Layla belek-belek lagi keputusan SPM yang
di ambil dari sekolah tengahari tadi bersama Asha. Memang dia tidak percaya.
Adakah dia bermimpi?. Betulkah apa yang terpapar itu? Sejak tadi lagi ayah dan
ibu gembira sangat. Keputusannya cemerlang. Cemerlang sungguh. A untuk semua
matapelajaran penting. A + pula untuk Matematik, Kimia, Biologi, bahkan Fizik
yang dia takuti. Dia terasa diawang-awangan.
Ibunya yang pada mulanya sangsi pun
sangat gembira apabila dia membawa balik keputusan itu. “Alhamdulilllah!
Alhamdulillah” ulangnya lantas memeluk Layla. Layla juga sangat terharu apabila
ibu memeluknya kemas-kemas bagai tidak mahu lepas. Layla membalas pelukan itu
dengan penuh rindu kerana sesungguhnya dia sangat rindukan pelukan ibunya. Menitis
airmata bahagia dia. Agaknya inilah yang dia impi-impikan selama ini. Mendapat kasih
sayang dan penghargaan dari ibunya. Pak Amir apatah lagi. Dia terus sujud
syukur kepada Allah SWT atas kurniaan itu. Selepas itu mencium dahi Layla dan
menyatakan betapa dia bangga dengan Layla. Cepat-cepat ibunya sms kepada kakak
dan abang Layla. Nura dan Abang Zarif terus
ucap tahniah melalui telefon tangan masing-masing. Mereka juga turut bangga
atas pencapaian adik mereka. Adik-adik Layla juga yang masih kecil seperti
Kamal, Musa dan Aisyah pun seolah faham turut seronok terutama melihat ibubapa
mereka berpelukan dengan kakak mereka.
“ Ni tengok kakak kamu ni, besar esok kamu
semua ni kena berjaya macam kakak” kata ibu Layla pada adik-adik Layla yang
bertiga itu. Kata-kata ibunya itu menyebabkan Layla terasa bangga dan benar-benar
dihargai. Layla senyum bahagia. Hari itu juga ibu ajak ayahnya ke bandar untuk makan
tengahari bersama. Layla boleh minta untuk makan di mana sahaja restoran yang
dia suka. Untuk tidak menyusahkan bapanya, Layla hanya ajak ke Marrybrown. Itupun
adik-adiknya yang bertiga itu sudah seronok sangat.
Asha sebenarnya yang lebih dulu mengucap
tahniah padanya tadi sebaik sahaja mendapat keputusan. Sebelum keputusan keluar
masing-masing resah menunggu. Masih dia rasa tangan sejuk Asha yang sesejuk
tangannya juga. Tetapi sebaik saja nama mereka diumumkan mendapat ‘straight’ A
terus terlompat-lompat gadis berdua. Tak sia-sia mereka berdua berbincang dan ambil kelas tambahan di sekolah. Di
saat akhir dulu mereka giat juga berbincang dengan guru-guru dan dapatkan restu
mereka untuk mengambil peperiksaan itu. Memang Pak Amir mengajar Layla untuk
hormatkan semua guru kerana katanya kalau kita tidak hormat guru tidak berkat
ilmu yang kita dapat. Asyraf juga tidak kurang hebat. Tercapailah hasratnya
menjadi seorang doktor nanti seperti yang dia cita-citakan kerana mendapat 9A+
dan seterusnya menjadi antara pelajar terbaik sekolah.
Oh, terangnya dunia ini Layla rasakan. Terasa
seperti berada di puncak gunung Everest. Tadi, Asyraf belanja mereka berdua
makan ais kacang. Asyraf ucap tahniah pada dia dan Asha. Kemudian Asyraf macam
berpesan pada Layla kalau sudah ke mana-mana nanti jangan lupakan dia sambil
tersengeh-sengeh.Selepas itu berkias-kias pula ingin jadikan Layla teman
istimewanya. Asha yang disebelah serta merta menyiku Layla. Agaknya memberi isyarat
supaya Layla terima sahaja. Layla seperti biasa sengeh sahaja dan buat bodoh
lantas mengalih tajuk perbualan. Apa yang hendak dia jawab?. Nanti kalau dia
terus terang yang dia tiada perasaan pada lelaki itu, malu pulak anak ketua
kampung itu. Sungguh kasihan kalau itu berlaku kerana Asyraf adalah antara
rakan baiknya. Tapi, Layla pula bukan jenis orang yang boleh menerima seseorang
atas dasar kasihan. Kalau hatinya tiada perasaan dia tidak pandai pula untuk
berpura-pura hanya untuk menjaga hati. Bak kata pepatah hati bukan boleh
dipaksa.
Lagipun dalam fikirannya sekarang hanyalah
cita-citanya untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Macam-macam angannya.
Dia teringin ke Amerika Syarikat atau ke London mengambil jurusan Kimia. Kalau
di UK dia ingin berjumpa abang. Tapi kalau ke Amerika Syarikat pun tak mengapa.
Sebenarnya dia tidak kisah ke mana asalkan dia dapat belajar di luar negara. Pergi melihat negara orang. Menghirup
pengalaman, meluaskan minda dan juga pandangan. Tidaklah terperuk di dalam
ruang lingkup kampung itu sahaja.
Dan yang paling seronok ialah peluang menikmati
empat musim di negara orang. Dia terbayang musim salji dan musim bunga seperti
gambar yang abang Zarif kirimkan dan letak dalam Facebooknya. Cantik sungguh. Salji
memutih di musim dingin dan bunga-bunga tulip berkembangan di musim bunga. Hatinya
terasa tidak sabar untuk mula mengisi borang permohonan ke universiti. Dan yang
paling pasti ialah ibunya tidak akan kawinkan dirinya pada usia 18 tahun kerana
terbukti bahawa dia telah berjaya dalam SPMnya dengan cemerlang. Oleh itu dia ada
tiket kukuh untuk ke Universiti dan bukan lagi mengalami situasi terperangkap
menjadi isteri entah siapa. Senyumnya bagai tak berpenghujung. Keputusan SPM di
pandang lagi. Kalau boleh dia mahu ‘frame’kan merata dinding rumah supaya keputusan
sentiasa di depan matanya dan depan mata ibunya. Ataupun tampal di merata
kampung supaya orang tahu bahawa dia telah berjaya dan yang paling penting tidak
akan dikahwinkan. Ye, tak kahwin, desis hati gadis itu sambil tersenyum lega.