Sudah
seminggu kenduri perkahwinannya berlalu. Majlis di sebelah Faris dibuat
besar-besaran di hotel terkemuka. Manakan tidak anak jutawan yang kahwin.
Memang meriah majlis tersebut yang dibuat mengikut tema English garden. Entah
berapa banyak baju pengantin disalinkan. Penat Layla dan Faris. Penat lagi bila
terpaksa juga melayan jemputan yang ramai. Layla yang walaupun jarang bergaul
dengan orang seperti itu cuba juga berbasa-basi dan ramah entah pada siapa. Dia
ikutkan sahaja rentak Faris. Faris pun seolah dapat merasakan kekekokan Layla
dengan orang-orang kenamaan terutama apabila ada golongan di raja. Mata Faris
seolah memberi isyarat supaya mengikutnya sahaja. Mujur Tok Zauyah sudahpun
mengajar Layla semua protokol dengan orang-orang kenamaan. Walaupun kekok, Lyla
masih boleh mengawal dirinya untuk tidak membuat sesuatu yang memalukan.
Tan Sri Omar sebenarnya telahpun
menguruskan bulan madu mereka di Paris tapi masing-masing menolak. Layla minta
mereka pergi di dalam negeri sahaja dan Faris memang sangat setuju. Dia faham
Layla pun tak mahu berseorangan dengannya macam dia juga. Faris rasa gembira
kerana Layla macam dia juga. Bijak bersandiwara. Dia tak sangka semuanya
berjalan baik. Dia rasa semuanya akan berjaya. Mereka tidak berbulan madu pun.
Bila tiba ke destinasi mereka Faris sewa bilik berasingan dan akhirnya Layla
menghabiskan masa berseorangan di bilik hotel untuk hujung minggu itu sedangkan
Faris entah ke mana. Layla tidak kisah. Dia faham. Itu adalah perjanjian mereka.
Jadi dia tidak marah dan tidak juga dapatkan penjelasan dari Faris. Dan apabila
mereka pulang semua orang ingat mereka habiskan masa bersama sedangkan Layla
pun tidak tahu Faris pergi ke mana pun.
Atas permintaan Tok Zauyah, Layla
terpaksa tinggal di mahligai Bukhari yang sunyi itu. Dah beberapa minggu dia di
situ. Duduk sebilik dengan Faris tapi tidur berasingan. Di luar dari bilik
mereka berdua berlakon seperti suami isteri yang lain tapi bila di dalam bilik
kedua-duanya mengasingkan diri. Bercakap pun tidak. Mula-mula dia masuk ke
bilik itu Faris sudah menetapkan beberapa syarat. Layla hanya boleh tidur di
sofa. Setiap pagi selepas bangun dia perlu pastikan semua bantal dan selimutnya
dikemas kembali ke dalam almari supaya tiada siapa pun tahu mereka tidur
berasingan.
Faris juga menetapkan semasa dia mahu tidur semua lampu perlu
dipadamkan dan juga semua baju Layla perlu diasingkan dari pakaiannya di bilik
persalinan. Layla diberikan satu ruang kecil di dalam bilik itu untuk
barang-barangnya. Mujurlah dia hanya membawa sedikit barang sahaja kalau tidak,
di mana pula hendak dia letakkan barang-barang itu semua. Barang-barang Faris
memang banyak memenuhi tiga suku ruang bilik persalinan itu. Sesuatu yang Layla
tidak pernah bayangkan bagaimana seorang lelaki mempunyai begitu banyak baju,
seluar, kasut dan entah apa-apa lagi. Tapi semuanya tersusun kemas. Ikut warna
lagi!
Layla juga tidak dibenarkan menyalin baju di
situ dan di bilik kecuali di dalam bilik air sahaja. Hah! Takut tergoda ke apa?
Desis hati Layla mendengar syarat itu. Macamlah dia akan tukar baju merata-rata. Sungguh dia tak
ingin!
Sepanjang masa juga Faris mahu biliknya kemas
dan teratur. Dia tidak mahu satu benda pun berubah dari tempatnya. Mula-mula Layla
masuk ke bilik tersergam itu dia terasa seperti berada di hospital. Katilnya yang
bersaiz king bercadar putih dan bedspreadnya juga putih. Semuanya dalam bilik
itu berwarna putih dan nampak maskulin. Memang sungguh kemas bilik itu tapi
kaku dan dingin. Sekaku dan dingin
seperti pemiliknya mungkin.
Kalau mengikut syarat yang Faris
tetapkan, Layla akan tidur di sofa kulit
di dalam bilik itu. Mujurlah sofa itu
besar juga jadi dengan tubuh Layla yang kecil itu dia boleh tidur dengan selesa
tambahan pula nyaman dengan alat penghawa dingin terpasang sepanjang masa.
Bilik airnya yang luas mempunyai dinding, sink dan lantai dari kemasan marmar Itali,
kelihatan mewah dan berjacuzzi pula. Boleh pilih untuk gunakan shower atau
berendam sahaja di dalam jacuzzi aka tab mandi.
Patutlah Faris memang tidak
betah tinggal di rumah kayu Pak Amir itu dahulu. Sudah tentulah lelaki itu
tidak selesa. Panas dan rengsa hanya ada kipas sahaja. Di tambah lagi dengan
Layla agaknya. Dia sudah biasa duduk di mahligai itu yang cukup serba-serbi.
Tak seperti rumah Layla yang semua orang terpaksa berkongi satu bilik mandi.
Toilet pula di luar. Sekeliling rumah pula penuh dengan ayam itik.
Kadang-kadang ada yang masuk ke rumah. Dia perasan Faris macam geli walaupun dalam
rumah Layla semuanya bersih. Dua hari sahaja lelaki itu dapat bertahan. Hari ke
tiga dia sudah menyiapkan begnya. Alasannya dia ada urusan di syarikat
sedangkan kenduri sebelahnya hanya akan berlangsung minggu hadapannya. Layla pula
di suruh tinggal sahaja dan akan dijemputnya kembali sebelum majlis sebelahnya
pula.
Rasa
menyampah pula dia rasa dengan perangai Faris itu. Takut juga kalau ibu bapanya
terasa tetapi macam Faris dia juga beri alasan yang Faris ciptakan supaya orang
tua berdua itu tidak pelik kenapa menantu mereka mahu pulang awal. Dia pula seolah membantu Faris 'melarikan diri' dari
situ sebab dia pun tidak selesa bila Faris ada. Badannya sakit kerana terpaksa tidur di lantai.
Sudahlah begitu dia menyampah bila lihat Faris yang tidak pernah solat pun. Sesungguhnya
sejak dia tinggal sebilik dengan Faris di kampung dan sekarang di mahligai itu, dia tidak pernah lihat Faris solat
mana-mana waktu. Apatah lagi subuh. Setiap masa bila dia bangun dia lihat
lelaki itu nyenyak tidur. Mahu saja dia baling tuala ke muka lelaki itu supaya
dia bangun subuh. Kalau dia buat macam tu ada pulak yang makan penampar pulak
pagi-pagi itu. Lantaran itu, niatnya itu tidaklah dia teruskan kerana takut
juga kalau Faris bertindak ganas menjadi gergasi pula bila tidurnya terganggu. Ada
juga beberapa kali dia cuba membaca Al-Quran dan terjemahannya kuat-kuat terutamanya
ayat tentang solat dan balasan tidak solat tapi lelaki itu hanya merengus
seketika sebelum menutup wajahnya dengan bantal dan kembali tidur nyenyak.
Itulah
sebabnya Layla tidak impikan untuk hidup bersama Faris selamanya sebab kalau
dari segi ciri-ciri lelaki idaman Faris sudah gagal dalam kriteria pertamanya
iaitu cukup solat lima waktu. Dan entah apa lagi yang Faris pernah buat agaknya.
Dia tidak hairan kalau Faris pernah minum dan tidur dengan perempuan sebab solat
pun dia berani abaikan. Jelas dia tidak takut pada hukum Allah Taala pada orang
yang tidak bersolat. Jadi, bila pulang ke mahligai Bukhari dan Faris tidak mengendahkannya, dia buat hal sendiri kerana antara
dia dan Faris hanyalah sementara.