Hari itu hari Sabtu.Layla yang kebosanan pada hari Sabtu seperti itu membantu Tok Zauyah
di taman atau melayan orang tua itu berbual. Bila ada masa lapang dia akan
menelefon keluarganya. Kasihan juga Tok Zauyah melihatkan Layla yang tidak
kemana-mana setiap hari minggu. Bila Faris balik dari entah mana petang itu, dia
menasihatkan Faris supaya bawa Layla berjalan-jalan di luar esok. Mungkin pergi
membeli-belah dan menonton wayang seperti pasangan lain. Jarang dia lihat
mereka berdua itu keluar. Hatinya belum yakin tentang hubungan Faris dan Layla.
Faris petang itu merasa panas telinga mendengar nasihat Tok Zauyah.
Ada-ada saja orang tua itu. Masih tak puas hati lagi. Sekarang dia mahu Layla
di bawa berjalan-jalan pula. Besar kerak betul gadis itu. Mesti dia yang
mengadu terperap di rumah saja. Bencinya dia pada gadis itu tuhan sahaja yang
tahu. Memang menyusahkan sahaja. Sudahlah mereka perlu berkongsi bilik setiap
hari. Berlakon setiap hari dan sekarang perlu bawa dia berjalan-jalan pula.
Satu malam Faris membebel pada Layla tentang permintaan Tok Zauyah
itu. Perit telinga gadis itu mendengarnya. Bukan salah dia. Dia tidak pernah
mengeluh bosan pun pada Tok Zauyah bila bersama dengan orang tua itu. Malahan
dia seoronok dapat habiskan masa bersama wanita yang penyayang itu. Tapi walau
apa pun dia tadahkan sahaja telinga. Nanti kalau dia melawan Faris bertindak
bengis pula.
Esoknya Faris membawa juga
Layla ke Pavilion dengan hati yang berat. Apa dia nak buat dengan gadis itu?
Tak kan nak terus bawa pergi makan seawal itu. Tengok wayang? Ah! Wayang apa?
Shopping?. Dia benar-benar mati kutu. Seperti biasa Layla menyarung baju
kurung. Satu perkara yang Faris bosan sungguh. Baju kurung kapas berwarna lusuh
pulak tu. Tidak bolehkah gadis itu berpakaian moden seperti gadis lain?
Dan
tudung itu? Jeleknya dia tengok. Kenapa dia mahu sorokkan rambutnya yang cantik
itu? Dia sering nampak rambut gadis itu sewaktu gadis itu tidur. Tapi hari itu semua
itu terbungkus dalam tudung putih itu. Malu Faris hendak berjalan dengan gadis
itu seolah macam berjalan dengan budak baru habis sekolah. Memanglah betul
gadis itu baru sahaja habis sekolah! Faris bosan. Tiada nafsu dia mahu bawa
gadis itu ke mana-mana. Tapi apa nak buat kalau dia hantar Layla balik apa pula
kata Tok Zauyah.
Layla memang sengaja berpakaian begitu kerana dia memang tak suka
berjalan-jalan bersama Faris. Seronok dia tengok Faris yang stress bila
berjalan dengannya. Jalannya laju semacam. Layla terasa mahu ketawa geli hati
melihat muka Faris. Dia akui betapa tampan dan berkarismanya lelaki itu dengan t-shirt
Polo dan jeansnya sehingga apabila dibandingkan dengannya macam langit
dan bumi. Dia perasan beberapa gadis tertoleh-toleh pada Faris kemudian
memandang hairan padanya. Agaknya mereka hairan kenapa pula dia di situ bersama
lelaki penuh gaya itu.
Memanglah manusia mudah tertarik pada rupa yang elok
pada pandangan pertama biarpun belum tahu perangai sebenarnya lagi. Memanglah
suaminya itu handsome tapi mereka belum tahu lagi bahawa hodohnya perangai
lelaki itu bila sudah jadi suami.
“ Awak nak pergi mana ni?
Ikut hati saya nak hantar awak balik saja. Tak selera nak berjalan dengan awak.
Tapi nanti kena marah lagi dengan Tok kesayangan awak tu. Hah cepat bagi tahu.”
ujar Faris bila mereka memasuki Pavilion tersebut bersama-sama. Amboi! Faris
memang tak jaga hati dia langsung, desis hati Layla. Tapi kalau orang tak suka
memang tak boleh dipaksa. Layla pun tak ada mood berjalan dengan Faris
sebenarnya.
“ Hantar saya pergi kedai
buku kat sini. Saya akan duduk di situ baca buku. Kalau awak nak pergi
mana-mana pergilah. Nanti bila awak nak balik ambiklah saya kat situ.” Layla
mencadangkan. Lama dia tidak membeli apa-apa novel sejak berkahwin. Inilah
masanya untuk dia meronda sekeliling kedai buku. Rindu betul dia pada buku-buku
novel yang selalu dia beli setiap kali bapanya beri wang hasil pertolongannya
menjual nasi lemak. Selalunya novel karya dari Damya Hanna dan Aisya Sofea
memang kegemarannya. Entah-entah ada novel baharu. Novel-novel di mahligai itu
pula novel lama dan banyak pula novel Inggeris.
Ulat buku rupanya! Patutlah membosankan. Komen Faris dalam hati. Dia
membawa Layla ke MPH kemudian meninggalkan Layla di situ. Sebelum pergi dia
mengeluarkan beberapa not duit 50 ringgit. “ Nah ambik duit ni, nanti kena
tangkap shoplifting, siapa jugak yang susah.” Ujar Faris memerli.
“ Eh saya tak buatlah
benda-benda macam tu. Simpanlah duit awaktu. Saya ada duit sendiri.” Layla
menolak. Dia masih ada RM100 lagi dalam purse.
“ Ambik! Jangan nak
degil. Kalau ada lebih nanti bagi balik jangan awak pergi beli benda merepek
pulak.” Sindir Faris. Layla terpaksa ambil juga bila melihat wajah Faris yang
bengis itu tapi dalam hati dia merungut. Nak bagi tapi mulut tu mesti nak bercakap
juga untuk menyakitkan hati orang dahlah buruk siku!
Faris meninggalkan Layla
di situ.
“ Tunggu sini, nanti pukul 5 saya ambil awak. Jangan awak pergi
merayau pulak lepas ni. Ingat!” kata Faris tegas. Layla mencebik.
“ Yelah Encik
Faris oi…saya tunggu sini pukul 5.” Balas gadis itu acuh tak acuh. Mengarah
macam apa je!
Faris baharu sahaja
meninggalkan Layla di situ dan dan mahu pulang ke pejabat untuk membuat sedikit
kerja. Walaupun hari itu hari Ahad tapi sejak akhir-akhir kerja drawingnya
untuk sebuah projek di Langkawi mengambil banyak masa. Namun, baru sahaja dia
hendak ke parking lot dia ditegur riang oleh seorang wanita mat salleh berskirt
pendek. Kaki panjang meruncing bak supermodel. Rambut kuning jagung bermata
biru.
“ Faris dear!” jerit gadis itu. Mata Faris terbelalak tidak percaya.
Dia menggosok matanya. Ariel?
“ Ariel?
Is that you?”
“ Yes honey! Do you miss me?” Gadis itu lantas memeluk Faris. Faris
bagai berada di awang-awangan bila dipeluk Ariel yang jelita itu.
“So much baby. Let’s go somewhere. We sure have a lot to catch up”
ujar Faris sambil mengenyit mata. Ariel hanya ketawa seronok.