Dua minggu kemudian…
Perempuan berselendang hitam berdiri di depan katil yang pernah menjadi tempat beradu Zainuddin bersama dengan isterinya, Manisah. Penumbuknya digenggam kuat memikirkan perkara itu, ada cemburu menyelubungi hatinya.
Perempuan berselendang hitam mewujudkan perbualan lalu bersama dengan Zainuddin di kamar itu suatu ketika dahulu. Tepatnya, ketika Zainuddin dikunjungi oleh seorang detektif muda buat kali pertama. Terbayang-bayang, Zainuddin sedang duduk di atas kerusi sambil mengelus lembut tangan Manisah yang sedang tidur di atas katil.
“Aku suka dia. Semangatnya seperti aku, sentiasa membara dalam melakukan pekerjaan yang disukai. Perangainya… aku melihat sebahagian perangainya seperti aku,” kata Si gadis pembunuh ketika itu setelah detektif muda berkenaan meminta izin untuk mengundurkan diri dari rumah berkenaan.
“Dan… sepertinya dia juga pandai membaca suara hati orang lain. Memahami dan menyelami makna di sebaliknya,” balas Zainuddin.
“Seperti memahami irama dalam hati kau? Irama yang membawa makna jiwa kau… emosi kau. Begitu?”
“Betul.” Pendek sahaja balasan Zainuddin sambil mengusap rambut Manisah dengan penuh kasih sayang.
Perempuan berselendang begitu geram dengan jawapan pendek keluar dari mulut Zainuddin. Jika mengikut hatinya, ingin sekali dia menerkam Zainuddin. Bukan kerana jawapan itu akan tetapi kerana perbuatan Zainuddin melayani isterinya dengan penuh kasih sayang. Dia pun teringin dilayani sedemikian rupa.
‘Selagi kau wujud… aku akan disisihkan!’ jerit suara hati Si gadis pembunuh. Menyampah sekali dengan kewujudan Manisah.
“Sampai bila kau ingin berdiam diri? Aku boleh bertindak tapi kau menghalang aku!” cabarnya untuk melihat reaksi yang bakal diterima nanti.
“Sudah… jangan sebut lagi,” pujuk Zainuddin dengan nada suara lembut.
“Kau terlalu berlembut hati! Jangan sampai suatu hari nanti… kau perlu membayar nilai sabar kau dengan nyawa sendiri!”
Ketika itu, kelihatan Zainuddin tergamam, tidak menyangka sampai begitu sekali ramalan perempuan itu.
“Sudah… tinggalkan aku dengan isteri aku,” putus Zainuddin akhirnya, dia malas berdebat dengan isu yang hanya menimbulkan masalah di kemudian hari.
“Baiklah… kalau itu yang kau mahu. Aku hanya boleh jadi penonton kepada kematian kau,” ugut perempuan berselendang.
Imbasan peristiwa lalu berakhir di situ, ada keluhan berat keluar dari mulut
“Ternyata… memang benar aku terpaksa melihat kau mati. Baiklah, aku tahu kau memang degil dan tak akan mendengar cakap aku sampailah ke akhir hayat kau.”
“Kita takkan pernah boleh buat apa-apa. Hakikat diri kita takkan pernah berbohong,” sampuk seseorang.
“Diam!” jeritnya sambil menolak jatuh pasu kecil berisi sekuntum bunga mawar merah yang terletak di meja kayu kecil sebelah katil.
Berderai kaca pasu bunga sambil air di dalamnya membasahi karpet di atas lantai.
Noraini menghentikan kereta di bahu jalan sebaik sahaja tiba di kawasan jalan raya berhampiran dengan hutan belukar. Rutin yang dilakukan semenjak kebelakangan ini. Tas tangan dan beberapa bungkusan plastik berisi bahan kering dan juga masakannya diambil sebelum keluar dari perut kereta. Jalan raya sunyi tanpa kenderaan lalu-lalang diperhati sejenak, risau jika ada individu lain mengekorinya sampai ke sini.
Setelah berasakan dirinya selamat dan tidak diekori sesiapa, Noraini mengunci kereta sebelum berjalan kaki meredah kawasan jalan kecil di dalam semak-samun yang hampir tidak terlihat itu. Itulah jalan yang akan dilalui setiap dua kali seminggu. Habis seluar dan hujung baju dilekati kemuncup, Noraini sudah lali akan keadaan sedemikian.
Setelah berjalan kaki kira-kira lima minit, Noraini tiba di hadapan sebuah rumah usang diperbuat daripada kayu. Asalnya, rumah itu digunakan oleh para pemburu di hutan berhampiran untuk bermalam jika keluar memburu. Kini, rumah itu ditumpangi seseorang yang sedang melarikan diri daripada kenyataan dunia sebenar.
Krek… engsel yang sudah lama tidak diminyakkan menghasilkan bunyi nyaring dan panjang terasa menyeramkan apabila sendirian di dalam hutan. Terbersin-bersin dibuatnya, dalaman rumah berhabuk datangnya dari debu berterbangan di luar dan hampir bersawang kerana jarang dibersihkan penumpangnya.
“Helo?” Sekadar menegur penghuni di dalam setelah memberi salam, bungkusan plastik diletak di atas meja bulat ruang tamu yang sedikit berhabuk.
Angin sejuk menerpa masuk membuatkan bulu roma Noraini berdiri tegak. “Oh, tingkap terbuka rupanya.”
Noraini menuju ke arah tingkap diperbuat dari kayu yang terbuka luas, tenang rasanya dapat melihat permandangan hijau terbentang luas. Udara segar waktu pagi terasa menyamankan sekali. Kalau boleh tiap hari dia ingin berada di situ, jauh daripada kesesakan kota yang diselubungi dengan asap tebal dari kilang dan kenderaan.
Ting. Bunyi guli jatuh ke lantai simen sengaja dijatuhkan seseorang untuk menarik perhatian Noraini yang masih tidak menyedari kehadirannya.
“Sorry… saya terleka pula.”
Lekas-lekas Noraini mendapatkan seseorang sedang duduk di atas kerusi roda yang juga sedang menghadap tingkap. Ditangannya terdapat uncang hitam, Noraini tahu apa isinya; beberapa biji guli terdapat di dalamnya dengan tujuan untuk memanggil seseorang tanpa menggunakan suara. Seseorang itu sudah lama tidak mengeluarkan suaranya. Sebenarnya, seseorang yang begitu malu untuk bercakap mengenai kisah hidupnya.
Seseorang yang sentiasa menyorokkan wajahnya dengan menggunakan selendang hitam yang sudah lusuh warnanya. Sebolehnya, dia tidak ingin sesiapa melihat wajah sebenarnya sedangkan sudah lama tempat itu tidak dikunjungi oleh orang awam setelah menjadi hak milik persendirian individu.
“Mari saya lapkan badan mak cik. Lepas tu, boleh saya kemaskan rumah. Lama dah rasanya saya tak tolong kemas. Sibuk sangat kebelakangan ini. Maafkan saya, ya.”
Saat Noraini mahu menyingkap selendangnya, seseorang itu menepis dan menolak untuk diperlakukan sedemikian setiap kali mahu dibersihkan diri. Mula-mula dahulu, Noraini tersentap. Lama-lama, dia sudah menjadi terbiasa.
Beberapa kali mencuba, berjaya juga akhirnya selendang itu ditanggalkan. Tersingkap rupa sebenar seseorang itu. Mereka yang tidak biasa pastinya akan terus jatuh pengsan. Awal-awal dulu, Noraini hampir juga pengsan, mujur sahaja ada Aniq Zafran yang memberi semangat kepadanya.
Pandangan mereka bertautan tidak lama kerana seseorang itu terus memalingkan pandangan. Seseorang menggenggam tangan yang menggigil, suara seperti esak tangis perlahan kedengaran halus menyapa telinga Noraini. Seseorang itu benci wajahnya dilihat sesiapa pun.
“Cantik… mak cik Nur cantik sekali.” Hampir gugur air mata Noraini. Jiwanya terusik dengan keadaan fizikal wanita itu.
Dalam mindanya, Noraini seakan membayangkan seseorang yang berwajah kemelayuan tersenyum dengan pujian Noraini membalas, ‘Terima kasih.’
Hakikatnya, seseorang itu masih sedang bersedih hati dan berada dalam kemurungan dalam tempoh yang panjang.
Noraini terpandangkan sesuatu yang sedang dipeluk seseorang yang digelar sebagai mak cik Nur.
“Boleh saya tengok?” pinta Noraini, cuba menyentuh sesuatu yang dikenal pasti sebagai bingkai gambar kayu bersaiz mini.
Noraini sendiri yang tidak tahu dari mana wanita itu mendapatkan benda itu. Seriau membayangkan seseorang selain dia dan Aniq Zafran pernah melawat mak cik Nur. Pandangan matanya melilau memerhati ruang dalam rumah. Mendadak dia berasa tidak selamat menempatkan mak cik Nur di situ.
Nur meronta, dia tidak mahu sesiapa memegangnya. Malang sekali, rontaannya hanya membuatkan bingkai gambar itu terjatuh ke lantai lalu berderai kacanya. Mujur, tiada di antara mereka tercedera.
“Ini…” kata Noraini saat mengutip bingkai gambar. “Mak cik Nur rindukan dia?” soal Noraini, pantas Nur merampasnya sambil bergenang air mata.
Nur memejamkan mata sambil menahan rasa sebaknya.
“Saya bantu mak cik bersihkan badan dulu.” Noraini sengaja kembali kepada topik asal melihat reaksi wanita yang sedang berduka lara. “Oh… lupa saya siapkan air mandian mak cik. Kejap ya?” Noraini tersedar kesilapannya, bangun menuju ke bilik air.
Nur membiarkan sahaja wanita muda itu berlalu. Dia tersedu-sedan sendirian sampai terhincut-hincut bahunya kerana terlalu sedih dengan apa yang berlaku dalam hidupnya.
Sementara menunggu Nur bertenang, Noraini menghantar pesanan kepada Aniq Zafran. Dia menerangkan apa yang berlaku tadi.
“Ya Allah! Mak cik… kenapa ni mak cik?” Noraini terkejut melihat Nur menggenggam kuat kaca pecah sampai berdarah-darah tangannya lalu menitis ke lantai simen. Tidak sampai 5 minit dia meninggalkan wanita tua itu bersendirian sudah berlaku kejadian tidak terduga.
Serpihan kaca tajam disingkarkan daripada genggaman walaupun Nur meronta-ronta tidak mahu melepaskan sambil diiringi dengan bunyi tangisan kuat yang sangat menghibakan. Hampir histeria Noraini dibuatnya, ingin dimarah, teringat Nur itu merupakan orang tua yang harus dihormati dan disayangi. Noraini mencuba menyabar diri sementelah sudah lali dengan emosi tidak stabil wanita itu.
Terkocoh-kocoh Noraini mencari apa-apa sahaja kain bersih untuk menghentikan aliran darah daripada luka terbuka di tangan Nur. Sehelai kain perca sederhana besar dijumpai dalam laci almari kayu buruk di ruangan tamu.
Noraini menarik nafas lega sebelum mengoyakkan kain itu kepada beberapa bahagian. Pertama sekali dilap-lap sampai berhenti mengalir darah lalu kemudian mengikat kuat tangan Nur.
“Syukur… Alhamdulillah lukanya tidak dalam.”
Bagai menyertai acara marathon, berpeluh-peluh Noraini dibuatnya sampai terduduk kepenatan. Tercunggap-cunggap tidak cukup nafas dibuatnya.
Keadaan menjadi hening seketika, Noraini menutup mata sambil mengeluh berulang kali.
“Ke… kenapa kau tak bi… biarkan aku mati?” Nur mulai bersuara setelah beberapa lama tidak bercakap dengan sesiapa. Suaranya kedengaran bergetaran seperti orang yang baru belajar bercakap.
Pantas Noraini membuka mata, dihambat kejutan lagi sekali. Laju Noraini memegang kedua-dua tangan Nur lalu menyoal, “Mak cik… mak cik dah boleh bercakap? Alhamdulillah!”
Tangan wanita tua itu menggeletar sewaktu menyeka air mata jatuh deras ke pipi. Bibirnya yang pucat bergetaran untuk mengatur percakapan seterusnya. Namun, tidak jadi untuk meneruskannya lalu memaling muka membuang pandangan melalui tingkap terbuka luas.
Lalang-lalang menguning bersama dengan rumput-rumput liar tumbuh meninggi beralun-alun ditiup angin mendamaikan sungguh hatinya yang walang.
“Sayang…”
Mindanya menwujudkan susuk tubuh lelaki yang dicintai sepenuh hati muncul di balik lalang dan rumput meninggi.
Mata Nur terbeliak sambil tangannya seakan ingin menggapai bayangan ilusi ciptaan minda. Noraini tertarik untuk melihat sudut yang dipandang Nur namun, dia hanya melihat seibu-samun yang tidak sempat-sempat ditebas. Nanti-nanti dia akan mengupah tukang mesin rumput, tekadnya dalam hati.
Semakin galak Nur menggapai sesuatu yang tidak terwujud di alam nyata sampailah tidak sedar bahawa tubuhnya sudah terkeluar dari kerusi roda. Jeritan mereka sama-sama kuat apabila Nur terdorong ke depan lalu jatuh tersembam bersama dengan kerusi roda ke lantai simen yang keras.
“Abang…” panggil Nur sambil teresak tangis tanpa mempedulikan kesakitannya.
Nur mengesot setelah menyedari dia tidak akan mampu berdiri seperti manusia normal lain.
“Mak cik… mana ada sesiapa!”
Noraini turut sama menitiskan air mata, jiwanya tidak tega melihat keadaan itu.
“Sayang…” muncul suaminya tersenyum sedang sama-sama duduk di lantai sambil mengesat air matanya, erti kata lain mindanya memanipulasi keadaan sebenar. “Biarkan dendam itu berlalu pergi.”
Semakin lebat esaknya apabila susuk suaminya mengucup dahinya. Terasa hangat di dahi bagai perkara itu nyata.
Jujur, setelah mendengar pujukan itu, hati Nur berasa lembut dan tenang seketika. Angin menyapa lembut membuatkan rambutnya dengan beberapa uban memutih beralun-alun. Dia termenung seketika di situ terkenangkan memori manis antara mereka pada masa lalu. Alangkah baiknya, masa boleh diundur kembali, ada beberapa perkara yang ingin diubahnya.
Ketenangan itu tidak lama apabila tiba-tiba dia mendengar bisikan seseorang bersama dengan desiran angin.
‘Belum mati kau rupanya!’ tegur seseorang dalam suara yang keras.
Nafas Nur bagai mahu terhenti mendengarnya. Dia tahu, seseorang sedang berasa begitu marah akan kewujudannya.