Seminggu telah
berlalu sejak Tuk Zauyah meletakkan kata putus pada Faris. Faris tahu dalam kes
ini dia tidak ada pilihan. Dia tidak pernah hidup berdikari. Kehidupannya yang
mewah sejak dulu tidak memungkinkan dia menolak tawaran Tuk Zauyah itu. Walau bagaimanapun, Faris tahu Tuk Zauyah boleh
memaksa dia berkahwin tetapi tidak boleh memaksa hati dan perasaannya. Dan kalaupun
dia berkawin dengan pilihan Tuk Zauyah tak mungkin dia akan setia pada wanita
itu. Dia akan tersu kekalkan caranya sekarang dan akan pastikan
wanita itu juga akan sengsara seperti dia. Malanglah wanita yang akan berkahwin
dengannya nanti!
Tan
Sri Omar pun tidak dapat membantu Faris bila Faris utarakan syarat Tok Zauyah
itu. Jauh di sudut hati Tan Sri Omar setuju dengan apa yang Tok Zauyah cuba
buat. Omar tahu dia berjaya dalam perniagaan tetapi dia gagal dalam mengemudi
kehidupan anak-anaknya. Anak-anaknya tidak tahu erti tanggungjawab. Asyik
bersuka-suka sahaja tanpa rasa bersalah. Faris, Wafiq dan Nabila semuanya
begitu. Tanpa ada kekangan agama. Agama hanya satu istiadat bila kahwin,
kematian dan hari raya. Tak lebih dari itu. Omar sedar kesilapannya. Tidak cuba
memperbetulkan mereka sewaktu kecil dan remaja ketika masih boleh dibentuk. Dia
tidak salahkan anak-anaknya 100 peratus. Dia dan Sophie yang bersalah. Tapi
Sophie juga tidak boleh disalahkan sepenuhnya. Dia wanita kacukan Melayu tapi
ibunya seorang Melayu tidak mendidik Sophie sewajarnya kerana terikut-ikut
dengan budaya barat sebelah bapanya. Maka jadilah Sophie sebegitu. Omar pula
tidak cuba mendidik Sophie. Dalam beberapa tahun perkahwinan Omar terasa begitu
bahagia sebelum Sophie jadi seorang kaki minum. Sophie mula minum kerana kecewa
kehilangan rahimnya selepas melahirkan Nabila. Kecewa sebab dia mahukan anak
lagi. Dan itu semua memakan diri Sophie.
Jadi bila Tok Zauyah berkeras begitu pada
Faris, Omar setuju dalam diam dengan tidak berbuat apa-apa untuk menghalang.
Dia pun risau juga dengan Faris. Hampir saja bersekedudukan dengan wanita
keturunan Itali Yahudi di Boston dulu. Wajah mereka terpampang di dada majalah
dan Internet. Tuk Zauyah paksa Omar panggil Faris balik. Belum ada keturunan
Tok Zauyah yang kahwin dengan Yahudi. Ini, Faris pula nak mulakan. Hari itu
juga Tok Zauyah suruh Omar panggil Faris balik. Naik jet pun naik jetlah. Faris
nak marahpun marahlah. Maruah keluarga Bukhari perlu diselamatkan.
Faris sebenarnya serba salah. Dia masih
tidak dapat menerima apa yang Tok Zauyah mahukan. Kalau ikutkan hati dia mahu
lari sahaja ke Boston. Semalam dia bergaduh dengan Tok Zauyah lagi. Mereka
bertegang urat sehingga orang tua itu tiba-tiba sesak nafas. Terpaksa Tan Sri
Omar panggil doktor peribadi mereka. Tan Sri Omar marahkan Faris kerana
berkeras dengan Tok Zauyah yang memang sudah begitu tua dan agak uzur. Sejam
Tan Sri Omar marahkan anaknya dan paksa Faris ikut sahaja kehendak Tok Zauyah.
Bila melihat neneknya begitu Faris terpaksa lembut hati. Memang dia tidak
setuju dengan cara orang tua itu tapi di sudut hati dia sayangkan juga orang
tua itu juga. Tempat dia selalu bermanja sewaktu kecil bila ibunya tiada di
sisi. Itulah yang membuatkan dia tiada pilihan.
Justeru itu, Faris telah menyatakan
jawapannya tepat seminggu seperti yang diminta oleh orang tua itu. Dia setuju
saja dengan cadangan Tuk Zauyah itu. Dia tiada pilihan. Ayahnya pun tidak
membantu. Nabilah dan Wafiq pula tidak tahu tentang perjanjian itu. Kalau
mereka tahu mungkin lebih giat mereka mengetawakannya. Dia tak begitu rapat
dengan mereka berdua. Wafiq lebih rapat dengan Nabila. Faris banyak berada di sekolah berasrama di Australia
manakala Wafiq dan Nabila di Malaysia. Dan mungkin juga kerana beza umur
mereka. Dia 27 tahun. Wafiq 23 dan Nabila pula 22 tahun. Kerana umur mereka itulah
kedua-duanya rapat di antara satu sama lain.
Tok
Zauyah memang sungguh gembira mendengarkan jawapan Faris itu. Dia sudah nekad
untuk mengambil seseorang menjadi isteri kepada cucunya. Sejak bertemu dengan
gadis itu, Tok Zauyah memang pasti benar gadis itulah calon yang paling sesuai.
Semua calon yang dipilih oleh orang suruhannya semuanya dia tidak berkenan. Ada
sahaja yang tidak kena di matanya. Tapi gadis yang dibawa oleh Pak Amir memang
yang paling sempurna untuk cucunya itu cuma latar belakangnya sahaja sebagai
anak pemandu. Tok Zauyah tidak kisahkan itu semua kerana dia dulu pun anak
orang kampung dan bukanlah ada latar belakang yang hebat. Yang penting baik
budi bahasa, kuat jati diri Melayunya dan ada pegangan agama Islam yang kukuh. Yang
penting sekarang Pak Amir perlu setuju untuk mengahwinkan anak gadisnya itu
dengan Faris.