“Awak dah siap melukis?” tegur seseorang lantas memeluknya dari belakang. Zaqwan tidak mampu menolaknya kerana dia tahu itu siapa berdasarkan suara dan bauan minyak wangi yang dipakai.
Zaqwan melihat orang ramai mulai bersurai seakan-akan kejadian tadi tidak pernah berlaku. Kenderaan sudah melalui lintasan jalan raya seperti biasa apabila lampu isyarat bertukar hijau.
Zaqwan menoleh ke belakang lalu menguntum senyuman paling manis sambil membalas pelukannya. Walaupun banyak mata memerhati, dia tidak peduli akan hal itu. Imbasan lalu membuatkan dia berasa sangat bersalah terhadap isterinya. Masakan wanita kesayangannya sanggup dicederakan. Apabila mengenangkan isu yang membuatkan dia marah, Zaqwan menjadi serba salah.
“Mawar,” panggil Zaqwan, membelai rambut Mawar yang jatuh berjuntaian di dahi.
“Saya dah bawa bekal… jom kita isi perut dulu!” ajak Mawar, menunjukkan beg tote yang mengandungi bekas-bekas berisi makanan
Zaqwan menjadi berselera apabila tercium aroma enak masakan berasaskan santan. Fikirnya, Mawar menyediakan sayur masak lemak dan tentu sekali dibawakan udang masak sambal petai berserta nasi putih. Itu memang set hidangan tengahari kegemarannya tidak kira masa. Pasti bertambah-tambah nanti, sepinggan tidak cukup apatah lagi Mawar memang seorang yang pandai memasak.
“Ayuh!” Zaqwan mengajak Mawar untuk mencari tempat teduh.
Mereka berpimpinan tangan dengan gembira. Masing-masing sudah senyum sampai ke telinga.
Baru beberapa langkah, ekor mata Zaqwan mengesan sesuatu mendatang dengan laju dari arah hadapan mereka. Berderau, jantungnya bagai terhenti secara tiba-tiba memikirkan bahaya akan datang. Matanya terbeliak dan sempat melirik ke arah Mawar dengan pandangan yang penuh dengan kerisauan.
Mawar hairan melihat reaksi suaminya, sekadar mengangkat kening untuk meminta jawapan.
“Hati-hati,” jerit Zaqwan secara tiba-tiba lantas menarik Mawar dengan kuat ke dalam pelukannya.
Mereka saling berpandangan sebelum memandang ke suatu arah. Enjin motosikal berdentam-dentum menarik perhatian mereka.
Seorang pembonceng motosikal, berhenti tidak jauh daripada mereka sedang menoleh ke arah Zaqwan dan Mawar, wajahnya tersembunyi melalui pemakaian topi keledar, selanjur meludah ke tanah menggambarkan rasa tidak puas hatinya sebelum memulas pemegang.
Kedengaran bunyi tayar berdecit, si pembonceng bertindak memusingkan motosikalnya lalu meluru laju ke arah mereka. Mujur, masing-masing sudah bersiap-siaga lalu berjaya mengelak diri daripada dilanggar.
Angin menerpa deras menerbangkan rambut Mawar menandakan betapa lajunya pembonceng itu membawa motosikalnya. Kalaulah sang pemboceng berjaya melanggar mereka, pasti cedera parah yang boleh membuatkan mereka bermalam di hospital. Paling tidak boleh dibayangkan, itu merupakan hari terakhir mereka bernafas.
Zaqwan menjegil mata melihat sang pembonceng yang semakin menjauh. Amarahnya meluap-luap, penumbuk dikepal kuat sehingga mengigil.
“Kurang ajar!” Terluah juga rasa marahnya, nafasnya turun naik.
Dalam beberapa langkah jugalah dia berlari laju untuk mengejar sang pembonceng.
Tidak lama itu, dia beristighfar berulang kali, terlupa nyawanya dan Mawar masih lagi ada. Kemudian, berkali-kali dia mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi kepanjangan umur.
“Mawar… sayang okey?” soalnya dengan penuh kebimbangan sambil memeriksa seluruh tubuh isterinya jikalau tercedera di mana-mana.
Mawar mengangguk menandakan dia baik-baik sahaja. Senyumannya kelat terukir juga sekadar untuk menenangkan kerisauan yang bersarang dalam hati suaminya. Dia juga berdebar hebat dengan ancaman seperti ingin mengincar nyawa mereka. Mengigil-gigil seluruh tubuhnya.