Faris sampai di pejabatnya lebih awal. Ada kerja yang perlu
diselesaikan pagi-pagi itu. Sekejap lagi dia perlu bersemuka dengan ketua yang
mewakili pekerja-pekerja buruh Indonesia yang bekerja dengan syarikatnya. Jadi,
sebelum itu dia mahu meneliti dulu maklumat-maklumat berkenaan pekerja-pekerja
itu. Sejak akhir-akhir itu banyak konflik yang melibatkan mereka. Oleh itu dia
mahu dapatkan pandangan dari ketua mereka sendiri apa masalahnya.
Dengarnya
pekerja-pekerja itu ingin mengugut untuk melancarkan mogok tak lama lagi. Kalau
itu berlaku sudah tentu memberikan masalah pada syarikat. Banyak kerja
pembinaan yang masih dalam proses dan mengejar deadline. Sebenarnya tugas itu
patutnya diuruskan oleh adiknya Wafiq tapi nampaknya Wafiq seolah tidak dapat
menyelesaikan masalah itu. Malahan dia juga mendengar banyak rungutan terhadap
adiknya itu. Tapi seperti selalu Faris tidak suka buruk sangka tanpa menyelidik
terlebih dulu. Dia lebih suka dapat maklumat yang tepat sebelum membuat
keputusan.
“ Kita berhentikan saja
mereka tu abang. Bukan susah nak cari pekerja lain. Semua besar kepala sebab
kita banyak sangat bagi kemudahan pada mereka.” Cadang Wafiq semalam di ofis bila
dia bertanya tentang masalah itu.
“ Ye ke Wafiq? Tak apa I look into it first. Nanti kita bincang
lagi.”
“ Nak bincang apa lagi
dengan they all tu abang? Buang masa.
Kita cantas terus sebagai peringatan pada yang lain tu supaya tak melebih. We need to show them who is the boss
bang!” ujar Wafiq.
“ Betul Wafiq, tapi
sebelum buat apa-apa kita kena selidik dulu. Nanti kita aniaya orang pulak.”
“ Sejak bila abang jadi
baik ni? Dulu tak kisah pun pasal aniaya bagai.” Sindir Wafiq.
“ Kita cakap pasal
manusia Wafiq. Abang tak mahu kita kena saman atau kena tindakan undang-undang
mengenai hal pekerja buruh asing ni. Kerajaan dah mula pantau masalah layanan
buruk terhadap buruh asing dan pembantu rumah Indonesia ni sekarang. Abang tak
mahu hal macamni memburukkan nama syarikat kita dan dah tentu nama ayah.”
“ Hmmm ikut abanglah.
Tapi percayalah kata saya yang abang buang masa. Kalau abang layan sangat
mereka mesti mereka banyak lemak minta macam-macam. Ini pun dah komplen
macam-macam.” Balas Wafiq berlepas tangan.
Faris termenung seketika memikirkan masalah itu. Sekurang-kurangnya
sebelum dia berlepas ke Boston semua masalah itu selesai dan semuanya berjalan
baik. Jadi kalau dia tinggalkan pun semuanya dia tidak akan risau lagi.
Bukan
itu sahaja yang bemain dalam fikirannya. Dia juga terfikirkan Layla dan
perbincangannya dengan gadis itu semalam. Dia sedikit tersinggung sebenarnya
bila melihat penerimaan negative Layla terhadap keputusannya mengikut gadis itu
ke Boston. Entah kenapa gadis itu masih tidak dapat menerima dia. Tak bolehkah
dia lupakan sahaja perjanjian mereka? Dia teringat Nora. Mungkin setiausahanya
itu dapat membantunya seperti selalu.
Dia menekan butang intercom. “ Nora, buatkan kopi untuk saya.”
Pintanya pada setiausahanya terasa haus pula meskipun sudah sarapan pagi tadi.
Nora yang berhijab trendy dari kain chiffon itu masuk membawa satu mug kopi dan
meletakkannya di tepi Faris.
“ Nora, duduk sekejap.
Saya nak bincang sikit dengan awak” Faris mengarahkan. Nora tersenyum lantas
melabuhkan punggungnya. “ Ada apa bos?”
“ Ni saya nak tanya,
agak-agak you lah apa yang kurang dengan saya ni ye untuk seorang perempuan?”
Nora tersentak. Ingatkan nak tanya pasal kerja tapi soalan personal pula yang
keluar dari bosnya itu. Pasti Faris ingin bercakap tentang Layla agaknya.
Soalan yang susah untuk dijawab kerana bosnya itu pada pandangan Nora dah
memang perfect. Tak nampak apa yang kurang setakat itu. Nora pun senang bekerja
dengannya walaupun dia akui ada anginlah juga bila kerja yang dibuat tak kena.
Selain dari itu elok sahaja.
“ Kenapa bos? Bos ada
masalah ke?” Tanya Nora berhati-hati. Tak mahu menyentuh kisah peribadi bosnya
itu walaupun sejak akhir-akhir itu sering bertanya dia macam-macam tentang Islam
dan perempuan berhijab bahkan baju renang muslimah bulan lalu.
“ Saya cuma hairan kenapa
sampai sekarang Layla tak boleh terima saya. Saya dah layan dia dengan baik
tapi dia masih tak sukakan saya. Itu saya nak tanya awak sebagai seorang
perempuan apa kekurangan saya. Agaknya
apa yang saya perlu lakukan supaya dia terima saya ye?.” Nora menghela nafas.
Diapun baru berkahwin tak sampai lima tahun sudah tentu bukan arif dalam
hal-hal rumahtangga seperti itu. Kalau melihat secara luaran mungkin tiada cacat
cela pun Faris di matanya. Memiliki semua dari rupa dan harta. Anak jutawan
pula.
Butakah Layla itu? Namun yang lain-lain dia tidak tahu pula. Tapi mungkin
Layla ada fikirannya sendiri. Mungkin apa yang Layla mahukan tiada pada Faris
agaknya. Ataupun mungkin gadis itu perlukan masa lantaran usia yang masih muda.
Mengikut Faris dulu pun dia kahwin dengan Layla atas permintaan keluarga. Payah
juga kahwin aturan keluarga ni. Yang kahwin suka sama suka dan sudah berdating
lama pun boleh bermasalah apatah lagi aturan keluarga seperti itu yang
kedua-duanya tidak kenal hati budi masing-masing. Namun, jodoh tak boleh nak
diagak. Ada yang aturan keluarga elok saja bahagia yang kenal bertahun-tahun
suka sama suka pulak berantakan.
“ Saya pun bukan pandai
dalam hal ni Encik Faris.” Nora merendah diri.
“ Tapi kan awak seorang
perempuan. Pasti faham tentang perempuan. Sebelum ni nasihat awak banyak bantu
saya jadi manalah tahu yang ini pun boleh bantu sama.”
“Err…macamana ye…err.. mungkin
Encik Faris kena selidik apa yang Puan Layla mahukan tak? Mungkin kriteria yang
dia mahukan dari seorang suami ke? Perempuan ni kompleks sikit. Dia tak cakap
tapi dia mahu lelaki faham apa yang dia nak. Cubalah selidik dari best friend
dia ke, emak dia ke. Dari cerita Encik Faris dulu saya tahu Puan Layla tu tegas
orangnya dan juga sedikit keras hati. Cuba Encik Faris cari apa yang
menyebabkan dia masih tak boleh terima Encik Faris sebagai suaminya. Bila Encik
Faris dah tahu nanti cubalah Encik Faris sesuaikan dengan diri. Ikut seperti
yang dia nak. Manalah tahu bila buat macam tu terbuka hati dia terima Encik
Faris.” Kata Nora panjang lebar.
Aduhai, pandainya dia menasihat pula, desis hati Nora.
Rumahtangga sendiri pun belum sempurna. Semalam baru sahaja betegang urat
dengan suaminya tentang rumah yang hendak mereka beli lantaran perbezaan keinginan
masing-masing. Namun meskipun selalu bertegang urat, syukurnya cinta mereka
masih utuh. Lepas bergaduh selalunya mereka akan berbaik semula dan tidak
pernah menyimpan dendam.
Faris mengangguk-angguk. Betul juga. Apa agaknya yang Layla mahukan?
Apakah yang perlu dia buat supaya Layla dapat menerima dia? Kompleks betul si Layla itu untuk difahami. Kalau
wanita-wanita lain senang sahaja dia faham tapi tidak Layla.
“ Tapi kalau Nora macamana? Apa yang Nora nak dari suami Nora?”
Tanya Faris. Nora tersentak.
“ Eh saya pulak Encik
Faris?, Keadaan saya lain, Puan Layla pulak lain.”
“ Manalah tahu sama….saya
betul-betul clueless dengan Layla ni. Dia lain dari semua wanita yang saya
kenal. Dia pakai tudung sama macam awak. Tolonglah saya.” Pinta Faris.
“ Baiklah tapi saya harap
Encik Faris tidak sensitif, saya tak cakap Encik Faris kurang agama tapi orang
perempuan ni kadang-kadang dia suka kalau suami dia tu alim sikit. Dulu, masa
saya nak pilih suami saya, saya pastikan suami saya tu solat 5 waktu tak
tinggal, pandai baca Al-Quran, cukup puasa, tidak merokok , tak buat dosa besar
seperti minum arak dan zina, dan juga boleh
imamkan solat. Lagipun bapa saya imam di kampung kami. Jadi, senarainya
panjanglah sikit. Kalau tak, payah bapa saya nak terima suami saya tu. ” Jawab
Nora pada Faris yang terkedu.
Panjang betul senarainya. Kalau kena senarai tu
pada dia memang sah-sah gagal. Dia simpati pada suami Nora. Mesti jenuh untuk
penuhkan syarat yang panjang seperti itu.
“ Suami awak tak ada
masalah ke nak satisfy itu semua?” Tanya Faris. Nora tersenyum.
“ Ada jugak terutama bab
merokok tu. Tapi sebab nak betul-betul kawin dengan saya dia berhenti merokok.”
“ Oh begitu. Bagusnya
dia.” Faris senyap seketika.
“ Baiklah Encik Faris,
saya minta diri dulu. Encik ada apa-apa lagi? “ ujar Nora bila melihatkan Faris
yang mula termenung menerawang entah ke mana, memberikan ruang untuk bosnya itu
berfikir tentang kata-katanya itu.
“ Itu saja Nora, thanks for the advice. I really appreciate
it. Kalau Heryanto datang sekejap lagi bawakan saja dia ke sini ye.”
“ Okay boss.” Akur Nora
lalu keluar dari ofis Faris itu kembali ke tempat duduknya di luar
menyelesaikan kerjanya yang masih tertangguh. Cukuplah untuk hari itu menjadi
kaunselor perkahwinan pulak untuk bosnya!