Sejak perbualannya dengan Nora itu, Faris mula aktif mengumpul maklumat tentang Layla
seperti yang disarankan oleh Nora. Dia mula memerhatikan apa minat gadis itu.
Buku-buku yang Layla bacapun dia mula ambil kisah. Sesekali dia curi-curi baca
tajuk buku-buku novel Layla. Manalah tahu boleh dapat petunjuk lelaki bagaimana
yang gadis itu suka. Dan sewaktu dia rehat-rehat di katilnya
sebelum tidur malam itu , dia teringat senarai salinan dari kata-kata Nora tentang kriteria yang perlu ada pada
seorang lelaki pujaan wanita melayu terakhir muslimah seperti Layla itu.
Dia
telah menyalin semua ciri-ciri itu ke dalam ruang nota di telefon bimbitnya. Dia
terfikir sendiri, adakah kriteria yang Nora sebut itu didambakan juga oleh
Layla dari seorang suami? Layla kan gadis bertudung dan tidak tinggal solat
pula macam Nora. Jadi ada kemungkinan kriteria Nora itu adalah logik bagi Layla,
lagipun tak rugi untuk dia mencuba. Cuma kawan-kawannyalah yang akan pelik buat
seketika bila dia tidak lagi ke kelab dan mula menunaikan solat. Tapi dia tak
kisah, yang penting sekarang ialah Layla isterinya.
Dia memeriksa senarai itu. Kriteria pertama ialah solat 5 waktu.
Layla tidak tinggal solat pastilah suami yang dia mahukan mestilah tidak
tinggal solat 5 waktu juga. Lagi satu yang menguatkan keyakinannya ialah dia teringat
sewaktu mula berkahwin, Layla ada juga cuba untuk mengejutkan dia solat subuh
tetapi dia pula yang enggan dan marah. Malahan mendengus hodoh kepada gadis itu
kerana mengganggu tidurnya yang enak. Dari situpun dia sepatutnya boleh agak
yang Layla suka lelaki yang bersolat. Bolehkah dia bersolat seperti yang Layla mahukan?
Faris berfikir-fikir sendiri.
Walaupun dia jarang solat tapi dia masih ingat
lagi bagaimana menunaikan solat dan mengambil wuduk. Dia juga ingat kesemua
jenis solat 5 waktu itu. Cuma sebelumnya dia kurang rajin dan tidak peka
tentang waktu sahaja. Kalau macam itu dia akan mula dengan solat dulu. Mungkin
itu yang paling senang, fikir Faris sendiri dan yang paling ketara dan pasti
Layla perasan. Esok juga dia akan mula solat subuh. Serta merta dia set alarm dalam telefon
bimbitnya. Eh, pukul berapa pulak ye solat subuh? Dia bertanya sendiri. Tak
mengapa, pakcik Google pasti tahu. Dia tersenyum lantas melirik ke dalam
telefonnya. Kemudian mencari waktu solat subuh di kawasan mahligai Bukhari itu dan
seterusnya menetapkan alarm untuk bangun pada waktu itu.
Apa? 5.30 pagi! Awalnya! Tapi, ini harus
dilakukan. Dia akan cuba bangun pada waktu tersebut untuk solat subuh. Dan esok
untuk waktu-waktu lain seperti zohor, asar, maghrib dan isyak dia akan rujuk
lagi pakcik google. Faris tersenyum yakin.
Ingatan Faris menerawang lagi cuba membuat satu refleksi diri. Ciri
yang kedua merujuk pula pada bacaan Al-Quran. Serta merta dia teringat tidurnya
yang terganggu dengan suara gadis itu
membaca Al-Quran. Dulu, berbulu telinganya bila Layla membaca Al-Quran sampai dia ambil bantal
tutup telinga. Betapa teruknya dia waktu itu! Nampak sangat kerasnya hati dia
kerana tidak mahu mendengar ayat-ayat Allah. Allah SWT yang menciptakannya!.
Astaghfirullahilazim. Layak kah dia menjadi hamba Allah kalau begitu sekali
dia? Faris mengeleng-ngeleng. Entah kenapa Faris terasa insaf sendiri.
Jadi dia buat kesimpulan, pasti gadis itu juga mengharapkan suaminya
pandai dan selalu membaca Al-Quran. Malangnya dah lama dia tidak membaca
Al-Quran. Dah bertahun-tahun. Entah ingat lagi atau tidak ayat-ayat suci itu.
Dia mengimbau semula kenangan dulu
semasa kecil di mana Tok Zauyah yang bawa ustaz untuk ajarkan dia di rumah
sehingga dia khatam Al-Quran. Masih ingat lagi majlis khatam Qurannya yang
meriah. Gembiranya dia kerana ibunya pun masih ada. Namun itulah kali terakhir
dia memegang kitab Allah itu seolah-olah khatam itu benar –benar penutup untuk
terus membaca ayat-ayat Allah. Faris mengeleng-ngeleng sendiri. Patutlah Layla
tak suka aku. Kalau begitu dia perlu cari seorang ustaz untuk belajar membaca
Al-Quran semula dengan betul.
Faris melirik pula pada senarai seterusnya. Kali itu pada kriteria ketiga
iaitu tidak merokok. Terasa hendak melompat Faris kerana dia memang menepati
syarat tersebut dengan cemerlang sekali. Tidak pernah dia merokok seumur
hidupnya. Yes! Yes! Dia rasa seronok. Kalaulah
Layla tiada di sofa di depannya sudah tentu dia melompat. Faris rasa sedikit lega sebab sekurang-kurangnya adalah juga sesuatu yang
baik tentang dia.
Faris meneliti ciri keempat pula iaitu puasa. Faris risau. Dia teringat
bahawa ada masa puasanya tidak cukup bila dia berada di luar negara dan ada
masanya cukup. Dia berpuasa selalunya ikut keadaan. Kalau malam itu ada majlis
buka puasa atau dia berada di mahligai Bukhari, dia akan puasa. Tapi kalau di
luar negara selalunya dia ponteng kerana tergoda dengan orang-orang tempatan
yang bukan Islam. Baiklah, demi menepati syarat itu dia berjanji pada dirinya yang
dia akan berpuasa penuh di bulan puasa tahun itu dan juga pada tahun-tahun seterusnya
supaya Layla nampak yang dia adalah seorang lelaki yang tidak tinggal puasa. Faris
membuat tandaan di nota itu sebagai satu kriteria yang memerlukan tindakannya
yang sangat utama sekali!.
Mata Faris menerawang lagi ke senarai itu. Tinggal dua lagi. Kedua terakhir ialah tidak membuat dosa besar.
Dosa besar? Apa dia dosa besar? Getus hati Faris bertanya sendiri. Hah, apa
lagi pakcik google lah yang jadi mangsa. Faris lantas melayari Internet untuk
mencari apakah contoh-contoh dosa besar. Dosa besar antaranya ialah seperti
syirik, minum arak, berzina, menderhaka kepada dua ibu bapa, membunuh diri,
makan harta anak yatim, membunuh , membunuh diri, merompak, mencuri dan
macam-macam lagi.
Faris berfikir-fikir. Jadi kalau dia mahu jadi lelaki idaman
Layla dia perlu jauhkan semua itu. Dia tidak akan ke kelab lagi supaya dia
tidak minum arak dan dia akan buat baik pada Tok dan ayahnya sebab dia tak mahu
jadi derhaka. Dan selain itu dia akan
mengelakkan dirinya dari melakukan
dosa-dosa besar yang lain seperti merompak, zina, membunuh dan bunuh diri. Zina? Setahu
Faris belum ada lagi wanita yang dia tidur bersama. Meskipun dia bukan orang yang baik tetapi yang satu itu dia memang jaga. Baiklah dia akan mengelak juga dari
membuat dosa-dosa besar yang lain. Dan itu
akan jadi azamnya yang keempat.
Dan kemudian senarai yang terakhir ialah imamkan solat. Imamkan
solat? Dia tidak pernah mengimamkan mana-mana solat sekalipun seumur hidupnya.
Dia pernah melihat ayahnya berbuat demikian di bilik solat di mahligai Bukhari.
Bilik solat yang dia jarang sangat menjenguk itu pun berhenti sekadar jenguk
sahaja dan tidak pernah masuk ke dalam. Jenuh Tok Zauyah dan bapanya mengajak tetapi Faris memang tak endahkan langsung. Parah
ni! Dia akan ke bilik solat selalu untuk bersolat. Esok juga dia akan cari
seorang ustaz untuk belajar bagaimana hendak imamkan solat. Manalah tahu dia
perlu sembahyang berimam dengan Layla ke? Agaknya bila dia buat itu semua barulah Layla
akan pandang dirinya. Baru gadis itu akan menerima dirinya sebab dia telah
menepati ciri-ciri suami alim yang dikatakan Nora itu.
Faris senyum sendiri
mengingatkan itu. Hairan juga dia terhadap dirinya, sejak bila pula memenangi
hati gadis itu jadi satu misi penting untuknya? Sudahlah begitu cuba pula menjadi seseorang yang dia tidak pernah
terfikir sebelum ini. Kalaulah dia dapat menepati semua syarat itu memang dia boleh
berbangga dengan dirinya. Agaknya sudah sampai seru untuk dia berubah. Berubah
jadi lebih baik? Entahlah! Tapi dia memang nekad untuk perbaiki dirinya supaya
Layla boleh menerimanya. Dia akan namakan misi itu misi menakluki gadis melayu
muslimah terakhir bernama Layla!. Arghh! Gilakah dia? Gilalah agaknya!