Dan senyuman Layla itu membuatkan Faris teringat-ingat keesokan
harinya. Hatta apabila dia sedang mempengerusikan mesyuarat ahli lembaga
Pengarah pun senyuman gadis itu tertera di kotak fikirannya sehingga dia lupa
sekejap apa yang hendak diperkatakan. Mujur dia cepat pulih dan kembali
berfikir seperti biasa. Kalau tidak
pasti yang hadir dalam mesyuarat itu hairan. Apa kena dengan Pengarah Urusan itu?
Faris akui dia memang selalu menerima
senyuman dari wanita-wanita cantik tapi senyuman Layla lebih manis dari yang
lain menyebabkan dia hilang tumpuan. Dahlah tu bukan siapa-siapa pun. Seorang
gadis remaja dari entah mana yang tiba-tiba menjadi isterinya. Lainlah kalau
senyuman itu dari supermodel atau pelakon Hollywood ke!. Aduh! Apa dah jadi dengan
dia? Kenapa senyuman dari gadis yang sepatutnya dia benci kian menghantui dirinya?
Faris kembali menumpukan perhatian dalam membentangkan pelan
korporat yang baru. Syarikatnya berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan ke
beberapa lokasi di luar negara, diversifikasi kepada beberapa peluang
perniagaan baru. Oleh itu pembentangan itu sangat penting dalam mendapatkan persetujuan
ahli lembaga pengarah yang seramai 8 orang itu termasuk ayahnya Tan Sri Omar
sebagai pengerusi. Faris marah pada diri sendiri. Boleh pula dia berangan-angan
semasa membentangkan pelan itu. Dalam hati Faris mengutuk diri sendiri. Bayangkan
dengan budak kecik itu pun dia boleh lupa diri? Sangatlah tidak wajar. Dah gila
ke apa? Tugasnya dalam mesyuarat itu ialah dia perlu yakinkan mereka semua
untuk menerima pelan cadangan tersebut. Sejak pulang dari membeli-belah semalam
dia terperap dalam perpustakaan untuk menyediakan beberapa justifikasi yang
menunjukkan bahawa pelan perancangan yang baru itu akan membawa kepada keuntungan
yang berbaloi. Justifikasi memang boleh bermacam-macam tapi bottom line mestilah pulangan tinggi dalam
bentuk wang juga. Sampai lewat malam dia menyediakan pelan itu. Oleh itu, kalau
gagal sudah tentulah tidak berbaloi dia bersengkang mata semalam. Mesyuarat
berakhir juga. Ahli lembaga pengarah nampaknya bersetuju dengan pelan tersebut.
Kalau jadi, syarikat itu akan mempunyai cawangan di beberapa negara termasuklah
Amerika Syarikat. Faris memilih Boston kerana track record, network dan
juga pengalamannya semasa berada di sana beberapa tahun. Sesungguhnya Faris
sangat teruja untuk kembali ke sana.
Selepas mesyuarat Faris kembali ke biliknya. Jam di tangan sudah hampir
waktu makan tengahari. Ikut hati mahu saja dia balik ke mahligai Bukhari tapi
pasti semua orang hairan sebab dia memang tak pernah pulang untuk makan
tengahari sejak dia kembali menguruskan syarikat. Lebih-lebih lagi Layla. Nanti
perasan pulak budak kecik itu yang dia mungkin pulang kerana dirinya. Oleh itu
dia membatalkan niatnya. Egonya masih kental. Serta-merta telefonnya dikeluarkan.
Siapalah yang akan jadi mangsanya tengahari itu untuk dibawa makan? Faris
tersengeh nakal. Lama dia tak jumpa
seseorang. Dulu dia sangat teruja dengan wanita itu tetapi hari itu dia hanya
mahu hilangkan ingatannya pada senyuman Layla sahaja. Agak-agak mampukah wanita
itu memadamkan imej yang asyik tertera di mindanya yang kian merimaskan dia itu?
Tapi kalau tak cuba mana nak tahu, desis hati lelaki itu. Faris pun mula
menyentuh skrin iphonenya untuk nombor telefon seseorang.
“ Hai Ariel baby, this is
Faris speaking” ujarnya bila telefon diangkat. Pada mulanya Ariel tak mahu
melayan. Jenuh juga Faris kena sumpah seranah dek wanita Amerika itu. Ariel sebenarnya
masih marah padanya kerana ditinggalkan di Pavilion semasa dia mencari Layla
dulu. Dia masih ingat, oleh kerana panik
mencari Layla waktu itu, Ariel telah ditinggalkan begitu sahaja. Memang tak
patut tetapi waktu itu dia sangat risaukan Layla. Keluar semua “F word” dari mulut wanita itu yang masih geram dengan
tindakan Faris tetapi Ariel bagaimanapun cair juga dengan Faris bila
dipujuk-pujuk dan dipuji tambahan pula dia mengumpan wanita itu makan tengahari
di Seri Carcosa Negara. Akhirnya wanita itu keluar juga dengan dia tengahari
itu.
******************************************************************************
Layla masih terkenangkan layanan Faris terhadapnya semalam. Dia
masih teruja dengan telefon yang dibelikan Faris. Malam tadi dia telahpun
menelefon ayah dan ibunya menghilangkan kerinduan terhadap dua orang yang dia
kasihi itu. Layla tersenyum sendirian. Siapa sangka lelaki itu makin melayannya
dengan baik. Membelikan dia pakaian, tudung, telefon dan juga makan tengahari
bersama. Walaupun mereka berdua bukanlah pasangan romantic dan Faris pun masih
menyindir dan marah-marah padanya tapi manis juga bila diingat-ingat terutama
sewaktu lelaki itu mengelap bibir comotnya. Aduh, caring juga mamat raksasa itu. Pada
mulanya fikiran buruknya menyangka yang Faris mungkin ada niat lain tetapi dari
pemerhatian dia hingga ke hari itu tiada pula Faris begitu.
Sedang dia berangan membaca sebuah novel Tok Zauyah mengajak Layla
menemannya keluar berjumpa rakan lamanya dari Brunei. Tok Zauyah memang suka
mengajak Layla berjumpa rakan-rakannya lantas memperkenalkan dia sebagai isteri
Faris cucunya. Hari itu kata Tok Zauyah
mereka akan makan di Carcosa Seri Negara. Layla terlopong. Kawan Tok Zauyah
yang datang itu rupanya salah seorang
kerabat di Raja Brunei dan bukan calang-calang orang. Aduhai, ngerinya Layla
untuk makan di tempat seperti itu. Mujurlah Faris sudah belikan dia baju-baju
yang elok. Kalau dia sendiri sahaja tak mengapa. keluarlah dengan baju apa pun. Tapi kalau keluar dengan Tok Zauyah, biarlah elok supaya dia tidak memalukan Tok Zauyah
walaupun sebenarnya mungkin Tok Zauyah tidak kisah.
Semasa keluar makan itu Layla menyarung dress berwarna salmon dengan
sehelai cardigan berwarna krim yang dia beli semalam. Kemudian melilitkan
tudung berbunga kecil senada dengan dress dan cardigan tersebut. Tudung dari
kain chiffon lembut itu disematkan di tepi telinga dengan satu kerongsang bunga.
Layla hanya bersolek nipis dengan bedak dan sedikit lipstick asal wajahnya
tidak nampak pucat sahaja. Manakala Tok Zauyah memakai baju blouse ala kaftan motif
moden hijau dan merah jambu dari kain jenis silk crepe. Corak di kaftannya
kelihatan ekslusif dipakai dengan skirt panjang warna hitam yang bersequin.
Tudungnya yang juga berwarna hitam bertatah kristal Swarovski. Melihatkan itu,
Layla bersyukur hari itu dia memakai dress itu. Kalau tidak tak sepadan pula
dia dengan Tok Zauyah yang ekslusif itu.
Mereka berdua tiba di Carcosa Seri Negara hampir pukul 2 petang dan
terus di bawa ke restoran melayu “ The Gulai House” di situ sambil menunggu
kedatangan rakan Tok Zauyah di sebuah veranda di hotel ekslusif itu. Layla
sangat teruja dengan hotel itu yang asalnya adalah rumah kediaman residen Gabenor
British Frank Swettenham. Memang apabila berada di situ terasa seperti di era
pemerintahan British. Kata Tok Zauyah, petang nanti semasa minum petang
bolehlah mereka cuba pula skon dan pastri ala English di “Drawing Room” yang
popular itu. Layla hanya ikutkan sahaja. Dia pun bukan tahu apa skon itu tetapi
teruja juga mahu tahu bagaimanakah rasanya. Boleh juga berangan menikmati “English
tea” seperti bangsawan Inggeris berskirt kembang seperti dalam novel-novel
Inggeris yang lama.
Banyak yang dibualkan oleh Tok Zauyah bersama rakannya. Biasalah
bila dua rakan sudah lama tidak bertemu mestilah ada sahaja yang hendak
diceritakan. Layla pula banyak mendengar dan tidak menyampuk kecuali hanya apabila
di tanya. Usai makan mereka ke Drawing Room pula. Makan-makan skon bersama krim
dan meneguk teh Inggeris jenis “Earl Grey” dengan menggunakan cawan yang sangat
cantik. Teruja Layla melihat cawan dan piring yang digunakan. Sangat cantik dan
comel sahaja dia lihat. Mungkin dari jenis Royal Daulton seperti yang ada di mahligai
Bukhari. Dia bukan tahu sangat tetapi terperasan jenis itu bila membasuh cawan
di mahligai tersebut.
Entah bagaimana dia terasa ingin ke bilik air pula lalu meminta izin
dari Tok Zauyah dan rakannya. Dari Drawing Room itu dia melalui satu courtyard
ke bilik air. Dia perasan ada satu lagi restoran lain yang dinamakan Dining
Room berdekatan dengan courtyard itu. Alunan musik klasik bergema dari dalam
restoran itu. Layla memandang ke dalam seketika tetapi tindakannya itu
menyebabkan dia terlanggar seseorang yang datang dari arah bertentangan dan hampir
terjatuh kalaulah tidak pinggangnya dipegang oleh seseorang itu.
“ Eh awak?” Layla
mengangkat muka. Ya Allah! Matanya menerjah ke wajah seorang lelaki yang dia
kenal sangat. Lelaki yang bermata coklat
itu. Apa dia buat di situ? Layla terlopong. Dia amati betul-betul. Macam tak
percaya. Faris juga tidak percaya. Tadi semasa dia keluar dari bilik air dia tidak
perasan Layla sedang menuju ke arahnya kerana sibuk membersihkan air yang
tertumpah di kemejanya sehingga terlanggar gadis itu. Tak sangka pula gadis
yang dia langgar dan pegang dipinggang sekarang ialah Layla. Menyedari itu, serta-merta dia
lepaskan gadis itu.
“ Apa awak buat kat sini?
Kan saya kata jangan keluar tanpa saya?” ujar Faris dengan nada marah. Mana tak
marah. Dia sudah pun pesan pada Layla supaya tidak keluar tanpa dia. Dahlah
keluar kemudian bergaya bukan main.
“ Tok yang bawa saya ke
sini. Tak kan lah tak boleh saya keluar dengan Tok.” Serta-merta muka Faris
berubah. Alamak! Dia teringat Ariel di dalam restoran. Kalau Tok Zauyah nampak habislah
dia.
“ Er, baiklah. Awak
selamat kali ni. Kalau awak keluar sendiri pakai cantik-cantik macam ni siaplah
awak.” Faris memberi amaran. Tiba-tiba seorang wanita Inggeris berpakaian seksi
keluar.
“ Is everything okay
Faris? “ Tanya gadis itu memandang Layla ke atas ke bawah dengan wajah kurang
mesra. Serta merta dia merangkul Faris. Layla terlopong. Berbulu matanya
melihat aksi berani gadis minah salleh itu pada Faris yang hanya tersengeh. Ikut
suka sahaja wanita itu memeluk Faris.
“ Yes everything ok.” Jawab
Faris memandang tepat ke wajah Layla yang memang nyata sangat berubah. Layla
tidak mampu lagi melihat Faris dan wanita itu. Hatinya terasa sangat pedih
menyebabkan dia terus sahaja beredar ke bilik air tanpa berkata apa-apa. Apa
yang boleh dia katakan?. Meskipun ada perasaan sedih dan hampa serta marah
mungkin, tetapi kalau ikut perjanjian mereka dahulu Layla tidak boleh buat apa-apa
atau harapkan apa-apapun dari Faris sebab dia bukanlah wanita yang Faris cintai
ataupun soulmatenya. Dia hanyalah isteri paksaan untuk Faris. Malahan Faris tidak
pernah menerima Layla sebagai isterinya.
Namun Layla keliru dengan kebaikan Faris yang semalam. Faris yang semalam
sangat berlainan. Faris semalam telah menunjukkan "caring"nya pada Layla
menyebabkan hati Layla berbunga tetapi Faris hari itu sangat menyakitkan
hatinya. Layla keliru. Faris ada split personality agaknya. Suruh orang jangan keluar tanpa dia konon tapi dia keluar entah dengan minah salleh mana yang tak cukup kain, desis hati Layla menyampah. Arghhh! Bodohnya
dia kerana terpedaya dengan kebaikan lelaki itu semalam sedangkan sebenarnya
Faris tidak pernah berubah. Tidak pernah menerima diapun. Rupa-rupanya dia sahaja
yang terperasan sendiri semalam. Ah, malunya dia!