Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 46

Zaqwan pulang ke rumah pada waktu pagi setelah semalaman meluangkan masa dengan ibunya, Manisah di hospital. Sejujurnya, dia berasa takut untuk pulang ke rumah. Hatinya berasa tidak sedap, macam ada perkara buruk yang akan berlaku nanti. Dia beristighfar berulang kali dalam hati untuk menyingkirkan rasa kurang enak yang membelenggu. Dia berharap dia dapat segera bertenang dan menjalani harinya dengan baik pada hari ini.

Semasa dia memasuki rumah, dia terhidu bau yang enak seperti nasi lemak. Terliur terus nafsu makannya, perutnya automatik berkeroncong hebat. Mungkin sahaja Mawar sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi buat mereka. Dia melangkah ke dapur dan teryata benar tanggapannya apabila meja makan dipenuhi dengan nasi lemak, sambal sotong, timun, telur rebus dan ikan bilis di dalam bekas masing-masing. Lama rasanya tidak menikmati nasi lemak untuk sarapan pagi.

Mawar sedang meletakkan dua biji piring di atas meja, dia tersenyum menyaksikan kemunculan suaminya seakan-akan peristiwa semalam terus lenyap dari ingatan.

“Awak dah balik? Saya dah siapkan sarapan. Hari ni sarapan kita, nasi leibu sambal sotong.” Sambut Mawar dengan ceria sedikit sebanyak membuatkan Zaqwan lega dan berharap isu tidak pulang ke rumah waktu malam tidak dibangkitkan nanti. 

“Saya… ya, saya baru balik. Panjang pula perbincangan dengan klien malam tadi.” Tergagap-gagap Zaqwan memberitahu peristiwa yang tidak benar.

Garpu dan sudu diletakkan di atas meja, Mawar tersenyum sambil memandang tepat bola mata Zaqwan sehingga suaminya tidak selesa direnung sedemikian.

“Saya nak mandi dulu bersihkan diri. Nanti saya datang,” dalih Zaqwan, tidak berani bertemu mata selepas tidak berterus-terang perkara sebenar.

Cepat-cepat Zaqwan meninggalkan dapur menuju ke bilik tidur untuk mengambil tuala.

“Bohong. Aku paling benci bila orang berbohong dengan aku!” Bicara itu hanya dapat didengari telingannya sahaja sambil ekor mata mengekor pergerakan Zaqwan.

Mawar berdengus, gelas dihentak kuat semasa disusun di atas meja, Zaqwan tertelan liur mendengarnya sewaktu menuju ke blik tidur mereka. Tidak tenteram dibuatnya, seleranya tiba-tiba mati.


Zaqwan lega apabila Mawar terlebih dahulu keluar pergi kerja setelah bersarapan tadi. Bersiul-siul Zaqwan memasuki keretanya, dia tidak sabar untuk bertemu dengan ibunya. Banyak benda dan perkara ingin disembangkan bersama. Dia akan singgah di mana-mana untuk membelikan ibunya tart telur kegemarannya untuk dinikmati bersama nanti. 

Sebaik sahaja keretanya keluar dari perkarangan rumah, Zaqwan tidak perasan sebuah kereta mengekorinya dari kejauhan. Ternyata Mawar yang berada di dalam kereta itu. Dia berbohong dengan mengatakan harus tiba awal ke Roselinda Florist memandangkan hampir tidak cukup tangan menerima tempahan.

“Kau nampak begitu gembira wahai suamiku. Aku takkan benarkan perempuan lain memiliki kau. Kau hanya milik aku seorang sahaja sampai mati,” luah Mawar, berasa tidak selamat dengan kedudukan sebagai isteri Zaqwan walhal suaminya seorang yang sangat setia.

Mawar memberi sepenuh tumpuan pada pemanduannya. Bola mata tidak lepas dari memandang kereta Zaqwan yang jauh ke depan. Sengaja dia menjarakkan kedudukan mereka, khuatir juga Zaqwan menyedari dirinya sedang diekori. Nanti-nanti pasti akan ada pelbagai persoalan yang bakal dilontarkan suaminya. Entah-entah, pertengkaran hebat bakal tercetus nanti lantaran

Mawar melihat Zaqwan singgah di sebuah kedai manisan. Dia tahu apa yang dibeli Zaqwan melihat pada bungkusan yang dibawa keluar dari kedai. Makanan yang turut menjadi kegemarannya juga. Terbakar jiwanya, dia menghentak-hentak stereng berulang kali. Rambutnya sudah kusut-masai, dia tidak mempedulikan imejnya.

Perjalanan mereka berakhir di hospital yang dikunjungi Zaqwan semalam. Sekilas Mawar melihat ke arah bangunan hospital, dia memegang kuat stereng kereta sebelum menghentaknya seperti orang gila.

“Hospital? Anak dari perempuan simpanan kau masuk wad, ya? You such a good daddy!” Mawar dengan andaian yang bukan-bukan dan tentu sekali meleset jauh daripada kenyataan sebenar.

Seseorang yang berada di puncak bangunan hospital yang paling tinggi sedang ketawa melihat Mawar berprasangka buruk kerana rancangannya berjaya. Dia bertepuk tangan dengan penuh semangat menyaksikan persembahan menarik daripada sang pelakon yang sudah direncanakan.

“Kita takkan pernah tahu siapa pemenangnya sebelum semuanya benar-benar berakhir!” laung seseorang dari atas puncak namun, tidak mampu didengari sesiapapun.

Dengan kasar, Mawar keluar dari perut kereta mengikuti Zaqwan yang sudah masuk ke dalam bangunan. Zaqwan masih tidak sedar dirinya diekori sudah tiba di depan pintu wad Manisah.

“Oh… jadi di sini. Kau tunggu,” sindir Mawar yang masih tidak tahu hal sebenar, mengeluarkan telefon pintar lalu menghubungi Zaqwan.


Bergetaran telefon pintar dalam poket baju, terlihat nama Mawar sebagai pemanggil. Lagi sikit sahaja dia hampir menolak pintu untuk memasuki ke dalam bilik menempatkan Manisah. Zaqwan mengeluh berat, mesti ada sesuatu yang ingin dipinta isterinya.

“Helo, sayang?” Sambut Zaqwan dengan ceria, dia tidak mahu Mawar mengesyaki yang bukan-bukan.

“Awak… hari ni Siti cuti pula! Saya tak ada sesiapa yang boleh tolong hantarkan tempahan bunga. Awak datanglah sini cepat. Saya hampir putus nafas uruskan kedai sendirian,” pujuk Mawar dengan suara begitu manja mencairkan hati Zaqwan. Sambil itu, dia sengaja menghela nafas berat agar berkesan lakonannya.

Lain pula dengan realiti keadaannya sekarang, Mawar mengenggam tangan dengan kuat kerana rasa marah yang sudah sampai sampai kemuncaknya. Matanya seperti helang memerhati tindakan Zaqwan yang seperti cacing kepanasan, serba salah sama ada untuk menerima atau memberi alasan. Seharusnya, Zaqwan tidak perlu berkira-kira memberi jawapan demi isteri tersayang.

“Tapi, sayang…” Serba salah untuk Zaqwan memberikan alasan.

Mendengar Zaqwan seakan berat hati, Mawar merenyukkan hujung baju dengan kuat. Hampir sahaja dia mahu melenting apabila permintaannya seakan tidak diendahkan. Dia perlu bersabar sedikit lagi kerana dia yakin permintaannya akan dipenuhi.

“Aduh, hampir patah pinggang saya angkat pasu ni seorang diri!” Mawar berlebih-lebihan membuat nada suara kesakitan yang teramat sangat.

“Okey… okey! Saya datang sekarang, awak jangan angkat barang yang berat-berat,” ucap Zaqwan penuh dengan kerisauan. Dia mengalah dalam sekelip mata.

Panggilan mereka tamat di situ. Mawar tersenyum puas melihat Zaqwan pantas meninggalkan kawasan itu. Kemenangan berpihak kepadanya buat seketika. Kemudian, pandangan teralih kepada pintu masuk wad berkenaan.

“Perempuan tak guna… aku datang!”

Lengan baju sudah siap dinaikkan. Dia sudah sedia untuk bertemu secara berdepan dengan seseorang yang disangka skandal kepada suaminya. Kalau sampai keadaan meibusa, dia akan menggunakan senjata yang disisip pada pinggang.


Terbeliak besar mata Mawar melihat Manisah tersenyum hambar menyambut kedatangannya di situ sekali gus memadamkan prasangka Zaqwan curang dalam perhubungan mereka. Walaupun prasangka itu lenyap, dia terkejut dan tidak menyangka akan bertemu dengan Manisah saat ini.

‘Jadi, Zaqwan dah bertemu dengan dia?’ getus Mawar, tiba-tiba rasa risau bertamu kalau-kalau rahsianya terbongkar.

Perlahan-lahan Mawar mengatur langkah menghampiri Manisah. Dia perlu berhati-hati dengan sebarang ancaman tidak terduga. 

“Kau betul-betul Manisah?” soal Mawar, keliru bagaimana Manisah boleh berada di situ seperti ada dua Manisah; satu di hospital dan satu lagi bersama dengan Kidman. Perkara itu tidak logik untuk diterima dek akal.

Bicara antara mereka lumpuh buat beberapa saat seketika. Tubir mata Manisah mulai bergenang dengan air mata, berkaca-kaca dan ditahan dengan sedaya upaya supaya tidak menangis di depan perempuan kejam seperti Mawar. Air matanya tidak berbaloi dititiskan untuk seseorang seperti itu, orang yang membenci dan menyeksanya dalam senyap.

“Ya… ibu mentuamu yang kembali dari neraka!” herdik Manisah dengan penuh kemarahan teringat peristiwa lalu antara mereka.

Mata Manisah terbeliak luas sambil tangannya menepuk tilam berulang kali seperti orang hilang akal. Siapa sahaja tidak hilang akal setelah nyawanya diincar berulang kali.

Mawar terperanjat sampai jatuh terduduk di atas lantai. Dia terkejut dengan perubahan sikap Manisah secara mendadak. Dia merapatkan kaki ke dada, takut sekali kalau-kalau Manisah sememangnya mengingati segala kekejaman yang dilakukan dahulu. Paling membuatkan dia cuak, Manisah mungkin sudah menceritakan semua yang berlaku kepada Zaqwan.

Apabila perkara itu terjadi, siap sedialah untuk dia kehilangan suaminya selama-lamanya! Batin Mawar menjerit sepenuh hatinya! Dia tidak akan membenarkan perkara itu terjadi. Dia akan elakkan perkara itu menjadi kenyataan.


Imbas kembali…

Beberapa hari lepas…

“What are you talking about? Nak pergi tinggalkan Malaysia dengan Manisah? Are you serious? You macam betul-betul nak bertaubat daripada berbuat jahat sedangkan perkara ini sudah pun mengalir menjadi darah daging you,” sindir Mawar, siap memeluk tubuh sebagai tanda protes.

Kidman sedang tergesa-gesa memasukkan pakaian miliknya ke dalam bagasi. Dia hampir berlaga bahu dengan Mawar yang memang sengaja menghalang pergerakannya untuk bergerak pantas. Kidman menjeling memandang Mawar sejenak, terasa kehadiran wanita itu sangat menjengkelkan dan mengganggu sahaja hidupnya yang tenang dan bahagia bersama Manisah.

“Sebab tu I nak tinggalkan Malaysia. I nak jauhkan diri daripada semua kesalahan yang pernah I buat,” kata Kidman dengan jujur, semacam ada rasa kesal pada nada suaranya.

Zip bagasi ditarik sampai tertutup sepenuhnya. Kidman bercekak pinggang, mengah betul rasanya mengemas pakaian yang perlu dibawa.

“Kata-kata you menggambarkan you seorang yang pentingkan diri. How about me? Kalau kes rompakan Galeri Seni Antonio berjaya dibongkarkan polis, you tahukan kita berdua boleh terlibat sama. Wah, masa tu, you dah sedap-sedap berada di luar negara dan I yang akan tanggung akibatnya seorang diri! What a brilliant idea!” bebel Mawar, tinggi nada suaranya membuatkan Kidman menjengil biji mata.

“Don’t worry… your father never let you in danger. I know my brother very well,” balas Kidman dengan yakin, terus keluar dari bilik membawa bagasi ke ruang tamu.

“Memang betul you pentingkan diri,” tebak Mawar, mengekor langkah Kidman.

“Stop it! I nak bercuti dengan hati yang tenang. Banyak betul pekara terjadi sepanjang beberapa hari ni. I stress… jadi, jangan nak mulakan pentengkaran antara kita.”

“Bercuti? Haaa… dengan Manisah, kan?”

Mata nakal Mawar menjeling ke arah Manisah yang sedang duduk di ruang tamu sambil menonton siaran di televisyen. Perbualan antara Mawar dan Kidman yang sedikit bising tidak langsung mengganggu tumpuan Manisah. Dia bagai tenggelam dalam dunianya sendiri.

“Ya, kami akan bertolak nanti malam ke Langkawi. So, jangan cuba-cuba nak contact I dan mengadu masalah you masa tu. I dah cukup serabut. Apa kata you berbuat baik dengan ayah you? Apa-apa nanti senang. Dia akan boleh tolong you dalam kesusahan nanti,” kata-katanya bersulam amaran dan nasihat dalam masa yang sama.

Mawar memeluk tubuh, matanya tidak berkelip menikam tajam bebola mata Kidman.

“Never!” Hanya satu perkataan namun, cukup dengan ketegasan terhadap prinsip yang diamalkan selama beberapa tahun.

Kidman hanya mampu mengeluh dengan perangai satu-satunya anak saudaranya itu. Dia tahu, memang mustahil mereka akan berbaik seperti hubungan anak ayah keluarga lain.

“Never mind, I nak berangkat dah ni tinggalkan rumah.”

“You halau I?” sindir Mawar, menjongket kening.

“Nope, I akan hantar you keluar dari rumah ni dengan cara terhomat. Silakan, wahai tuan puteri!”

Kidman menggunakan tangannya menunjuk pintu utama rumahnya.

“Apa-apa jelah!” Mawar sambil berdengus lalu menepis tangan Kidman dengan kasar.

Mawar mengalah, dia sendiri yang melangkah keluar sambil menghadiahkan jelingan ke arah Kidman yang sudah tergeleng-geleng kepala menyaksikan kelakuan Mawar yang cepat meradang jika tidak berpuas hati terhadap sesuatu.

“Manis… kita perlu pergi,” panggil Kidman dengan lemah-lembut tidak lama selepas Mawar pergi.

Manisah menekan punat off pada alat kawalan jauh televisyen. Kidman memapah Manisah yang seperti orang bingung sambil mendorong bagasinya keluar dari rumah. Orang gaji Kidman menghantar mereka berdua sampai ke pintu utama.

Kidman memandu sendiri ke lapangan terbang. Sepanjang perjalanan tersenyum bahagia kerana akhirnya mereka berdua akan meluangkan masa bersama. Manisah pula berwajah sugul sepanjang perjalanan layaknya seperti orang sakit. Badan sahaja di situ, mindanya sudah jauh menerawang memikirkan sesuatu yang tidak akan mungkin dimergeti oleh Kidman.

Jari-jemari Manisah yang runcing ditenung dengan niat tertentu yang sudah lama diidamkan. Mula-mula Kidman menahan kuat diri daripada mengikuti nafsu namun, akhirnya dia meraih jua jari-jemari Manisah lalu digenggam seperti pasangan yang mempunyai ikatan sah dalam perkahwinan. 

Manisah tidak memberi apa-apa reaksi, dia hanya merelakan seperti patung yang tiada perasaan manakala Kidman bahagia sendirian dalam anganan. Dia tidak tahu bahawa kebahagian bersama Manisah merupakan sesuatu yang paling mustahil didapatkan seumur hidupnya! Meski dia tahu, dia tidak akan pernah menerima hakikatnya.


Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.