Hari-hari yang Layla lalui terasa semakin positif di mahligai Bukhari
itu. Faris meskipun ada angin juga kadang-kadang tetapi layanannya sudah tidak
begitu teruk seperti dia mula-mula berada di situ. Sebenarnya, semua sangkaan
negatif Faris terhadap Layla memakan dirinya sendiri. Layla sebenarnya tidak
seperti stereotypenya. Layla memang
lain dari apa yang dia bayangkan.
Kepada Tan Sri
Omar, Layla macam anak perempuan yang dia tidak ada. Pada Tok Zauyah pula dia
macam cucu perempuan idamannya. Boleh berbincang tentang apa saja jenis
masakan. Sudahlah begitu suka melayan orang tua itu berbual. Faris selalu juga memperhatikan gadis itu
yang memang mesra dengan Tok Zauyah. Selalu membantu Tok Zauyah. Selalu ke sana
ke mari dengan orang tua itu dan melayan neneknya itu dengan baik.Kadang-kadang Faris boleh dengar hilai tawa mereka di dapur. Tiba-tiba dia rasa cemburu kerana Layla
tidak ketawa seperti itu bila mereka berdua sahaja dalam bilik. Bila dengan Tok Zauyah, Layla macam
kebudak-budakan bermanja dengan orang tua itu tapi kalau dengan Faris, Layla
jadi serius tiba-tiba dan agak kasar. Dia tidak faham “child woman” ini. Layla lain dari semua
wanita yang dia pernah temui. Itu yang meresahkan jiwanya selalu.
Layla telahpun mula
membuat permohonan ke Universiti- universiti di US dan UK sejak beberapa minggu
lalu. Kata Tan Sri Omar, Layla perlu pilih universiti yang terulung supaya
Layla dapat kelulusan yang terbaik nanti dan, dia memang sanggup biaya Layla
kalau dapat universiti begitu walaupun pembiayaannya mahal. Layla sangat
gembira sebab memang cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti
sebegitu.
Faris hanya diam pada waktu itu. Dalam benaknya dia terfikir bolehkah
Layla masuk universiti macam itu? Dia ragu dengan keupayaan gadis itu kerana Layla nampak macam gadis biasa sahaja.Entah fasih atau tidak bahasa Inggeris, sebab sepanjang di mahligai
itu tidak pernah pula dia berbahasa Inggeris. Layakkah dia dengan SPMnya itu?
Dia pun tidak pernah tahu keputusan SPM Layla kerana dia memang tidak berminat
langsung untuk tahu disebabkan perasaan bencinya pada gadis itu sebelum ini.
Pada mulanya Faris ingatkan Layla lulus
biasa-biasa sahaja dalam SPMnya. Tapi satu hari bila dia belek borang
permohonan Layla dia dapati isterinya juga bukan calang-calang. Hebat juga
Layla dengan keluarga yang sedemikian dia mampu sama bersaing dengan orang yang
datang dari keluarga yang lebih bernasib baik dan yang lebih banyak kemudahan
seperti dia. Entah bagaimana Faris tersedar bahawa latar belakang keluarga yang
miskin sebenarnya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mendapat keputusan
yang baik. Dia lihat Layla bagus dalam bidang sains dan matematik, tidak
menyangka gadis yang dia anggap macam kampungan itu sebenarnya bijak dan
bergeliga. Keputusan SPMnya yang tertera di borang permohonan itu telah
membuktikan.
Sejak akhir-akhir itu Faris mula banyak memerhati
Layla ditambah dengan cerita-cerita dari Mak Neng tentang gadis itu. Faris juga kian selalu memperhatikan gadis itu di bilik, sewaktu dia
ralit membaca buku cerita. Rambutnya yang hitam lurus diikat satu tapi ada yang
terjuntai-juntai di dahinya. Khayal membaca novel dan tidak sedar dirinya
diperhatikan. Nampak comel sungguh kalau dia menggigit jari membaca buku cerita
sambil kadang-kadang mengurut rambutnya yang melepasi bahu itu.
Kadang-kadang
Faris saja-saja bangun perlahan-lahan dan renung wajah Layla bila gadis itu tertidur
di sofa tak sedar apa. Saja menikmati wajah gadis itu yang comel itu puas-puas
tanpa disedari. Sebenarnya, tak pernah dia ada perasaan sebegitu terhadap
seorang perempuan. Dia pula yang curi-curi pandang bila ada kesempatan. Selalu
perempuan yang serahkan diri mereka padanya tanpa dia perlu terkejar-kejar. Ini
dia pula yang lebih sedangkan Layla macam biasa sahaja bahkan Layla buat dia seperti
teman sebilik sahaja.
Memang benarpun, bagi
Layla yang naif, Faris hanyalah teman sebilik. Teman sebilik yang tiada
perasaan terhadapnya malahan sebelum ini benci, jadi dia memang tak terfikir
apa yang selalu bermain dalam kotak fikiran Faris. Baginya Faris memang harmless walaupun ada insiden-insiden di
mana Faris menggetarkan jiwanya sepanjang beberapa bulan itu. Namun sebab Faris
pun dah berterus terang padanya dari mula-mula lagi yang dia bencikan Layla,
jadi Layla tidak terasa yang Faris ada perasaan padanya.
Dia anggap Faris macam tiada apa. Itulah sebabnya dia tidak berapa
kisah. Kadang-kadang dengan baju pijamanya dia meniarap di atas katil membaca
buku novel. Dia selalu tidak sedar mata Faris yang memerhati segala. Yang tidak
lena tidur semakin hari kerana merasakan kehadiran Layla di dalam bilik itu
yang menggetarkan jiwanya. Itulah sebabnya bila satu hari Faris keluar dan
tidur di bilik tetamu Layla hairan juga.
Apa dah jadi? Marah ke? Ada masalah ke? Aku ada buat salah
ke? Tapi bila mengingatkan bahawa dia tak perlu harapkan apa-apa dan tidak
perlu busy body, Layla buat selamba. Elok sangatlah!. Dia lagi suka kalau Faris
tiada di bilik kerana dia boleh terus membaca novel dan tidak perlu menutup
lampu sampai ke pagi kalau dia nak!