Susah juga dia mencari
rumah Pak Amir tapi dengan menggunakan ‘Waze’ satu aplikasi mobile untuk
navigasi, sampai juga dia ke kampung Pak Amir itu. Dari hari Jumaat lagi dia
sudah minta setiausahanya dapatkan alamat Pak Amir. Lalu alamat itu ditaip ke
dalam aplikasi itu yang seterusnya membawa dia sampai ke kampungyang ekonomi penduduknya rata-rata
bergantung pada tanaman padi dan menangkap ikan. Di sana sini Faris melihat
batas ban dengan pokok-pokok padi yang masih menghijau. Satu pandangan yang
menakjubkan dengan langit biru yang cerah tapi bagi orang seperti Faris ianya
tidak membawa makna apa-apa kerana kedatangannya ke situ hanyalah ingin
menyelesaikan masalah yang mengusutkan fikirannya sejak beberapa hari. Waze itu
akhirnya membawa dia sampai ke sebuah rumah kampung yang agak usang bertangga
batu.
Kedatangannya ke situ
hanyalah untuk berjumpa Pak Amir dan yang paling penting sekali Layla, gadis yang
akan jadi isterinya. Dia mahu bersemuka
dengan gadis itu. Ingin tahu bagaimana perasaan gadis itu dan mahu lihat gadis itu dengan mata kepalanya
sendiri. Adakah dia gadis yang dia tolak dulu?. Ataupun anak perempuan Pak Amir
yang lain. Dia pun tak pasti berapa orang anak perempuan Pak Amir. Dia mahu
dengar sendiri dari mulut gadis itu. Kalau boleh dia mahu pujuk gadis itu
supaya menolak pinangan Tok Zauyah. Pujuk Pak Amir juga untuk batalkan semua
kerja gila ini.
Dan sewaktu Faris datang itu dia dilayan mesra oleh Pak Amir dan Mak
Mah. Manakan tidak bakal menantu sudi datang ke rumah. Besar hati Pak Amir dan
Mak Mah. Tapi mereka tidak tahu. Faris ada hajat yang lagi besar. Walaupun
tertekan, Faris tak sampai hati pula marah-marah pada mereka berdua. Faris
berbasa basi bertanya khabar. Hanya sekadar bersopan. Banyak kali dia cuba
untuk nyatakan maksud kedatangannya tapi yang peliknya lidahnya tiba-tiba kelu untuk
meminta Pak Amir supaya menolak pinangan Tok Zauyah itu. Akhirnya dia hanya
boleh berkata bahawa dia datang untuk mengenali bakal isterinya.
“ Baguslah kalau Faris
nak berjumpa Layla. Boleh berkenal-kenalan.” Ujar Pak Amir suka.
“ Ya betul. Itulah saya
nak buat. Rasa tak sedap pulak tak kenal orangnya. ” ujar Faris tersenyum
nipis sambil menipu.
Sedang dia berbual-bual
dengan Pak Amir dan Mak Mah, seorang gadis naik menghidang minuman. Pada
mulanya Faris menyangka yang menghidangkan juadah itu Layla tapi rupa-rupanya Nura.
Orangnya kurus tinggi lampai. Lemah lembut bertudung litup.
“ Saya Nura kakak Layla.
Nanti saya panggilkan Layla ye” ujar Nura dapat membaca apa yang bermain di
fikiran lelaki itu dan kemudian dia berlalu ke dapur. Tadi sepatutnya Layla
yang naik menghidang air tapi Layla suruh dia yang pergi. Dia setuju saja
kerana dia juga mahu lihat bagaimanakah bakal suami adiknya itu.
Sebaik turun Nura mendapatkan Layla yang sejak tadi termenung di
dapur. Tak ada hati langsung berjumpa dengan Faris. Bila Nura menyuruh Layla ke
atas gadis itu masih tidak berganjak. “ Pergilah dik” ujarnya. Mungkin kalau
Layla lihat lelaki itu Layla akan terima perkahwinan itu nanti. Masakan tidak,
bakal suami adiknya yang dia lihat tadi itu bukan calang-calang orangnya. Kacak
sungguh!.
Layla mengeleng-ngeleng. Kalau boleh dia tidak mahu berjumpa dengan
bakal suaminya itu. Biarlah jumpa masa pernikahan sahaja. Dia sangat-sangat
tidak berminat. Mak Mah akhirnya turun juga kerana lama sangat Layla tidak
muncul-muncul. Dia faham perasaan anaknya itu. Tapi apakan daya semua telah dipersetujui.
Mak Mah usap-usap badan Layla.
“Pergilah nak, ayah suruh
Layla tengok bakal suami kat atas tu.”. Bila disuruh oleh Mak Mah begitu barulah
dia naik. Itupun lambat-lambat. Dia tahu lambat laun dia akan jumpa juga lelaki
itu. Mungkin lebih baik juga jika dia jumpa sekarang.
Layla pun menaiki tangga
dapur ke ruang tamu perlahan-lahan macam orang hilang semangat. Dari jauh Faris
nampak kelibat gadis itu. Tak silap dia itulah gadis yang dia jumpa di KLCC dan
dia tolak dahulu. Kecilnya dunia! Kenapa dia berjumpa dengan gadis itu sekali
lagi?. Adakah dia Layla? Arrgghh! Apalah nasibnya!. Faris menahan reaksi
kecewanya. Faris memerhatikan sahaja gadis bertudung litup berwarna cream serta
berbaju kurung warna putih berbunga-bunga kecil. Wajahnya yang bujur nampak
muram. Matanya yang galak nampak layu. Layla bersimpuh di tepi Pak Amir
berhadapan dengan Faris. Waktu dia duduk itulah Faris perasan pipinya yang licin
kemerahan dan bibir penuh berwarna merah jambu tanpa alat solek.Ada tahi lalat halus di atas bibir. Satu
dua tiga. Ada tiga semuanya. Terkesima Faris seketika. Dan sewaktu dia duduk
bersimpuh itulah juga Faris terperasan jejari
Layla yang runcing tapi gebu. Dia terasa kurang selesa tiba-tiba. Apa kena aku
ni? Sampai ke situ pula mata ni melihat! Fokus Faris, fokus.... Katanya dalam hati cuba
meredakan rasa kurang selesa itu. Pak Amir berdehem. Baru dia tersedar semasa
matanya melilau Pak Amir masih ada di situ. Ah malunya!
Bila Pak Amir perkenalkan
Layla, Faris perasan mata gadis itu yang
sedikit terbelalak memandangnya dan mulutnya berbisik ‘Ya Allah”. Jelas gadis
itu terkejut. Sama sepertinya cuma dia terkejut lebih awal. Dia hanya tersenyum
sinis. Gadis itu memandang padanya. Matanya yang layu tadi bersinar garang.
Macam biasa seolah ingin menelannya.
“ Er Faris, Layla…ayah
turun ke bawah sekejap. Kamu berdua berbuallah. Inilah masa untuk kamu kenal-kenal”
ujar Pak Amir sambil tersenyum simpul memberikan ruang pada mereka. Faris hanya
mengangguk. Mereka berdua tidak berkata apa-apa sebaik sahaja Pak Amir pergi.
Sunyi seketika macam ada malaikat yang lalu.
“ Saya Faris. Saya pasti
awak tahu siapa saya kan? ” ujar Faris menghentikan suasana senyap itu
lantas merenung wajah Layla cuba mendapatkan reaksi. Gadis itu mengangkat
muka. Matanya yang tajam memandang wajah Faris.
“ Ya. Saya tahu. Awaklah orang yang akan
memusnahkan impian saya. Biar saya berterus terang ye. Saya ni tak suka awak. Bukan hanya tak suka malahan
saya benci awak!.” ujar Layla geram. Bibirnya diketap. Mamat ni rupanya! Ya
Allah kenapa dia ni! Faris tergelak sinis.
“ Baguslah kalau awak tahu siapa saya. Awak ingat awak
sorang saja yang tak suka. Saya pun memang tak suka awak. Bahkan lebih lagi. Cuma saya tak tahu macamana
awak boleh pikat nenek saya sampai nenek saya paksa saya kawin dengan awak yang
kolot ni? Saya tak pernah suka perempuan yang pakai macam awak ni. Rimas saya
tengok. Berkelubung macam apa. Saya ni kan kalau nak kawin hanya dengan wanita yang
ada kelas sahaja. Jadi awak jangan ingat saya datang ni saja-saja teringin nak
kenal-kenal awak. Saya ni kalau boleh nak awak tolak pinangan nenek saya tu !.”
Balas Faris panjang lebar dengan sombong dan bangganya. Layla tersentak. Wah! Bukan main lagi mamat itu
menghina dia. Kalau ya pun tak suka janganlah sampai menghina dia. Kolot?. Tak
ada kelas? Rimas? Amboi, Faris memang melampau! Jadi, semua peminangan itu
hanyalah dari Tok Zauyah sahaja? Sedangkan Faris tidak mahu pernikahan itu
diteruskan. Argghh! Apa semua ini?
“ Apa maksud awak?” Tanya
Layla untuk mendapatkan kepastian.
“ Kenapa awak terima
pinangan nenek saya. Saya tak pinang awak tau. Oh ya, saya lupa. Siapalah tak
mahu kawin dengan saya sebab saya ni anak jutawan kan? Jadi awakni mata duitan lah
ye?” Hina Faris lagi dengan gigi diketap.
“ Awak main wayang sinetron ke apa ni?
Saya tak faham“ Tanya Layla kembali. Dia sudahpun bangun.
“ Awak tu
pun sama. Jangan nak berlakon buat-buat tak tahu pulak. Cakap berapa awak nak supaya
awak tolak pinangan nenek saya tu? Satu juta,
dua juta? ” Ujar Faris yang turut bangun kemudian seolah-olah ingin mengeluarkan
sesuatu dari poket seluar jeansnya.
“ Saya tak
perlulah nak berlakon. Ini datang dari lubuk hati saya sendiri. Saya memang tak
mahu kawin dengan awak dan tak sukakan awak. Awak tu manusia kasar tak ada hati
perut. Saya masih ingat apa awak buat pada ayah saya. Saya hairan kenapa ayah masih layan awak dengan baik tadi. Kalau saya, saya baling kasut suruh awak balik...., jadi tolonglah tarik balik pinangan nenek awak tu. Oh ya lagi satu simpan sajalah
duit awaktu. Saya tak hadaplah dengan harta awak tu. Awak ingat saya tak ada
maruahke? Saya mungkin miskin tapi saya bukan mata duitan."
Faris mengetap bibir. Layla menyambung lagi.
" Lagi satu, kalau awak benci
saya kenapa awak tak cakap saja dengan nenek awaktu. Kenapa nak suruh saya
pulak yang tolak pinangan?.“ ujar Layla dengan suara meninggi dan marah.
“ Kalau saya boleh batalkan perkahwinan itu
dah lama saya buat. Tapi masalahnya tak boleh. Banyak yang perlu saya
korbankan. Tapi, saya hairan kenapa awak tak tolak pinangan nenek saya? ”
“ Ayah dan mak saya yang
terima. Saya tak boleh buat apa-apa. Kalau awak kata awak terpaksa saya pun
sama. Kalau ikut hati saya, saya memang tak ingin langsung dengan awak. Bagi
free pun saya tak nak!” Balas Layla membuat Faris terasa terpukul. Free pun tak
mahu? Kurang asam! Itulah kali pertama seorang gadis menunjukkan kebencian yang
teramat padanya. Tapi dia pun tidak sukakan gadis itu. Terlalu sombong bagi
Faris. Terlalu melawan tetapi egonya memang tercalar.
Nanti kau! Faris merapati
Layla selangkah demi selangkah menyebabkan Layla berundur hingga ke dinding.
Apa ke hal pulak mamat ni! Desis hati Layla. Cuak pun ada sebab yang lain
semuanya di dapur. Kini wajah Faris sudah dekat dengannya sehingga Layla boleh nampak
anak matanya yang keperangan. Layla berdebar-debar. Kalau apa-apa berlaku dia
nekad untuk menjerit sekuat hati, beri satu tendangan ke tempat ‘private’ dan lari.
Faris tersenyum gelihati
melihat wajah cuak gadis itu. Tahu pulak takut budak kecik ni! Dia merapatkan
lagi wajahnya. Antara mereka hanya ada jarak seinci. Layla menutup mata tak
sanggup melihat wajah Faris sedekat itu. Arrgh! Dia tak rela.
“ Kalau kita kahwin nanti siaplah awak!” Bisik
Faris ke telinga Layla. Meremang bulu roma Layla apabila Faris berbisik begitu.
Layla terkedu.
Dia ingin menendang lelaki itu tetapi bila dia buka mata Faris telah pun berlalu.
Faris pergi tanpa bersalam dengan Pak Amir dan Mak Mah pun. Hati Faris mendidih dengan Layla. Bagi free pun
tak nak? Geramnya dia! Gadis itu memang membuatkan hatinya panas dan tidak
keruan sekali gus. Paling geram misinya gagal hari itu!