Minggu hadapannya Layla mula
belajar memandu. Tan Sri Omar telahpun mengupah seorang jurulatih untuk datang
mengajar Layla memandu. Jurulatih tersebut datang seminggu tiga kali mengambil
Layla dari rumah ke kelas memandu dan tempat latihan.
Rupa-rupanya jurulatih itu
ialah Rafi yang dia pernah jumpa bersama ibunya semasa di Pavilion. Rafi
pelajar UIA dalam tahun akhir. Dia jadi pelatih buat sementara sahaja dan juga
untuk dapatkan duit poket lebih setiap bulan. Pada mulanya ada pelatih lain
yang akan mengajar Layla tapi entah macamana pelatih itu balik kampung kerana
masalah keluarga jadi Rafilah yang menggantikannya. Tambahan pula ada caj
ekstra untuk ambil dan jemput dari rumah jadi Rafi seronok sangat bila
majikannya mencadangkan dia melatih gadis itu. Lagipun dia pernah ke mahligai
itu.
Bila Layla masuk sahaja ke dalam kereta latihan pemanduan itu dia terkejut
sedikit. Ya Allah jumpa lagi pemuda itu. Rafi tersengeh suka. “ Nampaknya saya
ada jodoh dengan Layla sebab kita jumpa kali kedua.” Kata pemuda itu buat Layla
resah bila perkataan jodoh disebut. Lama Layla terdiam. Rafi yang menyedari itu
tidak berkata apa-apa lagi tentang itu. Dia terus memulakan pengajarannya. Dia
tidak mahu Layla rasa tidak selesa pula.
Sejak
hari itu hampir setiap hari Rafi datang mengambil Layla untuk pergi ke tapak
latihan atau membawa Layla memandu ke beberapa jalan sebagai latihan. Makin
lama makin rapat juga Layla dengan Rafi sebab Rafi suka berbual dengannya
seperti seorang kawan. Tapi, tanpa Layla sedar sebenarnya Rafi menganggap Layla
lebih dari seorang kawan. Sangka Rafi, Layla anak kandung Tan Sri. Lagipun
gadis bermata galak dan berwajah lembut itu nampak begitu muda mungkin gadis
itu masih belasan tahun lagi. Sangkanya Layla yang tidak banyak bercakap itu
kerana malu tetapi sebenarnya Layla tidak mahu melebih kerana dia sedar dia ada
ikatan dengan Faris.
Namun, niat Rafi ikhlas. Gadis
macam Layla sesuai dijadikan isteri jadi Rafi ada memasang angan-angan untuk
menyunting Layla. Rafi adalah berkias-kias pada Layla tapi biasalah Layla buat-buat
tidak tahu. Dia tahu walaupun hubungannya dengan Faris tidak baik dan Faris tidak sukakan dia, tapi niat untuk “curang”
tidak ada pula dalam hatinya. Kalau tak pun kerana Faris tapi kerana Tok Zauyah
dan Tan Sri. Nanti kalau apa-apa berlaku dia tidak mahu memalukan mereka.
Beberapa
kali Rafi mengajak Layla minum dan makan bersamanya selepas latihan tapi Layla
menolak dengan baik. Ingin juga dia memberitahu siapa dia tapi selalu tak
kesampaian. Lagipun dia malu juga sebab umurnya yang muda tapi dahpun jadi
isteri orang. Rafi pula macam setia sahaja mengambil Layla dan menghantar
pulang. Semua itu berlangsung selama beberapa minggu sehinggalah pada latihan
yang terakhir sebelum Layla mengambil ujian memandu keesokan harinya.
Seperti biasa Rafi melatih Layla
di Pusat latihan memandu kemudian dia suruh Layla bawa ke jalan-jalan yang akan
diuji dalam ujian keesokkan harinya. Sampai di satu tempat, Rafi suruh Layla masuk
ke satu jalan yang sunyi. Layla rasa cuak dengan arahan Rafi itu tapi Rafi hanya
tersengeh. Gelihati juga melihat wajah gadis itu yang nampak cuak.
“
Kenapa? Takutke? “ tanya lelaki itu tiba-tiba memandang tepat ke wajah gadis
itu.
“Rafi,
saya rasa baik awak hantar saya balik.” Ujar Layla cemas dan tidak selesa.
“
Nanti dulu. Jangan takut. Saya sebenarnya nak beritahu awak sesuatu. Awak jangan
jawab apa-apa. Cuba dengar saja. Dan jangan risau, saya tak akan apa-apakan
awak.” Rafi menarik nafas. Macam berat sangat perkara yang hendak
disampaikannya.
“
Sebenarnya, sejak saya jumpa Layla, saya dah terpikat tau. Saya tahu saya ni
orang biasa. Harta pun tak ada. Graduate pun belum tapi saya pasti saya boleh
bahagiakan Layla kalau Layla sudi lah. Saya ikhlas nak ambil Layla sebagai
isteri saya”. Layla terkedu. Alamak! Apa yang berlaku ini? Rafi melamar diakah?
Mana boleh dia jadi isteri Rafi sedangkan dia isteri orang? Wajah Layla yang
berubah itu disalaherti oleh Rafi. Layla ingin berkata sesuatu tapi tidak
sempat.
“
Layla jangan jawab dulu. Nanti kalau Layla dah sedia Layla beritahu saya. Dan
esok saya harap Layla akan berjaya dalam ujian tu. Lepas ujian nanti saya akan
belanja Layla.” Ujar Rafi.
“
Tapi...”
“
Layla fikir dulu ye. Jangan cepat sangat bagi jawapan. Tak apa saya akan
bersabar. Walau apa pun jawapan Layla.Yang penting Layla fokus dengan ujian esok.”
Layla terdiam. Dia pun tak tahu untuk jawab apa. Rafi tak kurang apa pun. Orangnya
kacak juga. Matanya sedikit sepet kerana dia ada darah cina di sebelah
ibu. Mahasiswa UIA jurusan kejuruteraan.
Orangnya tinggi dan berkulit cerah. Tinggi juga walaupun tidak setinggi Faris.
Rafi lebih lembut orangnya. Lebih sopan. Lebih berhemah. Agaknya kalau dia
tidak berkahwin dengan Faris sudah tentu dia jatuh cinta agaknya sebab Rafi ada
ciri-ciri lelaki idamannya. Rafi satu pakej yang lengkap tapi apa boleh buat
dia sudahpun milik orang lain. Layla terkedu. Jatuh cintakah dia pada Rafi?
Berdosakah dia pada Faris yang tidak pernah menganggapnya seorang isteri? Layla
bimbang sendiri dengan perasaannya.