Namanya Layla. Nama yang sangat pendek dan biasa. Tidak seperti nama-nama
yang ada pada zaman kini yang selalunya dua tiga patah. Ada nama pertama ada nama kedua dan ketiga. Tapi
namanya hanya Layla. Layla Amir. Tersangatlah pendek dan biasa seperti orangnya
juga. Tiada apa yang istimewa tentangnya. Keluarganya pun biasa saja. Bapanya
seorang pemandu manakala ibu seorang suri rumah. Kadang-kadang kalau tak cukup
wang, ibu dan bapanya akan pergi menjual nasi lemak. Dan dia akan tinggal
bersama dengan adik-adiknya yang bertiga. Kamal, Musa dan Aisyah. Tapi bila mereka ada maka bertambahlah kerjanya.
Bukan sekadar perlu menguruskan rumah tetapi juga menjaga mereka bertiga.
Kadang-kadang dia juga pergi meniaga bersama bapanya manakala ibunya tinggal di
rumah pula. Sejak kecil dia telah diajar dengan tanggungjawab membantu keluarga
seperti itu. Lagipun dia memang suka pergi meniaga dengan ayahnya. Seronok
apabila dapat menghabiskan nasi lemak hasil jerih payah ibunya yang pagi-pagi
telahpun bangun menyediakan nasi lemak tersebut untuk jualan.
Dia juga mempunyai seorang abang dan kakak. Abang berada di di luar negara manakala kakaknya
berada di USM dalam tahun 2. Dia pula sedang menunggu keputusan SPM. Abang
adalah idola nya begitu juga kakak. Kedua-dua mereka dapat melanjutkan
pelajaran ke menara gading. Hanya tinggal Layla sahaja buat masa itu. Nasib nya
belum ditentukan ke mana-mana. Seperti abangnya Layla ingin pergi ke luar
negara. Abang nya Zarif, berada di Ireland dalam jurusan seni bina. Kakak nya
Nura pula di USM dalam bidang Kejuruteraaan Petroleum. Kakak dan abangnya
memang hebat. Jadi sebutan orang di kampung mereka. Dan sebab itu semuanya kini
memandang padanya. Ada juga kata-kata mereka yang singgah ke telinga nya. Kata
mereka dah tentu lah dia akan mengikut jejak mereka. Itu yang membuatnya tak
lena tidur sejak beberapa ketika ini. Terutamanya apabila keputusan SPM
menjelang tiba. Harapan mereka tidak sanggup dia fikirkan terutamanya harapan
ibu dan ayahnya. Ayahnya bukan ada kelulusan apa-apa pun. Setakat SRP manakala
ibu tidak bersekolah langsung. Mengikut cerita ibunya, dia anak perempuan
seorang. Arwah nenek Layla risaukan kehilangan anak perempuannya nan seorang
itu. Maka tidaklah ibunya ke mana-mana kecuali menjaga ibu bapanya dan
adik-adiknya sahaja. Oleh sebab itu ibunya begitu perihatin terhadap pelajaran
anak-anaknya.
Walaupun hidup mereka begitu kedua ibu bapa Layla cukup menekankan pada
anak-anaknya supaya belajar bersungguh-sungguh kerana kata mereka, mereka bukan
ada harta yang nak dititipkan. Semangat ibu bapa mereka yang membara itulah
yang menjadikan kakak dan abang Layla begitu. Kakak dan abangnya lebih dulu
merasa perit kemiskinan. Lebih sedar dari Layla dan adiknya yang kecil-kecil itu.
Adik-adiknya sebenarnya lebih senang kerana sejak akhir-akhir itu ayah mereka
Pak Amir bekerja dengan seorang hartawan yang agak pemurah. Selalu ayah mereka mendapat
bonus yang lebih. Yang selalu dapat belanja lebih tentulah adik-adiknya yang
kecil-kecil itu. Kamal 10 tahun, Musa 6 tahun dan Aisyah 4 tahun. Mereka
bertiga jauh lebih kecil darinya. Kamal lahir sewaktu Layla berumur 8 tahun.
Lama juga Layla bermanja dengan ayah dan ibu. Bahkan mereka ingat Layla yang
bongsu. Tapi siapa sangka dia ada 3 orang adik lagi yang kecil-kecil selepas
itu. Memandangkan dia lah kakak yang ada sewaktu ini maka kalau ada apa-apa Layla
lah yang selalu beralah ataupun selalu diminta beralah. Dia juga menjadi
harapan ibu bapanya.
Harapan ibu dan ayah Layla memang tinggi
terhadapnya. Mereka berharap Layla dapat mengulangi kejayaan kakak dan abangnya
dalam SPM. Entahlah. Layla tidak pasti dan yakin kerana tak seperti kakak dan
abangnya, Layla hanya sekolah harian biasa di kampong. Sedangkan kakak di MRSM
dan abang pula di MCKK. Sebenarnya, harapan yang diletakkan pada bahunya terasa
berat kerana Layla risau sekiranya ia tidak kesampaian. Layla bukan genius
seperti kakak dan abang. Dalam banyak keaadaan Layla perlu usaha lebih. Dia
terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan A. Tidak seperti abang dan kakaknya
yang mempunyai otak geliga. Usia, abang dan kakaknya tak banyak beza hanya dua
tahun sahaja. Mereka seperti kawan rapat dalam kebanyakan perkara manakala Layla
selalu tidak dapat turut sama dalam setiap perbincangan mereka. Mungkin ada
jurang generasi agaknya.
Bukan senang untuk menjadi anak tengah. Layla
selalu keseorangan bertemankan kucing kesayangan ataupun buku novel di tangan. Kakak dan abang macam ada visi sendiri.
Mereka selalu bincang apa cita-cita mereka bila berjaya nanti. Layla pula
seorang yang suka berangan. “ A dreamer” kata orang putih sebab kata mereka Layla
selalu berada dalam angan sendiri. Acap kali mereka ketawakan Layla yang sedang
berangan tidak sedar diri bila mereka memanggilnya.
Ibupun
kadang-kadang menegur Layla yang sering masak nasi hangit kerana leka membaca
novel. Kata ibu apa yang dapat dengan baca novel. Sering ibu menyebut nama
kakak. Katanya kenapa Layla tak macam kakak. Kakak memang pandai dalam semua
perkara tidak seperti Layla. Memang Layla
akui, dia tidak pandai memasak macam kakak. Tak cerkas macam kakak. Dan
macam-macam lagi ibu kata. Kadang-kadang panas juga hatinya. Yelah, kakak hanya ada di rumah sekali sekala bila
cuti semester tapi Layla memang terperangkap di rumah itu. Setiap hari. Mestilah
nampak semua kekurangan kerana terlalu dekat di mata ibu. Gadis itu selalu
terfikir kalau begitu selepas SPM dia mahu pergi jauh. Mungkin kalau jauh ibunya
akan lihat perkara yang baik tentang dia pula, seperti pandangan ibu terhadap
kakaknya.
Dalam banyak
perkara, cuma ayahnya saja yang memahaminya. Ayah selalu juga menangkan Layla.
Dalam hal seperti itu kadang-kadang Layla terfikir mungkin ayah sayangkan Layla
lebih dari kakak. Ayah dan Layla memang rapat. Ayah suka Layla buat kopi. Ayah
suka bercerita dengannya kisah kanak-kanaknya. Ayah juga suka bercerita tentang
angan-angannya. Agaknya ayah dan Layla ada banyak persamaan. Mereka sama-sama a
dreamer. Itulah sebabnya ayah agak simpati dengannya. Ayah selalu nasihatkan Layla
supaya apa-apa pun yang Layla lakukan Layla mesti ingatkan keluarga. Ingatkan
Allah dan juga bangsa. Tapi
sebagai seorang ayah
Layla melihat
lelaki itu sebagai ayah yang hebat. Ayah yang sanggup buat apa saja untuk
kelangsungan anak-anak dan isterinya. Ayah yang tak akan makan selagi anak-anak
tak kenyang makan. Ayahnya juga seorang suami yang penyayang dan romantik.
Dalam hal ini ibu sangat bertuah. Ayah cinta sejati ibu. Layla berharap satu
hari nanti dia akan dikurrniakan cinta sejati seperti ibu dan ayah. Ibu yang
tak boleh hidup tanpa ayah. Ayah yang meletakkan ibu ditempat yang paling
tinggi dalam hatinya.
Ibu pula Layla rasakan seperti wanita yang
mampu buat apa saja. Ibu seorang yang berhati waja dan gigih. Seorang wanita
yang sangat berpegang pada ugamanya. Ibu walaupun tak berapa pandai membaca rumi
tapi ibu pandai membaca Al-Quran. Lunak suaranya mendayu-dayu. Ibu yang tak
pernah tinggal solat lima waktu. Ibu yang menitipkan roh keislaman dalam jiwa mereka.
Menyuruh mereka solat, berbuat baik dan selalu mengingatkan mereka adik beradik
untuk tidak membuat perkara yang bertentangan dengan Islam dalam banyak segi.
Untuk tahu mana yang halal dan haram.
Layla tidak pasti kalau ditakdirkan dia
bergelar ibu nanti,adakah dia mampu sekuat ibu. Ibu yang melahirkan mereka
semua. Ibu yang kalau buat apa saja sepenuh hati hatta memasak sekalipun.
Semangat waja ibu itu turun pada kakak dan abang dan malangnya bukan padanya.
Itulah sebabnya ibu agak kecewa dengannya. Kerana Layla tak seperti kakak dan
abang. Bagi ibu Layla seperti tidak berkemampuan untuk jadi sehebat kakak dan
abangnya. Orang kata “ short of expectation”. Oleh sebab itu Layla dan ibunya
macam tak serasi. Ibu kadang-kadang terpaksa meminta ayah nasihatkan Layla
apabila gadis itu keras kepala atau bila apa yang diharapkan darinya tak
menjadi kenyataan. Macam PMR dulu. Layla tidak mendapat semua A seperti kakak
dan abang. Ibunya memang kecewa sungguh.
Oleh itu harapan ibunya terhadap keputusan
peperiksaan SPMnya lah yang selalu meresahkannya. Dua tiga minggu lagi
keputusan akan keluar. Entah tercapai
harapan ibu atau tidak. Memang dia sudah berusaha. Tapi semua kemungkinan boleh
berlaku. Sebab dia adalah manusia yang paling tidak konsisten dalam apa sahaja
yang dia lakukan. Contoh kalau
memasak nasi, ada masa lembik ada masa keras, ada masa hangit. Kadang-kadang
ibu tepuk kepala tidak tahan. Masak nasi
tidaklah mempunyai kesan yang begitu penting berbanding dengan SPM. SPM macam
tiket menempa kejayaan. Kalau tanpa SPM di mana dia akan pergi?Sudahlah
begitu dalam zaman sekarang kalau tidak cukup hebat bukan senang nak dapatkan
biasiswa. Pinjaman pun belum tentu boleh dapat.
“ Kalau SPM Layla tak bagus, Layla kawin
aje lah. Mak dan ayah bukan ada duit nak hantar belajar swasta” kata ibu satu
hari waktu Layla menghidang makanan tengahari. Berdesing telinga nya. Geram
sungguh Layla rasa. Wajarkah ibu suruh kahwin? Inikan abad 21 mana ada orang
kahwin selepas SPM? Layla menarik muka terasa mahu saja dia menghempas bekas
lauk di atas meja. Tapi takut pula kalau ayah kata dia kurang ajar. Nanti tak
semena-mena kena penampar free daripada ayah pula. Layla lihat ayahnya diam
sahaja tanpa berkata apa-apa walaupun dia memang mengharapkan ayah berkata
sesuatu. Tapi ayah selamba aje menyenduk lauk ke atas nasinya. Muka ayah biasa
saja.
“ Mak, Layla mana boleh kawin. Masak nasi pun belum pandai.” Jawabnya
perlahan menahan marah di dada. Antara dengar dan tidak. Dia telahpun duduk
menyenduk nasi ke dalam pinggan.
“
Hmmm....kena belajarlah. Dah kalau tak nak belajar kat universiti belajar jadi
isteri je la...” sela ibu. Ibu menyuap nasi ke mulut. Perit betul bila mendengar
kata-kata ibunya itu.
“
Ish awakni. Tunggulah keputusan dia keluar dulu. Jangan fikir bukan-bukan.
Nanti masin mulut awaktu terpaksa pulak kita terima menantu awal-awal.”
Akhirnya ayah bersuara. Layla terasa menang sedikit. Macamnilah ayah! Ujarnya
dalam hati bangga dengan ayah.
“ Saya risau apalah nanti keputusan Layla
ni. Awak tengok PMR dulu. Buat maluje. Tak macam Zarif dan Nura. “ Kata-kata
ibu buat Layla tersentak. Kecil hatinya terasa. Nasi di mulut rasa tidak
tertelan. Air mata seolah mahu menitis tapi segera dia telan. Memang sejak
keputusan PMR dulu ibu macam tidak percaya padanya. Asyik itu sahaja yang ibu ungkit
selalu dan hampir setiap hari sejak akhir-akhir ini.
“ Awak sebagai ibu kena doakan dia
bukannya cakap-cakap macamni. Saya pasti Layla dah buat yang terbaik. Tapi
kalau tak kesampaian bukan rezeki namanya. Awak sepatutnya lebih tahu dari saya
benda-benda macamni” balas ayah cuba memujuk Layla.
“ Awak menangkanlah anak kesayangan
awaktu. Dia banyak lemak dah awak tahu. Itu sebab dia jadi macam tu.” Marah ibu pada ayah. Layla perasan mata ibu
yang tajam memandangnya yang kini tiada selera untuk makan. Kenapa ibu tak
faham perasaan nya. Macam kata ayahnya, Layla selalu mencuba yang terbaik.Perit
rasanya bila ibu begitu. Ibu tidak sayangkan dia seperti kakak dan abang.
Kenapa kasih ibu berbeza untuknya? Anak angkatkah dia? Kalaulah tidak kerana dia
masih hormatkan ibu dan ayah sudah tentu dia sudah lari ke bilik. Tapi demi menjaga hati mereka Layla masih
di situ walaupun nasi terasa seperti pasir sahaja dalam mulutnya.
“
Dahlah. Tak baik depan makanan cakap macam tu. Jom makan. Belum masanya kita
bincang perkara ni. Keputusan pun belum keluar lagi. Apa yang awak
ribut-ributkan pulak. Kita tengok nanti macamana. Doakan supaya Layla ni
berjaya.” Ayah menasihatkan ibu. Ibu terdiam tapi muka ibu mencuka padanya. Ibu
tidak puas hati agaknya kerana ayah menangkan Layla lagi. Tapi mesej ibu memang
jelas. Kalau dia tidak dapat yang terbaik SPM nanti habislah angan-angannya
untuk ke universiti melanjutkan pelajaran macam abang dan kakak. Entah dengan
siapalah ibu mahu jodohkan dia. Dia resah. Cepat sahaja dia selesai makan
meskipun nasi masih bersisa. Ibu tegur dia.
“ Tengok, nasi pun tak habis. Membazir.
Itu tanda buat kerja tak sempurna.” Bebel ibu lagi.
“ Layla kenyanglah ibu.” Dia memberi alasan.
Ibu mendengus tidak puas hati lagi.
“ Kalau dah kenyang kenapa ambik
banyak-banyak. Hish! Membazir aje.” Sela ibu lagi. Ayah hanya mengeleng. Ibu
dan dia memang tak habis-habis. Dia tinggalkan saja ibu dengan perasaan berbuku.
Segera Layla basuh tangan dan pinggan di sinki. Ibu memang begitu dengannya
setiap hari, getusnya dengan hati yang tersinggung.