Lunch di KLCC memang agak celaru sedikit bagi Faris. Dalam waktu-waktu
begitulah agak sukar mencari tempat parkir di KLCC itu. Mujurlah dia segera
nampak ruang kosong dan masuk sebelum sebuah kereta Persona memarkir di situ.
Nasiblah! Siapa suruh tercangak-cangak dan terkial-kial memarkir. Siapa suruh
lembab sangat, gumamnya. Dalam dunia ini siapa yang cepat dan pandai mengambil
peluang sahaja yang berjaya. Macam dia. Ye macam dia, ulangnya dalam hati sambil tersenyum bangga
membetulkan kotnya. Dia perasan wajah geram pemuda di dalam kereta tersebut
bersama dengan dua gadis muda di dalamnya. Seorang bertudung dan seorang tidak.
Mesti budak-budak belum habis sekolah datang shopping atau berdating di KLCC
itu. Dalam hati dia terasa seronok mengenakan budak – budak itu. Paling seronok
bila gadis bertudung putih itu menjeling padanya dan dia telah membalas senyum
mengejek yang paling ‘sweet’ sekali. Hatinya terasa puas bila melihat wajah
geram gadis itu. Nasiblah!
Selesai saja memarkir dia menyanyi-nyanyi
kecil terus ke Dome untuk temujanji dengan Julia yang menelefonnya tadi. Julia
sudahpun menunggu. Setelah menegur dan mencium pipi wanita itu mereka duduk dan
berbual seketika bertanya khabar sebelum memesan makanan. Banyak yang mereka
bualkan sambil makan tengahari bersama terutamanya mengenai projek di Langkawi
dan juga idea perniagaan minyak wangi yang Julia ingin ceburi.
Julia seorang wanita yang penuh dengan idea. Berbual dengannya banyak membuka
kemungkinan-kemungkinan untuk peluang perniagaan yang baru. Sama seperti datuknya.
Kalau tidak tak mungkin syarikat mereka menjadi syarikat konglomerat yang
berjaya di Malaysia. Dia rasa bertuah berkawan dengan wanita seperti itu. Intelligent, sophisticated and beautiful! Jadi, soulmate yang ingin dicarinya juga mesti begitu barulah ideal.
Selepas temu janji makan tengahari itu berakhir sekitar 3.30 petang Faris bergegas ke kedai buku Kinokuniya. Teringat ada satu buku baru yang dia ingin
beli di situ mengenai senibina dan juga satu buku dari Robert Kiyosaki. Sedang
dia membelek-belek buku tersebut tiba-tiba seorang gadis bertudung putih lalu
di hadapannya dan terpijak kakinya. Dia menjerit. “ Excuse me !” jeritnya pada
gadis bertudung itu. Gadis itu jelas terkejut seolah-olah melompat
“ Sorry! Saya tak sengaja.” Ujar gadis itu serba salah dan kelihatan
kalut. Faris merenung wajah gadis itu yang kemerahan kerana rasa bersalah. Tapi
bila dia melihat gadis itu lebih dekat dan lama dia terasa seperti pernah
melihatnya. Sebenarnya, bukanlah sakit sangat kakinya dipijak gadis itu.
Lagipun berat gadis itu mungkin separuh dari beratnya tapi hatinya terasa
hangat sahaja tambahan pula kekalutan gadis itu menerbitkan keinginan untuk
mempermainkan gadis itu sedikit. Seronok juga bila melihat wajah gadis itu yang
merah dengan mata bundar itu. Wajah itu sangat familiar! Macam pernah jumpa..tapi
di mana? Faris menyoal sendiri. Apa pun niat nakalnya diteruskan. Apa kata
gertak sikit gadis itu?. Oleh itu dia pun dengan selamba berkata,
“ Lain kali jalan tu jangan menonong aje boleh tak? Pandanglah sekeliling
baru jalan. Ada faham? “ Ada nada ceramah pun ya. Gadis itu menggigit bibirnya
kerana geram. Matanya memandang tajam kepada Faris. Renungan tajam berapi itu
mengingatkan Faris pada sesuatu. Terus terdetik dalam hatinya. Ini bukan gadis
dalam Persona tadi ke? Dia kenal sangat pandangan berapi itu.
Ish ini mamat sombong dalam kereta sport tadi ke? Getus hati Layla pula pada masa yang sama
sambil memandang geram pada lelaki tampan di hadapannya.. Ya Allah, berlagak
sungguh mamat ni. Harap muka saja yang handsome tapi sombong! Rasa macam mahu
kerat dua saja dia ni! Tak boleh jadi! Dia perlu jawab balik! Dia menarik nafas
mengumpul keberanian kemudian mendongak dan berkata,
“ Awak tu yang menonong, salahkan orang pulak. Siapa suruh halang laluan
orang?. Encik, ini bukan tempat berehat tau. Ini kedai buku. Kalau ye pun nak
pilih buku janganlah guna space macam kedai buku ni bapa awak yang punya. Ha, ada
faham? “ giliran Layla pula berkata sinis pada lelaki itu. Faris sedikit
tergamam. Amboi, tak padan kecik!
Cepat-cepat Layla meninggalkan lelaki tersebut yang memandang geram
padanya. Faris sedikit terpempan. Beraninya gadis itu! Tidak pernah ada seorang
gadis yang bercakap begitu dengannya. Masih dia ingat mulut kecil itu
berkata-kata.
“ Idiot! Kedai ni memang bapak aku punya pun budak kecik!” sumpah Faris tapi
gadis itu telahpun berlalu ke ruang lain kedai buku yang luas itu. Geram dia
pada gadis bertudung putih itu. Kedai buku itu memang milik syarikatnya sejak
beberapa tahun lalu. Mahu saja dia kejar gadis itu dan memberitahunya tapi dia
rasa tidak berbaloi. Hanya untuk melepaskan perasaan marahnya sahaja. Lagipun
dia budak kecil. Mungkin tak habis sekolah pun agaknya! Faris meraup muka. Apa
dah jadi dengan dia ni? Something must be
wrong with me. Getusnya dalam hati. Adakah patut dia bergaduh dengan budak
remaja? Demam ke apa aku ni? Bisiknya
lagi dalam hati.
Asha hanya memerhatikan sahaja dari jauh. Hairan dia melihat perangai
Layla yang jelas tiba-tiba sahaja begitu berani bertelagah dengan seorang
lelaki yang tinggi, kacak dan berpakaian kemas. Lelaki yang bergaduh dengan
Layla itu memanglah kacak dengan tingginya seperti seorang model, berbadan
tegap, hidung mancung, berambut agak perang. Wajahnya pulak unik kerana ada
rupa melayu, inggeris dan Arab. Ini mesti anak kacukan ni. Bestnya kalau dia
yang bergaduh sekarang dan bukan Layla. Tapi wajah lelaki itu seperti pernah
dilihat. Asha bermonlog sendiri. Oh! Asha menutup mulutnya yang terlopong. Itulah
lelaki yang mengambil parking mereka tadi!.
Asha macam nak menjerit memberitahu Layla tapi dia cepat mengawal diri.
Inikan kedai buku! Dia mengingatkan dirinya dan mendapatkan Layla segera.
Asyraf yang baru balik dari bilik air termangu-mangu bila melihat wajah Layla yang
masam. Apa yang sudah berlaku? Dia memandang Asha menantikan penjelasan. Tapi Asha
hanya diam sahaja tapi jelas pada Asyraf mood Layla yang tiba-tiba berubah. Apa
yang dah berlaku semasa dia ke bilik air tadi?
Sejam mereka di situ perut yang tadi kenyang dengan popcorn mula terasa
lapar. Setelah memilih buku dan membayarnya mereka bertiga ke food court pula
untuk makan. Sekali lagi Asyraf menghulurkan wang membelanja mereka spaghetti Bolognese
pula. Hati Layla jadi ralat sudah banyak Asyraf menabur budi pada mereka. Dia
jadi risau kerana budi Asyraf yang mungkin tidak akan terbalas. Kasihan pun ada
pada pemuda itu. Kenapalah dia baik sangat sedangkan dia tiada hati pada Asyraf?
“ Layla, mengapalah kau ganas sangat dengan lelaki tadi tu? Kau tak
nampak dia handsome ke? Uhhh handsomenyaaaa!“ Tanya Asha bila Asyraf pergi
memesan makanan dan tinggal mereka berdua sahaja menunggu di meja .
“ Handsome? Entah aku tak nampak pun. Aku geram pada dia sebab perangai
dia yang kurang ajar. Dahlah dia curi parking kita tadi, lepas tu bila aku
terpijak kaki dia bukan main kurang ajar lagi dia. Kalau ikut hati rasa nak
ketuk-ketuk saja kepala dia.”
“ Amboiiii ganasnya! Tapi yelah dia yang ambik parking kita kan memang
patut kau marah dia. Patut kau pijak lagi kaki dia tu laju-laju. Tapi kan badan
dia dua kali dari badan kau. Ada hati kau nak ketuk kepala dia? Boleh sampai
ke? Eh…. tapi kan dia memang handsome. Aku rasa dia pan Asian la…”
“ Handsome macam apa? Pan asian? Huh sudahlah macam pancake adalah….pancake
tak masak.” sela Layla bergurau sambil ketawa. Asha pun ketawa geli hati. Layla
tahu Asha memang mudah cair dengan lelaki yang kacak. Entahlah tadi dia tidak
terfikirkan perkara itu kerana bagi dia paras rupa tidak penting tapi hati mesti
baik. Bagi Layla seorang lelaki yang ideal ialah lelaki yang baik dan soleh tidak seperti lelaki tadi yang kurang ajar
seperti itu. Memanglah dia akui lelaki itu kacak tapi apalah gunanya kalau
kacak tapi hati busuk macam tin kosong
yang hanya cantik di luar sahaja. Handsome tapi tiada sahsiah buat apa? Perbualan
mereka berhenti setakat itu apabila Asyraf datang dengan sedulang makanan. Asyraf
pun lebih baik lagi tapi malangnya tiada chemistry pula. Ye, lelaki idealnya
mesti ada sahsiah dan juga ada chemistry dengannya. Layla hanya tersenyum
kosong pada Asyraf yang tersengeh lebar memandangnya dengan penuh harapan.