Seorang pemuda kacak lengkap berkot dan slack merenung keluar dari
tingkap kaca sebuah pejabat. Pejabat tersebut yang berada di tingkat teratas
bangunan itu memang luas dan kelihatan ekslusif. Mata pemuda itu menyorot kaki
langit yang hilang sarat dengan bangunan-bangunan pencakar langit dan
pemandangan indah Menara Berkembar Petronas disiram cahaya pagi. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket
seluarnya. Pagi-pagi lagi dia telah berada di situ atas arahan bapanya. Dan sejak
beberapa bulan lepas dia sudah biasa diminta datang seawal-awal pagi begitu.
Mujurlah dia bukan jenis orang yang suka bangun lambat.
Namanya Faris Nabhan Omar. Anak seorang hartawan terkenal di Malaysia,
Omar Bukhary. Dia lulusan Harvard dalam bidang Seni bina baru pulang dari
Negara Uncle Sam dua bulan lepas. Sejak pulang Faris terasa kebosanan yang
teramat. Dia dipanggil pulang di
kala dia sedang menikmati hidup yang mengujakan di kota Boston. Entah apa yang
ayahnya mahukan darinya. Omar Bukhari seolah-olah tidak sabar lagi sebab dia
menghantar jet ke Boston untuk membawanya pulang. Agaknya, adiknya Wafiq Irfan
yang punya angkara. Wafiq memang cemburukannya kerana dia anak kesayangan ayah.
Ayah pandang dia lebih dari Wafiq kerana sepanjang hidup dia turutkan kata
ayah. Ayah kata dia perlu ambil senibina dia ambil, sehinggalah mencapai Summa
Cum Laude. Anugerah paling tertinggi sekali. Tapi Wafiq tidak. Dia selalu
mengecewakan ayah. Dan dia tahu disebabkan oleh itu Wafiq selalu cemburu
padanya.
Entah kenapa dia tiba-tiba
terkenangkan kelembutan Ariel di kota Boston.Ariel, kelahiran Italy dan
Jewish mempunyai kecantikan yang tiada tolok bandingnya. Dia baru sahaja cuba memikat
wanita itu membawanya makan malam dan berhajat membawanya pulang ke apartment
mewahnya bila-bila nanti tapi semua itu hanya angan-angan bila panggilan dari
ayahnya menyuruh dia pulang pada satu malam. Hubungannya dengan Ariel berhenti
setakat itu sahaja. Mati sebelum ada bibit-bibit apa pun.
Dan dalam dua bulan itu dia dipaksa menguruskan satu anak syarikat
hartanah bapanya. Pengalamannya dua
tahun di Boston ayahnya minta untuk garapkan di syarikat milik keluarga
sendiri. Bagi Faris tiada masalah sebab ramai juga pekerja ayahnya yang boleh
diharapkan di situ. Dia hanya mengarah sahaja sebab dah jawatannya pun
Pengarah. Faris tidak kisahkan sangat tentang syarikat. Dia memang boleh
kendalikan. Tapi yang dia bosan sangat ialah terpaksa berdepan dengan neneknya
setiap hari, Tok Zauyah. Wanita tua itu yang sebenarnya menguruskan semua.
Ayahnya banyak menurut sahaja. Ada sahaja yang tak kena pada wanita zaman purba
atau ancient itu. Yelah umurnya pun sudah 75 tahun. Memang konvensional dan
tradisional.
Faris pasti kepulangannya yang
mengejut itu ada kena mengena dengan Tok Zauyah. Tok Zauyah memang tak berkenan
dengan cara hidup Faris yang lebih moden dan hedonis itu. Berpeleseran dengan
ramai wanita. Berhibur sampai pagi. Walaupun Faris jarang minum tapi wanita
tidak lekang dari sisi.Wajahnya yang tampan sering menghiasi dada
majalah elit. Faris Nabhan memang ada rupa. Tampan bergaya dengan ketinggian
hampir 6 kaki. Ada darah Arab dari sebelah bapa. Ibu pula kacukan Inggeris
Melayu. Sekali imbas rupa Faris bukan macam orang Melayu. Susuk tubuhnya macam
orang putih. Tinggi dan sasa.
Matanya sedikit perang. Hidung tinggi berkarekter tersendiri. Tapi
kemelayuannya terletak pada kulitnya yang tidak begitu cerah dan rambut tebal
hitam pekat berombak. Kekacakannya mencairkan hati mana-mana wanita sahaja. Tok
Zauyah tahu Faris boleh dapat sesiapa sahaja. Tapi bagi Tok Zauyah, cicit yang
dia harapkan mestilah dari seorang wanita yang baik. Wanita melayu yang baik
dan solehah. Itu sahaja cara untuk perbetulkan kesemuanya kembali. Itulah Tok
Zauyah sering katakan apabila Faris mengungkit kenapa dia dipanggil balik.
Omar Bukhary sudah gagal dulu menurut Tok Zauyah. Berkahwin dengan wanita
kacukan Melayu yang juga sudah hilang Melayunya. Lama Tok Zauyah memendam rasa.
Mengikutkan kata anaknya yang tersayang nan seorang itu, menyebabkan Tok Zauyah restui sahaja
perkahwinan Omar Bukhary walau dengan hati kurang rela. Tapi, Omar Bukhary
kecewa akhirnya. Dikecewakan oleh isterinya sendiri. Kebahagiaan yang ingin dimiliki
hanya sekejap cuma. Tok Zauyah tidak suka campurtangan dalam rumah tangga
mereka. Sehinggalah terlewat. Omar Bukhary dan Sophie akhirnya tidak bahagia.
Sophie akhirnya meninggal dunia akibat barah. Tapi Omar Bukhary sudah lebih
dulu mati dari Sophie. Sophie yang diharapkan tidak pernah mencintainya.
Malahan Sophie sering curang dengannya. Entah apa yang kurang dari Omar Bukhary
menyebabkan Sophie sering mencari lelaki lain di belakang Omar.
Tok Zauyah sedar Faris makin jauh dari kemelayuannya. Walaupun semasa kecil dihantar belajar ugama
tetapi berpuluh tahun di Australia mengikis semua. Ada Omar Bukhary bawa Faris
ke Mekah. Sebenarnya sudah haji kecil pun tapi itu semua hanya tinggal gambar
usang dalam album lama keluarga. Tok Zauyah tidak faham kenapa ini semua berlaku.
Macam-macam cara telah dibuat supaya anak-anak Omar yang bertiga iaitu Faris,
Nabila dan Wafiq kembali mengamalkan cara hidup Islam dan orang Melayu tetapi
mereka tetap sama. Wafiq dan Nabila pun begitu juga. Kekayaan telah
menghanyutkan mereka. Nabila masih di Universiti di Ireland. Sekali-sekala
sahaja pulang ke Malaysia. Wafiq pula baru sahaja graduasi dari sebuah
university di UK dalam bidang kejuruteraan. Dia kini turut membantu Omar
Bukhary. Tapi dalam mereka bertiga itu Faris yang paling menonjol. Anak Omar
yang paling sulung yang diharapkan untuk meneruskan generasi keluarga Bukhary.
Itulah sebabnya dia menasihati Faris kalau
memilih isteri bagaimana. Bagi Faris, kriteria Tok Zauyah hanya ada dalam
khayalan sahaja. Mana ada lagi wanita Melayu seperti yang dikatakan itu.
Rata-rata wanita Melayu yang Faris jumpa sudah moden. Kebanyakan mereka adalah
anak orang kenamaan. Mana ada lagi yang seperti wanita Melayu terakhir. Wanita
seperti itu sudah pupus dalam kamus hidup Faris.Mungkin wanita begitu
Tok Zauyah pandang tinggi tapi bagi Faris macam tiada standard. Mana kan sesuai
untuk dia. Faris sukakan wanita yang cosmopolitan dan sofistikated. Bagi dia
wanita sebegitu sahaja yang boleh dibuat peneman dan rakan sehidup semati. Sama
gelombang minda. Kalau kriteria Tok Zauyah, Faris bimbang wanita seperti itu
berakal jumud. Sempit mindanya. Sesempit tudung yang mereka pakai mungkin.
Memang Faris tidak nafikan wanita bertudung ada yang memang cantik tapi Faris
tak terbayang kalau salah seorang dari mereka menjadi soul matenya. Hah! Mana
mungkin!. Dia asyik terbayangkan Ariel sahaja. Lagi satu dia akan rasa malu
kalau wanita begitu di sisinya. Sudah tentu dia pun terpaksa barlagak baik
pula. Sedangkan dia bukan begitu. Solat memang jarang sekali. Bersosial memang
biasa. Berparti memang sudah kewajiban. Jadi, di manakah hendak dia letak
wanita seperti itu dalam hidupnya. Mesti kekok segalanya. Mesti huru-hara
segalanya. Tok Zauyah memang sudah hilang akal agaknya kalau mahu juga dia
mencari wanita sebegitu.
Selama hidupnya dia tidak pernah mendekati wanita bertudung litup.
Baginya mereka memang off limit dengan tudung mereka yang pelik. Faris memang
tahu wanita Islam wajib menutup aurat tapi selama dia hidup dia tidak pernah
kisah sangat tentang agama Islam. Dia selalu rimas melihat mereka bertudung
dengan pelbagai warna. Bukankah kecantikan perlu ditunjukkan? Apa perlu
ditutup-tutup pula? Zaman sudah moden dan wanita juga perlu moden. Baginya
menutup aurat adalah seperti ketinggalan zaman dan untuk wanita yang tertindas
sahaja.
Faris kembali ke mejanya. Melihat fail-fail yang tersusun di atas meja.
Itu adalah fail-fail projek yang dia kendalikan sejak dia pulang ke Kuala
Lumpur. Dia memandang fail-fail itu dengan bangga. Kemudian dia beralih kepada
komputernya memang terpasang sejak tadi penuh dengan email-email yang masuk tak
terkecuali message-message Facebook dari rakan perniagaan dan sosial. Selalunya
pagi-pagi itu dia akan memeriksa email melihat mana yang urgent memerlukan
perhatiannya dan yang juga penting tapi tidak urgent. Semua email telah
disisihkan mengikut folder tertentu berdasarkan projek-projek yang masuk. Sejak
dulu dia sukakan kerja yang bersistematik dan tersusun. Sebab itulah mejanya
sentiasa kemas tersusun. Dia sukakan kerja yang terancang dan teliti. Ketelitian
itulah yang menyebabkan dia berjaya dalam pelajaran begitu juga dalam kerjanya.
Satu panggilan telefon mengejutkannya. Segera dia mengambil telefon di
hadapannya.
“ Oh Julia, how are you? What can I do for you? “ Tanya Faris kepada seseorang di
hujung talian. Faris mengangguk-angguk seketika. Julia adalah salah seorang
rakan perniagaannya. Syarikat mereka sudah lama berurusan dari generasi datuk
Julia lagi. Hari itu Julia memintanya untuk makan bersama di KLCC. Gadis
keturunan Cina kacukan India itu sering mengajaknya keluar kalau ada peluang
tetapi Faris seperti biasa membataskan hubungan mereka sekadar rakan perniagaan
sahaja. Macam dia, gadis itu juga sering bertukar-tukar teman. Dia tidak mahu
keruhkan hubungan baik mereka sekeluarga sekiranya ada apa-apa yang terjadi..
“ Ok, I will be there. See you soon Julia.” Ujar Faris lantas meletakkan
gagang. Ada banyak perkara yang perlu dibincangkan dengan Julia untuk projek di
Langkawi yang akan bermula dua bulan lagi. Dia melihat jam Luminor Panerai di
tangan yang telahpun menunjukkan pukul 11.30 pagi. Dia harus segera ke sana
sebelum jalan kian sesak dek kerana waktu makan tengahari. Tambahan pula tempat
parkir di KLCC pula mudah penuh di kala waktu begitu. Lagipun dia tidak mahu
pulang lewat sangat hari itu. Dia teringat Desmond yang mahu mengajaknya ke sebuah
parti di sebuah kelab ekslusif malam itu.