di depanku; wajahnya tenang-tenang sahaja. Aroma air kopi seolah-olah memberikan inspirasi kepada kami. Di tangannya, sepotong kek blueberryyang menjadi kegemarannya. Aku melihat dengan asyik bagaimana Hawa di depanku itu menikmati kek blueberrynya – segigit demi segigit. Dalam setiap gigitan dikunyahnya perlahan-lahan seolah-olah hendak menikmati setiap kemanisan yang didatangkan bersama-sama kek itu.

Setelah semua kek habis ditelan barulah dia menuturkan perkataan itu. Katanya: “Cinta bagiku umpama mengunyah sepotong kek. Enak dan manis sekali. Tapi manisnya tak lama. Setelah kek habis ditelan segala manisnya akan terus hilang.”

“Maksudnya, kau tak percaya pada cinta?” Melihatkan dia diam tanpa sebarang reaksi, aku menyambung bicara, “fitrah kejadian Adam dan Hawa juga mendambakan cinta. Kalau cinta tak penting, masakan manusia dijadikan berpasang-pasangan lelaki dan perempuan? Kalau cinta tiada maknanya, masakan binatang juga dijadikan berpasang-pasangan?”

“Hujahmu itu tak boleh kusangkal. Tapi cuba kau fikir, bukankah cinta Adam kepada Hawa pernah membawa petaka? Serta cinta Zulaika membuatkan Yusuf merengkuk di penjara?” bidasnya setelah meneguk air kopi. Cukup seteguk, cawan kopi diletakkan di atas meja lalu matanya hinggap ke mataku.

Hatiku tertanya-tanya apa yang telah merasuk dirinya? Kenapa sejak akhir-akhir ini kedinginan jelas menggigit hubungan kami? Apakah dia sudah bosan dengan diriku yang serba ‘kecil’ ini?

“Ceritakan pada aku, Fea, kau mahu cinta yang bagaimana?” desakku.

“Hatta, cubalah kau realistik sikit dalam menilai erti cinta. Bagiku, cinta yang menggebu-gebu saja tak mungkin mengisi perut yang kosong.”

Lontaran kata-katanya itu membuatkan aku terasa semakin kecil. Dengan berbekalkan bakat sahaja, mana mungkin aku membina istana daripada emas dan permata untuk dipersembahkan padanya. Mana mungkin!

“Abang, handphone abang berbunyi tu. Tak nak jawab ke?”

Sergahan isteriku benar-benar membuatkan aku terkejut dan marah sekaligus. “Awak ajelah yang jawab. Katakan saya sedang memandu!”

“Betul ke Iza boleh jawab panggilan ni? Kalau girlfriend abang yang panggil macam mana?”

“Saya mana ada girlfriend? Yang ada hanya peminat.”

“Hmm... yelah tu! Assalamualaikum, siapa ni? Oh... Fea, err... Hatta sedang driveni. Nanti awak telefonlah balik, ya. Hmm... dalam setengah jam lagi sampailah kami ke rumah.”

Kata-kata isteriku itu benar-benar menyentak emosiku. Fea? Sofea yang menelefon? Aku menoleh sekilas ke arahnya dan kulihat pada wajahnya segarit luka.

“Perempuan yang berbual dengan abang kat depan lobi hotel tadi, Sofea ke?”

Aku mengangguk. “Ya.” Tidak ada gunanya berbohong dengan Iza.

“Dia dah berubah. Patutlah Iza langsung tak cam dia tadi.”

Aku mengambil keputusan untuk mendiamkan diri; menyepi tanpa reaksi. Begitu juga dengan isteriku; mematung tanpa emosi di sisiku hinggalah kami selamat sampai ke destinasi. Aku membiarkan saja dia tenggelam dalam emosinya, kerana aku sendiri sedang sarat memikirkan tentang Sofea Ilhami. Apakah tujuannya menelefonku?

Aku membiarkan isteri dan anak-anakku masuk ke rumah terlebih dahulu sebelum menghubungi Sofea. Aku tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendengar suaranya di hujung talian.

“Aku ingatkan kau tak mahu dengar suara aku lagi.” Getusku dengan nada rajuk.

Aku dapat mendengar tawanya di hujung talian. Mersik suaranya masih seperti dahulu juga.

“Kau marah ke, Hatta? Hmm... aku minta maaf. Mulanya aku memang tak nak ganggu kau lagi, tapi lepas aku fikir-fikirkan semula... apatah lagi dengan semalam yang pernah kita kongsi bersama, aku bulatkan hati untuk hubungi kau, hmm... mungkin untuk kali terakhir sebelum pemergianku.”

“Pergi? Kau nak pergi ke mana, Fea?”

Aku terdengar keluhannya. Agak berat. “Ke destinasi yang agak jauh dari sini. Aku akan menetap di tanah kelahiran arwah suamiku di Sanaa, Yemen.”

“Fea...” Suaraku lebih berupa sebuah keluhan.

“Di sana nanti selain berpeluang menjaga ayah dan ibu mertua yang sudah uzur lagi tua, aku juga ingin mendekatkan diriku dengan TUHAN. Hatta, sudah lama aku dambakan cinta sejati yang sentiasa membuak-buak... yang tidak luak sedikitpun walau setelah aku lanjut usia, yang langsung tak berkurang malah semakin bertambah walau setelah wajahku berkedut seribu. Dan, atas bimbingan arwah suamiku... aku rasa aku telah menemukan cinta sejati itu. Kemanisan cinta itu aku perolehi dengan mempersembahkan sejuruh jiwa dan ragaku pada-NYA... pada KHOLIQ yang menciptakan manusia daripada sekepal tanah dan DIA-lah juga yang telah menitipkan rasa cinta di hati kita semua.”

Ketika dia menuturkan kata-kata itu ke telingaku, terasa bulu romaku tegak berdiri. Sekilas terbayang di fikiranku seorang gadis manis yang sentiasa mengikuti rentak fesyen terkini.

“Hatta, aku akui suatu waktu dahulu aku memang pernah mencintaimu dengan selaut cinta yang sarat, hingga kita hampir-hampir saja...” Dia tidak mampu meneruskan kata-katanya dan terdiam seketika, “...mujurlah kita cepat-cepat tersedar sebelum terus hanyut dihempas badai. Ketika itu aku rasa sudah sampai masanya untuk aku meninggalkanmu kerana aku hendak menyelamatkan diriku dan juga dirimu daripada terus digoda nafsu. Aku juga tidak mahu kau mengibaratkan aku seumpama sepotong kek – setelah habis ditelan segala manisnya akan hilang.”

Aku rasa lidahku kelu.

Ketika aku sudah bersedia hendak menjawab, dia bersuara lagi, “...kemudian arwah suamiku muncul lalu menghulurkan tangannya kepadaku... dialah yang membimbing aku untuk menjadi muslimah sejati. Bukan niatku untuk mendabik dada dengan ilmu yang sedikit ini, tapi itulah hakikatnya, Hatta. Sementara masa masih berpihak kepada kita, aku ingin mengucapkan terima kasih kerana kau pernah menyayangi aku dan aku minta maaf kalau sepanjang perhubungan kita dahulu, aku pernah menyakiti hatimu.”

“Fea, sementara masa masih berpihak pada kita ini, biar aku jelaskan pada kau juga yang aku ikhlas denganmu. Aku memang mencintaimu dan aku telah bercita-cita untuk melamar dirimu sebagai isteriku.” Egoku sebagai lelaki yang pernah dikuis cintanya tidak kufikirkan lagi.

Sofea terdiam. Agak lama! Mungkinkah dia sedang membandingkan diriku atau ilmu agamaku dengan arwah suaminya, pensyarah yang berasal dari Yemen itu? Entah mengapa untuk kedua kalinya aku terasa begitu ‘kecil’ di depan Sofea. Kalau sepuluh tahun dahulu, aku terasa ‘kecil’ kerana kesempitan hidupku sebagai insan yang tidak punya apa-apa yang hendak dibanggakan; kini setelah aku terkenal dan berjaya dalam bidangku – aku terasa ‘kecil’ pula kerana pengetahuan agamaku yang masih dangkal dan cetek.

“Hatta, aku rasa sudah sampai masanya untuk kau menguburkan kenangan yang pernah kita kongsi bersama dahulu. Sekarang kau sudah ada isteri dan anak-anak yang menjadi tanggung jawabmu. Canailah cinta dengan isterimu. Bimbinglah Iza dan anak-anakmu dengan ilmu agama. Didiklah mereka untuk mencintai-NYA kerana kita tidak tahu sampai bilakah kita dibenarkan untuk menghirup udara yang dipinjamkan-NYA pada kita.

Hatta, azan Asar dah pun kedengaran tu. Aku minta diri dulu. Hmm... sampaikan salam aku pada Iza dan anak-anak kau. Kalau kau sedang makan sepotong kek blueberry, ingat-ingatlah aku, okey.”

Dia ketawa. Dan aku turut ketawa bersamanya.

“Fea, aku ucapkan selamat jalan padamu. Semoga ALLAH sentiasa memberi rahmat dan melindungimu. Aku juga nak ucapkan terima kasih kerana kenangan indah yang pernah kau titipkan di hatiku suatu ketika dahulu.”

“Terima kasih, Hatta. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Talian diputuskan. Aku termenung seketika sambil cuba menilai semula perbualanku dengannya sebentar tadi. Pada fikiranku yang cetek ini, besar kemungkinannya Sofea meninggalkanku kerana berpendapat aku tidak mampu menjadi pembimbing setelah kami hampir-hampir terlanjur malam itu; maka dia nekad memancung terus cinta kami.

Lalu dia menghilangkan diri tanpa peduli untuk menjelaskan apa-apa pun padaku buat aku menerbak dia pergi kerana kemiskinanku. Dek dibelit rasa terhina, aku bangkit dan terus berjuang sehingga akhirnya aku berada di tahap ini. Aku ingin membuktikan padanya bahawa aku juga boleh jadi terkenal dan berjaya dalam bidang yang aku minati.

Sesungguhnya Fea, penghinaan yang pernah kau lontarkan padaku dahulu juga telah mendorongku berjaya seperti hari ini. Dan, seketika tadi kau juga telah menyedarkan aku bahawa wang ringgit dan banglo mewah yang terletak di Taman Mewah ini bukanlah segala-galanya yang harus dibanggakan.

Ada ruang yang masih kosong, masih lompong. Yang masih belum terisi!

“Bang, takkan nak bertapa kat luar saja?”

Mataku menujah ke arah isteriku – pada rambut Iza yang berjurai jatuh ke bahu, pada blaus nipis dan seluar jeans ketat yang sentiasa menyaluti tubuhnya untuk ke mana-mana.

“Bimbinglah Iza dan anak-anakmu dengan ilmu agama.” Sofea Ilhami sekali lagi mencabar aku.

[TAMAT]

· Untuk makluman: Cerpen ini telah tersiar dalam versi cetak: ANTOLOGI CERPEN: Saya Hidup Positif! Anda Bila Lagi? Terbitan Grup Buku Karangkraf dgn Prostar Malaysia.

· JOM baca karya-karya saya yang lain di Ilham Grup Buku: MENCARI ADEELA(novel), APABILA CINTA TERBELAH(cerpen), JANGAN GANGGU LENAKU, MADUKU(Cerpen).

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.