“Bertuahlah kau Layla. Orang nak dapat
sponsor pergi luar negeri pun susah. Engkau ni pulak dapat pergi dengan suami
sekali. Ibu bersyukur sangat-sangat Layla. Ada orang jaga kau di sana. Kalau
tak, risau hati ibu ni.” ujar ibu padanya. Layla hanya tersenyum. Bertuah ke
kalau Faris pun ikut sama? Layla tidak rasa begitu. Hidupnya akan terkongkong
seperti sekarang. Lagipun, ibu tidak tahu tentang perjanjian mereka dan
perangai Faris yang sebenarnya. Tapi dia terharu dengan kata-kata ibunya itu.
Waktu itu Layla sedang membantu ibunya
memasak di dapur untuk makan tengahari. Ibu sedang mengacau gulai masak lemak cili
padi ikan keli manakala dia sedang menyiang pucuk ubi untuk dibuat urap. Walaupun
dia baru sahaja sampai sekejap tadi, ibu paksa Layla memasak dengannya hari itu
kerana dia mahu Layla pandai masak sebelum ke Boston katanya. Lagipun, menurut ibu, nanti di Boston bukannya
ada orang gaji macam di mahligai itu jadi ibunya ingin pastikan yang anak
gadisnya boleh memasak. Kalau tidak
katanya malu dia dengan Faris. Seolah-olah dia tidak pernah mengajar Layla
memasak langsung. Pada pandangan Mak Mah, seorang ibu perlu mengajar anaknya
memasak sebaik-baiknya.
Di
samping itu dapat juga Mak Mah berbual dengan anak gadisnya yang sangat
dirinduinya itu. Dapatlah dia melepaskan rindu sedikit. Mahu tak rindu. Sejak
kahwin itulah julung-julung kali Layla balik ke kampung walaupun Layla sering
menelefon bertanya khabar. Bagi seorang ibu, mendengar suara tidak sama dengan
bertemu muka.
“ Nanti bolehlah masakkan lauk kegemaran
Faris.” Ujar ibunya riang. Entahlah.! Laylapun bukan tahu nak masak apapun.
Apatah lagi lauk kegemaran Faris. Selama Layla di sana dia bukan kisah sangat
makanan kegemaran Faris sebab hanya Mak Neng saja yang masak setiap hari. Dia
juga tidak teliti apa yang Faris suka makan. Yang dia tahu Faris memang suka
sangat ceasar salad. Yang lain-lain itu kebanyakkannya makanan Western.
Layla telahpun
membasuh pucuk ubi tersebut bersih-bersih kemudian dimasukkan ke dalam tapisan
plastik dan seterusnya dicelur sedikit. Kemudian ibunya mengarah dia
menyediakan rencah bahan untuk urap tersebut seperti bawang merah, bawang
putih, cili, ikan bilis, belacan dan sedikit cekur. Semua itu di tumbuk
halus-halus kemudian ditumis dengan sedikit minyak sebelum dimasukkan kelapa parut,
sedikit air asam, garam dan gula. Selepas terbit minyak baru di masukkan pucuk
ubi yang telah dicelur itu. Seterusnya dikacau-kacau seketika atas api yang
kecil sehingga sedikit kering. Bau urap memenuhi suasana. Layla terasa lapar
terus waktu itu. Terdetik hatinya, Faris makan ke urap seperti itu? Urap yang
tak secanggih salad-salad kegemaran Faris? Kalau Layla, urap itu memang
kegemarannya. Memanglah jauh beza dia dan Faris. Jenis makanan sahaja telah
menunjukkan perbezaan mereka berdua.
“ Err... Faris tu macamana orangnya Layla?
Almaklumlah hari tu dia datang tidur sekejap aje kat sini. Ibu tak sempat pun nak
kenal dia sangat.” Layla terpempan. Kacauannya penyudipnya di atas kuali
berhenti seketika.Apa
dia nak jawab ye? Tak kan nak keluarkan semua cerita negatif pasal lelaki itu.
Nanti kalau ibu tahu risau pulaklah dia dapat menantu seperti itu.
“ Ermmm okay je ibu. Sama macam suami orang lain.” Jawab Layla
acuh tak acuh. Mak Mah sedikit sangsi. Ye ke?
“ Apa yang dia suka makan? Baik tak dia dengan kau?. Ibu dulu
risau kalau-kalau kamu berdua tak boleh terima satu sama lain. Yelah kahwin
aturan keluarga. Kamu pulak dulu bukan suka pun dengan Faris tu.” Terang Mak
Mah. Mak Mah mula bertanya soalan cepu emas nya. Layla tersengeh tak selesa.
Aduh! Ibunya macam penyiasatlah pulak. Layla
serba salah. Dia tak mahu menipu ibunya itu tetapi kalau ibunya tahu hal
sebenar pasti akan menyakitkan hati ibunya pula. Bukan itu saja, malahan akan merisaukan
ibunya pula. Dia tak mahu ayah dan ibunya risau tentang dia. Biarlah mereka
fikir yang baik-baik saja mengenai dia dan Faris.
Sesungguhnya, memang Mak Mah risau sebaik sahaja Layla ke
mahligai Bukhari. Dia tahu bukan senang untuk Layla terus diterima. Setiap hari
dia berdoa selepas solat kepada Allah SWT supaya Layla diterima dan sentiasa
gembira di rumah itu. Supaya Allah sentiasa menjaga Layla dengan sebaiknya.
Mujurlah, Layla pun selalu menelefon dan semua yang dikhabarkannya setakat itu
elok-elok sahaja maka hati Mak Mah lega sikit. Dia bersyukur Layla elok-elok
saja di rumah itu.
“ Dia baik… baik aje dengan saya ibu. Dia pun layan saya dengan
baik. Kalau makan pulak tak memilih tak menyusahkan orang. Apa je pun dia sebat
ibu. Memang senanglah.” Ujar Layla tidak mahu memburukkan Faris. Mujur dia
boleh mengelak begitu. Kalau pecah rahsia dah risau pula orang tua itu. Biarlah
dia sahaja yang tahu apa keburukan lelaki itu. Nanti kalau dia sebut sahaja
yang buruk mengenai Faris sudah tentu ibunya terus risau. Dah jadi konflik
pula. Dalam hal seperti itu setiap perkara perlu berhati-hati tambahan pula
melibatkan dua keluarga.
“ Baguslah macam tu. Tak cerewet namanya. Senanglah kamu nanti
kalau nak masakkan dia apa-apa. Tapi kalau cerewet pun kamu boleh belajar apa
yang dia suka. Itupun tak ada masalah juga. Seorang isteri kenalah belajar
masakan kegemaran suaminya. Ibu dulupun belajar dengan arwah nenek kamu apa
yang ayah suka makan. Seronok bila kita masak untuk suami ni menambah kasih
sayang suami isteri. Layla tahu tak nak pikat suamini dari perutnya?” terang
ibunya panjang lebar penuh nasihat. Dia tahu Layla masih mentah, sangat memerlukan
nasihat untuk mewujudkan hubungan suami isteri yang bahagia dan harmoni.
“ Ye ke ibu? Tapi kan, saya tak mahulah Faris gemuk ibu bila
dia asyik makan sedap aje. Nanti dah tak handsome pulak, macamana bu?” Ujar
Layla buat-buat main pula. Mesti kelakar wajah Faris di kala itu kalau dah
gemuk dan buncit. Layla tergelak-gelak gelihati. Mak Mah buat muka. Orang serius dia main-main
pula.
“Hish kamu ni buat main-main pulak nasihat orang. Kamu jagalah
supaya dia tak gemuk. Bawalah dia exercise dan jaga badan” nasihat ibunya.
“ Tak apa ibu, Faris tu suka bersenam dan berenang. Mesti dia
tak gemuk nanti kalau Layla masak sedap-sedap. Jadi tak payah risaulah. Dia
akan maintain handsome dan macho aje. ” Ujar Layla dari celah tawanya.
“ Ha baguslah. Kamu berenang sama tak dengan dia?” ibunya
menduga. Ini soalan perangkap ke apa?
“ Adalah jugak ibu…
Faris yang upah cikgu renang untuk ajar Layla.” Jawab Layla tersengeh. Mak Mah
ketawa kecil.
“ Baguslah tu Layla.
Nampaknya elok aje kamu berdua. Ibu syukur kamu berdua bahagia.” Layla
tersengih sahaja. Bahagia? Entahlah ye? Banyak gaduh adalah. Kalau ibu tahu
betapa dinamiknya perhubungan mereka suami isteri mesti ibu tak lena tidur.
Sekejap baik sekejap gaduh. Ada masa Faris melayannya dengan baik ada masa kena
marah pula. Entahlah, kadang-kadang dia keliru juga biarpun Faris ada
mengatakan dia hanya mahukan Layla sahaja. Tapi caranya itu yang kadang-kadang
suka menyindirnya dan menyakatnya membuatkan dia tidak berapa pasti dengan
perasaan Faris terhadapnya.
Gulai masak lemak ikan keli, sayur urap, telur dadar daun
kunyit dan ikan masin carik bulu ayam menjadi hidangan makan tengahari hari
itu. Hidangan itu hidangan kampung yang ringkas.Tapi bila urap pucuk ubi yang
pedas, dimakan dengan ikan keli masak lemak, ikan masin dan telur dadar dengan
nasi panas-panas, mereka sekeluarga makan dengan berselera sekali. Laylapun
apatah lagi, makan sehingga tak menoleh-noleh kiri kanan lagi. Lama sungguh dia
tidak merasa masakan ibunya. Rindu sungguh. Bertambah-tambah nasi di pinggan, tambahan
pula makan beramai-ramai dengan adik beradik dan ibu-bapanya lagilah berselera.
Lagipun, di semasa di mahligai Bukhari,
Mak Neng tak pernah masak ikan keli kerana tiada siapa sukakan ikan keli sedangkan
dirumah Layla semua orang peminat ikan keli. Ibu bapanya sengaja beli ikan istimewa itu sempena
kepulangannya. Justeru, Layla dapat merasakan curahan kasih sayang ibunya yang telah
bersusah payah memasak semua lauk kegemarannya.
Bila berjauhan begitu,
Layla dapat merasakan perhubungannya
dengan ibunya menjadi bertambah baik. Sudah tentu ibunya juga rindukannya
seperti dia rindukan wanita itu. Kalau tidak dulu pasti ada saja yang ibu tidak
puas hati dengannya. Macam-macam komennya namun sejak dia berkahwin inilah baru
dia dapat merasa kasih-sayang Mak Mah padanya.
“ Ha, dah hilang rindu awak pada anak awak
tu?“ usik ayahnya
sewaktu mereka sedang menghadap makan tengahari itu. Ayahnya baru pulang dari
restorannya. Ibu menjuihkan bibirnya geram pada kata-kata ayahnya itu. Layla
gelak saja. Ibu macam biasa bukan mahu mengaku, tapi Layla rasa bahagia kerana
dia tahu apabila ayahnya ada berkata begitu, bermaksud Mak Mah ada menyebutkan
rindunya pada Layla dengan Pak Amir sewaktu mereka berdua. Kalau ibunya tak
sebut pun tapi perlakuan ibunya sejak dia masuk ke rumah hinggalah sekarang
telah menunjukkkan kerinduannya pada Layla. Itupun sudah cukup. Cukup untuk
buat dirinya terasa begitu bahagia.