Selepas peristiwa itu Faris makin possesif
dengan Layla. Layla tidak dibenarkan ke mana-mana tanpa pengetahuannya. Dia
mula curiga dengan tindak tanduk gadis itu walaupun dia pasti Rafi tidak akan
mengganggu lagi setelah diugut. Mengikut orang upahannya, Rafi telahpun pulang
ke kampungnya di Johor. Dia lega tapi dia tahu akan ada lagi yang seperti Rafi
sekiranya gadis itu dibenarkan keluar.
Layla pula masih sedih dengan peristiwa tempohari
di mana telefonnya hancur berkecai. Memanglah telefonnya bukan semahal Samsung
atau iPhone malahan jenama biasa-biasa sahaja tetapi itulah satu-satunya alat
untuk dia berhubung dengan keluarga dan rakan-rakannya. Tanpa telefon itu dia
akan mati kutu dalam mahligai itu.
Sekurang-kurangnya kalau dia ada telefon
boleh juga dia berbual dengan ibu bapanya ataupun dengan Asha dan yang penting
sekali dapat bercakap dengan Rafi. Dia mahu meminta maaf kerana tidak menjawab
mesej lelaki itu tempohari dan seterusnya tidak dapat berjumpa hari itu. Hairan
dia kenapa Faris marah sangat dan bertindak demikian. Kalau betul dia mahu
Layla menjadi isteri kenapa dia tidak melayan Layla sebaiknya? Tetapi bila dia
baik dengan orang lain, lelaki itu marah pula? Dia benar-benar keliru. Apa yang
lelaki itu mahu darinya?
Sejak hari itu
Layla lebih banyak diam malahan tidak bercakap langsung dengan Faris. Dia
memang terasa sungguh dengan tindakan Faris yang melampau itu. Faris pula
membiarkan sahaja. Dia juga seolah-olah cuba untuk tidak mengendahkan gadis
itu. Setelah tiada telefon, tiada Rafi
sudah tentu dia tak perlu risau apa-apa cuma dia perlu memantau sekiranya Layla
keluar ke mana-mana.
Tambahan pula gadis itu sudah pandai memandu sekarang. Tan
Sri Omar pula begitu mempercayai Layla sehingga memberikan gadis itu kunci
kereta Mini Coopernya. Melihatkan itu Faris serta merta pasang strategi. Di
rumah itu Mak Neng telah diarahkan untuk merepot padanya setiap hari aktiviti
Layla. Satupun dia tidak mahu Mak Neng tertinggal. Mak Neng pula yang suka
bercerita seronok saja melaporkan aktiviti gadis itu. Menurut Mak Neng, kadang-kadang Layla memandu untuk Tok Zauyah
menghantar orang tua itu ke masjid dan pasar. Ada juga rasa kurang senangnya
mendengarkan itu. Entah siapa pula gadis itu jumpa di masjid dan pasar nanti. Dia
mula sedar tarikan Layla. Tetapi takkanlah Faris mahu menyimpan sahaja gadis
itu di rumah. Apa pula kata semua orang tentang sikapnya yang possesif itu. Sudah
tentu Tok Zauyah dan bapanya tidak setuju.
Setiap petang sekembalinya dari kerja dia
akan datang berbual dengan Mak Neng tanpa pengetahuan sesiapa di dapur kedua
rumah itu. Dia memang mesra dengan Mak Neng yang telah bertahun-tahun bekerja
dengan keluarganya. Selalu dia duduk di meja makan di situ sambil berbual
dengan Mak Neng sambil minum-minum kopi kegemarannya yang dibuat oleh Mak Neng ataupun
dari mesin kopi automatik buatan Itali yang ada di situ. Sejak dia belasan
tahun lagi. Bila ibunya meninggal dunia, Mak Neng adalah tempat kedua dia
menumpang kasih selepas neneknya Tok Zauyah. Macam-macam cerita keluar dari Mak
Neng yang agak riuh. Terutamanya tentang Layla sehingga Faris terpaksa meminta
Mak Neng jangan bercakap kuat-kuat sangat supaya tiada siapa termasuk Layla dapat
mendengar perbualan mereka.
“
Ni Mak Neng nak bagi tahu seminggu dua ni Layla nampak sedih saja. Tak banyak
bercakap dan ketawa macam selalu. Makan pun macam tak lalu. Faris ada marah dia
ke? Kesian kat dia Faris. Dahlah ibu bapanya jauh. Mesti dia sedih.” Ujar Mak
Neng.
“ Ye ke Mak Neng?” tanya Faris di celah
hirupan kopinya.
“ Betul Faris, asyik temenung aje di kolam
ikan tu. Sebelumni kalau datang tolong Mak Neng dan Tok kamu masak selalu dia
ceria berbual dan bercerita tapi sekarang cakap sepatah-sepatah. Risau Mak
Neng. Manalah tahu dia sakit ke. Faris kan suami dia, eloklah Faris tanya-tanya
dia kot lah ada yang buat dia sedih.”
“ Hmm…nantilah Faris tanyakan. Alah, Mak
Neng bukan tak tahu perempuan ni kadang-kadang ada masa dia tak stabil emosi.”
Faris tahu sangat kerana kadang-kadang teman-teman wanitanya yang lepas-lepas
selalu emosional bila datang masa “istimewa” mereka setiap bulan.
“ Tapi takkan lah sampai 2 minggu Faris…”
balas Mak Neng.
“ Yelah, nanti Faris tanyakan.”
Lebih-lebih pula orang tua itu mengambil berat tentang gadis itu. Tapi hatinya
terdetik juga. Layla bersedih sebab peristiwa tempoharikah? Dia tahu agak
melampau juga dia kerana melemparkan telefon gadis itu ke dinding. Pecah
berderai telefon itu. Dia hanya dengar gadis itu menjerit sahaja tapi mungkin perasaannya
lebih teruk lagi. Anyway serves her right! Kalau tidak pasti
gadis itu dapat berhubung dengan Rafi di belakangnya. Tapi hatinya dibalut
kasihan pula. Ish!
“ Tapi kan Faris, Mak Neng sukalah Layla
tu. Orangnya cantik dan lemah lembut. Kalau Faris ada anak mesti comel macam
Layla. Faris, Mak Neng tak sabar nak timang anak Faris.”
Anak? Faris yang baru
meneguk kopi macam mahu tersedak. Macam-macam pulak fikiran Mak Neng itu. Apa-apa
pun belum bagaimana boleh timang anak pula? Tidur pun asing-asing! Layla pun
benci pada dia macamana pulak nak dapat anak?
“ Hisyh Mak Neng ni, Layla tu budak lagilah.
Saya nak bagi dia belajar dulu Mak Neng. Biar dia dewasa sikit baru boleh jadi
ibu kalau tak perangai macam budak-budak. Kalau dia nangis anak pun nangis
susahlah saya Mak Neng. Saya nak pujuk mana satu?” Balas Faris bergurau lantas
ketawa kecil. Mak Neng turut ketawa.
Mak Neng memerhatikan anak muda itu yang
dah banyak berubah. Sejak dua menjak itu Faris sudah selalu berada di rumah.
Agaknya ada juga pengaruh Layla. Yelah kalau Mak Neng yang perempuan pun
terpegun melihat Layla apatah lagi Faris suaminya. Mudah-mudahan bahagialah
mereka berdua! Doa Mak Neng dalam hati. Dia tahu Faris dan Layla kahwin atas
aturan keluarga. Tapi aturan keluarga pun boleh bahagia biarpun asalnya
masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain. Serta-merta Mak Neng terkenang arwah suaminya
sambil tersenyum bahagia.