Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 9

Beg tangan dihempas kuat atas meja memeranjatkan Siti yang sedang sibuk dengan kerja mengubah bunga. Majikannya kuat meradang kebelakangan ini dan Siti tentu sekali tidak berani mahu bertanya apatah lagi menegur. Biar sahajalah Mawar itu sebegitu, nanti-nanti anginnya tentu baik sendiri.

Siti dapat melihat wajah Mawar tegang sahaja sebaik sahaja masuk ke dalam Roselinda Florist, tentu ada masalah telah berlaku sewaktu keluar tengahari tadi bersama dengan suaminya, Zaqwan. 

Mawar tidak mempedulikan kelibat Siti di situ terus masuk ke dalam tandas. Pili air dibiarkan terpasang sampai melimpah ke lantai, dia merenung wajah sendiri pada cermin untuk beberapa saat seketika. 

Air bertakung dalam sinki, disimbah-simbah ke muka beberapa kali dengan kedua-dua belah tangannya. Dia menangis ketika melakukan itu sebelum terjerit-jerit untuk meluahkan rasa marah bersarang di hati.

Terkejut Siti yang berada di luar, dia cepat-cepat mendekati pintu lalu menekup telinga untuk mendengar isi bicara selanjutnya.

Mawar sudah tidak terjerit-jerit lagi, dia seakan-akan termenung memandang limpahan air sinki. 

Plup! Telinganya mendengar dengan jelas bunyi setitis air jatuh ke dalam air. Dia menutup mata untuk menghayati bunyi itu lagi. Dalam sekelip mata, mindanya dibawa menerawang ke suatu peristiwa.


Imbas Kembali…

Sepuluh tahun lepas…

KIRA-KIRA jam 3:30 petang, hujan masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Mawar dalam pakaian seragam sekolah sambil memegang payung sedang menunggu seseorang di sebuah perhentian bas yang tidak berbumbung. Seseorang telah berjanji untuk menjemputnya pulang sejurus tamat sesi kelas tambahan di sekolah pada sebelah petang. Dia bakal menghadapi PMR tidak lama lagi.

“Mana mama ni? Lambatnya! Takutlah seorang diri dekat sini,” rungut Mawar apatah lagi dia baru melihat kilat saling sambar-menyambar disertai bunyi langit yang kuat. 

Mawar hanya mampu melihat bas berhenti di situ tanpa menaikinya. Dia mengeluh kerana tahu ibunya akan lambat lagi tiba untuk mengambilnya. Dalam keadaan hujan begitu, dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa untuk menghilangkan rasa bosannya. 

Kasut sekolah berwarna putih sudah kotor akibat terkena air tanah, dia mengeluh lagi. Malas sungguh mahu mengeringkannya nanti. Mujur sahaja, dia mempunyai sepasang lagi kasut sekolah.

“Mawar!” panggil seseorang, suaranya kuat melawan bunyi hujan.

Terus tegak pandangan Mawar mendengar suara milik ibunya. Dia dapat melihat, ibunya membuka tingkap cermin kereta untuk memanggilnya. Dengan pantas, dia terus berlari memasuki perut kereta. Pintu kereta ditutup dengan kuat, marah betul kerana ibunya sering lambat menjemputnya kebelakangan ini.

“Oh, kesian anak mama! Maaf kerana kamu terpaksa menunggu lama,” pujuk ibunya setelah melihat muncung Mawar panjang sedepa. 

Mawar berasa terpujuk apabila dipeluk lembut oleh ibunya. Kehangatan tubuh ibunya mendamaikan, terasa selamat dia di situ.

“Okey, saya maafkan mama tapi kena belanja KFC!” 

“Boleh saja untuk kamu… my princess,” balas ibunya sambil mencuit-cuit pipi Mawar.

Keretanya meluncur laju meninggalkan kawasan itu. Ekor mata Mawar menjeling melihat tempat duduk belakang. Satu tas tangan putih dipenuhi dengan kotoran berwarna merah di atas lantai kereta menarik perhatiannya. 

Dia ingin bertanya namun terlupa terus akan hajatnya apabila lagu kegemarannya berkumandang di radio. Mereka menyanyi riang bersama-sama dalam kesejukan hujan.


Mereka berhenti di sebuah kedai dobi, Mawar tahu tentu ibunya mahu mengambil pakaian mereka yang sudah siap dicuci di situ. Rutin yang dilakukan ibunya setiap dua kali seminggu.

“Sekejap tau. Mama nak ambil baju kita dulu,” kata ibunya dan memang benar tekaan Mawar.

Payung sudah dibuka, ibunya keluar dari perut kereta menuju ke arah bangunan dobi.

Pandangan mata Mawar mengekor pergerakan ibunya bermula dari keluar kereta sehingga berjalan masuk ke kedai dobi untuk mengeluarkan pakaian dalam mesin sebelum dimasukkan ke dalam bakul pakaian dibawa dari rumah. 

Selesai sahaja urusannya, Mawar melihat ibunya tersenyum-senyum memandangnya yang sedang menunggu di dalam kereta. 

Ibunya berjalan menuju ke kereta mereka malangnya, sekelip mata sahaja Mawar melihat sebuah motosikal ditunggang secara laju melanggar ibunya sehingga terpelanting jauh. Payung yang dipegang terbang ke udara sebelum mendarat tidak jauh daripadanya.

Penunggang motosikal itu hanya berhenti sekejap sebelum memecut laju meninggalkan mangsa.

“Mama!” jerit Mawar dengan kuat sambil meleleh air mata.

Dalam keadaan panik sedemikian, untuk membuka pintu kereta dirasakan susah sekali. Berlari-lari Mawar dalam kehujanan mendapatkan ibunya yang sudah terbaring tanpa reaksi di atas jalan tar.

“Mama! Bangun… mama!” desak Mawar dalam tangisannya.

Tubuh ibunya digoncang banyak kali. Bertambah sedih hati Mawar melihat kepala ibunya berdarah. Air bertakung menjadi merah dalam sekelip mata.

“Mama!”

Hari berikutnya, Mawar tidak menyangka dia akan menghadiri majlis pengebumian ibunya dalam usia yang sangat muda iaitu ketika berusia 15 tahun.

“Mawar.” Bapanya mengelus bahu Mawar untuk menenangkannya.

Mawar membalas dengan jelingan, dia benci dengan bapanya sendiri. Dia menepis tangan bapanya dengan kasar. Lelaki itu memang patut menerimanya.

“Pergilah sibuk dengan kerja kau!”

Tidak disangka-sangka para pelawat di majlis sayu itu akan mendengar tengkingan Mawar terhadap bapanya.

Bapanya tergamam namun tidak boleh untuk memarahi Mawar kerana dia sedar dia culas dalam menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga sendiri.


Mawar duduk sambil memegang lutut di atas lantai, dia menangis sepuas-puas hatinya. Dia terasa mahu menghentak-hentak kepalanya ke dinding. Peristiwa kemalangan meragut nyawa ibunya selalu menjadi igauan tidak kira siang mahupun malam. 

“Tak guna… tak guna! Siapa penunggang motosikal tu?” jeritnya sambil menangis.

Belakang kepala sudah dihentak-hentak dalam kadar perlahan ke dinding. Dia teringat penunggang motosikal yang melanggar ibunya dan juga yang seakan mahu mengambilnya nyawanya tengahari tadi. Kejadian tadi hanya mengingatkan dia kepada trauma masa lalu.

Rambut ditarik-tarik untuk menghilangkan memori yang paling ingin dihapuskan. Air melimpah dari sinki diperhatikan, dia mendapat idea yang bakal meragut nyawanya dengan harapan melenyapkan masalah hidup.

Tanpa berfikir panjang, dia menyelamkan muka ke dalam air bertakung di dalam sinki. Dia bagai kerasukan untuk mengambil nyawanya sendiri.

Siti cemas di luar sudah cemas bukan main, dia memulas-mulas tombol. Akhirnya, dia terpandangkan laci di bawah meja kaunter tersimpan kunci pendua. Dengan tergopoh-gapah, dia mengambil gugusan kunci.

Dengan membaca label pada kunci, Siti berjaya menjumpai kunci tandas. Setelah berjaya dibuka, dia terperanjat dengan tindakan Mawar seperti mahu membunuh diri.

“Ibu!” jerit Siti sambil menarik Mawar menjauhi kawasan sinki.

“Biarkan aku mati!” jerit Mawar, menolak sehingga jatuh Siti di atas lantai.

“Saya bawakan ibu teh hangat untuk tenangkan fikiran,” usul Siti, berhati-hati menyusun kata agar Mawar tidak terasa dan tertekan ketika ini.

Mawar tidak membalas apapun, dia termenung seperti orang hilang anak.

Beg tangan yang dihempas tadi, diambil lalu mengeluarkan telefon pintar. Gambar latar dirinya sedang berpelukan dengan Zaqwan menghiasi skrin ditenung buat seketika. Mawar menjadi ceria sebentar melihat gambar itu. 

Namun, entah macam mana, pegangan tangannya menjadi licin. Telefon pintar terlepas dari pegangan tangan lalu terhempas ke lantai marmar. Skrin yang bernyala itu retak seribu.

Saat jarinya baru mahu menyentuh telefon pintar untuk diambil, skrin tiba-tiba bertukar putih dan disertai dengan beberapa perkataan.

“Kalau kau membaca pesanan ini bermakna kau masih hidup. Bersyukurlah nyawa kau masih panjang dan terselamat daripada dilanggar motosikal.” Terbeliak matanya membaca tulisan misteri muncul pada skrin telefonnya.

Mawar menjerit sekuat hatinya, dia membaling telefon pintar ke dinding kaca dengan sepenuh tenaganya.

“Ibu…” Terburu-buru Siti mendapatkan majikannya bersama secawan teh O panas.

“Tepi! Biar aku sendirian. Kalau kau masuk campur lagi, kau yang aku baling nanti,” tengking Mawar sambil jari telunjuknya hampir menujah kepala Siti.

Siti terkulat-kulat sendirian melihat Mawar seperti singa betina buas. Dia perlahan-lahan mengundur ke belakang lalu meninggalkan majikannya sendirian. Dia akur dengan arahan itu, biarlah majikannya bertenang terlebih dahulu.

Mawar duduk menghadap luar sambil dadanya berombak-ombak. Kemarahannya boleh meletus lagi bila-bila masa. Dia belum puas untuk marah. Ada sahaja objek yang bakal menjadi mangsa kemarahannya nanti.

Tawa halus panjang kedengaran seperti dimainkan daripada perakam suara yang disorokkan di mana-mana sudut. Mata Mawar meliar dan apabila dia tidak menjumpainya, dia mengamuk dengan menolak sampai jatuh bekas kaca besar berisi bunga-bunga segar yang sudah dibersihkan Siti tadi.

Roselinda Florist menjadi huru-hara sekelip mata dan menarik perhatian pejalan kaki di situ. Mereka memerhati dengan takut-takut terhadap perlakuan gila Mawar. Ada pelanggan yang baru sahaja berniat mahu singgah membeli bunga, terus membatalkan niat mereka.

“Apa tengok-tengok?!” Tengkingan Mawar bak halilintar kedengaran sampai keluar bangunan Roselinda Florist.

Seseorang yang bersandar pada dinding luar bangunan mendengar dengan jelas apa yang berlaku di dalam Roselinda Florist. Dia menyorokkan wajah di balik pemakaian selendang hitam, terlihat sengihannya.

“Misi… berjaya,” katanya dengan perlahan. 

Hatinya puas. Dia memang tahu akan kelemahan Mawar. 


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.