“ Pak Amir” jerit Faris macam singa lapar ada, macam suara gergasi hodoh
pun ada. Pak Amir kelam kabut keluar. Dia terkejut. Tak pernah Faris menjerit
begitu. Layla juga terkejut. Mak oi teruknya suara, tak boleh cakap baik-baik
kah? desis hati Layla tidak puas hati. Memang kurang ajar. Dia serta merta perasan
lelaki itu yang dia terserempak semasa di KLCC. Ya Allah! Jumpa lagi mamat
sombong itu!
“ Cepat keluar Layla. “ bisik Pak Amir resah. Layla mendengus sambil
memeluk tubuh. Kalau boleh dia tak mahu keluar. Biar padan muka lelaki
tersebut. Dia ingat dia siapa? Pak Amir menyuruh anak gadisnya itu keluar
sekali lagi. Tapi gadis itu tidak juga keluar menunjukkan keras kepala dan egonya.
Geram pula Pak Amir melihatkan. Dalam keadaan begitu anaknya boleh degil pula. Anaknya
masih tidak berganjak. Mata gadis itu tidak berkelip memerhatikan Faris dengan
penuh kebencian seperti Faris hendak ditelannya. Faris pula makin geram bila
melihatkan gadis itu tidak berganjak. Budak perempuan mana yang degil sangat
ni? Dia ingat kereta itu kereta bapak dia ke? Lantas dia terus ke tempat duduk
gadis itu dan membuka pintu.
“ Hoi! Keluarlah!” jeritnya. Layla
terkejut atas tindakan lelaki itu. Faris juga terkejut bila terlihat gadis itu.
Dia pandang semula gadis itu. Ha! Budak kecil di KLCC tadi? Kecilnya dunia! Apa
malangnya dia berjumpa dengan gadis itu lagi? Mereka berpandangan dengan sinar
mata masing-masing yang seolah ingin menelan satu sama lain. Tapi hanya sekejap
cuma. Melihat gadis itu hatinya yang memang sedia panas dek Tok Zauyah seolah
mahu meletup. Siapa gadis itu pada Pak Amir? Ah! Tak kisahlah! Dia menarik tangan
gadis itu keluar dengan kasar. Selepas itu dia menolak gadis itu ke tepi. Gadis
itu terjerit.
Tanpa mempedulikan gadis itu yang mengaduh dia menutup pintu kereta sebelah
penumpang itu dengan kasar. Layla bangun perlahan-lahan menyapu-nyapu
punggungnya. Mujur dia tidak apa-apa walaupun jatuh terduduk. Ganasnya lelaki
itu! Mentang-mentanglah dia tinggi dan besar. Ikut suka saja tolak-tolak orang!
“ Maaf Encik Faris,” kata Pak Amir apabila Faris bergerak ke kerusi
pemandu pula.
“Sudahlah Pak Amir! Tak payahlah nak minta maaf. Pak Amir tahu tak apa yang Pak Amir dah buat?
Menyusahkan orang saja. Lain kali jangan nak pakai kereta ni macam kereta
sendiri. Sedarlah diri tu sikit. Pak Amir ingat ini kereta Pak Amir ke?
Suka-suka hati saja bawa ke hulu ke hilir!” bebel Faris dengan kasar.
Pak Amir tersentak dengan kata-kata pemuda itu yang kini masuk ke dalam
perut kereta kemudian menekan minyak beberapa kali menyebabkan enjin kereta
tersebut menderu ganas. Seganas tuannya. Hampir saja terlanggar tembok sebelum
kereta itu mengaum macam singa gila keluar dari perkarangan. Pak Amir dan Layla
hanya berpandangan. Tapi sinar mata gadis bertudung itu penuh kesumat. Sungguh
lelaki itu tidak ada budi bahasa melayan
bapanya seperti kuli batak tiada harga diri. Memang melampau. Dan dia pulak
adalah lelaki yang dia jumpa di KLCC tadi. Maksudnya dia itu anak Omar Bukhari?
Patutlah berlagak sungguh! Getus hati Layla sangat geram. Kenapalah dia ditemukan
dengan lelaki itu lagi? Mungkin Allah nak tunjukkkan padanya betapa miskinnya
hati budi anak orang kaya macam lelaki itu. Huh! Menyampahnya dia pada lelaki
itu.
“ Layla lambat sangat keluar tadi
kenapa? Kan lagi mengamuk budak tu pada ayah?” tanya ayahnya.
“ Geram saya ayah dengan perangai orang gila tu. Memang kurang ajar.
Kenapa ayah tak bagi saja sebijik kat muka dia ayah? Baru padan muka dia.”
“ Eh Layla, kenapa Layla pulak yang lebih-lebih. Dia kan anak majikan
ayah tak kanlah ayah nak buat macam tu? Lagipun Layla, sabar tu kan lebih baik”
pujuk Pak Amir.
“ Ayah, dia hina ayah macam tu pun ayah nak sabar? Itu dah buli namanya.
Ish kenapalah ayah kerja kat sini dengan orang kurang ajar macam tu?” ujar Layla
tidak puas hati.
“ Selalu budak tu baik tapi ayah pun tak faham apa sebab dia berkasar
dengan ayah macam tu tadi. Dia ada
masalah agaknya” ujar Pak Amir berbaik sangka. Layla menjegilkan matanya tidak
percaya dengan kata-kata ayahnya. Sejak dia mengenali lelaki itu sekejap sahaja
bermula di KLCC sehingga di rumah besar tersergam indah itu, tiada satu
kebaikan pun dia nampak dari lelaki itu. Sungguh tidak ada. Baiknya hati ayah
kerana masih berbaik sangka dengan orang seperti itu!