“Siapa pengkarya lukisan ini?” Soalan itu menjengah fikiran, Encik Antonio mengeluh lagi.
“Dia orang yang baik dan juga pengkarya yang hebat. Aku berasa menyesal kerana dia pernah menjadi kawan dengan seseorang yang tak berguna. Kalaulah aku mempunyai kuasa untuk menghalang semua ini daripada terjadi,” jawab Encik Antonio seolah-olah tetamu tadi masih berada di hadapannya.
Laci meja dibuka, foto lama bersama dengan seseorang lelaki miripnya ditenung.
“It’s been a while adikku, Kidman. Kita masih tinggal di kawasan yang sama. Sayangnya, kita sudah lama tidak bersua muka. Haluan kita juga sudah lama berbeza. Baru-baru ini kita bertemu tapi, kemesraan itu sudah lama hilang akibat kegiatan kau.”
Encik Antonio bersandar pada kerusi sambil menongkat dagu. Masih lagi menatap foto itu.
“Hubungan kita pernah rapat bagai isi dan kuku. Hanya kerana jalan yang kau pilih memusnahkan segalanya.”
Imbas kembali…
Beberapa hari selepas kejadian rompakan Galeri Antonio…
Encik Antonio dibebaskan daripada tahanan polis setelah selesai disoal siasat. Sementara menunggu kenderaan dari aplikasi Grab yang dipesan sampai ke destinasi, Encik Antonio membelek mesej masuk ke dalam Whatsapp. Tiba-tiba dia meradang, habis bersepah tanah dari pasu bunga ditendang membuatkan mereka yang mengunjungi balai polis itu memandangnya.
‘Macam mana dengan siasatan tu? Kau dah dibebaskan, betul? Baguslah kalau macam tu.’
Lagi sikit telefon pintar mahu dibaling ke jalan tar. Pesanan Whatsapp daripada adiknya membuatkan amarah yang ditahan akhirnya meletus juga.
Untuk mengelakkan meter kemarahannya meningkat, dia menyimpan kembali telefon pintar ke dalam poket baju kemeja walaupun berdenting tak berhenti mesej masuk yang kebanyakan daripada para pengkarya yang pernah menghantar lukisan mereka ke galerinya mahupun para collector yang pernah membeli karya di situ.
Sebuah kereta Toyota Vios berhenti tepat-tepat di hadapannya. Encik Antonio tidak mempedulikan kerana dia tahu itu bukan pemandu yang dipesan melalui aplikasi Grab.
Cermin tingkap diturunkan menyingkap identiti pemandunya. Terpandang sahaja wajahnya, Encik Antonio meludah ke bawah lalu berjalan beberapa tapak menjauhi kenderaan itu.
Nampaknya, pemandu tersebut turut mengundurkan keretanya sampai berhenti kembali tepat-tepat di hadapan pemilik Galeri Seni Antonio. Menjeling tajam Encik Antonio melihat pemandunya selamba tersengih sambil mengunyah gula-gula getah. Rasa bersalah langsung tiada dalam kamus kehidupannya.
“Aku datang nak jemput kau balik. Masuklah, panas ni.”
“Setelah aku membersihkan kesalahan kau… baru kau nak muncul sekarang?” sindir Encik Antonio tanpa memandang wajahnya.
“Sorry lah… kali pertama jadi kes polis.”
Encik Antonio merenung tepat mata lelaki itu sambil tergoyang kepala menahan marah.
“Kali pertama ke… kali kedua ke… I don’t care! Dah terang dari awal apa yang kau buat tu salah, Kidman!”
“Masuklah dulu. Kita cakap dekat dalam,” pinta Kidman sambil bola mata laju memerhati orang di luar balai polis berbisik-bisik mengenai mereka.
Dengan pantas Encik Antonio menendang pintu kereta. Tindakan gopohnya membuatkan kakinya sakit bukan main, terloncat-loncat secara automatik sebelum mengurut kakinya untuk melegakan kesakitan.
Kidman ketawa, keterampilan abangnya tidak sesuai langsung dengan sisi kebudakan yang tiba-tiba sahaja terserlah.
“Mawar pun selalu agresif macam kau.”
Mendengar nama wanita itu disebut membuatkan Encik Antonio terus masuk ke dalam perut kereta dengan menghempas kuat pintunya.
“Kita nak ke mana?” Acuh tak acuh sahaja Encik Antonio menyoal.
“Aku hantar kau balik,” balas Kidman.
Toyota Vios meluncur dengan lancar di atas jalan raya. Tiada sebarang perbualan tercetus antara mereka berdua sepanjang perjalanan. Kidman tahu, tentu Encik Antonio sakit hati akibat terpaksa menjadi kambing hitam kes itu.
Kidman berhenti di luar bangunan Galeri Seni Antonio, tahu abangnya jarang pulang ke rumah. Lagipun tiada sesiapa menunggu di rumah setelah kematian isteri. Anak? Anaknya pula melancarkan provokasi dengan menyertai kegiatan haramnya tanpa mempedulikan perasaan bapanya.
“Kau ingat lagi impian kita dulu, sama-sama usahakan sebuah galeri pameran? Impian tu terlaksana separuh sebab kau berjaya memiliki sebuah galeri pameran,” ungkit Kidman secara tiba-tiba membuatkan Encik Antonio membeliakkan mata.
“Dan kau pula mengambil kesempatan terhadap apa yang aku usahakan? Aku tak pernah menyangka kau akan teruskan kegiatan jijik macam ni! Kalau kau ingin menjadi kaya, bukan dengan ini caranya!” Potong Encik Antonio, sudah merah padam mukanya.
“Aku sudah termasuk dalam kegiatan ni. Jadi, aku teruskan sahajalah. Malas aku nak berada dalam kehidupan yang susah lagi,” balas Kidman dengan selamba.
Tak tertahan langsung dengan alasan yang sering diucapkan Kidman, dia menerkam lelaki itu.
“Kalau macam tu kenapa mesti lakukan jenayah di galeri aku? Banyak lagi galeri lain!” marah Encik Antonio dengan suara ditahan-tahan, jelas kelihatan giginya diketap atas bawah kerana geram.
Kidman ketawa terbahak-bahak melihat muka marah Encik Antonio.
“Sebab aku tahu kau akan pertahankan aku kalau aku tertangkap nanti. Kau sanggup ke tengok aku masuk penjara? Darah daging kau sendiri ni,” jawab Kidman dengan separuh berbisik, berbaur ugutan dalam masa yang sama.
Encik Antonio melepaskan dengan kasar kolar baju Kidman. Hal sebeginilah buatkan dia selalu mengalah dengan adiknya. Air yang dicincang tidak akan putus walaupun sejahat mana Kidman.
“Jangan risaulah. Aku jamin lepas ni aku takkan libatkan kau. Hari tu je entah macam mana pula boleh jadi kes polis. Selalu smooth je. Semua kerja dibereskan sebelum galeri beroperasi. Lagi satu, kau pun dah kena hati-hati dengan staff-staff kau. Aku yakin akan ada staff kau curiga dengan kau lagi-lagi lepas kena tahan polis sebab kes jual karya palsu.”
Sekali lagi Encik Antonio mencekak kolar leher Kidman. Dia menyeringai seperti mahu menggigit leher Kidman sampai berdarah.
“Tapi, bukan aku yang lakukan semua tu! Itu kau!” herdik Encik Antonio, menujah dada Kidman dengan kasar.
“Relax… relax!” Suara Kidman kedengaran mengejek sambil mencuba untuk melepaskan diri.
“Kau membuatkan aku berasa malu nak berdepan dengan semua pengkarya dan pengumpul! Kau tahu seni jiwa aku tapi kau! Sanggup kau cemarkan dengan kegiatan tak bermoral kau ni!”
“Lepas… lepas! Habis tak dapat bernafas aku,” desak Kidman, menolak-nolak Encik Antonio.
Encik Antonio melepaskan dengan kasar sambil berdengus. Dia mengurut kepala yang terasa ditarik-tarik sakitnya. Kali ini Encik Antonio membuka pintu kereta lalu keluar sebelum menghempas kuat pintunya.
Kidman turut keluar dari perut kereta. Baru beberapa tapak Encik Antonio melangkah tanpa menoleh ke belakang, Kidman bersuara.
“Antonio,” panggilnya membuatkan langkah Encik Antonio terhenti tetapi tidak menoleh walau sedikit.
Encik Antonio meletakkan kedua tangan ke dalam poket, menunggu kata-kata seterusnya. Dia memandang langit biru terang tanpa awan pada waktu tengahari dengan harapan dapat menyejukkan hati sendiri yang sedang hangat membara.
“Cepat! Aku tak ada banyak masa untuk dengar apa yang kau cakap,” marah Encik Antonio setelah Kidman senyap buat seketika.
“Antonio, kau tahukan permulaan aku dalam kegiatan ni sebab apa?”
Encik Antonio berpaling, memandang Kidman sambil dengan kerutan di dahi.
“Untuk dapatkan wang dan selesaikan masalah kekasih tak jadi kau tu?” soal Encik Antonio penuh dengan sindiran.
Encik Antonio ketawa saling tergeleng-geleng kepala dengan isu itu.
“Kau jangan rasa aku tak tahu kau jugalah beberapa kali mengincar nyawanya. Nak selamatkan nyawa konon. Omong-omong kosong apa kau ni?!” sindir Encik Antonio sambil meneruskan perjalanan, malas untuk bertekak dengan perkara yang sama.
Kidman mengeluh, dia tahu Encik Antonio tidak akan faham mengenai perasaannya atau lebih tepat perasaan sebagai seorang pencinta.