Bukan itu sahaja yang menyebabkan
dia bencikan Faris Nabhan Omar. Sejak hari itu, Faris kian melayannya dengan buruk apabila mereka berdua
sahaja. Kata-katanya memang sering menyakitkan hati Layla. Contohnya bila dia
terlambat keluar dari bilik air. Mulalah Faris panggil dia macam-macam. Dia
kata Layla macam tak pernah jumpa airlah. Sibuklah. Dan macam-macam lagi.
Kadang-kadang Faris terjah saja bilik mandi sedangkan Layla masih di dalam. Mentang-mentanglah
bilik air itu dia punya. Manalah tidak kelam kabut dia nak cover supaya tidak
ternampak apa yang tak sepatutnya.
Kalau Layla lambat bersiap untuk turun makan
malam bersama keluarga dia akan jerit pada Layla suruh cepat. Kemudian mulut
dia tidak berhenti membebel marahkan Layla. Kalau di bilik itu Faris selalu
hempas pintu dan hempas apa saja seolah-olah memberi isyarat pada Layla yang
dia memang bencikan gadis itu. Kadang-kadang dia seolah-olah sengaja menghina
Layla. Faris juga suka panggil dia kampungan, anak pemandu dan sebagainya.
Layla memang kecil hati. Walaupun dia anak orang kampung dan anak pemandu dia
juga manusia yang ada harga diri. Layla menjeruk hati tapi dia sedar diri siapa
dia di mata Faris.
Oleh
sebab itu Layla perkuatkan azam dan semangat. Semua itu makin menguatkan
keinginan dia untuk pergi mengejar cita-cita dan tinggalkan semuanya. Dia hanya
menanti masa bilakah Faris akan menunaikan kata-katanya. Kalaulah dia dapat
peluang itu, dia tidak akan menoleh lagi. Dia akan tinggalkan Faris
selama-lamanya. Dia tidak mahu terbelenggu dengan raksasa seperti Faris. Namun
buat masa itu dia terpaksa bersabar biarpun kadang-kadang di kala berdoa dia secara
tidak sengaja menitiskan air mata.
Walaupun dia cuba untuk menabahkan diri tapi
ada masa teresak-esak juga dia menangis. Dia tidak boleh menidakkan hati
perempuannya. Dia hanya seorang anak gadis yang mentah dan tidak berdaya
terperangkap dalam sebuah perkahwinan yang tidak diingini. Dia cuma berdoa satu
hari nanti Allah SWT membebaskan dia dari semua itu dan dia boleh kembali
mengejar cita-citanya. Setiap malam hanya pada Allah sahaja dia mengadu. Kalau
ibu dan ayah tahu pasti terguris hati mereka. Oleh itu, seboleh-bolehnya dia
tidak mahu mengadu pada ibu dan ayahnya atas apa yang berlaku. Dia harap ada
pengakhiran untuk episod hidupnya bersama Faris.