Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 25

Hari-hari Layla di rumah itu agak membosankan. Sepatutnya Layla tidak sempat bosanpun kalau dia gunakan semua kemudahan di dalam mahligai itu. Ada tennis court, ada kolam renang, ada jacuzzi dalam setiap bilik mandi, ada gym, ada tempat bermain semua jenis games dari PS3 hinggalah Wi dan Nintendo. Ada perpustakaan kecil dan tempat membaca. Setiap bilik ada kemudahan Internet dan disediakan sebuah laptop. Ada taman yang cantik siap dengan wakaf dan ikan koi. 

Ada sedikit tempat untuk menanam sayur-sayur dan ulam-ulam kampung. Menurut Tok Zauyah kebanyakan sayur dan herba yang dimasak di rumah itu di ambil dari ‘veggie patch’ di belakang mahligai itu. Layla ternampak juga sayur-sayur kampung seperti pokok cekur dan ulam raja. Terliur juga dia. Kalau dulu ibunya selalu juga memasak sayur cekur masak lemak. Tiba-tiba dia merindui ibunya. Kalaulah dia berada di rumah dan bukannya di mahligai kaku itu. Alangkah seronoknya. Apakan daya dia sudah menjadi isteri orang. Tempat seorang isteri adalah bersama suaminya. Arrgh! Isteri? Sepanjang dia berada di situ dia tidak pernah menganggap lelaki itu sebagai suaminya dan dia sebagai isteri. Semua hanya termaktub dalam surat nikah sahaja. Waktu lain Faris macam teman sebilik sahaja yang selalu entah ke mana.

Dalam banyak-banyak kemudahan di mahligai itu Layla lebih suka ke perpustakaan kecil membaca majalah dan buku di sana. Perpustakaan itu seperti syurga baginya yang ulat buku. Macam-macam buku ada di situ termasuk novel. Apalagi, selalulah dia menghabiskan masa di situ. Kadang-kadang dia ke wakaf memerhatikan ikan-ikan koi dalam sebuah kolam yang cantik berdekatan dengan wakaf itu sambil membaca novel. Mencari ketenangan dari bunyi air kolam yang mengalir dan ikan-ikan koi yang berenang riang sambil berangan sendiri.

Memang rumah itu ada segala macam kemudahan. Orang yang tinggal di dalamnya sepatutnya tidak rasa bosan pun, tapi, masalahnya Layla sudah biasa dengan tawa hilai dan pekik riang adik-adiknya. Jadi bila banyak menghabiskan masa bersendirian dia seperti mati kutu. Terbit rasa rindunya pada adik-adiknya dan juga pada ibu dan ayahnya. Mahu saja dia meminta untuk pulang ke rumah tapi Faris pula belum pulang dari luar London. Dia bukan alim sangat tapi dia tahu bahawa seorang isteri perlu meminta kebenaran dari suami sebelum ke mana-mana. Tapi Faris tak anggap dia isteripun tapi kalau dia pergi sahaja bagaimana dengan Tok Zauyah pula.

Kolam renang pula selalunya dikunjungi oleh Nabila dan rakan-rakannya. Teruja juga dia melihat mereka berenang sedangkan dia memang tidak pandai berenang langsung. Sebenarnya dia ada hati juga untuk berkawan dengan Nabila kerana kalau ikut usia, Layla pasti Nabila hanya tua beberapa tahun sahaja dari dia. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang hampir dengan usianya. 

Kadang-kadang dia nampak Nabila bermain tenis dari tingkap biliknya. Seronok juga dia memerhatikan tetapi Nabila tidak pernah mengajaknya. Lagipun, Layla bukannya pandai bermain tennis pun. Badminton bolehlah. Mengingatkan itu dia terasa lucu sendiri. Badminton manalah standard dengan mereka semua!. Masalahnya tiada apa pun persamaan antara dia dan Nabila. Mungkin agaknya kalau mahu berkawan dia perlu perhatikan apa minat Nabila dan libatkan diri sama dalam aktiviti gadis itu kecuali agaknya aktiviti ke kelab hiburan ataupun berdating dengan teman lelaki. Dia ada juga terserempak dengan Nabila yang pulang lewat malam dihantar seorang lelaki yang Layla pasti teman lelakinya dan juga bila dia keluar bermekap tebal untuk ke pusat hiburan bersama-sama kawan-kawan wanitanya.


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.