Tangan kanannya menolak kuat pintu kaca pejabat sambil tangan kiri membawa secawan kopi panas dan croissant dibeli dari kafe berdekatan. Sebaik sahaja tiba di tempat duduknya, dia meletakkan minuman dan makanan dibeli sebelum memegang plastik putih terletak di atas mejanya. Tanpa membukanya, dia sudah tahu akan isinya, nasi ayam Hainan dihantar siapa lagi kalau bukan musuhnya, Rita!
Langkahnya menuju ke pantri dan membuang bungkusan putih itu ke dalam tong sampah tanpa rasa bersalah.
“Dia buat lagi,” kata Aniq Zafran mencuri intai perbuatan Michael Angle, “Aku tak boleh nak mengeluh dah bila tengok perbuatan dia tu. Dah selalu sangat. Membazir… membazir! Ya pun benci si Rita penyibuk tu… janganlah buang. Cuba bagi aku contohnya.”
“Syhhh, masak kau kalau dia dengar. Kau pun… dah makan pun masih lapar lagi?” Kata Hayati, turut sama mencuri pandang perbuatan rakannya itu. “Rita… Rita! Hati kau memang keras!” sindir Hayati, tergeleng-geleng kepala mengenangkan wanita itu.
Mereka berdua berpura-pura sibuk apabila Michael Angle melangkah laju ke tempat duduknya.
Pintu bilik pejabat ketua mereka dibuka seseorang. Encik Kamal rupanya yang membuka pintu itu sambil bersiul-siul kecil. Langkahnya agak terbantut sewaktu melalui meja kerja Michael Angle. Siulannya lenyap sebegitu sahaja.
Michael Angle sedang memegang sebuah buku, memandang Encik Kamal dengan pandangan tidak puas hati sambil bersilang kaki menyebabkan ketuanya terkedu sehingga terpaksa membuang pandangan ke arah lain sebelum cepat-cepat berlalu meninggalkan kawasan itu. Berdehem berulang kali untuk menyingkirkan perasaan yang bercampur-baur semasa lalu di sebelah Michael Angle.
“Pergh, power betul aura dia sampaikan ketua pun takut dengan dia!” komen Aniq Zafran sedari tadi memerhati, tergelak kecil dibuatnya.
Encik Kamal berdengus marah, hampir sahaja menumbuk kaca tingkap. Tirai langsir bilik kerja ditutup dengan kasar. Sebelum itu, sempat dia mengintai Michael Angle di tempat duduknya. Dia mengetap gigi menahan geram, sikapnya seperti buaya sedang memerhati mangsa, menunggu masa untuk membaham.
Cepat-cepat dia menutup tirai langsir apabila Michael Angle tiba-tiba memandangnya seolah-olah tahu dirinya sedang diperhatikan.
“Kau cabar aku?”
Encik Kamal terasa mahu meludah ke lantai memikirkan kelakuan lelaki itu. Kelakuan Michael Angle bersilang kaki tadi menambahkan kemarahannya sememangnya tidak surut semenjak pagi tadi.
Kasar dia menarik kerusi sebelum duduk. Beberapa buku berada di atas meja diketepikan dengan kasar. Rasanya mahu membuang buku-buku itu ke dalam tong sampah jika mengikut amarah di hati. Kalau boleh, buku-buku itu mahu dibaling ke dinding menandakan hatinya yang sedang membara.
“Siapa bos disini? Berani betul you tinggi suara!”
Teringat pagi tadi diherdik oleh pekerjanya. Suasana biliknya sejuk tidak mampu menyejukan hatinya yang panas membara. Tali leher dilonggarkan, terasa sukar bernafas kerana terlalu memikirkan perkara yang membuatkan kemarahnnya memuncak.
“Geram betul!” Suaranya ditahan supaya tidak didengari oleh pekerja-pekerjanya di luar.
Penumbuk dikepal sebelum dilepaskan ke atas meja.
Laci meja paling bawah ditarik dengan kuat, terdapat satu fail hijau mengandungi profil pekerja milik Michael Angle. Lama sekali dia tidak membuka dan membacanya. Hari ini, dia berasa ingin membacanya kembali.
“Michael Angle…” sebaris nama pada profil muka depan profil pekerja dibaca. “Biadap dan sombong!”
Imbas kembali…
Encik Kamal memandang sekilas Michael Angle berdiri di depannya sebelum membaca profil di dalam fail hijau itu. Hari ini merupakan hari pertama bertentang mata dengan pekerja baru setelah memulakan tugasan secara rasmi. Sesi perkenalan singkat minggu lepas telah disambut dingin oleh Michael Angle sedikit sebanyak mencabar egonya.
“Michael Angle… your real name?” soalnya kerana takut tersalah membaca apa di dalam fail hijau itu.
“Ya, nama sebenar. Encik ada masalah ke dengan nama saya?” Jawab pemuda itu dengan suara tegas tanpa senyuman terhias di bibir. Lagaknya semacam mengajak untuk bergaduh.
Dengan responnya sahaja, sudah memberikan tanggapan buruk untuk Encik Kamal pada hari pertama mereka bertentang mata.
‘Macam sombong. Macam mana pekerja sebegini biadap dipilih bahagian sumber manusia? Apa manusia di dunia ni semua dah pupus sampai terdesak ambil pekerja sebegini?’
Luarannya, Encik Kamal terlihat seorang professional dengan senyuman manis palsu dipamerkan untuk menonjolkan imej sebagai ketua yang baik dan terbuka fikiran. Semasa membaca profil itu lagi, Encik Kamal berasa tertarik pada bahagian pengalaman pekerjaan lelaki itu.
“Menarik, tak sangka awak ada pengalaman kerja di sebuah syarikat perekaan aksesori terkenal di Malaysia. Kalau macam tu, kenapa awak berhenti? Gaji mereka tawarkan tak berbaloi ke? Saya rasa gajinya sangat berbaloi memandangkan saya juga ada rakan bekerja di sana.”
Tidak difahami mengapa Michael Angle tiba-tiba melakarkan senyuman seakan mengejek pertanyaan itu. Berani sungguh, secara mendadak Michael Angle mendekatkan wajahnya lantas berbisik kepadanya.
“Supaya saya boleh berjumpa dengan encik dan membuatkan topeng sebenar membaluti wajah encik tertanggal. Macam orang berbuat salah dan apabila kesalahannya dibogelkan sehingga tidak mampu untuk dibogelkan lagi.”
Berderau darah Encik Kamal. Michael Angle itu seolah-olah sesuatu tidak diketahui alasannya.
Sedaya upaya Encik Kamal meraih ketenangan supaya kekal bersikap waras dan tidak cepat melatah dengan situasi sedang dihadapi. Dia berdehem setelah lidahnya kaku untuk berbicara.
“Awak dah melewati batasan sebagai seorang pekerja. Saya harap awak berjaga-jaga dalam pertuturan dan hormat saya sebagai ketua awak. Kita akan bekerjasama lama di sini jadi…”
“Lama? Selama mana tu encik? Tak sabar nak tengok siapa akan berhenti kerja dulu. Dan lagi, betul ke kau ni Encik Kamal?”
Michael Angle membeliakkan mata, menunjah kepala sendiri berulang kali seperti tidak siuman.
“Kenapa awak cakap begitu?”
Matanya mengekori perbuatan Michael Angle menukar posisi dari elok berdiri kepada duduk secara sipi-sipi di tepi meja sambil memeluk tubuh. Perbuatan biadap berjaya menaikkan graf kemarahannya.
“Dan kau rasa, apa yang kau buat?” Tidak menjawab pertanyaan Encik Kamal tetapi menyoalnya pula umpama seorang penyiasat.
“Apa… apa yang aku dah buat? Saya tak faham.”
“Ops, lupa saya berbicara dengan orang memakai topeng muka orang lain! Tak apa, tak apa! Simpan jawapan encik untuk masa akan datang. Saya akan pastikan ketika saat itu tiba, Encik sudah bersedia untuk menjawabnya. Atau encik nak tunggu maut menjemput dulu baru boleh jawab? Itu pun kalau masih boleh menjawab!”