Layla tulis
email pada kakak tentang hasrat ibu. Dia menggunakan satu-satunya komputer yang
ada dalam rumah itu. Komputer itu ayahnya dapat dari boss barunya. Komputer
jenis lama tapi masih elok dan boleh disambung kepada Internet pula. Ayah
sambung Internet supaya Layla dan adik-adik dapat belajar lebih baik katanya.
Boleh buat banyak rujukan.
Berbalik kepada apa yang Layla katakan pada kakak, kakak cuma gelakkan dia.
Dia minta Layla berbual dengannya dalam Yahoo Messenger. Besar gelak kakak
dalam chatting itu. Siap ada icon tergolek-golek lagi. Kakak memang suka buat
begitu padanya. Mentang-mentanglah dia adik jadi Nura selamba saja dengan nya.
Tak kisah langsung Nura kalau-kalau Layla terasa. Kakak kata sejak kecil dia
jaga Layla dan dia juga yang basuh kencing dan berak Layla jadi dia sudah biasa
sangat dengan nya. Jadi, dia tak kisah Layla terasa atau tidak.
Menurut Nura, mana mungkin ibunya serius untuk mengahwinkan Layla. Mana
boleh ibu kahwinkan Layla dalam usia yang muda. 18 tahun pun belum kata kakak.
Kakak nasihatkan Layla jangan risau. Lagipun katanya siapalah nak kahwin dengan
budak mentah macam Layla, melawa pun belum pandai. Layla tahu, dia masih di
zaman sekolah. Tak minat bersolek hanya seadanya sahaja. Gincu pun belum pandai pakai lagi sebab segan nak
minta daripada ibu. Nanti ibu mesti perli dia. Masak nasi pun tak pandai ada
hati nak bersolek. Nanti lagi rancak ibu gertak untuk kahwinkannya. Kakak kata
jangan ibu kawinkan dia dengan orang tua cukup. Macam dengan Pak Mail duda anak
tiga di kampong itu.
Layla
mintak simpang malaikat 44. Pak Mail itu kalau beli nasi lemak suka duduk
lama-lama di van ayahnya. Bercerita itu dan ini manakala matanya melilau pada
Layla. Terkenyit-kenyit kadang-kadang. Gelinya Layla. Kakak kata Pak Mail pun
bagus juga sebab dia ada banyak kebun. Hartanya tidak habis dua generasi di
kampong itu. Anak-anaknya pun dah besar-besar semua. Kalau Layla jadi isterinya
dia jadi kaya. Nak-nak kalau Pak Mail mati cepat. Layla jadi janda kaya. Hisyh!
Layla letak ikon muka hijau berasap pada ayat chatting nya.Kakak balas
dengan orang menari. Kakak memang suka mengusik Layla begitu.
Sedang Layla sedap-sedap berchatting
Aisyah datang pula. Minta Layla buatkan susu pulak. Adik-adiknya Musa dan Kamal
bukan mahu menolong. Asyik lesap. Entah main apa di kebun ataupun di bawah
rumah. Jadi, selalu dia yang perlu jaga Aisyah sementara ibunya buat kerja di dapur.
Layla berhenti chatting dengan kakak lalu
memimpin tangan Aisyah dan membawanya ke dapur. Selepas Layla buatkan susu, Aisyah pun berlari pergi merebahkan dirinya di
hadapan tv. Kemudian dengan nikmatnya menyoyot botol susu. Srooot!Sroot!
bunyinya. Di kala itu Layla terasa alangkah bagusnya kalau Layla jadi Aisyah.Tak
perlu menggalas beban yang dipikulkan di bahu nya ini. Boleh duduk tengok tv dan minum susu seharian
tanpa berfikir apa-apa.
Layla balik semula ke atas. Ingin menyambung chatting dengan kakak tapi
kakak sudahpun offline. Abang Zarif
apatah lagi kerana perbezaan masa. Di hari minggu seperti itu kawan baiknya
Asha pun tiada. Nama samarannya tidak menyala. Agaknya Asha ke bandar membeli
belah dengan keluarganya ataupun tidur agaknya.Asha rakannya yang
paling baik. Tempatnya bercerita kisah suka dan duka. Asha menerima nya
seadanya. Tak seperti rakan lain yang kadang-kadang berkawan atas dasar yang
tidak ikhlas. Contoh macam Muna yang berkawan dengannya kerana dia minatkan
abangnya Zarif. Layla tahu abang Zarif macam hero di kampong. Semua gadis
sukakan abang Zarif sebab sudahlah dia pandai kacak pulak. Nanti kalau Zarif pulang dialah satu-satunya
lulusan luar negeri di kampung itu. Tentu banyak duit dia.Tapi Layla terfikir
juga. Ikhlaskah kalau itu sandaran sebuah cinta. Cinta kerana harta. Cinta
kerana kedudukan dan cinta kerana material? Malanglah kalau abang Zarif
dicintai kerana itu dan bukan sebab dirinya sendiri.
Sejak makan tengahari ayah entah ke mana. Ada panggilan telefon untuknya tiba-tiba. Begitulah ayah bila jadi drebar
hartawan itu, Tan Sri Omar Bukhary, boleh dipanggil bila-bila masa sahaja.
Kadang-kadang anak-anaknya, kadang-kadang ibu mertuanya. Isteri Tan Sri Omar
Bukhari meninggal lima tahun yang lalu. Kalau tidak agaknya dia pun akan
memanggil ayah juga. Ayah bukan jadi drebar sahaja.Sudah jadi orang
suruhan dan juga body guard kadang-kadang. Dengan wang berbilion yang mereka
ada masa ayah jadi tidak berharga. Ayah pula seorang pekerja berdedikasi akan turutkan
sahaja. Kadang-kadang Layla merungut juga. Bosan ayah asyik dipanggil sahaja.
Tapi kata ayah kalau dipanggil waktu bukan jam kerja ayah akan dapat overtime.
Kalau jadi body guard lagilah mahal. Layla cukup tidak setuju bila ayah jadi
pak turut sahaja. Sepanjang 5 tahun ayah bekerja dengan keluarga Omar Bukhary, Layla
tidak pernah tahu di mana mereka tinggal malahan rupa mereka pun Layla tidak
pernah kenal. Layla tahulah Omar Bukhari orang keempat terkaya di Malaysia tapi
Layla tak dapat bayangkan kekayaan mereka. Agaknya bagaimana hidup mereka? Makan atas pinggan emas agaknya. Ayah pula
tak pernah bercerita. Seolah-olah semua macam rahsia sahaja. Sebab ayah tidak
pernah bercerita jadi Layla malas hendak bertanya. Mereka tiada kena mengena
dengan nya. Dan Layla tidak sukakan mereka kerana membuat masa ayah kacau bilau.