Seperti yang dijanjikan, minggu depannya Faris memberitahu juga Tan
Sri Omar dan Tok Zauyah tentang hasrat Layla melanjutkan pelajaran.Waktu itu mereka bersarapan bersama-sama
satu keluarga. Nabila dan Wafiq pun ada bersama.Masing-masing
macam biasa tidak berapa ramah dengan Layla. Bagi mereka Layla macam orang
lain. Wafiq agak tidak ketara penerimaannya yang negatif itu tapi Nabila memang
tidak berselindung. Entah kenapa sehari demi hari dia makin meluat dengan gadis
bertudung litup itu. Dia meluat tengok keistimewaaan yang gadis itu terima.
Seolah-olah macam semua orang teruja dengan gadis itu. Bahkan ayahnya pun bukan
main lagi. Mesra betul dengan gadis itu. Kalau Faris apatah lagi. Siap
sorongkan kerusi untuk isterinya. Ambilkan itu ini macam apa. Peristiwa di
kolam mandi juga menambah meluatnya. Gentlemanlah kononnya!.
Tok Zauyah pula memang
tak perlu dikatakan lagi. Asyik nama Layla sahaja yang bermain di mulutnya.
Nabila meluat sungguh. Sedangkan dia satu-satunya anak dan cucu perempuan pun
tidak dapat perhatian sedemikian selama ini dari Tok Zauyah. Wafiq pula macam biasa memang cemburukan
abangnya. Dia meluat melihat kebahagiaan Faris itu.Puas dia mencucuk hari itu tapi tiada kesan yang
ketara pula. Dia tidak percaya yang Layla dan Faris baik sahaja di antara satu sama
lain. Macam ada yang tidak kena. Tapi dia tidak pasti apakah ia. Dan hasrat
Layla ingin ke luarnegara menguatkan lagi telahannya itu. Wafiq
sangsi. Adakah ini semua lakonan atau kebetulan? Dia perhatikan Faris dan Layla
silih berganti. Huh! Macam ada yang tak kena.Namun bila Faris nyatakan hasrat Layla itu, Nabila memang suka
kerana gadis itu akan keluar dari rumah itu dan dia tidak akan lihat lagi gadis
itu dalam tempoh seketika.
Tentang hasrat Layla itu, Tok Zauyah berat hati sebenarnya. Dia takut
kalau-kalau bila berjauhan nanti Layla akan dipersiakan oleh Faris. Dia tahu
kalau jauh, peranan dan pengaruhnya pada Faris sudah kurang maka Faris boleh
buat apa sahaja yang dia mahu. Dia takut Faris apa-apakan Layla.
Setelah masing-masing Faris dan Layla nampak bersungguh-sungguh akhirnya
Tok Zauyah izinkan juga Layla belajar di luar negara. Layla memang seronok.
Lagipun dia memang telah berjanji pada ibu bapa Layla. Akhirnya, akan tercapai juga hasrat kedua –
dua mereka. Layla sudahpun terfikir
tentang belajar di universiti dan
bagaimana dia boleh bebas dari Faris. Bagaimanapun tidak Faris. Hatinya berat
untuk benarkan Layla belajar lagi tapi dia telahpun berjanji. Lagipun mungkin
bagus juga kerana gadis itu makin lama makin menyebabkan dia hilang kawalan jiwa
dan perasaan.
“ Thanks Faris kerana bagi tahu Tok dan juga ayah”
ujar Layla gembira apabila mereka berdua sahaja di dalam bilik selepas sarapan
itu. Walaupun sebelum ini mereka tak pernah berbaik dan lebih banyak bertikam
lidah tapi hari itu dia memang ikhlas mengucapkan terima kasih. Faris senyap.
Dia kelihatan sedang bersiap-siap untuk keluar. Layla pasti lelaki itu akan ke
padang Golf macam biasa pada setiap hari Ahad. Kepalanya sarat berfikir.
“
Jangan suka sangat. Selagi belum nyata, banyak
perkara boleh berlaku tau. “ ujarya. Dia akui. Kegembiraan gadis itu memberi
kesan padanya. Suka melihat gadis itu tersenyum girang. Tapi di sudut hati dia
risau. Bagaimanakah agaknya kalau dia berpisah dengan gadis itu? Dia sudah
terbiasa dengan gadis itu sering berada di rumah itu. Berada di bilik itu. Namun,
janji tetap perlu ditunaikan. Lagipun mungkin itu sahaja caranya untuk dia
menjauhi Layla sebelum terlambat. Sebelum hati benar-benar terlibat dengan
gadis itu. Sekarang pun dia makin dapat
merasakan tarikan terhadap gadis itu.
“
Err…dah bolehlah cuba mohon mana-mana universiti. Nanti kalau awak dah isi
semua bagi pada saya dan saya forwardkan pada ayah.”Ujar
Faris membetulkan kolar T-Shirt golf jenis Greg Norman yang dia pakai itu.
“ Ok. Terima kasih sekali lagi“ ujar Layla pendek. Faris
hanya mengangguk. Suasana senyap seketika. Layla menyedari itu lantas mahu
berlalu dari bilik itu. Dia mahu terus ke perpustakaan untuk mencari
universiti-universiti yang sesuai untuk bidang yang dia ingin mohon nanti.
“ Eh nanti dulu, ayah minta kita ikut dia ke padang Golf. Dia
nak ajar awak pukul bola golf di driving range nanti. Oh ya, Tok dan Nabila pun
akan berada di sana sekali ” kata Faris tiba-tiba menyebabkan Layla tidak jadi
pergi.
“ Errr…baiklah. Sekarang
ke?”
“ Ya. Mereka semua akan
tunggu di bawah. Saya turun dulu. Awak jangan lambat sangat bersiap. Nanti
padang Golf dah panas rentung pulak kita semua. Lagi satu pakai lengan panjang
dan sunblock. Nanti jadi zebra pulak berbelang-belang” Faris mengingatkan sambil
separuh bergurau.
“ Err…okay…eh awak, saya
nak pakai baju apa ye? “ Tanya Layla serba salah. Faris berpaling. Aik! Baju
pun nak tanya dia juga?
“ Saya tak pernah pergi
ke kelab golf. Saya tak mahu malukan ayah pula kalau baju saya tak sesuai nanti.”
Layla menjelaskan. Faris tersenyum. Tak mau malukan ayahnya sahaja? Bagaimana
dengan dia?
“ Bolehlah pakai track
dan T shirt dulu sebab kita nak practice pukul bola saja. Ayah kata kalau awak
dah pandai baru kita main betul-betul. Lepastu bolehlah kita cari pakaian golf
dan juga kasut golf untuk awak. Kalau betul dah pandai baru beli golf set. Buat
masa ni awak guna set yang Tok punya dululah. Nanti Tok boleh ajarkan juga ‘club’
mana nak pakai”.
Wah sampai begitu
sekali kalau nak main golf?. Kena siapkan semua kelengkapan begitu. Pasti mahal
harganya. Dia pernah dengar satu set golf ‘club’ boleh mencapai hingga puluhan
ribu. Golf menurut Tan Sri Omar adalah antara salah satu sukan yang memerlukan
banyak wang. Namun Layla mengangguk jua. Teruja juga dia untuk main golf.
Tak sangka pula Tan Sri mengajak dia walaupun hanya untuk latihan memukul bola
golf.
Sebaik saja Faris turun, Layla membuka begnya. Dia mengeluarkan sehelai
T-Shirt lengan panjang berwarna biru dan track suit warna hitam. Untuk disesuaikan
dengan baju itu dia menyarungkan tudung lilit berwarna biru corak paisley.
Tudung itu dipakai dan disemat dengan keronsang Chanel hadiah Tok Zauyah
padanya sewaktu perkahwinan dulu. Wajahnya disolek nipis hanya dengan bedak dan
sedikit gincu warna samar berry. Selepas puas hati Layla pun turun ke bawah
mendapatkan Faris yang sedang berbual dengan Tan Sri Omar di foyer mahligai
itu.
Faris sedang berbual-bual
dengan bapanya di perkarangan rumah sambil menanti gadis itu. Tok Zauyah juga
ada sama. Mereka semua berbual tentang golf tournament yang bakal diadakan
beberapa minggu lagi dan juga perkembangan syarikat. Dalam ekonomi dunia yang
merosot nampaknya perniagaan mereka dalam sektor hartanah juga nampaknya
merosot. Sekarang syarikat perlu bergantung pada sektor pembinaan kerajaan. Tan
Sri Omar merasa risau. Sebagai syarikat yang sahamnya diniaga di Bursa saham
apa sahaja boleh berlaku. Dia risau kalau mereka tidak dapat memuaskan keinginan
pemegang saham. Dia menyatakan kerisauan pada anaknya itu dan Tok Zauyah. Faris
memahami perasaan bapanya. Namun, apabila dia melihat wajah ceria Layla yang
turun dia terpempan dan lupa kata-kata bapanya itu seketika. Lain betul
penampilan Layla hari itu. Dia tak dapat nafikan lagi gadis comel itu nampak
ekslusif hari itu.Nampak
segar, ceria dan sangat berseri seolah matahari hanya bersinar padanya.
Mereka menunggu Nabilah pula, tapi di saat akhir, Nabilah tidak jadi
pergi pula. Jadi hanya mereka berempat sahaja
kali itu. Mereka tiba di driving range salah sebuah kelab golf yang
terkenal di Kuala Lumpur itu tepat pukul 8 pagi. Tan Sri sering ke situ untuk
berlatih memukul bola sambil berbincang dengan Faris mengenai perniagaan. Dia
saja membawa Faris sekali supaya Faris dapat mengajar Layla cara bagaimana
untuk memukul bola golf sementara berbincang tentang perniagaan. Sejak kecil
Faris telah diajar bermain golf walaupun tidak sehebat mana tetapi
kadang-kadang dapat juga dia bawa balik hadiah kemenangan. Tan Sri siap
mengupah jurulatih untuk anaknya itu dulu. Tok Zauyah pun pandai juga bermain
golf. Dulu semasa suaminya masih hidup mereka sering bermain dalam flight yang
sama.
Layla memerhatikan Faris memukul bola golf dengan lentikan mekanik
badannya yang kemas. Bola golf yang dipukul melantun cantik melebihi kawasan
bertanda 170 kaki. Tan Sri menepuk bahu anaknya. “Beautiful swing and nice shot
Faris!” puji Tan Sri Omar pada anaknya itu. Faris tersengeh bangga kemudian
memandang Layla yang juga teruja. Dia tersenyum pada gadis itu. Layla menoleh.
Eh, dia senyum pada aku kah? Desis hati Layla hairan. Jarang senyuman begitu
ditujukan padanya. Kemudian Tok Zauyah pula menunjukkan skilnya. Untuk seorang
wanita yang agak berumur, pukulan Tok Zauyah boleh tahan juga walaupun tak
sejauh 170 kaki.
“ Kita ladies ni selalu
berhati-hati memukul. Tak jauh tapi jarang masuk hutan. Kalau yang lelaki ni
kelam kabut pukul sampai masuk hutan dengan bunker. Kurang betul sabarnya” Ujar
Tok Zauyah sambil ketawa kecil.
“ Tapi slowlah Tok. Kalau
macam tu sampai bilalah tak dapat birdie.” Balas Faris. Tok Zauyah ketawa lagi.
Layla mendengarkan sahaja. Satu apa pun dia tak faham apa yang mereka katakan.
Mereka seperti bercakap bahasa lain di pendengarannya. Bunker? Hutan? Birdie? Angry bird? Ini cerita fairy tale ke apa? Nampaknya dia perlu belajar istilah main golf itu.
“ Layla, awak nak try
pukul tak? “ Tanya Faris tiba-tiba pada gadis itu yang diam sejak tadi.
“ Boleh juga. Seronok
juga tengok you all pukul bola tu.” Ujar gadis itu.
“ Mari saya ajar sikit….kalau
nak pukul bola macam saya buat tu awak kena ambil club nombor 8.” Baru Layla
perasan semua club yang dibawa dalam
golf set itu ada nombor rupanya. Faris mengambil posisi di carpet hijau itu.
Dia mencucuk tee kemudian meletakkan bola golf di atas tee tersebut. Dia pun
menunjukkan bagaimana untuk memukul bola itu. Layla di suruh cuba. Banyak kali
juga bola itu “topple”. Menghayun club bagai nak rak tapi bolanya melompat ke
depan tak sampai satu kaki pun. Faris hanya gelakkan sahaja. Nampak sangat dia
seronok Layla buat silap begitu. Ada masa bola naik ke atas bumbung pula. Sah Layla
memang fail!
“ Tak apa Layla, Tok pun
selalu macam tu dulu.” Ujar Tok Zauyah bagi semangat. Tan Sri Omar pun berkata
yang sama. “ Lama-lama pandailah tu” ujar lelaki itu.
“ Tu lah tak dengar cakap
pro macam saya. Cepat letak tee dan bola. Awak pukul sekali lagi sampai betul” Layla pun
memegang club kemas-kemas. Membengkokkan kakinya sedikit lantas menghayun badan
dan memukul bola tersebut. Kali itu pukulannya hampir betul kerana bola golf
terlontar ke hadapan tapi tidak sampai 50 kaki pun.
“ Lembutkan sikit
badantu. Kalau pukul macam robot keras semacam manalah bola nak pergi jauh” Bebel
Faris. Sakit telinga Layla. Dia memang tak ada skil jadi pengajar langsung.
Anak murid boleh lari kalau garang macam itu.
“ Lembut macam mana? Saya
tak faham.” Tanya Layla geram.
“ Macam ni lah ish!” Faris
lantas menghampiri Layla dari belakang untuk membetulkan cara Layla berdiri dan
memegang club. Perlakuannya itu seolah memeluk Layla dari belakang sahaja
lakunya. Bergetar jiwa di buatnya bila Faris terlalu rapat begitu sekali dengannya.
Terasa hangat dan selamat malahan Layla boleh membau minyak wangi Eternity yang
Faris pakai. Rapatnya mereka dimana kedua-dua tangan Faris juga memegang kedua-dua tangan Layla yang memegang
club itu. Kemudian Faris membawa badan Layla bersamanya menghayun bola tersebut
sama-sama. Bola golf terlontar ke
kawasan menghampiri 100 kaki.
“ Ha! Macamtu lah baru
cantik” ujar Faris berbisik di telinga Layla. Nafasnya terasa hangat di
telinga. Meremang bulu roma Layla. Faris mengajarkah atau mengambil kesempatan
ke atasnya? Layla sedikit meronta kerana rimas. Faris bila merasakan Layla
meronta itu serta merta melepaskan tubuh Layla yang kecil itu. Ikut hati memang
dia nak terus buat begitu sampai habis. Bila lagi. Peluang macam tu bukan
selalu datang. Fikirnya nakal. Tapi nanti pelik pulak kalau orang tengok. Terutama
ayah dan neneknya. Tok Zauyah dan Tan Sri Omar berpandangan sambil tersenyum penuh
makna di antara satu sama lain.
“ Cuba awak buat lagi.
Kali ni mesti sampai ke 150 kaki tu.” Arah Faris kepada Layla. Layla mengangguk.
Dia kena pukul bola tu sehingga 150 kaki jika tidak mahu dengar lagi bebelan
Faris yang membosankan itu.
" Layla kalau pandai nanti boleh masuk tournament golf."
" Entahlah tok...saya pukul bola pun macam apa je...macamana nak masuk tournament"
" Tak pe, Faris boleh ajar sampai pandai!" Aah yelah tu sangat. Tengok muka Faris yang garang itu, Layla tak pasti dia boleh pandai. Stress adalah!