Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 14

Nur termenung seperti biasa di kerusi roda tepi tingkap. Sekali imbas wajahnya menanggung penderitaan hebat seperti seorang yang berada dalam kemurungan dalam tempoh waktu panjang. Beg hitam berisi guli dan foto dalam bingkai tidak bercermin dipeluk erat seakan nyawa yang perlu dijaga dengan begitu rapi.

Noraini sudah hampir satu jam meninggalkan rumah kayu usang itu, pasti ingin menyempurnakan urusan kerja hakiki yang terbengkalai gara-gara datang melawatnya sekaligus membersih-bersihkan apa yang patut di situ. Biarlah. Perempuan muda itu pun ada urusannya sendiri.

Ting! Bunyi yang tidak asing itu menarik perhatian Nur, bunyi seperti guli bergolek di atas permukaan lantai. Ternyata tekaannya tepat apabila dia melihat sebiji guli bergolek dari jauh sehingga berhenti betul-betul di tayar kerusi rodanya. Guli miliknya digunakan untuk menarik perhatian Noraini yang datang berkunjung.

Bibir Nur yang kering bergetaran, matanya terkebil-kebil menakung air mata dan menunggu masa untuk pecah lalu tumpah. Dia begitu ketakutan apatah lagi seorang diri di rumah jauh di dalam hutan. Dia tidak akan mungkin berjaya melarikan diri kerana kakinya sendiri sudah lama tidak menjejak lantai untuk berjalan. Kakinya begitu lemah akibat apa yang pernah dihadapi seketika dulu.

Jantungnya makin berdebar kuat apabila mendengar derap tapak kasut seseorang dari arah belakang. Nur hampir berhenti bernafas melihat bayang-bayang hitam terbias di atas lantai berhampiran. Siapa pula yang sudah memecah masuk rumah itu, fikirnya.

Dengan jelas, Nur mendengar dengusan nafas seseorang. Kehangatan nafasnya begitu terasa di batang leher Nur. Berderau dibuatnya, ada seseorang lain yang misteri bersama dengannya di situ. Yang pasti, seseorang yang membawa perkhabaran buruk buatnya.

“Dah pergi pun si budak hingusan tu,” komen suara dari bayang-bayang itu.

Tumpah juga air mata melihat bayang-bayang hitam itu mulai memperlihatkan diri. Gigi Nur saling berlaga atas bawah sehingga dia mampu mendengarnya. Dia juga tidak sanggup untuk melihat wajah seseorang itu, lantas berpaling ke arah lain sambil menahan suara tangisnya.

“Kau nampak sihat… cukup sihat untuk menghadapi cabaran lagi sekali.” Kata-kata itu seakan ancaman kepadanya.

Seseorang dalam pakaian serba hitam meletakkan tangan ke bahu Nur. Sejuk membeku rasanya sampai ke tulang belakang. Kata-kata seseorang tadi berjaya membuatkan Nur termenung melihat pantulan wajahnya sendiri pada cermin tingkap.

“Sihat? Wajahku yang pucat seperti mayat hidup… itu dikatakan sihat?” soal Nur dalam keadaan bibirnya bergetaran.

Seseorang itu ketawa, dia sudah mendekatkan wajahnya bersebelahan dengan Nur.

“Cukup sihat untuk menafikan kewujudan aku!”

Berderau lagi Nur mendengarnya, dia menguatkan diri untuk memandang wajah seseorang di sebelah. Tidak mungkin selama-lamanya dia melarikan diri daripada hakikat sebenarnya.

Seseorang mengelap air mata Nur menggunakan jari-jemari halusnya.

“Jangan menangis. Simpan air mata tu hari mendatang. Mana tahu, kalau-kalau kau terpaksa menangis sekali lagi untuk nyawa kau.” Seseorang bercakap separuh berbisik kepada Nur.

Seseorang melihat Nur sedang memeluk bingkai berisi foto keluarga. Dia berdengus, tersengih dan memandang sinis perempuan di atas kerusi roda itu.

“Keluarga? Apa itu keluarga kalau mereka dah anggap kau dah mati?” cabar seseorang, dia memang sengaja untuk menaikkan kemarahan Nur.

Dengan kekuatan yang ada, Nur menampar seseorang itu laju-laju. Seseorang itu langsung tidak mengadu sakit seseolah tamparan itu langsung tidak memberi kesan kepadanya. Dia hanya sekadar berlakon mengurut pipi yang menerima tamparan itu padahal langsung tidak berasa apa-apa. Senyuman sinisnya terasa begitu menakutkan untuk Nur.

“Kau marah? Kenapa nak marah pula sedangkan kau dah berjauhan dengan musuh kau tu? Apa namanya? Huh, nak aku sebut ke?” suara separuh berbisik hanya menambahkan rasa sakit di hati.

Mata Nur terbeliak besar, dia bernafas dengan laju. Seluruh badannya menggigil, dia sedang menahan kemarahan meluap-luap dari dasar hatinya paling dalam.

“Selama ni, aku rasa kewujudan kau tak memberi masalah untuk aku. Kitakan berkongsi memori yang sama dan… rasa yang sama. Paling ketara, kita berasa kehilangan yang meninggalkan kesan mendalam.”

Semakin lebat mengalir air mata Nur mendengar provokan seseorang itu. Dia mengetuk kepala sendiri berulang kali. Kadangkala dia ingin sekali hilang ingatan agar tidak terus hidup terseksa dengan kenangan lalu.

Seseorang menyorong kerusi roda membawa Nur keluar dari rumah itu. Meronta-ronta Nur untuk menghentikan perbuatan seseorang itu. Mereka meredahi semak-samun dan apabila menghampiri jalan raya besar, Nur mulai tidak sedap hati.

“Apa kau nak buat ni?” soal Nur dengan cemas.

Kerusi roda tiba-tiba berhenti bergerak. Seseorang berdiri di hadapan Nur sebelum duduk separuh melutut memegang tangan Nur yang timbul urat-urat hijaunya akibat kehilangan keanjalan pada kulitnya.

“Jangan risau. Kita akan pergi tempat yang lebih aman. Kaukan tak nak jumpa musuh kau buat selama-lamanya.”

“Ke… ke mana?” Takut-takut Nur menyoalnya, dia sebenarnya seakan dapat meneka apa yang ingin dilakukan seseorang itu. Ibarat kata seseorang itu tadi, mereka berkongsi memori yang sama.

Seseorang merapatkan bibirnya ke telinga Nur dan berbisik, “Ke neraka!”

Kerusi roda terus ditolak kasar dan laju menuju ke jalan raya sambil disertai pekikan Nur seakan histeria.

Pon! Pon! Bunyi hon kenderaan bertalu-talu kedengaran dan pekikan Nur lenyap sebegitu saja.

“Aku suka bila jeritan kau berakhir,” kata seseorang tadi sebelum tawa perlahannya menjadi kuat secara tiba-tiba.

Burung-burung bertenggek pada dahan berhampiran, terbang melata ke awan.

“Dahlia… good morning!” Kedengaran suara Encik Antonio menegur, menyentak Dahlia yang sedang asyik termenung. 

Skrin komputer terpasang tanpa sebarang aktiviti dipandang sambil terkelip-kelip. 

“Encik Antonio, good morning!” balas Dahlia dengan kuat dan kedengaran ceria supaya tidak disedari Encik Antonio bahawa dia sedang mengelamun sebentar tadi.

Dahlia berdiri kemudian menundukkan kepala sedikit sebagai tanda hormat dengan ketuanya itu.

“Are you okey? Mengelamun panjang je I tengok. Nampak jelas kedutan you tu,” gurau Encik Antonio sambil tergelak kecil.

Nampaknya perbuatan tadi sudah tertangkap oleh Encik Antonio.

Dahlia sekadar mengikut rentak, dia juga ketawa kecil sambil menggaru belakang kepala yang tidak gatal. Tidak mengiyakan mahupun menidakkan. Betapa kekoknya untuk membalas kembali kata-kata pemilik galeri itu kerana teringatkan peristiwa kelam tadi.

Secara tidak langsung, perasaannya seperti menuduh jenayah yang belum dibuktikan itu benar-benar kesalahan Encik Antonio.

“Kalau you belum sarapan… jom sekali kita pergi breakfast dekat luar,” ajak Encik Antonio, kedengaran ikhlas.

Pantas Dahlia menggeleng, “Oh, saya dah sarapan tadi. Tidak mengapa, Encik.”

“Okey, Dahlia. Saya pergi dulu. Dah lapar sangat ni. See you soon.” Sempat Encik Antonio mengenyit mata untuk mengambil hati wanita itu.

Bersiul-siul kecil menggambarkan kegirangan yang sengaja dicipta untuk menyedapkan perasaan Dahlia yang mungkin tersentap tadi.

Dahlia sekadar melakar senyuman nipis sambil ekor mengikuti pergerakan lelaki itu sehingga hilang daripada pandangan mata. Dia menghembus nafas lega, tidak selesa untuk keluar berdua-duaan dengan pemilik galeri dan juga kerana perkara lain yang menganggunya selama beberapa hari berkaitan dengan kejadian rompakan galeri.

“Seluruh tubuh saya penuh dengan labah-labah!” Terlintas kata-kata Zamri semasa dia menceritakan kejadian malam rompakan.

Termenung lagi Dahlia mengingati peristiwa itu sambil menongkat dagu. Nampaknya, dia menangguhkan beberapa minit lagi untuk memulakan tugasannya hari ini.


Imbas kembali…

Keterangan daripada dua pengawal keselamatan yang bertugas pada malam itu telah pun diambil oleh pihak berkuasa. Berdasarkan cerita daripada pengawal keselamatan dan laporan yang dimuatkan dalam berita-berita pelbagai platform, terdapat beberapa hal yang menarik perhatian Dahlia.  

Selang sehari selepas kejadian itu, Dahlia mengajak Zamri keluar menjamu selera di sebuah restoran dengan tujuan untuk mendengar sendiri dari mulutnya mengenai kejadian yang menimpanya. Selesai sahaja mengisi perut, Dahlia pantas meminta Zamri menceritakan kejadian itu. Langsung tidak menyabar, menunggu makanan turun ke bawah.

Dahlia menyilang kaki dan tangan sambil bersandar semasa Zamri memulakan cerita. Wajahnya serius tanpa senyuman kerana sesungguhnya dia tidak ingin penceritaan kisah kejadian dicampur-aduk dengan cerita lain yang merepek. 

Zamri gerun melihatnya, semacam Dahlia itu polis sedang menyoal jawabnya di balai. Namun, dia mengabaikan rasa takutnya kerana hari itu dia begitu semangat untuk menceritakan kembali kisahnya. Dia menyedut minuman tembikai sejuk dengan laju sebelum memulakan cerita tentang pengalamannya.

“Hari itu, selepas meronda-ronda, seperti biasa kami akan memantau keadaan melalui CCTV, berbual-bual sesama sendiri sambil menghirup kopi O panas untuk mengelakkan diri masing-masing daripada dibuai lena,” cerita Zamri terjeda, barangkali cuba mengingat kembali peristiwa malam itu. 

Dahlia melihat tepat bola mata Zamri semasa bercerita. Sebelum ini, dia pernah terbaca di sebuah portal berita mengenai psikologi bahasa tubuh seseorang. Bola mata Zamri tergerak-gerak ke kiri, Dahlia menganggap permulaan cerita itu kebarangkalian benar. 

“Masa tu, kami sedang galak ketawa mendengar cerita kelakar diceritakan kawan saya tu, Jaafar namanya. Tapi, secara tidak sengaja Jaafar terpandangkan susuk tubuh serba hitam pada monitor, sedang berdiri seperti merenung kami melalui CCTV. Kami apalagi, dah takut tu… terdiam terus macam malaikat lalu. Tapi, dah menjadi tugasan untuk melihat kami memantau. Mana tahu kot-kot ada pencuri terlepas masuk, naya kami!” Kata Zamri lagi dengan bersungguh-sungguh.  

Dahlia berdebar menunggu sambungan seterusnya walaupun ekspresi wajahnya tersenyum sinis mengejek sikap pengecut lelaki di hadapannya. Dengusannya mampu didengari Zamri namun, lelaki itu tidak mengambil kira akan reaksi itu dan meneruskan penceritaannya seperti biasa malahan, berkobar-kobar semangatnya.


Ketika malam kejadian…

Mereka memeriksa segenap pelosok ruang, tiada sesiapa di situ. Cota dipegang erat dalam keadaan sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan. Melihat tiada apa-apa di situ, mereka sepakat untuk beredar dan melakukan pemantauan lanjut menerusi paparan CCTV di samping bersiap-siaga untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika bahaya benar-benar muncul. 

Saat mereka mahu beredar meninggalkan kawasan itu, secara tiba-tiba Zamri berasa tengkuknya dihentak kuat oleh seseorang membuatkan dia jatuh tertiarap secara mendadak. Pandangan mata berpinar-pinar. Walaupun begitu, mulutnya terlopong tanpa suara kerana terkejut melihat susuk tubuh dengan pakaian serba hitam. Wajahnya tidak kelihatan tetapi Zamri yakin sekali ‘dia’ sedang merenung tepat ke arahnya. 

Dalam keadaan begitu, Zamri sedaya upaya mengawal pernafasannya agar tidak mengeluarkan bunyi nafas yang kuat sehingga boleh menarik ‘dia.’ Perlahan-lahan berundur ke belakang.

“A… a… apa ni?” Tersekat-sekat suaranya, tangannya tersentuh sesuatu yang bergerak-gerak semasa berundur.

Menggeletar kerana melihat tapak tangannya tiba-tiba diserang dengan sekumpulan labah-labah. Dia yang sememangnya fobia dengan labah-labah menjerit kuat, jantungnya terasa mahu tercabut. Semakin panik apabila semakin dikibas-kibas, semakin banyak mengeruminya sehingga hampir memasuki mulut, telinga dan mata.

“Tolong… tolong jangan dekat!” Jeritan Jaafar menambahkan ketakutan Zamri.

Dalam peperangan fizikal dan mental menghadapi fobianya, Zamri sempat melihat sekilas Jaafar terundur-undur sehingga jatuh terduduk, tidak tahu dia melarikan diri daripada apa dan siapa. Air matanya berguguran laju sebelum memeluk lutut seperti kanak-kanak selepas dimarah orang dewasa. 


Telefon di meja kaunter berbunyi mengembalikan Dahlia di dunia nyata. Dahlia meraup wajah, memicit kepala yang berdenyut-denyut mungkin akibat belum sempat mengambil sebarang minuman dan makanan sehingga perutnya masuk angin. Tangannya mencapai gagang telefon setelah bersedia untuk menjawabnya.

“Helo, Galeri Seni Antonio,” tutur Dahlia, ayat lazim diucapkan untuk memulakan bicara kedengaran ramah agar si pemanggil berasa selesa untuk meneruskan perbualan.

Panggilan di sebelah sana senyap. Dahlia melihat gagang telefon sambil berkerut dahi, tidak gemar dipermainkan dengan panggilan palsu. Dia menunggu beberapa saat sebelum mengambil tindakan untuk menamatkan panggilan.

“Helo?” Ulang Dahlia sebelum berkira-kira untuk menamatkan panggilan.

Dalam hati mengatakan panggilan itu datangnya daripada modus operandi scammer yang sedang giat berleluasa kebelakangan ini.

Kedengaran kuat bunyi nafas seseorang dari talian sebelah. Lagi sekali Dahlia melihat gagang telefon, tidak mengerti tujuan sebenar pemanggil itu. Mungkin budak-budak nakal sengaja membuat panggilan palsu ataupun seseorang tersalah dail nombor telefon.

Bermacam-macam alasan Dahlia fikirkan. Belum sempat bertanya lanjut, dia mendengar Encik Antonio memanggil namanya. Nampaknya Encik Antonio sudah balik dari bersarapan di luar. Ceria sahaja air mukanya, mungkin kerana perutnya sudah kenyang diisi.

“Makan tau,” kata Encik Antonio, menghulurkan sebungkus plastik tidak diketahui isinya.

Serentak itu, Dahlia meletakkan gagang di atas meja, tidak meletakkan gagang di rumahnya kembali. Dengan kalut, dia menyambut huluran lalu mengucapkan terima kasih, sejenak terlupa si pemanggil apabila disuakan makanan tatkala kelaparan.

Sekadar mengintai sekilas bekas dalam plastik itu. Dengan aroma harum segenap ruang, Dahlia meneka Encik Antonio membelikannya mi goreng. Kecur air liur, tidak sabar rasanya untuk menikmatinya.

Dahlia bingkas bangkit dari duduknya. Dia menuju ke pantri untuk menikmati sarapannya. Malangnya, Dahlia pergi tanpa teringatkan sang pemanggil masih menunggu di talian. 

“Hehehe.” Suara orang ketawa kedengaran dari corong telefon.

Bermula daripada nada perlahan berubah menjadi kuat. Tawanya panjang seolah-olah sedang mendengar pengkisahan yang tersangat lucu daripada pencerita.

“Tengah ingat pasal aku ke tu?” katanya, suaranya kedengaran berdesir seolah-olah sedang berbisik di telinga seseorang.

Tut. Tut. Tut. Talian ditamatkan oleh sang pemanggil begitu saja.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.