Majlis harijadi Tan Sri
memang meriah. Semua orang yang kenal rapat dengan Tan Sri dan Tok Zauyah
dijemput untuk datang pada hari itu.
Termasuklah rakan-rakan Faris, Nabila dan Wafiq. Majlis dibuat bersebelahan
tempat lapang di swimming pool
mahligai itu. Sejak semalam lagi kawasan itu dihias cantik dengan khemah-khemah
dan meja-meja untuk tetamu. Sebuah band juga telah dijemput untuk memeriahkan
majlis.
Majlis yang meriah itu bermula pada pukul 8.30 malam. Sambil
menunggu tetamu, band itu memainkan lagu-lagu kegemaran Tan Sri yang berada di
generasi ‘baby boomers’. Maka lagu-lagunya juga berentak senada dengan generasi
Tan Sri. Kebanyakkannya lagu Elvis Presley. Ramai juga yang hadir memenuhi
ruang tersebut. Masing-masing datang dengan bermacam-macam gaya mengikut
citarasa masing-masing. Majlis pula majlis separa formal dan kasual.
Layla sejak tadi telahpun bersiap. Malam itu dia memakai dress
potongan ala princess berwarna ungu gelap bersequin dan mempunyai corak detail
di pergelangan tangan. Tudungnya pula jenis kain chiffon korea dwiwarna hitam
dan ungu. Sesuai dengan menjadi satu-satunya menantu di situ, dia membantu Tok
Zauyah dan Mak Neng dalam memastikan semuanya berjalan lancar. Memanglah
semuanya diuruskan oleh catering dan event organizer tetapi dari segi
menyambut tetamu dan cenderahati Layla turut sama membantu.
Rakan-rakan Faris juga ramai yang datang meraikan Tan Sri.
Boleh tahan juga rakan-rakan Faris itu. Patutlah Faris bersungguh supaya dia
menukar imej tempohari kalau tidak memanglah malu dia kalau isterinya asyik
berbaju kurung lusuh sahaja. Masing-masing kelihatan sofistikated dan hebat sebab
mereka datang dari golongan elit. Cream
of the cream of society.
Faris pula lebih banyak menghabiskan masa melayan tetamu yang
berkunjung begitu juga Tok Zauyah. Waktu itu juga Layla diperkenalkan dengan
saudara mara sebelah Tok Zauyah. Ada yang datang dari jauh semata-mata untuk
meraikan Tan Sri.
Layla melirik pada Faris
yang memakai baju kemeja dari jenis kain linen berwarna kuning air di sebuah
meja berdekatannya. Dia sedang berbual-bual dengan seorang lelaki berketurunan Cina,
seorang lelaki Melayu yang asyik memerhatikannya dan seorang wanita yang Layla
rasa pernah datang semasa majlis pernikahannya dahulu. Wanita itu juga asyik
memerhatikannya. Layla pasti itulah rakan-rakan baik Faris.
Sejak peristiwa pertemuan dengan Ariel di One Utama, Faris
lebih banyak berdiam diri dengannya. Balik-balik saja hari itu Faris mengamuk.
Layla pun bila begitu tak mahu cari nahas kena marah pula dengan Faris jadi
tidaklah dia bercakap apa-apa. Dia biarkan sahaja Faris cool sendiri. Selama beberapa hari itu dia biarkan sahaja keadaan
itu. Dia tahu marah Faris itu akan reda sendiri dan semua balik normal.
Sebenarnya
balik dari One Utama itu dia terfikir kembali kata-kata Faris yang Faris hanya
mahukan dia sahaja dalam hidupnya. Thrill juga bila Faris berkata begitu. Tapi
benarkah apa yang Faris rasakan terhadapnya? Hanya mahukan dia sahaja? Seriusnya
susah Layla mahu percaya. Dia sebenarnya tidak kenal Faris langsung jadi
bagaimana hendak dia mempercayai? Kata-kata Ariel juga sering menghantuinya.
Selamatkah untuk dia meletakkan hatinya pada Faris? Tak kecewakah dia nanti?
Persoalan itulah menyebabkan Layla masih menjaga hatinya dari jatuh hati pada
Faris.
“ Layla, Faris panggil tu…” ujar Tok Zauyah yang berada di
situ. Mereka sama-sama mengisi cenderahati dalam satu bekas cantik sementara
menanti semua tetamu datang, Layla saja membantu Mak Neng dan penolongnya.
Lagipun Layla bosan kerana tiada apa sangat yang dia dapat lakukan untuk majlis
itu. Semua telah diuruskan oleh catering
dan event organizer.
Layla mengangkat kepala melihat Faris yang memandangnya sambil
mengisyaratkan gadis itu ke sisinya. Matanya tajam melihat Layla. Serta-merta Layla
berjalan ke arah Faris yang masih lagi dengan mereka yang bertiga tadi. Mata
Faris tidak lepas dari wajah isterinya itu. Cantiknya isterinya itu malam itu.
Terserlah dari semua wanita yang ada dalam majlis. Tiba-tiba hatinya terasa
pedih mengingat peristiwa semalam. Teringat kata isterinya itu. Bukan mudah
untuk dia terima kata-kata gadis itu semalam. Terasa seperti kena reject. Untuk
orang seperti Faris sungguh sakit egonya bila ada penolakan begitu.
Tambahan
lagi, dia telah pun mengisytiharkan semalam yang dia hanya mahukan Layla. Bagaimana
dia boleh terlepas kata?. Sedangkan gadis itu tidak berkata apa-apa pun sama
ada dia juga berperasaan seperti itu. Ah! Dia sebenarnya termalu kerana jelas
Layla tiada perasaan sepertinya. Bayangkan Layla mahu berkongsi dia dengan tiga
wanita lain!. Sedangkan dia hanya mahu satu Layla. Sikit pun gadis itu tidak ada
perasaan cemburu. Sedangkan orang kata cemburu tanda sayang!
Layla menegur rakan-rakan Faris. Desmond dan Tunku Shahri.
Mereka hanya tersenyum mengatakan hai sahaja. Mereka tahu nanti kalau
lebih-lebih marah pula Faris. Terutamanya Desmond, dia sudahpun pernah merasa
penumbuk Faris sebelum ni. Tak sanggup dia bergaduh lagi dengan Faris yang
memang sensitif dengan bila sesuatu itu berkait dengan Layla.
“ You nampak cantik Layla “ ujar Tunku Safinas yang berada di
situ. Dia memandang Layla ke atas ke bawah.
“ Terima kasih. You pun cantik juga. Saya suka baju awak.” Ujar
Layla ikhlas dan ramah melirik pada dress ekslusif Tunku Safinas. Dia memang
teruja melihat baju yang cantik sebegitu. Faris serta merta memegang lengan
Layla.
“ Oh, thank you!” balas Tunku Safinas berbasa-basi sahaja.
Sudah tentu dia tidak maksudkan pujiannya pada Layla tadi kerana pada saat itu
dia sangat cemburu melihat gadis itu bersama Faris. Tangan Faris pada lengan
gadis itu begitu posesif sekali nampaknya. Hatinya pedih. Bilakah Faris akan
jadi miliknya? Dia yang selalu berada di sisi Faris? Tapi sekarang entah
siapa-siapa yang mengisi ruang hati Faris.
“ Layla, saya nak kenalkan awak pada kawan-kawan saya yang tak
sempat datang masa wedding kita dulu” ujar Faris pada Layla sambil matanya
melihat ke arah beberapa pasangan yang
baru melewati ruang masuk majlis itu. Layla mengangguk. Mereka pun berjalan kea
rah rakan-rakan yang Faris katakan itu.
“ Hai Layla, how are you?” kata seorang wanita, isteri kepada salah seorang rakan Faris.
Mereka bersalaman dan Layla tersenyum ramah lantas mengatakan.
“ Alhamdulillah, saya sihat “ jawabnya kemudian bertanya khabar
pula pada wanita itu.
Kemudian dia diperkenalkan pula kepada beberapa tetamu yang
hadir. Selama beberapa minit Layla menunggu di situ, turut sama menyambut
tetamu yang hadir bersama Faris di sebelahnya. Selepas semua hadir mereka
berdua kembali ke meja yang sama dengan Desmond, Tunku Safinas dan Tunku Shahri.
Majlis bermula dengan doa dan kemudian Faris bangun memberikan
satu ucapan pendek mengalu-alukan kedatangan tetamu yang meraikan bapanya
kemudian bercerita sedikit mengenai bapanya. Ada juga anekdot yang mencuit hati
menyebabkan semua hadirin ketawa. Layla tersenyum kagum. Pandai juga Faris
berucap di hadapan dengan santai sekali. Gayanya memikat hadirin yang datang.
Selepas itu Tan Sri pula ke depan bercakap tentang harijadinya
dan juga kesudiaan mereka semua datang ke majlis itu. Dia juga mengumumkan
pemergiaan Layla dan Faris ke Boston kepada para hadirin.
Kemudian sebuah kek besar berlilin menyala entah berapa batang
dibawa keluar. Tan Sri diminta untuk memotong kek selepas semua hadirin bangun menyanyikan
lagu selamat hari lahir. Selepas itu kek diagihkan dan makan malam diteruskan
dengan persembahan. Tan Sri yang memulakan nyanyian dengan menyanyi lagu
evergreen berentak perlahan bertajuk “ Only You.” yang pernah dinyanyikan oleh
Elvis Presley. Entah pada siapa dia menujukan
lagu itu tapi Tan Sri menyanyi dengan penuh perasaan sekali. Mungkin untuk
arwah isterinya, Sophie.
Kemudian Tan Sri duduk di meja VIP bersama-sama dengan kerabat
dan rakan-rakannya. Hadirin mula disajikan dengan makan malam. Sambil makan,
band tersebut memainkan musik. Ada yang rancak ada yang perlahan. Bila band
tersebut mula memainkan lagu berentak perlahan bertajuk “ I will always love
you” lagu Whitney Houston yang sesuai untuk menari, beberapa pasangan mula bangkit
untuk menari. Faris bangun lantas menarik Layla di sebelahnya. Layla tersentak.
Hah! Kenapa pulak?
“ Jom kita menari” ajaknya. Aduhai! Menarilah pulak. Layla
melihat sekeliling. Dia terasa malu. Seumur hidupnya dia hanya menari di Hari
Ucapan dan Penyampaian Hadiah sahaja. Itupun semasa di sekolah rendah. Tarian
Inang pula tu.
“ Tapi saya tak pandai menari” Layla bagi alasan. Faris
tersenyum. Namun dia tarik juga Layla di ruang kosong berdekatan dengan band
itu. Layla rasa wajahnya yang hangat. Dulu kalau nak menari di sekolah,
berbulan praktis. Ini pula menari spontan. Terasa macam ada banyak kupu-kupu
dalam perut. Kalau dia jatuh macamana? Malu semua orang tengok. Kemudian menari
bersama Faris pula!
“ Ikut saya.” Bisik Faris ke telinganya lantas menyatukan
tangan kanannya dengan tangan kiri Layla. Tangan kanan Layla pula diletakkan di
bahunya manakala tangan kirinya menyauk pinggang Layla sehingga betul rapat
dengan dirinya. Kemudian kakinya berhayun ke kiri dan ke kanan mengikut rentak
musik. Perlahan pada mulanya supaya Layla boleh mengikutnya. “ Ikut” arahnya
sambil berbisik lagi. Layla pun mengikut
rentak badan Faris walaupun pada mulanya agak kekok hampir terpijak kaki Faris,
tetapi lama kelamaan tarian mereka menjadi seirama mengikut alunan tempo music
dari band itu. Ada masa bila dia tersalah
stepFaris mengangkat tubuhnya yang kecil itu sedikit supaya kakinya tidak
terpijak kaki Faris. Layla tersenyum menghargai apa yang Faris lakukan. Kalau
tidak malu juga dia.
“ Relax, and trust me” bisik Faris ke telinganya. Layla
mengangguk. Dan badan mereka berhayun lagi mengikut tempo musik “I always love
you” itu.
Pada waktu itu bila mereka menari berdua, terasa seperti mereka
berada di dunia mereka sendiri hanya ada Faris dan Layla sahaja. Dunia terasa
berhenti berputar. Berhenti untuk mereka sahaja. Sesungguhnya, Layla terasa
begitu selamat apabila berada dekat dengan Faris begitu. Faris pula terasa
tenteramnya jiwanya bila memeluk Layla begitu dalam sebuah alunan musik. Satu
perasaan yang tidak dapat dimengertikan oleh mereka berdua. Kalau boleh mereka
mahu tetap begitu sahaja. Namun lagu itu berhenti juga dan membawa mereka
kembali semula ke realiti.
Sebenarnya hadirin juga
dapat melihat kesesuaian pasangan suami isteri itu menari bersama menyebabkan
mereka bertepuk tangan ke arah pasangan itu apabila musik berhenti. Merah muka
Layla. Rupa-rupanya mereka jadi perhatian pula sedangkan ada ramai juga
pasangan suami isteri yang menari seperti mereka tadi. Faris hanya tersenyum
sambil membetulkan bajunya kemudian memegang tangan Layla dan membawa Layla
kembali ke meja makan.
Sakit hati Tunku Safinas
melihatkan kemesraan Faris dan Layla. Hatinya dibalut rasa cemburu yang amat
sangat. Terasa mahu lari saja dari tempat itu. Tapi dia tetap tegar di situ.
Melihatkan lelaki yang dia cintai bersama isterinya. Menari tadi dengan begitu
asyik sekali.
“ Boleh jadi couple of the year lah you all berdua ni.” Dia
memuji apabila Layla duduk di sebelahnya bersama Faris. Faris tersengeh bangga.
Layla hanya tersenyum tidak berkata apa-apa. Dia masih tidak percaya dengan apa
yang berlaku tadi. Dia dan Faris telah menari bersama dengan begitu rapat
sekali. Dia rasa dia perlukan masa untuk tenangkan diri.
Majlis diteruskan sehingga ke pukul 11.00 malam. Kemudian
satu-satu tetamu meninggalkan majlis. Setiap mereka diberikan cenderahati
sebelum pulang. Persekitaran yang tadi agak riuh kini reda apabila semua tetamu
pulang ke rumah masing-masing selepas majlis itu.
Tok Zauyah meminta
supaya ahli keluarga berkumpul untuk menyaksikan Tan Sri membuka hadiah.. Tan
Sri Omar baru sahaja habis membuka semua
hadiah yang dia terima dari teman dan keluarga. Macam-macam yang dia dapat. Waktu
itulah Faris memberikan ayahnyanya hadiah Layla dan dia.
“ Ayah, ini dari saya dan Layla. Khas untuk ayah.” Faris
memberikan satu kotak tertera jenama Royal Selangor. Tan Sri Omar menyambut hadiah
tersebut.
“ Terima kasih Layla dan Faris. Oh bagus untuk meja ayah ni.”
Ujar Tan Sri bila membuka balutan hadiah itu dan mengeluarkan desk organizer dari
pewter itu.
“ Kami harap ayah suka” ujar Layla melirik pada Faris yang
tersenyum.
“ Lebih dari suka. Ha, ada tulis pula ‘the best dad in the
world, from Faris and Layla with love’!”
baca Tan Sri sewaktu melihat hadiah itu. Tan Sri ketawa suka lantas memeluk
Faris dan Layla. Ada air mata bertakung di matanya. Tok Zauyah yang juga berada
di situ gembira melihat hadiah tersebut.
“ Cantik hadiah ni, Layla dan Faris.” Puji Tok Zauyah. Turut
terharu.
“ Thanks Tok” balas Faris. Matanya melirik kepada Layla sambil
tersenyum pada gadis itu. Layla pun tersenyum.
“ Ayah bangga dengan kamu berdua. Ayah harap kamu berdua
bahagia sehingga ke syurga!” doa lelaki itu. Faris dan Layla terharu.
“ Terima kasih atas doa ayah. Kami pun sayangkan ayah. “ ujar Faris
ikhlas lalu memeluk bapanya erat-erat. Kemudian dia memeluk Layla sekali. Layla
ikutkan saja. Betapa seronok dan puas hati Faris melihat air muka ayahnya
apabila menerima hadiah itu. Betul kata Layla hadiah personal seperti itu lebih
bermakna!