Pagi itu apabila Layla bangun waktu subuh dia melihat Faris yang
tertidur di katilnya. Hairan juga dia sebab selalunya malam-malam minggu Faris
tidak akan pulang ke rumah. Entah ke rumah siapa. Layla memerhatikan lelaki itu
yang berseluar setakat lutut dan berbaju singlet itu tidur meniarap di katil. Tubuhnya
yang sasa itu hampir memenuhi katil king itu bila kedua tangannya di depangkan.
Wajahnya pula disembamkan diatas bantal. Kakinya terjuntai keluar dari katil. Nyata
dia tidur begitu lena.
Layla perhatikan lelaki itu. Seorang lelaki yang telah
ditakdirkan menjadi suaminya. Dia masih menyampah dengan apa yang dilakukan
oleh lelaki itu semalam. Menuduh dia bukan-bukan. Kemudian suka-suka sahaja
mencium pipinya menyebabkan dia jadi sangat marah dan malu pada masa yang sama.
Lama dia memerap dalam bilik air semalam. Takut-takut lelaki itu ada. Mujurlah
bila dia keluar senyap-senyap dia lihat lelaki itu telah pun beredar. Leganya
dia.
Subuh masih ada tetapi lelaki itu masih nyenyak tidur. Layla
telahpun cuba mengejutkannya tadi tetapi hanya dengusan marah sahaja kedengaran
seperti biasa. Kalau ikut hatinya mahu sahaja dia goncang kuat-kuat seperti
adik-adiknya tetapi takut mengamuk pulak lelaki itu. Mengapalah agaknya susah
benar lelaki itu untuk bangun solat subuh yang hanya dua rakaat itu?. Lima
minit pun tidak sampai. Tidur pula meniarap begitu satu posisi tidur yang tidak
baik dari segi kesihatan dan agama. Tidur syaitan kata orang-orang tua. Bukan
subuh sahaja yang dia tidak solat malahan kesemua waktu.
Hairan bagaimana
seorang manusia beragama Islam seperti Faris tidak solat langsung. Tidak
terdetik kah di hatinya tentang tangungjawab itu? Tidak resah dan kosongkah kah
hatinya bila tidak bersolat? Entahlah, Layla yang sejak dulu diajar bersolat akan
terasa resah bila dia lambat bersolat apatah lagi kalau meninggalkannya. Sudah
tentu akan rasa seperti satu kehilangan. Seperti ada ruang kosong di dalam
hati. Tetapi agaknya kalau sudah biasa mungkin tidak rasa apa-apa. Tetapi
rugilah kerana pada waktu itu sudah tentu makin jauh hubungan hati hamba tersebut dengan Penciptanya.
Layla pandang lagi lelaki itu sambil terfikir tentang perkahwinannya
dengan Faris. Dia tertanya-tanya sendiri. Apakah erti perkahwinan seperti ini?
Bukankah perkahwinan sepatutnya membawa bahagia? Tapi kenapa derita yang dia
rasa? Setiap hari dia rasa sedih kerana layanan kasar Faris terhadapnya. Begitu
juga melihat perangai Faris yang jauh dari nilai-nilai Islam. Impiannya untuk
seorang suami itu bukan yang macam Faris tetapi apakan daya Faris adalah
takdirnya. Air mata terasa mengalir.
Layla berharap suatu hari semua itu akan
berakhir. Semoga ada penyelesaian yang baik untuk dia dan Faris. Selalunya
orang kata seorang gadis akan lambat laun jatuh cinta pada suaminya tapi tidak
bagi Layla setakat ini. Malahan dia makin benci. Benci melihat perangai Faris. Layla
menghela nafas panjang. Bagaimana boleh ku terima dia dengan hati yang benci? Astaghfirullahilazimmm!
Sewaktu usai solat subuh tadi dia berdoa, “Ya Allah ya Tuhanku, kalaulah
dia bukan yang terbaik untukku janganlah Kau panjangkan jodohku dengannya.
Sesungguhnya aku tahu Ya Allah yang Kau tidak akan menguji hambaMu dengan
sesuatu yang tidak mampu hambaMu ini tanggung. Mungkin ini yang terbaik untukku
tetapi kalau bukan yang terbaik, kau tunjukkanlah aku jalanMu yang lurus. Ya
Allah ya Mujib. Sesungguhnya cinta yang hakiki hanyalah untuk Mu Ya Allah”, doa
Layla dalam hati. Ya cinta yang hakiki hanyalah pada Allah yang satu, bisik
Layla lirih.
Mesej di telefon tangannya menyentak Layla dari lamunan. Sejak malam
tadi lagi Rafi menulis mesej padanya. Mengajak untuk berjumpa lagi. Entah apa
yang dimahukan oleh Rafi.Layla macam tak senang duduk.Tapi hari minggu
begitu kalau Faris tidak kemana-mana pasti tiada peluang untuk Layla keluar.
Kecuali kalau Faris ke padang Golf atau berjumpa rakannya. Layla melihat mesej.
Rafi menulis mesej ucapan selamat pagi. Layla tersentak. Ada sayang pula
dihujungnya. Layla mengeleng sendiri.
Dia tidak faham kenapa Rafi menganggap
dia telah menerima Rafi sedangkan dia tidak pernah mengatakan apa-apa. Malah
Rafi seolah tidak mahu mendengar penjelasan. Dia mahu membuktikan keseriusannya
kepada Layla. Itu yang buat Layla pening. Dia sukakan Rafi. Memang dia suka.
Kalaulah tidak kerana perkahwinan itu sudah tentu dia sudah membalasnya tapi
apakan daya. Ya Allah kenapalah dia ditemukan dengan Rafi bila dia telahpun
dimiliki oleh Faris Nabhan Omar yang tidak berperasaan itu?.
Layla termenung lagi. Jam baru pukul 7.00 pagi. Mahu saja dia turun
sarapan tapi Faris pasti marah. Kalau dia ada, Faris memang tetapkan Layla
mesti sarapan dengannya. Kadang-kadang dia meluat dengan perangai Faris yang
suka memaksanya begitu. Ada saja yang tak kena.
Mesej Rafi datang lagi. Kali itu dengan senyuman sahaja. Ni sorang
lagi! Pening juga kepala Layla. Mungkin hari itu dia perlu beritahu Rafi siapa
dia sebenarnya. Supaya Rafi tidak mengharap dan akhirnya kecewa sendiri. Tapi
walau apa pun dia perlu menunggu Faris. Dia berdoa supaya hari itu Faris keluar
rumah supaya dia dapat berjumpa Rafi. Apa-apapun sebelum Faris bangun dia perlu
mandi dulu dan bersiap-siap. Manalah tahu hari itu dia dapat berjumpa Rafi.
Hati Layla berdegup tiba-tiba. Sedikit teruja memikirkan kalau dia dapat
berjumpa dengan lelaki itu. Oh aku jatuh cintakah? Gila! Akukan isteri orang!.
Layla semat rapat-rapat dalam hatinya tentang niatnya berjumpa dengan Rafi
adalah untuk menceritakan hal sebenar supaya Rafi tidak salah faham. Layla
terfikir sendiri. Terkejutkah lelaki itu nanti sekiranya dia tahu siapa Layla
yang sebenarnya?.
Keluar sahaja dari bilik mandi Faris masih lagi tidur. Layla
kebosanan. Tidur macam kayu mati! Sumpah Layla dalam hati. Dahlah subuh pun tak
bangun! Marahnya dalam hati. Itu yang buat dia lebih angin. Argghh…dia memang
bosan dengan Faris. Selepas siap dengan tudung dan berpakaian lengkap Layla
duduk di wing chair sebelah katil itu. Dia mencapai telefon tangan. Ada lagi
mesej dari Rafi. Layla tak senang duduk. Mahu saja dia mencampakkan bantal
kepada Faris supaya bangun tapi dia takut juga kalau Faris bangun mengamuk
pulak menjerit macam halilintar kalau tak pun macam dinasor tua! Ye dinasor
tua! Layla gelak sendiri. Dia tidak dapat bayangkan dinasor tua berwajah Faris.
Arggh! Benci! Sumpah Layla dalam hati lagi. Perlukah aku siram dengan air?
Mungkin sebelum itu ikat kaki dan tangannya dulu dan tutup mulutnya. Baru siram
dengan air. Layla hampir tergelak lagi. Oh jahatnya fikiran nya ini, getus hati
Layla. Namun hati kecilnya berkata ‘Tak baik fikir macam tu, diakan suami kau. Buruk baik pun dia itu suami
kau ooppss…”
Rafi hantar mesej lagi. Layla terus baca. Hati Layla makin galau.
Kalaulah dia bukan isteri orang mesti dia sudah merasa thrill dapat mesej
begitu. Rafi yang pandai memujuk dan romantik sungguh. Hmm apalah nasib kau
Rafi! Jatuh cinta dengan isteri orang. Tapi Rafi bukan tahu dia isteri orang
pun. Itulah sebabnya hari itu dia perlu bersemuka dan beritahu hal sebenar.
Kalau Rafi serius, Rafi boleh tunggu dia bila dia bercerai. Oh kelakar pula
kalau berkata seperti itu. Seolah mempermainkan sebuah ikatan perkahwinan. Tapi
perkahwinan inipun satu sandiwara. Jadi apa yang sinisnya. Inilah realiti
perkahwinan dia dengan Faris. Satu hakikat yang sementara sahaja.
Faris akhirnya bangun
juga. Leganya hati Layla. Tanpa bercakap apa-apa dengan Layla dia terus sahaja
ke bilik air. Layla sudah biasa dengan kebisuan mereka apabila berduaan dalam
bilik itu. Kalau bercakap pun mesti sebab bergaduh. Tak pernah ada kata-kata yang
manis dan baik dari Faris kecuali kalau mereka bersama-sama dengan orang lain.
Memang lain dengan Rafi. Oh Rafi. Layla pun terkenangkan lelaki itu sejak
peristiwa semalam. Otaknya seolah memutarkan segala babak-babak dia bersama
Rafi semalam. Berbual, makan-makan dan berbincang. Terasa agak indah.
Astaghfirullah! Aku isteri orang!
Mesej Rafi datang lagi. Faris yang baru keluar dari bilik air sambil
mengelap rambut mengangkat muka. Wajahnya menyinga. Dia menghampiri Layla dan
mencampakkan telefon tersebut ke dinding. Layla tersentak. Telefon itu
berderai. Layla menjerit. “ Awak gila ke Faris? Habislah telefon saya!” ujarnya
lantas berlari ke dinding mengambil apa yang tinggal dari telefon yang berderai
itu. Dia rasa mahu menangis bila lihat telefon itu. Sampainya hati!
“ Siapa yang gila? Tak habis-habis lelaki tu SMS awak dari pagi. Awak
yang dah gila pada lelaki tu kan?“ Alamak! Dia perasan? Bukan dia tidur ke
tadi? Desis hati Layla tetapi dia tidak mahu mengalah.
“ Kalau saya gila pada
dia pun apa salahnya? Apa awak nak kisah?” saja Layla mencurah minyak lagi untuk
melepaskan perasaan geramnya.
“Jangan nak malukan saya
ye. Sedar sikit awak tu siapa.” Dia seolah memberi amaran.
“ Saya sedar tapi awaktu
layan saya macam sampah. Sekurang-kurangnya lelaki tu layan saya dengan baik.
Dia hormati saya.” Faris ketawa sinis.
“ Mana awak tahu? Lelaki
ni selagi dia tak dapat memang sanggup buat apa saja. Kalau dah dapat lebih
teruk dari sampah dia layan.” Apa yang dapat dan apa yang tak dapat? Layla
bersoal sendiri.
“ Saya tahu dia orang
yang baik”. Faris ketawa lalu mengelilingi
gadis itu kemudian menghadapnya.
“ Ooo…awak jatuh cinta
pada dia ye? “ Faris serkap jarang lalu ketawa sinis. Naifnya budak kecik itu!
“ Ni saya nak bagi tahu
awak. Lelaki ni kalau dia mahukan seorang perempuan bukan sebab cinta awak tahu.”
kata Faris dari celah ketawanya. Entah apa yang gelihati sangat. Dia menghampiri
Layla dan kemudian berbisik ke telinga gadis itu dan menyambung. “Mereka hanya
nak seks sahaja. Awak faham?” Mata Layla terbeliak. Hatinya mendidih. Kotornya
fikiran Faris!
“ Awak ingat semua orang
macam awak ke Encik Faris? Menganggap wanita sebagai objek seks? “ marah Layla.
Hish! Aku pulak yang kena? Desis hati Faris.
“ You are twisting my word Layla. Saya tak melihat wanita sebagai
objek seks tapi saya nak awak faham yang lelaki bukan macam yang wanita
fikirkan. Itulah sebabnya wanita terpedaya bila seorang lelaki itu menjadi
romantik. Cuba awak tengok kes-kes wanita kena tipu dalam internet tu. Semua
terpikat dengan lelaki romantik. Penyudahnya si perempuan bagi semua sampai
papa kedana dan maruah tercela. Samalah macam romeo awak tu!. Kalau awak dah
bagi apa dia nak, awak ingat dia nak romantik lagi macamtu?” Faris ketawa sinis
dengan cara menjengkelkan. Layla tertekan melihatnya. Dia geram kerana buruk
betul sangkaan Faris terhadap Rafi yang dia tahu seorang yang baik. Dia masih
ingat lagi wajah ibu Rafi yang ditemuinya.
“ Faris, saya benci awak!
Boleh tak awak keluar dari hidup saya? “ jerit Layla. Faris ketawa
terbahak-bahak pula. Perlahan-lahan dia menghampiri Layla.
“ I would love to Puan Layla kalau tak kerana orang tua kat bawah
tu!” ujar Faris sinis. Dia menyauk tangan Layla tiba-tiba. Layla ingin leraikan
tetapi Faris menguatkan kepitan tangannya dengan tangan gadis itu sehingga
gadis itu tiada pilihan.
“ Kita sarapan ye Puan Layla darling”. Layla yang berwajah kelat terpaksa
mengikut sahaja. Apakah pilihan yang dia ada. Hatinya menangis mengingatkan
telefon tangan yang pecah. Pasti Rafi masih menunggu balasan mesejnya.
Rancangannya untuk berjumpa lelaki itu juga berkecai seperti berkecainya
telefon itu. Beratnya hati Layla mahu turun sarapan dengan hatinya yang sedih
begitu. Terasa berat untuk dia berlakon di hadapan Tok Zauyah, bapa mertua dan
adik-adik iparnya. Mereka jalan beriringan turun tapi hati masing-masing kacau.