Hati Faris masih hangat biarpun dia sekarang telahpun berada dalam kereta
untuk pulang ke rumah. Wajah gadis bermata galak itu masih terpapar dalam
ingatannya. Sungguh berani gadis itu melawan kata-katanya. Egonya terasa sakit.
Mahu sahaja dia meramas-ramas mulut gadis itu kalau gadis itu ada di hadapannya.
Kalaulah dia berjumpa gadis itu lagi. Huh! Tahulah apa nasib gadis itu bisiknya
sendiri sambil membelok kereta sport hitam R8nya ke jalan menuju sebuah
mahligai indah di atas sebuah bukit kehijauan berpagar besi tempawan yang tebal
dan berukir. Dia menekan remote di dashboard untuk membuka pagar automatik
tersebut yang tertutup kembali selepas kereta nya masuk.
Sampai sahaja di rumah kebetulan Pak Amir sudah pun ada. Baru keluar dari
sebuah kereta Mercedes putih milik neneknya sudahpun terparkir elok di hadapan
rumah. Mungkin baru sahaja menghantar Tok Zauyah balik dari entah mana. Dia
lega kelibat Tok Zauyah tiada mungkin sudahpun masuk ke dalam. Orang tua itu
kadang-kadang suka keluar berjumpa dengan rakan-rakan yang seusia dengannya
entah kelas apa Faris pun tidak pasti. Selalu juga orang tua itu ke masjid. Kereta
Bentley ayahnya juga tidak kelihatan. Mungkin bapanya masih di pejabat ataupun
berjumpa rakan-rakan golfnya entah di mana. Dia meletakkan kereta Audi R8 hitamnya di
salah sebuah garaj yang kosong di mahligai itu kemudian mengarahkan Pak Amir
membawa keretanya ke tempat membasuh kereta. Sudah beberapa hari keretanya
tidak berbasuh. Dua tiga hari itu asyik hujan pulak. Kereta hitam itu sudahpun
bertompok-tompok habuk.
“ Jangan lambat ye Pak Amir. Saya nak pakai dalam pukul 8. ” ujar Faris
tegas pada lelaki berumur separuh abad itu. Lelaki itu hanya menggangguk
menurut arahan sahaja. Lagipun dia faham mood anak muda itu yang sering turun
naik itu. Anak orang kaya, begitulah. Desis hati Pak Amir. Kena ikut sahaja
kehendak mereka.
Faris ke biliknya di tingkat tiga mahligai
Bukhary itu untuk membersihkan diri. Dia berehat-rehat seketika sambil membaca
majalah dan sesekali menjenguk Facebooknya. Tiada apa yang menarik hanya
status-status rakan-rakan yang biasa. Beberapa mesej turut dibaca. Kebanyakan
dari wanita. Semuanya mengatakan tak sabar berjumpa dengannya di Zouk. Faris
hanya tersengeh bangga. Semalam rakannya Desmond anak seorang ahli perniagaan
terkenal menelefon Faris. Ajak dia menghadiri parti di Zouk yang selalu
diadakan setiap minggu untuk golongan anak muda elit seperti mereka. Faris
memang teruja juga untuk pergi apatah lagi bila mengetahui Tunku Shahri dan
adiknya Tunku Shafinas akan turut sama menghadiri parti tersebut. Tunku
Shafinas memang agak rapat juga dengannya. Mereka pernah satu sekolah rendah
dulu. Dan sewaktu di Harvard selalu juga terserempak apabila dia ke Boston.
Tapi, dia anggap Shafinas seperti kawan sahaja.
Desmond juga mengajak
beberapa orang lagi anak-anak orang kenamaan yang lain ke kelab tersebut. Ada
keturunan raja. Ada anak ahli perniagaan. Ada model-model tinggi lampai. Ada
juga pelakon-pelakon terkenal memburu untung kalau-kalau tersangkut mana-mana
dari golongan elit ini dan juga anak-anak ahli politik yang terkenal. Seolah-olah
mereka satu kumpulan. Selalu berjumpa dan bergaul dalam ‘circle’ orang yang
sama, mempunyai lebih banyak persamaan. Tambahan pula boleh juga menjadi satu
strategi perniaagaan masa hadapan untuk kelangsungan empayar masing-masing.
Yalah, di Malaysia untuk perniagaan mengenal siapa lebih penting berbanding pengetahuan
dan kepakaran. Itu semua jatuh ke nombor dua. Lagipun, sejak kecil lagi mereka ini
acap kali berjumpa bila ibubapa masing-masing bertemu untuk berbincang
perniagaan atau pergi bercuti bersama-sama ataupun menghadiri majlis-majlis
sosial yang sama. Oleh sebab itu boleh dikatakan ‘everybody knows everybody’ dalam ‘circle’ tersebut.
Sebenarnya dia selalu berjumpa Tunku Shahri. Waktu belajar di Sydney dulu
Tunku Shahri selalu berkunjung juga ke rumah. Teman berlibur di kala bosan.
Kadang-kadang mereka ke konsert bersama. Turut terkinja-kinja macam remaja
Aussie yang lain. Mereka juga ada berjumpa waktu di Boston. Itupun 2 tahun lepas.
Tunku Shahri kelulusan undang-undang dari Oxford. Sudahpun ada firma guaman di
Malaysia. Mengikut jejak ayahandanya yang juga kelulusan undang-undang. Adiknya Tunku Shafinas pun sama. Di
Boston, mereka pernah menetap beberapa hari di apartment mewah Faris. Di
Malaysia ini pula sejak dia balik, dia memang banyak menghabiskan masa dengan
mereka terutamanya Tunku Shafinas yang jelita.
Tunku Shafinas memang wanita
cantik. Ayu dan tertib sesuai menjadi puteri raja. Namun, walaupun begitu dia
masih moden, terikut gaya barat. Itu kata Tok Zauyah bila Faris mengatakan
bahawa mungkin orang macam Tunku Shafinas yang Tok Zauyah maksudkan. Tapi
bukan, Tok Zauyah tak berkenan dengan
Tunku Shafinas. Entah perempuan bagaimana yang Tok Zauyah kata sesuai untuknya
pun Faris tidak pasti. Walaubagaimanapun Faris sering menganggap Tunku Shafinas
seperti adiknya. Mereka kadang-kadang banyak menghabiskan masa bersama tetapi
tidak lebih dari seorang kawan. Begitulah Faris. Dia memang ramai teman wanita.
Wanita bertukar ganti seperti baju yang dia pakai. Tidak pernah sunyi dari
didampingi wanita. Dia sering menukar mereka kerana tidak mahu ada yang
mengganggap dia komited hanya pada seorang. Itu sebabnya dia tidak pernah
keluar banyak kali dengan seorang wanita kecuali Tunku Shafinas. Dia akui dia
memang selesa dengan gadis itu kerana berkawan sejak kecil lagi. Tunku Shafinas
pula suka meneman Faris ke mana-mana.
Walaupun Faris selalu
bertemankan wanita tetapi tiada lagi yang serius baginya. Mereka hanyalah
peneman untuk berhibur belum ada yang berkesan di hati. Faris tidak tahu kenapa
dia masih tidak serius dengan sesiapapun kecuali Ariel di US dahulu.
“ Ha, you tunggu siapa Faris?
Supermodel” Tanya Desmond satu hari apabila mereka selesai sahaja bermain golf
di salah sebuah Golf resort ternama. Kadang-kadang mereka buat kerja gila
bermain Golf di Perth atau di Melbourne menaiki jet peribadi milik ayahnya.
“ Alah Desmond, bukan susah
nak cari perempuan. Bila-bila pun boleh dapat. Tapi buat masa ini I lebih suka enjoy
dan fikir tentang karier I. Nak komited pun buat apa. We are still young. Kalau dah ada girfriend mesti banyak
permintaannya. Ha nanti main golf dengan you pun dia tak bagi you tahu tak.
Siapa jugak yang susah?“ kata Faris bersungguh-sungguh.
“ Hah karier! Sudahlah. You bukan rajin sangat bekerja. Bisnes bapa you
tu I tengok orang lain aje yang uruskan. I rasa Wafiq lagi rajin dari you” ujar
pemuda Cina itu. Faris tersengeh. Betul juga. Dia bukan serius sangat. Cuma
akhir-akhir itu bapanya makin rajin mengajak dia ke sana ke mari. Sudah mula menyuruh dia menguruskan tender
dan juga meminta dia kendalikan mesyuarat. Betul juga kata Desmond. Wafiq yang
kini makin galak menguruskan syarikat. Adiknya itu di bahagian pemasaran tetapi
sudah mula menguruskan hal-hal sumber manusia pula. Dalam banyak perkara Wafiq
agak serius berbanding dengannya dalam hal urusan syarikat sedangkan dia selalu
hilang dengan hal-hal lain. Itu yang sering menyebabkan perbalahannya dengan
Wafiq yang selalu tidak puas hati. Antaranya bermain golf dengan Desmond dan
keluar dengan wanita. Tapi Faris memang tidak peduli. Dia tetap dengan keras kepalanya.
Itulah yang sering memeningkan
kepala Tok Zauyah lebih-lebih lagi Omar Bukhary. Entah bila anak sulungnya itu
akan mula sedar tentang tanggungjawabnya terhadap syarikat itu. Faris sebenarnya
masih lagi belum sedar terhadap harapan bapanya untuk dia menerajui syarikat
mereka itu. Sedangkan Wafiq sering setia
meneman bapanya ke mana-mana.
Faris telahpun siap dengan
pakaian kasual yang sesuai untuk berparti lantas berlari-lari anak menuruni tangga ke ruang tamu. Jam di tangan sudah
pun menunjukkan angka 8.00 malam. Dia baru sahaja mahu keluar ke garaj bila
mendapati kereta Audi R8nya tiada di tempatnya. Damn! Entah kemana pulak Pak Amir bawa ni?. Gumamnya marah. Faris dengan
geram menekan nombor di iPhonenya. Lambat baru Pak Amir mengangkat. Panas hati
Faris sebab Pak Amir seperti tidak faham tentang dirinya yang bukan boleh
bersabar sangat. Pak Amir sepatutnya tahu kerenah Faris yang sangat punctual. Nada deringan akhirnya
diangkat. Tanpa memberi salam Faris menerjah sebaik sahaja Pak Amir berkata
hello.
“ Ha Pak Amir. Ini Faris. Mana
kereta Faris ni? Faris nak keluar dah ni?” ujarnya dengan sedikit menengking. Memanglah
tadi dia minta Pak Amir pergi basuhkan keretanya tapi dia tidak sangka lambat
sangat sampai ke malam Pak Amir bawa. Lagipun dia telah mengingatkan Pak Amir
supaya sediakan keretanya tepat-tepat pukul 8. Selalu Pak Amir tidak begitu,
setiap apa yang diminta Pak Amir tidak pernah menghampakannya. Ataupun Pak Amir
sudah melebih? Yelah seronok bawa kereta sport, getus hati Faris buruk sangka.
“ Maaf Encik Faris. Saya ada hal tadi. Baiklah saya datang secepat mungkin
ni.” Balas Pak Amir macam cemas sahaja dari dalam telefon.
“ Okaylah, tapi cepat sikit. Saya ada hal ni.” Faris mengarah dengan
kasar. Sebaik saja menamatkan perbualannya Faris naik ke rumah semula. Entah
bagaimana dia terserempak dengan Tok Zauyah, wanita tua yang dia tidak mahu
jumpa dalam waktu seperti itu. Melihat wajah wanita tua itu yang semacam Faris
sudah tahu ada sesuatu yang ingin diperkatakan padanya. Itu yang Faris tidak
sanggup. Dia mahu sahaja berpatah ke luar tetapi terlambat.
“ Ke mana Faris? “ Wanita berusia berbadan rendang itu bertanya padanya. Tok
Zauyah memakai jubah hitam bergemerlapan dengan sequin. Tudung hitam di kepala. Entah dari mana. Masjid
agaknya, kata hati kecil Faris. Orang tua itu dah tua-tua begitu masih tegap ke
mana-mana memandu Mercedes putihnya yang purba itu. Sepurba dirinya. Mungkin
kerana semasa muda Tok Zauyah sangat aktif terutamanya beriadah dengan berjalan kaki setiap pagi sehinggalah
sekarang.
“ Err keluar sekejap Tok.” Ujarnya pendek dan serba salah mahu berlalu.
Tapi tak kesampaian apabila wanita tua itu berkata dengan tegas.
“ Duduk sekejap. Tok nak cakap”. Ujar Tok Zauyah yang telah pun duduk di
sofa. Dia mengunjuk pada sofa di hadapannya. Arrgggh.. apa pulak ni! Getus hati
pemuda itu.
“ Tapi Tok saya nak keluar ni. Kawan dah tunggu.” Kata Faris segera masih
tidak mahu duduk.
“ Duduk sekejap Tok kata. Duduk”
paksa orang tua itu lebih tegas dari tadi. Faris buat muka. Apa lagi agaknya
yang hendak dikatakan oleh wanita purba ini. Mahu tak mahu dia terpaksa akur.
Orang tua itu kalau bertegas memang boleh tahan. Macam diktator Itali Mussolini
sahaja lakunya. Kalau tidak pun macam Napoleon.
“ Faris, Tok ni dah tua. Sebelum Tok mati Tok nak lihat Faris
berumahtangga dengan wanita yang Tok sebutkan dulu. “ kata Tok Zauyah tanpa
berselindung. Seperti biasa Tok Zauyah memang tidak berkias. Setiap
perkataannya tepat. Dia bukan kisah perasaan sesiapa. Tidak hairanlah dia dapat
menerajui syarikat Bukhari bersama arwah suaminya sehingga berjaya seperti
sekarang.
“ Tok, saya ni kan masih muda lagi. Baru 27 tahun. Tok dah nak suruh saya
kahwin dalam usia macam ni? “ tanya
Faris sambil memberi alasan. Perkahwinan adalah perkara terakhir yang dia akan
lakukan dalam usia seperti itu. Dan orang tua itu mahu dia kahwin. Wanita ini
datang dari zaman purba mana agaknya?. Mengumpat Faris dalam hati tidak puas
hati.
“ 27 muda lagi? Tiga tahun
lagi dah 30. Apa yang kau tunggu lagi Faris?Tok dah lama tunggu dan Tok
dah tak sabar lagi. Tok dah nekad. Tok akan kawinkan Faris secepat mungkin
dengan pilihan Tok.” Ujar wanita tua itu. Dia pun sebelum itu telah mengupah
orang untuk mencarikan calon yang sesuai untuk cucunya itu. Banyak gambar yang
dia terima dan beberapa telah disenarai pendek. Cuma dia belum memilih
betul-betul sahaja siapa wanita yang sesuai untuk cucunya itu.
“ Tok!” Faris terjerit. Terbangun dari tempat duduknya. Dia sangat-sangat
terkejut. Sampai begitu sekali wanita itu mahu lakukan. Memilih untuknya dan
kahwinkan dia secara paksa? Memang tidak patut. Panas hatinya tapi dia tak
sanggup melawan Tok Zauyah. Sejahat
manapun dia, dia masih menghormati orang tua itu. Nanti kalau dia berkasar
pasti ayahnya pun akan turut marah.
“ Tok mahu saya mati ke?”Apa
kata ayah? Ayah setuju ke?” ujar Faris dengan nada agak menjerit. Dia sangat
tidak percaya sampai ke situ sekali Tok Zauyah akan lakukan.
“ Hei, aku nak kawinkan kau. Bukan aku nak bunuh kau. Budak bertuah!. Aku
tak kisah apa ayah kau kata. Aku selama ini banyak bersabar dengan perangai
kamu semua. Kali ini keputusan aku muktamad. Tiada siapa yang boleh melawan aku.
Kekayaan ini hasil dari titik peluh Tok Bukhari dan aku. Selagi aku masih
bernyawa kata putus di tangan aku. Penat aku bina ini semua bersama Tok kau,
senang-senang kamu semua meranapkannya dengan perangai tak tentu hala? Kau tu
macam tak ada tanggungjawab. Ke hulu ke hilir dengan kereta mewah berlibur sana
– sini dengan entah perempuan mana. Sekurang-kurangnya kalau kau berkahwin kau
baru tahu erti tanggungjawab.” Tok Zauyah membebel. Faris terkedu. Keras betul
kata-kata Tok Zauyah itu. Faris tahu wanita itu yang mengatur semua strategi
dalam perniagaan bapanya tapi dia tidak tahu wanita purba itu begitu diktator
sekali bila tiba masanya. Dan yang paling dia tidak puas hati ialah hidupnya
yang juga mahu ditentukan oleh Tok Zauyah.
“ Tok akan carikan wanita yang sesuai untuk Faris. Satu hari nanti Faris
akan berterimakasih pada Tok kerana buat pilihan begini untuk Faris” Faris
menjuihkan bibir. Mana mungkin. Tok Zauyah ketinggalan zaman. Mana ada istilah kawin paksa lagi dalam zaman
moden dan canggih ini.Tak tahukah Tok Zauyah orang sekarang berkahwin
kerana cinta dan kesesuaian? Kahwin paksa hanya dalam zaman kuno sahaja.
“ Kalau Faris tak setuju bagaimana Tok? “ Faris menduga. Tok Zauyah
tersenyum sinis. Dia tahu Faris tidak akan dapat hidup tanpa wang dan kemewahan
yang dia nikmati pada waktu itu.
“ Kalau Faris tak setuju, senang saja bagi Tok, Faris boleh keluar dari
rumah ini. Tok akan suruh ayah Faris halau Faris dari rumah ini. Tanpa wang
tanpa segala-galanya. Begitu juga dengan kereta. Faris hanya boleh bawa baju di
badan Faris sahaja” Faris terkujat. Sampai begitu ekstrem sekali? Tok Zauyah
memang melampau. Faris pasti bapanya tidak akan bersetuju dengan rancangan Tok
Zauyah itu.
“ Tok memang kejam.” Tuduh Faris. Tok Zauyah buat muka selamba. Sikitpun
dia tidak terasa. Dia tak kisah apa Faris nak kata. Dia tetap dengan
keputusannya. Faris semakin rasa geram. Penumbuknya dikepal-kepal di belakang.
Hanya kerana dia masih hormatkan Tok Zauyah maka tidaklah penumbuk itu
dimaterialisasikan pada saat itu. Dia masih lagi ada rasa hormat pada wanita
itu. Itulah masalahnya.
“ Aku tak kisah. Kalau kau nak menikmati semua ini kau kena ikut cakap
Tok. Kalau tak Tok ucap selamat tinggal pada kau. Kau pergilah cari rumah
sendiri. Cari kerja sendiri.” balas Tok Zauyah. Tergoyang-goyang kepalanya.
Faris merengus. Marah tapi tak guna. Tok Zauyah nampak serius dengan hasratnya.
Faris menelan air liur. Mampukah dia berdikari tanpa wang keluarganya? Setakat
itu semua wangnya adalah hasil dari elaun bapanya dan juga apabila menjadi
Pengarah dalam syarikat Omar Bukhari. Bolehkah dia bekerja sendiri? Sepanjang
hidupnya dia bergantung pada keluarganya. Sanggupkah dia kehilangan kereta-kereta
kesayangannya? Sebelum ini dia boleh menukar mana-mana kereta yang ada.
Bolehkah jika dia hanya ada satu kereta sahaja? Bagaimana dengan golfnya dan
perjalanannya ke mana-mana dengan jet? Akhirnya dia akur. Dia memang tidak
mampu kalau dia tidak menumpang harta keluarganya. Kalau dia pokai habislah
hidupnya melarat. Faris menarik nafas menenangkan dirinya.
“ Bagi saya tempoh Tok.” Ujar
Faris cuba membeli masa.
“ Baiklah. Tok bagi masa untuk Faris fikirkan dulu. Tapi minggu depan Tok
nak jawapan Faris setuju atau tidak, faham?” Faris mengangguk lemah. Memang
pandai wanita tua itu menggunakan peluang seperti itu untuk memaksa Faris
mengikut kehendaknya.
Faris memang tidak terkata apa apabila Tok Zauyah berlalu. Dia meraup mukanya.
Menyisir rambutnya ke belakang dengan kedua-dua tangannya. Dia rasa macam ingin
menjerit. Semangat menyala-nyala untuk keluar tadi padam tiba-tiba. Faris
kehilangan mood. Semuanya kerana Tok Zauyah. Wanita tua itu telahpun naik ke
biliknya. Tapi Faris masih lagi di situ seolah-olah masih terbayang-bayang
wanita itu menetapkan syarat tadi untuknya. Telunjuknya yang runcing
tertunjal-tunjal ke muka Faris mengingatkan dia telunjuk ahli sihir yang jahat.
Argghhh! Faris mengeluh kasar. Terasa berat beban yang dia rasakan itu. Bunyi
kereta menjalar masuk menyebabkan Faris tersedar lalu keluar ke ruang hadapan
rumah.
Kereta Audi R8 kesayangannya sedang menyusur ke perkarangan mahligai itu.
Kemudian dia melihat kelibat Pak Amir dan seseorang. Kelibat seorang gadis
bertudung di tempat duduk penumpang. Hati Faris panas. Patutlah lambat. Agaknya
Pak Amir bawa gadis itu berjalan-jalan macam kereta sendiri! Memang orang tua
tidak sedar diri! Pak Amir memang melampau!.