Sesungguhnya hari itu kalaulah tak mengingatkan
bahawa dia berada di mahligai Bukhari itu, dah lama Layla melompat kegirangan
bila mendapat satu sampul surat dari Amerika Syarikat. Kelam kabut Layla buka
dan seronoknya melihat jawapan yang bermula dari “ Congratulations! di dalam surat tersebut. Rupa-rupanya Layla telah
diterima masuk ke University of Harvard di Boston. Teruja dan gembiranya dia
Allah sahaja yang tahu. Serta-merta dia telefon Pak Amir dan Mak Mah
ibubapanya. Kedua-dua mereka memang gembira tak terkira. Tok Zauyah pun menyatakan
rasa bangganya meskipun Layla dapat mengesan sedikit kesedihan di mata wanita
itu. Mulutnya tidak berhenti mengucapkan
tahniah kepada Layla tetapi siapa tahu
apa yang bersarang dalam hati wanita tua itu.
Sewaktu
makan malam bila semua berkumpul termasuklah Wafiq, Nabila dan Faris, Tok
Zauyah pun mengumumkan. Layla lihat Wafiq dan Nabila
terpempan. Faris pula yang baru balik dari pejabat menjerit “Yes! Yes…Yes! ”
dengan sangat gembiranya. Nampak sedikit over!. Hairan jugak Layla bila melihat
sinar kebanggaan di mata lelaki itu. Dia tidak tersilap tengokkah? Agaknya ini satu lagi lakonan mantap Encik
Faris agaknya bila berada di hadapan semua orang, getus hatinya. Kalau ya pun
nak berlakon janganlah melebih-lebih, bisik hatinya lagi, menyedari wajah kurang
senang adik-adik Faris melihat kegirangan lelaki atas berita itu.
Wafiq dan Nabila mengucapkan juga tahniah kepada kakak ipar mereka
itu. Nabilah terasa seronok juga sebab lepas ni tentu Layla tidak ada di rumah
itu beberapa tahun. Wafiq pula lagi suka kerana Faris pasti akan mengikut
isterinya ke sana. Bolehlah dia menguruskan syarikat tanpa gangguan Faris
seperti selalu. Faris yang teliti kadang-kadang agak merengsakan dia.
Terutamanya tentang hal pekerja asing di syarikat itu.
“ Jadi
Faris, bolehlah kamu berdua rancang bila nak berpindah ke sana. Sebulan lagi
Layla akan memulakan pengajiannya. Apartment ayah di sana tu kamu bolehlah
duduk berdua. Tak payahlah Layla duduk di Universiti. Lagipun projek usahasama
kita di Boston tu akan dilancarkan. Memang ‘good timing”lah semua ni. Sambil
Layla belajar, kamu pulak kerja di sana uruskan syarikat” Ujar Tan Sri Omar
sewaktu nasi telah dihidang dan masing-masing menyuap makanan. Layla terhempas
ke bumi. Kegembiraannya terasa sedikit hilang serinya. Nasi
yang disuap terasa tidak sedap.
Apa? Faris akan ikut dia ke sana? Bukankah ini
masanya mereka berdua berpisah? Kemudian duduk sama pulak tu?. Layla mula rasa
tak senang. Sangkanya kalau dia ke sana dia akan bebas tanpa Faris. Bukan
itukah perjanjiannya? Malam ini Layla akan berbincang dengan Faris. Pastikan semua
itu tidak berlaku. Tolonglah. Layla tidak mahu terbelenggu dengan Faris lagi. Cukuplah
beberapa bulan itu sahaja. Layla mahu bebas menjadi seorang pelajar universiti
tanpa Faris. Menjalani hidup macam orang lain. Tanpa orang lain tahu Faris
suaminya.
Faris memandangnya penuh
makna sambil mengangguk-angguk. Kalau mereka berdua di bilik mahu saja Layla tanya
lelaki itu kenapa mengangguk-angguk macam burung belatuk.Apa dia setuju dengan semua itu?. Mana janji dia
dulu? Macam seronok saja mendengar cadangan Tan Sri itu. Layla membulatkan
matanya pada Faris. Seolah memberi isyarat.
“
Err…nanti saya bincang dengan Layla ayah. “ balas Faris seolah memahami apa
yang terdetik di fikiran Layla.
“
Bincang apa lagi?” Tanya Tok Zauyah tak puas hati. Bagi dia memang logik yang
mereka berdua akan duduk di apartment tersebut.
“ Duduk saja kat apartment tu. Jimat duit. Bila-bila nanti Tok boleh
jenguk kamu berdua, kan Layla? “ Oh Tidak, getus hati Faris, tapi giliran Layla pula mengangguk-angguk. Tak
kanlah tak angguk kalau Tok Zauyah nak datang. Layla lihat Faris yang
memandangnya dengan pandangan hairan pula. Hmm…mesti dia pulak bertanya Layla dalam
hati apa angguk-angguk ni?.
“ Tapi, Faris, Tok nak
ingatkan. Jaga Layla baik-baik. Kalau dah sampai sana jangan kau lupa pulak.
Ingat pesan Tok ni” Tok Zauyah seolah memberi amaran kerana risau. Manalah tahu
Faris kembali pada perangai lama.
“ Mana Faris boleh lupa
kat isteri Faris yang comel dan manja tu Tok…” ujarnya bergurau sambil mengenyit
mata pada Layla. Layla mencebik. Ek eleh! Pandai sungguh dia berlakon. Tok
Zauyah dan Tan Sri Omar ketawa. Bahagia agaknya tengok lakonan kemesraan mereka
itu.
“ Baguslah kalau macam tu
Faris, tak lah Tok dan ayah risau sebab kau boleh tengok-tengokkan Layla
belajar di sana. Kerja di sini biar Wafiq saja yang uruskan. Nanti bila Layla
dah habis belajar bolehlah kamu handle semula. Ayah bangga isteri kamu dapat
belajar di sana. Ha manalah tahu nanti bila dah sama-sama di Boston cepat ayah
dapat cucu” Ujar Tan Sri Omar ditambah dengan sedikit gurauan dihujung
kata-katanya.
Layla tersentak. Cucu? Faris pula tersenyum nakal sambil mengangguk.
Idea bagus juga tu, desisnya dalam hati lantas mengerling pada Layla yang jelas
masuk angin satu badan. Cucu? Habis bilanya dia boleh belajar kalau dah ada
anak pula? Getus hati Layla risau. Yang Faris pula bukan main suka mengangguk. Bahkan
tersengeh lagi. Faris memang “happy”
sangat untuk Layla. Happy kerana dia akan tinggal berdua
sahaja dengan gadis itu di Boston. Rasa tak sabar dia untuk tunjukkan Bostonnya
pada Layla. Dalam kepalanya sudah ada macam-macam 'plan' untuk Layla!