Sewaktu di dalam kereta, Asyraf mengajak mereka menonton wayang Spiderman
entah ke berapa. Katanya kalau sempat mereka boleh menonton pada pukul 1.30
petang. Mendengarkan Spiderman, Layla terus setuju. Mujur Asha juga setuju. Sebenarnya,
Layla lebih suka menonton dari bershopping sebab dia bukan ada duit sangatpun.
Dia hanya ada dalam RM50 sahaja itupun pemberian ayahnya minggu lepas setelah membantu
menjual nasi lemak beberapa hari. Kalau tengok wayang dan beli novel memang
cukup sangat.
Layla dan dua rakannya itu tiba di KLCC dua jam kemudian. Agak sukar
mencari tempat parkir di kala itu. Beberapa kali juga kereta Persona Asyraf
berpusing-pusing mencari tempat. 20 minit kemudian baru ada satu tempat kosong
itupun dirembat oleh pemilik kereta sport Audi R8 yang tidak bertimbangrasa walaupun kereta
Persona itu yang sampai dulu. Hangat hati Asyraf begitu juga Layla serta Asha. Itulah
baru pertama kali Layla melihat wajah kelat Asyraf.
Sudahlah begitu lelaki berkot
perang di dalam kereta mewah itu hanya buat tidak tahu sahaja. Isyarat minta
maaf pun tidak. Sungguh kurang asam. Ini agaknya budi bahasa orang kaya! Getus
hati Layla geram namun dia sabarkan juga Asyraf takut kalau dah lelaki itu
bergaduh siapa pulak yang susah. Panjang pula ceritanya nanti lambat pulak dia
balik. Dia jengukkan muka melihat wajah lelaki itu dengan pandangan tajam. Rasa
seperti mahu ditelan sahaja lelaki itu. Lelaki itu seolah perasan menoleh
padanya lalu senyum mengejek. Hatinya tambah geram. Argghhh…siaplah lelaki itu
kalau dia jumpa di mana-mana, getus hati Layla bersungguh. Banyak kali juga Asyraf
menyumpah-nyumpah. Boleh tahan juga baran pemuda itu. Itu yang membuatkan Layla
makin geram.
Akhirnya
ada juga rezeki mereka. Mujurlah di KLCC ada paparan berapa jumlah ruang parkir
yang kosong. Setelah memarkir, mereka segera ke
TGV Suria KLCC. Mujur juga mereka masih sempat lagi membeli tiket wayang itu.
Asyraf yang belanja walaupun Layla lebih suka kalau dia yang bayar sendiri. Dia
tidak mahu termakan budi manakala Asha kelihatan seronok saja bila dibelanja. Layla
teringat sebenarnya pada pesan ibunya untuk tidak mudah menerima pemberian
orang. Itulah yang menyebabkan dia kurang selesa dengan sikap murah hati Asyraf
itu.
Asyraf juga membelikan mereka popcorn dan
air coke. Sudahlah begitu untuk Asha dia belikan satu bekas tapi dia pula satu
bekas berkongsi dengan Asyraf. Layla memang tak rela kerana dia pasti dia akan
dipaksa duduk sebelah Asyraf. Ikut manapun Asyraf akan duduk sebelahnya juga. Layla
tiada pilihan. Sepanjang tayangan Layla tidak selesa manakala Asha seronok
sahaja di sebelahnya. Asyraf pula sepanjang tayangan seolah mencari peluang
untuk berbual mesra dengannya. Ada-ada sahaja pertanyaan. Apabila cerita wayang
hampir di kemuncak dia bertanya.
“ Layla nanti kalau lepas SPM nak ambik bidang apa ye? “ tanya Asyraf.
Aduhai, malasnya nak jawab, bisik hati Layla. Nak tengok Spiderman lagi nak
jawab lagi, gumam Layla dalam hati. Matanya tertancap pada wajah kacak Peter
Parker aka Spiderman di skrin hadapan dengan begitu focus sekali..
“ Mmmm tak tau lagi.” Jawab Layla acuh tak acuh. Asyraf senyum
terangguk-angguk.
“ Dah kena sedia juga tau sebab bila keputusan keluar nak apply ada
beberapa minggu saja.” Nasihat Asyraf padanya bersungguh-sungguh.
“ Hmm okay…” Layla menjawab pendek, malas hendak melayan pemuda itu.
“ Masa cuti apa Layla buat di rumah?” tanya Asyraf lagi. Perlukah untuk
dia jawab? Peter Parker sedang terloncat-loncat melawan musuh di skrin depan
boleh lelaki disebelahnya bertanya soalan macam itu? Diwaktu Peter Parker berlawan
dengan sengit menyelamatkan heroinnya? Dia perasan yang Asyraf asyik memandang
wajahnya bukan memandang skrin wayang di hadapan. Tapi itu adalah babak
kritikal jadi dia perlu berkata,
“ Cop…bagi saya tengok ceritani dulu…nanti saya jawab ye…”ujar Layla.
Asyraf yang baru sahaja hendak bertanya lagi terdiam. Lama juga dia terdiam baru
Layla perasan. Tersinggung ke? Alamak kasihanlah pulak.
“ Ok untuk soalan awak tadi…kat rumah saya jaga adik-adik, masak nasi,
baca buku cerita dan chatting dengan Asha.” Jawab Layla satu nafas sambil
senyum buat-buat. Sekadar berbahasa sahaja tidak lebih dari itu.
“ Oh menarik jugak tu..” balas Asyraf. Menarik? Pelik lelaki itu. Bagi
Layla tiada apa yang menarik menghabiskan masa seharian di rumah seperti itu.
Dia sebenarnya sudah bosan berbulan-bulan di rumah membuat sesuatu yang sama
setiap hari. Ditambah dengan leteran dan kata-kata sindiran ibunya. Pertanyaan
Asyraf tidak berhenti di situ, ada lagi banyak pertanyaan yang dijawab oleh
Layla dengan ‘ya’, ‘tidak’, ‘aha’, ‘ok’ dan ‘mmm’ sehinggalah habis tayangan.
Selepas selesai tayangan Asha pulak masih belum mahu pulang. Haripun
masih awal katanya. KLCC sudah agak sesak kerana hari itu hari Sabtu. Layla mencadangkan
supaya mereka solat zohor dulu di masjid berdekatan. Lagipun jam sudah
menunjukkan hampir angka 3.00 petang. Satu perkara tentang Layla, dia kalau
boleh tidak mahu tinggal solat sebab itulah pesanan ibu dan bapanya pada dia
dan adik-beradik lain. Asha memang sudah faham sangat dengan sikap Layla itu. Selesai
solat mereka ke kedai buku Kinokuniya pula. Layla memang kaki buku begitu juga
dengan Asha. Asyraf hanya ikutkan sahaja. Dia seronok mengekori asalkan Layla
ada. Kadang-kadang dia pura-pura ke barisan lain kemudian memerhatikan buku apa
yang dibelek-belek oleh Layla. Ada buku masakan, novel dan sebagainya. Dia cuba
menyelidiki minat Layla untuk menarik hati gadis pujaannya itu.