Itulah kali pertama dia ke
rumah majikan ayahnya yang tersergam indah itu.Bukan dia mahu ikut ayah
sangat. Ibunya yang menelefon ayah. Katanya Layla tak balik-balik seperti yang
dijanjikan. Pak Amir baru saja selesai membawa kereta Audi Faris itu dari ‘car wash’ berdekatan. Jenuh Pak Amir itu
mencari anak gadisnya itu. Menelefon
Layla berkali-kali. Marah sungguh ayahnya bila tahu dia sebenarnya di Kuala
Lumpur. Lebih marah bila sangkanya Layla keluar dengan Asyraf pula berdua
kerana sewaktu ayah nampak dia cuma dia dan Asyraf sahaja manakala Asha ke bilik air. Apa lagi mendidih
darah ayah. Ayah tarik tangannya bawa pulang. Asyraf tak terkata apa waktu itu
untuk menyelamatkan keadaan. Dia takutkan wajah ayah yang menyinga.
Sepanjang perjalanan Pak Amir tidak berkata-kata apa-apa dengan anaknya itu.
Macam hampa pun ada. Tapi ayahnya itu tak mahu dengar penjelasan Layla walaupun
Layla cuba. Mungkin sekarang ayahpun sudah tak percayakan dia macam ibu juga. Dia
benar-benar kecewa. Tapi cara ayah diperlakukan oleh anak lelaki Omar Bukhary
yang entah siapa namanya tadi memang dia tidak boleh terima. Sudahlah begitu
dia pun kena tolak sehingga terjatuh. Macam hina sangat dia di mata anak Tan
Sri itu.
Namun sebelum sempat mereka berlalu
dari rumah agam itu seorang wanita tua berjubah hitam bersequin memanggil.
“ Amir, masuklah dulu.” Ujar
wanita itu mesra. Layla teragak-agak mencapai tangan wanita itu untuk bersalaman. Dia
memang telah diajar untuk menghormati orang tua tetapi selepas peristiwa tadi
dia berbelah bagi juga untuk berbuat demikian. Manalah tahu kalau dia dihina
lagi. Wanita itu tersenyum manis menyambut tangan gadis itu dengan mesra. Lega
sedikit hati Layla sekurang-kurangnya wanita ini tidak sombong seperti anak
Omar Bukhary itu.
“ Tak mengapalah Datin, saya tak boleh lambat.” Balas Pak Amir menolak.
“ Eh masuklah dulu. Lama kita
tak berbual-bual. Ini anak kamu ni?Yang nombor berapa?” Tanya Tok
Zauyah. Tok Zauyah masih memegang tangannya. Memimpin dia masuk ke rumah yang
indah macam istana itu. Terkedu dia melihat ruang dalaman rumah itu yang sangat
sempurna. Besar dan indah tersergam. Macamana manusia boleh duduk dalam rumah
seindah itu?. Nak duduk pun dia rasa kekok takut kehadirannya mencacatkan
kesempurnaan ruang itu.
“ Nombor tiga Datin. Tengah tunggu SPM. Yang nombor dua dan yang sulung
di university lagi” balas Pak Amir.
“ Bagusnya... anak-anak kamu semuanya
pandai-pandai!” ujar wanita itu memuji. Dia sudahpun duduk di sofa mewah
di ruang tamu. Layla di suruh duduk di sofa sebelahnya manakala Pak Amir di
hadapannya. Sofa itu agak besar dan dengan tubuh kecil wanita itu Layla dapat
lihat kaki wanita itu terjuntai sahaja.
“ Kamu siapa nama? “ Tanya Tok Zauyah padanya sambil tersenyum manis.
Layla turut membalas senyuman itu.
“ Saya Layla, Datin” jawab Layla sopan turut memanggil Datin kepada orang tua itu .
“ Panggil saya Tok. Cucu-cucu saya semua panggil Tok “ katanya tersenyum
mesra. Dia kelihatan berfikir seketika. Kemudian tersenyum lagi. Memandang gadis
itu ke atas ke bawah. Buat Layla rasa tidak senang pula.
“ Dah lewat ni Datin. Saya balik dulu lah.” Sela Pak Amir tiba-tiba. Dia
juga kurang selesa. Jarang dia masuk ke rumah itu.
“ Jangan Amir. Awak dan Layla
sembahyang Isyak di sini sahaja. Layla boleh pinjam telekung Tok aje. Tok ada banyak
telekung lebih.” Ujar wanita itu bersungguh. “ Duduk dulu, berbual dengan Tok”
ajaknya lagi. Ayah memandang Layla. Seolah meminta persetujuan. Layla hanya mengangguk.
Majikan ayahnya itu nampak beria sangat mengajak mereka. Kasihan pula dia.
“ Tok ni hanya ada seorang je cucu perempuan tapi dia selalu tak ada. Di
Ireland. Kalau dia balik pun sibuk ke hulu ke hilir. Tok ni asyik tinggal kat
rumah sorang diri. “ Layla melihat sekeliling. Kalau diapun sunyi juga. Rumah
macam mahligai tapi tak ada orang. Orang
gaji mungkin lebih ramai dari tuan rumah melihatkan keadaan rumah yang kemas,
bersih dan tersusun semuanya. Kasihan juga bila dia mendengar cerita Tok Zauyah
itu.
Pak Amir dan Layla bersembahyang Isyak di rumah itu. Entah kenapa Tok
Zauyah minta Pak Amir pula imamkan solat Isyak di ruang solat mahligai itu.
Selepas bersalaman Tok Zauyah minta
Layla baca satu muka surat ayat Al-Quran bersama-sama dengannya. Katanya selalu
selepas solat dia akan membaca Al-Quran. Layla turutkan sahaja. Kemudian Tok
Zauyah mengajak mereka makan malam pula. Rupanya orang tua itu belum makan
malam.
“ Ish Datin, tak payahlah” kata Pak Amir macam malu. Layla pun malu juga dan dia juga menolak pelawaan
wanita tua itu. Tapi Tok Zauyah sangat memaksa. Katanya dia tak lalu makan
seorang diri. Tangan Layla ditarik-tarik ke ruang makan. Lalu mereka pun
terpaksa turutkan kerana kasihan. Semasa makan terjawab persoalan Layla apabila
melihat pinggan yang dihidangkan. Sah tiada satupun pinggan emas di meja makan hanyalah
pinggan-pinggan bergaris emas sahaja. Layla tersenyum sendiri bila teringat
persoalan itu yang sering bermain dibenaknya apabila memikirkan keluarga Omar
Bukhari majikan ayahnya itu.
L ayla juga lega melihat Tok
Zauyah makan dengan tangan jadi taklah kekok Layla dan bapanya. Takut juga
kalau orang kaya macam Tok Zauyah makan
dengan sudu garpu. Mahu terbang ayam masak merah yang dihidangkan itu kalau mereka
berdua bersudu garpu.
Semasa makan Tok Zauyah banyak bertanya tentang Layla. Jarang ada orang
yang mahu tahu tentangnya lebih dari Kak Nura. Selama ini dia dibayangi oleh
Kak Nura. Kak Nura yang lebih cantik dan pandai dan juga lebih menarik. Jadi bila Tok Zauyah begitu dia rasa
seronok bercerita tentang dirinya. Contohnya tentang kegemarannya masa lapang
dan pandangannya dalam banyak perkara.
Dia seronok kerana dengan Tok
Zauyah dia jadi diri sendiri. Dia tidak perlu berselindung tentang siapa dia
sebenarnya. Berbual dengan Tok Zauyah buat dia rasa selesa. Seolah-olah seperti
nenek yang dia tidak pernah ada. Neneknya meninggal sebelum sempat dia
dilahirkan. Oleh itu, dia memang tidak mengenal kasih seorang nenek. Yang dia
paling seronok bila Tok Zauyah bercerita pasal masakan dan cara membuat kek. Tok
Zauyah mula menunjuk buku resepinya pula. Dari makan malam sudah berlarut ke bakar
kek pula. Teruja dia. Dia memang suka membuat kek tapi tidak pernah suka memasak
nasi dan lauk pauk. Tapi bagi ibunya kalau dia tidak pandai memasak nasi dan
lauk pauk dia masih belum sempurna menjadi seorang gadis. Tapi dengan Tok
Zauyah dia rasa lebih hidup. Dalam hatinya terdetik mengapakah orang seperti
Tok Zauyah yang baru dia kenali boleh membuatkan dirinya rasa begitu sedangkan ibu
yang dia kenal sepanjang hayat tidak pernah buat dia rasa selesa? Apakah yang
tidak kena dengan hubungannya dengan ibu?
Ayah Layla mengeleng-ngeleng
kehairanan. Dia hairan apa yang dah berlaku pada Tok Zauyah hari itu. Tak
pernah Tok Zauyah berkeadaan begitu. Dengan cucunya Nabila pun ayah Layla tak
nampak Tok Zauyah layan begitu mesra.Tak alih-alih dengan Layla, Tok
Zauyah bukan main baik. Layla tidak melihat
wajah ayahnya yang sedikit sangsi. Pak Amir sudah faham mainan orang kaya macam Tok Zauyah.
Cuma Pak Amir masih tak faham apa motif Tok Zauyah melayan Layla begitu.
Namun Layla memang sangat naïf. Dia terpesona dengan kebaikan Tok Zauyah.
Lupa pada layanan anak lelaki Omar Bukhary sekejap tadi. Dia seronok dapat
perhatian dari Tok Zauyah sehingga terlupa kenyataan itu. Pukul 11 malam baru mereka bergerak keluar dari
perkarangan mahligai Bukhari itu menaiki kereta Toyota lama Pak Amir. Walaupun
lewat begitu seorang pun cucu Tok Zauyah tak kelihatan. Layla sungguh bersimpati
dengan nasib Tok Zauyah. Dalam usia tua terpaksa mengharungi hidup kesunyian. Dia
sungguh-sungguh kasihan!
Justeru itu dalam hati dia menanam azam. Sekiranya dia kaya nanti dia
mahu pastikan hidupnya tidak begitu. Biar hidup ramai-ramai. Biar keluarganya berkumpul semua. Apa erti kekayaan
kalau ia tidak membawa kebahagiaan bersama-sama hanya membawa lebih kesunyian.
Tapi agaknya dalam hidup ini kadang-kadang kita tidak boleh dapatkan kesemuanya.
Banyak harta melimpah ruah boleh beli apa sahaja tapi tentu ada perkara yang
terpaksa dikorbankan. Harta tidak boleh membeli kasih sayang. Layla tahu itu
meskipun dia masih budak mentah.
Layla menarik nafas. Dia tahu
malam masih lagi belum berakhir untuknya sebaik sahaja kereta ayahnya itu
telahpun membelok ke jalan utama kampung mereka. Dia pasti kena bersoal jawab
dengan ibu balik nanti. Entah apa khabar Asha dan Asyraf agaknya. Mungkin ibu
bapa masing-masing sudah bising juga. Mungkin ibu dah beritahu mereka di mana
anak mereka. Habislah mereka bertiga.
Tapi sebenarnya tiada apa yang
berlaku. Mereka hanya berjalan-jalan sahaja di KLCC selepas menonton wayang. Mereka lambat sebab
Asha yang tak habis-habis mencuba pakaian. Lama sungguh dia. Sampaikan dah
hampir pukul enam. Lepas itu sudah petang pula, Asyraf ajak makan malam di
Laksa Shack dulu sebelum balik. Asha setuju sedangkan dia berat hati. Dia macam
terasa-rasa ayahnya sedang cari dia. Macam ada rasa-rasa ibu sedang berkata
tentangnya. Waktu itulah dia tak lalu makan. Laksa terasa sedikit loya ditekaknya.
Kemudian bila nak pulang Asha pulak nak ke bilik air. Sakit perut. Ada-ada saja
gadis itu. Dia tak pasti sama ada lakonan atau kebetulan. Telefon tangannya
berbunyi banyak kali dari ayahnya. Terpaksalah dia nyatakan di mana dia. Nada
ayahnya yang tegas membuatkan dia tak tentu seketika. Ayahnya berhasrat untuk
datang mengambilnya. Waktu itu sudahpun pukul 7. Tadi dia janji untuk pulang
pukul 4. Tapi sudah menjajar ke pukul 7. Waktu Asyraf sedang berbual dengannya
menunggu Asha itulah ayahnya datang. Pucat muka Asyraf. Pucat lagi muka dia.
Terasa terbang semua semangat dalam dirinya. Dalam otak nya habislah dia kalau dirotan
ayah. Mungkin juga dirotan ibu. Sudah lama dia tidak merasa rotan ayah atau
ibu. Paling akhir sekali 5 tahun lepas itupun sewaktu di sekolah rendah.
Ayahnya memang salah sangka. Tapi belum sempat dia menjelaskan ada panggilan
pula dari bos ayahnya tadi.
Memang bila dia balik sahaja malam itu ibunya mengamuk.
“ Belum apa-apa dah gatal ye? Memalukan betul kamu ni! Kamu dah nak
kahwin sangat?” jerkah ibu bila dia sampai.
“ Layla tak buat apa-apa ibu. Asha ada sama cuma waktu ayah sampai dia ke
bilik air” Jelas Layla. Air matanya menitik. Dia sesal kerana mungkir janji
dengan ibunya.
“ Dah pandai menipu ye. Kamu saja gunakan nama Asha supaya kamu boleh
berdating dengan Asyraf tu kan? Kenapalah kau gatal sangat? Malu aku dengan
orang kampung kalau mereka tahu yang anak aku menggatal dengan anak ketua
kampung. Sedarlah Layla kita ni orang miskin tapi kita bukan miskin harga diri
dan maruah. Anak dara kena jaga maruah. Kalau dah hilang maruahnya apa lagi
yang tinggal. Aduhai!! Apa nak jadi dengan kau ni.” Marah ibunya lagi. Layla
makin teresak-esak rasa bersalah. Tadi bukan main lagi nak melawan dengan
mengikut kata-kata Asha untuk ke Kuala Lumpur. Sekarang bila berhadapan dengan
ibunya semuanya luluh. Waktu ini dia rasa lemah kerana dia benar-benar menyesal
dengan tindakannya. Sempit terasa di dalam dadanya. Orang berdosa memang akan
rasa begitu. Ya Allah ampuni aku kerana menipu ibu, keluh hati Layla.
“Maafkan Layla ibu. Layla janji tak buat lagi.” Rayu Layla bersungguh.
Dia tahu syurga di bawah tapak kaki ibu yang melahirkannya bersusah payah.
Terasa mahu dirangkul tubuh ibunya. Tapi Layla ragu bagaimana penerimaan
ibunya.
“ Kamu ni memang patutku kahwinkan… kalau macam ni perangai kamu. Lepas
ni ibu tak akan benarkan kamu ke mana-mana lagi. Kalau nak pergi kena pergi
dengan kami berdua.” Kata ibu macam kecewa. Layla hanya mengangguk. Sejak hari
itu dia memang tidak dibenarkan ke mana-mana lagi. Hanya boleh ke kedai di kampung
itu sahaja untuk membeli barang keperluan ataupun sekitarnya sahaja. Walau apa
pun dia rela. Dia tidak mahu jadi anak derhaka.